‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 30 Julai 2009

SIRI RUMAH TANGGA PAK MAT: Bala Saka Baka 1

Usai solat Isyak Pak Mat bergegas menghala ke warong Banun. Tiap-tiap malam demikianlah perilakunya. Kerongkongnya sudah ketagih kopi si Banun.


Sebaik menghampiri warong tersebut sudah ada lima enam orang di situ. Budak-budak muda di hujung sana di bawah pokok cempedak sibuk bermain dam haji dan carom. Lampu kalimantang setia menemani mereka.




(Illustrasi: Warong Banon di tepi jalan)


Di dalam warong beratap rumbia itu terdapat meja segi empat sama yang di selang selikan dengan meja panjang segi empat tepat. Beberapa buah meja itu telah berpenghuni. Mereka semua itu dikenali oleh Pak Mat. Mereka ialah kawan-kawan Pak Mat juga. Orang kampung situ.


Warong Banun terletak di tepi jalan besar. Hari Selesa malam Rabu di Jalan Kahang-Mersing ini memberikan rezeki halal untuk Mak Banun bersama Pak Ismail. Hampir dua puluh tahun mereka berkhidmat kepada orang kampung. Dan selama itu jugalah kopi, soto dan mee bandung sedia mengisi kantung perut orang-orang tempatan.


Warung ini juga seolah warung terapung. Di sebelah warung ini dan di seberang jalan sana terletak sawah nan luas mata memandang. Kalau di siang hari pula jelas kelihatan kehijauan menghening ketika padi baru disemai dipetak-petak bidang sawah.


Suasana damai inilah sering kali membuatkan pengunjung rasa cukup kagum dan senang sekali. Selesa dan tak betah merakamkan segala isi permai kampung melainkan menyaksikan sendiri.


Di balik sawah itu pula terpamer tanah banjaran Keledang yang sayup-sayup kebiru-biruan. Di atas sana letaknya Gunung Berlumut.


Warung Banun berdindingkan kayu. Cukup ringkas dan bereka bentuk tradisi. Di atas dinding di salah satu sudut itu diamnya sebuah tv bersaiz dua puluh satu inci. Hampir sepuluh tahun tv berjenama Hitachi itu berkhidmat di situ.


Imam, bilal, tok siak, penghulu dan tok ketua sudah sedia ada di bawah bumbung warong Banun. Mereka sedang mengadap hidangan masing-masing.


“Banun buatkan aku kopi o kaw dengan soto! Errr… Masuk buku yea!”, jerit Pak Mat dari luar sambil menongkatkan basikal tuanya.


Mak Banun dan Pak Ismail sudah biasa benar karenah orang kampung. Buku yang dimaksudkan oleh Pak Mat ialah buku tiga lima (555). Buku akaun itu merujuk sebagai buku hutang pelangan tetapnya. Setelah Pak Mat menjual hasil kebun atau getah keping di baruh itu, Pak Mat akan membayar segala hutang di warung tersebut. Itu pun dua minggu atau tiga minggu sekali. Bergantung kepada rezeki, cuaca dan kekuatan tubuh orang tua itu.


“Hah! Pak Mat lambat sampai?”, tegur Hussain





(Gambar: Sup Utara juga salah satu hidangan istimewa di situ)




“Ah’ah! Aku lewat sampai sebab perut aku memulas tadi.”, Pak Mat terus menuju ke meja Hussain. Kemudian dia bersalaman dengan seisi kedai itu. Kecuai budak-budak muda di bawah pokok cempedak sana. Mereka terlalu asyik di atas pangkin dengan pertandingan dam haji, chess dan carom. Khusyuknya mengalahkan mereka yang mengambil bahagian dalam musabaqah Al Quren ataupun acara lontar cakera di kejohanan piala dunia.


Semua alat permainan tersebut disediakan oleh tuan kedai. Selain memenuhi aktiviti malam hari pemuda-pemuda di kampung itu, dapat juga mereka berlatih, memantapkan minda dan strategi untuk bertanding kejohanan temasya sukan tahunan di kampung ini dan kampung Nitar di sebelah sana.


