‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 20 Februari 2013

Asal Usul Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor

Bajak di tepi sawah di waktu senja.

Nama asal Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor ialah Kampung Melayu Kahang Batu 28 atau Kampung Kahang Bt 28. Kampung ini dipercayai telah wujud dalam peta Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Pada asalnya perkampungan ini dihuni oleh orang-orang asli yang tinggal di tebing sungai Kahang dan dalam hutan Endau Rompin.

Kampung ini terletak di Jalan Mersing dan di tengah-tengah perjalanan antara Kluang dan Mersing. Jarak Kampung Sri Lukut dengan bandar Kluang ialah 45 km atau 28 batu.

Sejarah asal usul nama Kahang

 
Versi pertama

Menurut cerita orang-orang tua di kampung ini, nama “Kahang” diambil sempena nama seorang peniaga berbangsa Cina iaitu Ah Hang. Ketika itu, beliau sering bertandang ke kawasan kampung untuk membeli rotan, damar dan pelbagai hasil hutan daripada penduduk kampung. Akhirnya melalui masa, perubahan sebutan berlaku lalu sebutan Ah Hang menjadi Kahang.

Versi Kedua

Juga berkenaan seorang Cina yang bernama Ah Hang. Kali ini beliau bukan dikenali sebagai peniaga rotan, damar atau pencari hasil-hasil hutan. 

Manusia Ah Hang yang dimaksudkan itu seorang pengusaha atau penembang kayu balak. Ketika itu kawasan Kahang dipenuhi hutan belantara dan dihuni oleh binatang-binatang buas. 

Nama Ah Hang akhirnya meniti di mulut lalu kawasan penerokaan hutan itu dikenali sebagai Kahang.

Versi Ketiga

Nama Kahang diperoleh daripada aktiviti penanaman dan pembukaan ladang lada hitam. Penduduk asal di kampung Melayu itu telah membuka ladang lada hitam dan menjualnya melalui jalan-jalan sungai yang menghubungkan Kluang, Endau, Rompin, Mersing, Kota Tinggi dan Johor.

Lada hitam dalam bahasa Banjar dipanggil SAHANG. Ketika itu lada hitam mendapat permintaan tinggi, maka urusan perniagaan dan perdagangan rancak dijalankan. Begitu juga dengan penerokaan tanah dan kemasukan pendatang-pendatang baru turut tumbuh dengan hebat. Antara yang terlibat di dalam urusan penerokaan dan perdagangan di kawasan ini ialah orang-orang Melayu, Banjar dan Jawa. 

Akhirnya Sahang yang dirujuk tempat atau kebun lada hitam berubah bunyi sebutan lalu menjadi Kahang.

Versi ketiga ini maza dengar sendiri daripada penduduk asal kampung antaranya ialah arwah Atuk Sidin dan Kak Galoh. Maza kira, asal usul nama Kahang dalam versi ketiga ini lebih menyakinkan.

Tali air atau ban yang merentangi di tengah-tengah sawah, Sistem pengairan ini berguna untuk mengawal banjir.

Datuk dan arwah ayah maza merupakan antara peneroka awal Kampung Melayu Kahang Bt. 28. Mereka meneroka dengan menggunakan kapak dan beliung.

Dahulu, kampung ini berjiranan dengan perkampungan orang asli. Menurut kata emak maza, orang-orang asli berkawan rapat dengan arwah ayah dan selalu singgah ke rumah untuk memberi atau menukarkan barang.

Biasanya orang-orang asli itu berkehendakan sirih dan pinang yang kami tanam di halaman rumah. Sebagai pertukaran, orang-orang asli ini memberikan kami buah-buahan kayu hutan seperti petai, jering dan adakalanya binatang buruan yang masih hidup seperti napuh, kijang, rusa, landak dan ayam hutan.

Traktor tersadai setelah membersihkan tapak semaian di tanah sawah Kg. Sri Lukut, Kahang.

Disebabkan pembinaan empangan (pintu air) Sungai Madek, orang-orang asli itu dipindahkan ke beberapa kampung lain seperti di Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Batu 26, Kampung Orang Asli Sedehok, Kampung Orang Asli Air Pasir, Kampung Orang Asli Sri Kenangan, Kampung Orang Asli Tanah Abang, Kampung Orang Asli Punjut, Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh.