Selain itu ia sebagai strategi memeriahkan kedainya. Juga untuk memantapkan hasil jualan Mak Banun.


Pak Mat dan warga kampung saling menyantuni dan bertegur sapa dengan mesra seperti biasa. Mereka rancak berborak. Ada yang berborak tentang penghasilan kampung, politik, kenduri kahwin, kenduri arwah, sukan, perancangan masa depan hinggakan ke masalah negara.


Secangkir kopi o kaw yang dipesan oleh Pak Mat telah sampai dan dihidangkan di hadapannya. Soto juga sedia terhidang. Pak Mat menikmati hidangan lazat itu. Dihirupnya soto itu satu persatu. Dielusnya perlahan-lahan kenimakmatan soto di batang kerongkongnya. Sesekali kopi pahit itu diteguk sambil melayani dan mendengar butir hujah teman-teman sekampung.


Tepat jam sepuluh malam mereka terdiam.


“Dah tiba. Dah tiba!”, Hussain yang duduk di hadapan Pak Mat berteriak.


Pemuda-pemuda harapan kampung bergegas melompat dari pangkin itu masuk ke kedai Mak Banun. Mengambil tempat kosong di meja-meja yang terkangkang di situ.


Mak Banun dan Pak Ismail segera memberhentikan kerja. Tambahan pula tiada pesanan yang diterima. Dia bergegas dari dapur ke ruang depan warung. Sama-sama terpaku di situ.


Sunyi seketika. Mata masing-masing kalau boleh diseka, maka mereka akan menyekanya agar tidak tertutup. Terbeliak masing-masing. Memaku tepat di kaca tv Hitachi dua puluh satu inci itu.


Satu suara pun tidak berdetik. Bahkan tidak berani untuk melentingkan bunyi.


Kalau ada cengkerik, cenkerik pun dipaksa diam. Kalau ada katak sedang melaung-laung, diherdiknya supaya berhenti berbunyi. Apatah lagi kalau ada suara-suara yang berdehem atau terkeluar kata. Ada harapan manusia itu dilutu kepalanya di situ juga.


Tidak kiralah dari siapa suara itu keluar, waema ketua kampung atau penghulu, mata-mata ganas akan segera menikam mereka!


Mereka benar-benar memberi laluan. Cerita bersiri di TV2 bertajuk, “Jangan Pandang Belakang” sedang memaparkan aksi seram. Lakonan itu dijayakan oleh beberapa pelakon baru dan pelakon vateran handalan. Antaranya Ashraf Muslim (sebagai Syakir), Maznah Hamid (Mak Busu), Syarifah Sahora (Putih) dan lain-lain lagi.


Masing-masing akan menghela nafas lega setelah laluan komersial (iklan) mengambil tempat di saat-saat yang berbaki itu.


Elok jam sebelas malam (11.00 malam) wayang percuma di warung Banun pun tamat. Masing-masing mulalah berbincang, membuat tekaan atau menjelaskan lagi perkara yang terselindung di sebalik wayang itu tadi.


Orang-orang kampung yang tinggal dan mencari rezeki di pinggiran hutan Lenggong sudah biasa sangat dengan pengalaman seram seperti itu. Terutama orang-orang tuanya.


Anak-anak muda di situ akan menekuni setiap butir cerita yang terkeluar dari bibir orang-orang tua di kampung tersebut. Mereka berbuat demikian untuk mengetahui maklumat tambahan disamping mendapatkan detail selanjutnya. Pelajaran tidak rasmi ini hanya terdapat di bawah pondok Warung Banun. Dan ia akan disampaikan dari generasi ke generasi.


“Kalau kau orang nak tahu. Aku pun ada saka.”, Pak Mat bersuara lantang hingga memegunkan orang yang berada di sekeliling. Penghulu melopong mendengarkan dakwaan Pak Mat. Tok Ketua pula ternganga. Mereka yang sedang menghirup minuman masing-masing berhenti meneguk.


Beberapa orang sedang berbual mula terdiam dan mereka memberikan perhatian kepada Pak Mat. Mereka menantikan butir kata seterusnya.


“Saka yang macam mana tu Pak Mat?”, Tok Siak ingin kepastian.


“Saka ini sebenarnya satu ilmu. Dulunya ia ditimba untuk kebaikan. Bayangkan orang-orang tua kita dahulu itu! Mana terdaya nak buat sawah berbidang-bidang ekar ini seorang. Tak pun, zaman darurat atau zaman gajah bermaharajalela, kalau tidak kerana ilmu tersebut susah juga orang kampung nak menjaga keamanan seluruh kampung kita! Tetapi ilmu saka aku pula lain daripada mereka itu. Sudah lama aku amalkan”


Pak Mat mematikan kata seketika. Dia cuba melegakan kerongkong dengan menghirup kopi o kaw yang mulai menyejuk itu. Dari balik celah cangkir tersebut dia cuba mengerling sekeliling. Dari situ dia mendapati semua orang resah.


“Lepas tu Pak Mat”, Tok Ketua sudah tidak sabar.


Pak Mat senyum seketika. Senyum sinis yang membayangkan betapa hebat dirinya itu. Dan hari ini dia akan mendedahkan segala rahsia yang tersimpan. Ah! Biarkan ia pecah, lagipun usianya sudah melangkah ke alam tua. Kalau tidak diceritakan nanti ditakuti ilmu tersebut terkubur bersama-samanya.


“Ya! Saka aku lain sikit. Tidak sama sebagaimana engkau orang sangkakan. ... Banun minta aku kopi o lagi dan pisang sekali ya!”.


“Aduhh ... Pak Mat ni ... saja lah!”, mereka yang melopong dari tadi mengeluh beramai-ramai.


“Engkau orang nak dengar cerita tak? Kalau nak tunggulah. Sabar! Tekak aku ni rasa kering. Kena basahkan dulu. Barulah lancar sikit. Tapi lagi lancar kalau ada pengerasnya ...” Pak Mat menjeling dan memandang kepada semua batang tubuh yang ada di dalam kedai itu.


“Tak pe. Tak pe! Biar saya yang bayar semua sekali. Minta apa aje Pak Mat. Biar ayah saya bayarkan untuk Pak Mat”, Jani anak Tok Penghulu dengan selambanya bersuara. Jani masih menganggur. Dia graduan dari universiti tempatan. Jani membuat keputusan yang berani itu tanpa memandang bahkan persetujuan bapanya.


Dalam diam Tok Penghulu mengeluh perlahan, “Hmm ... aku lagi lah tu yang kena bayarkan ...”. Mereka yang terdengar suara Tok Penghulu tersenyum sambil menutup mulut. Ada dalam kalangan mereka yang menahan ketawa sambil memalingkan muka.


Bersambung ke minggu hadapan...


Sambungan episod ke dua, klik di sini ...





Isnin, 27 Julai 2009

Pondok Kecil Lan Pak Mat Drebar

(Ilustrasi: Gubuk Kecil Lan Pak Mat Drebar)

Kata cikgu kaedah paling mujarab untuk mentelaah pelajaran ialah dengan cara belajar dalam kumpulan. Ketika ini zaman maza ialah zaman KLSM (Kurikulum Lama Sekolah Menengah.)

Zaman tersebut merupakan zaman peralihan sebelum KBSM (Kurikulum Baru Sekolah Menengah) dilaksanakan. Jadinya saban masa kami ini seperti produk uji kajilah.

Nak dijadikan cerita, ketika itu maza berada di tingkatan lima. Kira tidak lama lagi kami akan menduduki peperiksaan SPM.

Kebetulan pula keluarga Lan Pak Mat Drebar yang tinggal di belakang masjid itu telah membersihkan stor lama beliau. Ia merupakan sebuah pondok yang diperbuat daripada papan dan pondok 'atas' . Agak luas juga dengan dilengkapi sebuah tingkap berdaun tingkap papan.





(Gambar: Kipas angin ligat berputar di tengah ruang pondok)




Melihatkan begitu, Lan Pak Mat Drebar (kawan maza ler) mengambil inisiatif sendiri. Lan Pak Mat Drebar kata mahu lebih privasi dan mudah untuknya belajar berbanding berkongsi bilik dengan adik beradik yang lain.

Jadinya, Lan telah mengubah-suai pondok tersebut. Setelah ia dikosongkan, Lan menempatkan katil dan tilam bujangnya. Di hujung kaki katil dimuatkan TV hitam putih 24 inci kepunyaan Pak Mat Derbar (ayah Lan). Ruang pondok itu dirubah seperti bilik dan dilengkapi dengan kipas angin juga radio.





(Gambar: Pengudaraan amat penting untuk keselesaan)


Sementelah itu, maza telah biasa mentelaah beramai-ramai. Apatah lagi ketika Peperiksaan Darjah Enam dan Sijil Sekolah Khas (Sekolah Agama NegeriJohor), maza mempunyai kumpulan mentelaah dan belajar di rumah maza hingga larut malam. Adakalanya mereka terus tidur dan tinggal berhari-hari di rumah maza.

Kali ini, melihatkan situasi terkini. Kawan-kawan setingkatan mula melihat potensi pengkalan terbaru. Hasil jemputan dan pendedahan Lan Pak Mat Drebar sendiri, maka pondok kecilnya itu menjadi pengkalan kami berkumpul untuk mentelaah ataupun merencanakan aktiviti-aktiviti kami.

Kebetulan pula ia terletak di belakang masjid, jadi ketika waktu sengang antara Maghrib dan Isyak, kami akan berkumpul di pondok kecil tersebut.

Setelah beberapa bulan lagi hendak SPM maka maza semakin kerap ke sana untuk sama-sama berbincang. Ada antara kumpulan kami bermalam di situ.

Antara pengunjung tegar di pondok kecil tersebut, walaupun setelah peperiksaan SPM tamat, ialah Norazahar Abdul Aziz (Jahai), Sham Black Rose (Norisyam Che Ros), Azmanizam Saad, Yazid Yahya, Abdul Wahid Othman, Norisam Samsuri (Nor anoi), Selamat Abu (Mamat), Hishamuddin Md Isa (Min), Hamid bin Zainal (Mid) bersama arwah abangnya dan ramai lagi.

Kadang-kadang orang di sekeliling merungut dan membuat aduan dengan kehadiran kami. Terutama tika waktu malam. Anda semua mesti maklum bahawa bila sudah ramai bermacam-macam karenah.

Terutama apabila kami melepaskan kebuntuan ketika mentelaah. Ada yang menjeritlah, ada yang ketawa, ada yang menyanyi kuat dan bermacam-macam perangai.

Sungguhpun begitu, ramai juga penduduk kampung yang memahami kami. Lalu mereka datang dan menasihati kami.

Jadi, untuk berjaya dalam pelajaran kita perlukan kreativiti. Kita boleh belajar seorang diri di rumah dan boleh juga belajar berjamaah. Terpulang kepada daya masing-masing. Tetapi apa yang lebih penting ialah hasil keputusan peperiksaan itu.

Maza mengucapkan kepada anak-anak kampung maza dan para pelajar kita selamat berjuang dan jadilah manusia yang berguna!

Maza pula lebih selesa tinggal dirumah sendiri. Jadinya walaupun agak larut malam (dalam jam 11.00 malam) maza tetap pulang ke rumah. Sementara itu, emak pun tidak pernah menggalakkan atau benarkan maza bermalam di rumah orang sendirian! Almaklumlah, zaman itu zaman remaja. Kebetulan pula zaman tengah hangat dengan aktiviti dadah dan gejala tidak sihat. Jadi emak khuatir maza terlibat sama.

(Dari kisah lalu, klik sini)



Rabu, 22 Julai 2009

Terperangkap Di Dalam Lift

(Cerita ini amat thrill, seram dan takut! Mereka yang mempunyai penyakit jantung, mengandung dan penyakit kronik lain, tidak digalakkan membacanya. Kanak-kanak di bawah umur dan belum tumbuh gigi adalah dilarang sama sekali membaca tulisan ini. Segala kejadian, malapetaka dan bencana adalah tangungjawab sendiri)



Pejabat Jeff terletak di tingkat tiga puluh dua. Terdapat lapan buah lift kesemuanya di dalam bangunan Rebung Telekom Malaysia.


Di dalam setiap lift terdapat tv kecil sedang memaparkan berita. Penyampai berita tersebut ialah Kamarudin Mape dari TV3.






(Gambar: Butang-butang Nombor Di Dalam Lift)



Jeff sendirian di dalam lift itu. Hari ini dia berpakaian segak. Berbaju lengan panjang putih dan berseluar hitam. Hatinya puas sebaik terkenangkan kayuhan kembara basikalnya mengelilingi Bandar Mahkota Cheras.


Jeff menguntum senyuman manis sambil mengikuti butir bicara di tv kecil itu.


Tv kecil sedang memaparkan kemalangan ngeri. Tiga orang mangsa kemalangan di lebuh raya DUKE. Ia melibatkan sebuah kereta peronda polis dan kereta penjenayah yang dikejarnya.


Dalam adegan kejar-mengejar itu, kereta peronda polis tidak sempat mengelak kereta penjenayah yang terbabas melanggari tembok tebing lebuh raya Duke.


Kesemua mangsa kemalangan itu ialah si penjenayah tadi. Seorang wanita dan dua orang lelaki.


Muka gadis tersebut penyek dan kemek sebelah. Tengkoraknya jelas kelihatan. Ia berwarna putih. Darah membuak berbuih mengalir. Sofia namanya dan dia duduk di tempat penumpang belakang.


Salah seorang lelaki penjenayah itu bernama Mokhtar. Dialah pemandu kereta itu. Tangannya patah tebu. Tulang kakinya tersembul keluar dari paha dan betis. Dia tersepit di tempat duduk. Dadanya pecah terkena kongkrit.


Manakala seorang lagi penjenayah bernama Dahari. Dia mati kerana patah tengkok. Tulang belakang terjojol keluar akibat terhumban ke hadapan. Kepalanya berlumuran darah dan tempurung kepalanya retak. Mujur otaknya tidak bertaburan.


Kereta peronda yang melanggari kereta penjenayah itu remuk di hadapan. Anggota polis tersebut hanya cedera ringan.


Tiba-tiba pintu lift terbuka. Jeff memandang ke lampu penunjuk aras. Baru tingkat dua puluh. Empat batang tubuh manusia masuk ke dalam lift. Mulanya Jeff tidak menghiraukan mereka.


Masing-masing melarikan pandangan ke arah bertentangan. Manusia tadi hanya memandang tepat ke dinding lift tersebut. Mereka membelakangkan Jeff dan pintu lift. Dua daripada mereka mengadap dinding yang bertentangan dengan Jeff. Dan dua orang lagi menghadap dinding belakang di belakang Jeff.


Jeff merasakan lift itu bergerak agak perlahan. Seolah lambat kerana berat. Ia tidak seperti biasa. Geselan bebola besi di atas sana jelas kedengaran. Sesekali bunyi rantai berlaga menghimpit rasa.


Tiba-tiba salah seorang daripada mereka itu memecahkan kesunyian. Dengan suara garau dia bertanya, “Engkau kenal kami?”


Jeff cuba mengecam mereka. Direnungi empat batang tubuh itu. Masing-masing memakai baju kot biru tua, berseluar biru gelap dan berkasut hitam