Kebanyakan orang asli di sini dari suku kaum Penan dan Jakun.

Sebetulnya, sawah padi sudah ada lama di Kampung Melayu Kahang Bt. 28 iaitu sebelum zaman pemerintahan tentera Jepun lagi. Sawah diusahakan secara 'tanaman sara diri' (makan sendiri). Taliair dibina dengan cangkul dan bersaiz kecil. Sehinggalah kerajaan membuat keputusan hendak menjadikan kawasan kampung kami sebagai pusat penanaman padi utama di Johor. Ia dirancang sedemikian rupa untuk dijadikan lapangan makanan negeri. Cadangan awal itu mahu menjadikan kawasan sawah Kahang bersambungan dengan kawasan tanaman padi di Mersing dan Endau. Namun disebabkan keadaan muka bumi yang tidak begitu sesuai, racangan itu terbantut hinggalah sekarang.

Dengan adanya rancangan penanman padi secara besar-besaran itu, kerajaan mula membawa orang-orang Kedah untuk menyertai Rancangan Pinggiran dan Penanaman Padi di Kahang. Tujuannya ialah untuk mengusahakan tanah sawah Kahang serta menjadi petani contoh kepada penduduk tempatan yang masih menggunakan kaedah penanaman padi secara tradisi. 

Tali air atau ban yang arwah ayah, datuk maza serta penduduk kampung menggali dan mencangkul untuk membinanya

Oleh itu, penduduk asal Kampung Kahang Batu 28 terdiri daripada masyarakat majmuk. Selain orang-orang Melayu Kahang yang menjadi penduduk awal di situ, penduduk-penduduk Kahang juga terdiri daripada mereka yang berasal dari daerah-daerah lain di negeri Johor seperti Muar, Mersing, Endau, Pontian. Tidak kurang juga ada yang berasal dari luar negeri Johor seperti  Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Dahulu, berdekatan Kampung Kahang Batu 28 terdapat sebuah pengkalan pelabuhan dan pendaratan sungai. Berdekatan pengkalan tersebut berdiri penempatan orang-orang Cina yang berniaga dan meneroka tanah pertanian seperti lada hitam, pembalakan dan rempah ratus. 

Orang-orang Cina ini dibawa masuk ke sini melalui program 'Sistem Kancu' yang diamalkan oleh Bapa Pemodenan Johor, Maharaja Abu Bakar. Kawasan yang dimaksudkan itu ialah di pinggir sungai Kahang Batu 26. Jadi, tidak hairanlah apabila kita boleh bertemu dengan jirat Cina di tengah-tengah perkampungan Melayu di Kampung Kahang Bt 28 itu.

Sekarang perkampungan di pinggir sungai Batu 26 itu telah dipindahkan. Perkampungan Cina itu dipindahkan ke Kampung Baru Kahang Bt.22 pada zaman darurat pengganas Komunis. Hari ini perkampungan Cina itu telah menjadi sebuah pekan.

Pertukaran Nama


Pertukaran nama Kampung Kahang Batu 28 kepada nama Kampung Sri Lukut berlaku ketika Yang Amat Mulia Tengku Ibrahim Ismail Tengku Mahkota Johor datang mencemar duli ke kampung ini pada tahun 1986/87. 

Jalan Pulang: Pemandangan yang lumrah di waktu petang berlatar belakangkan rumah penduduk kampung dan Surau An Nur, Jalan Temiggol, Kg Sri Lukut


Ketika itu, penduduk kampung memohon perkenan daripada Y.A.M. Tengku Mahkota Johor supaya nama kampung ditukar kepada Kampung Sri Lukut berdasarkan peristiwa D.Y.M.M Almarhum Sultan Ibrahim berburu badak sumbu di kampung tersebut. 

Pada waktu itu, Almarhum telah membuat kota sementara untuk bermalam di hulu Sungai Lukut yang terletak berhampiran kampung, iaitu KM 45 Jalan Mersing untuk mengesan perjalanan badak sumbu. Bagi mengenang peristiwa tersebut, penduduk memohon agar permohonan mereka diperkenankan. Maka pada tahun 1987, Kerajaan Negeri Johor telah menukar nama Kampung Kahang Batu 28 kepada Kampung Sri Lukut. Nama ini kekal hingga sekarang.



Lantun-lantun menyingkap asal usul




blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails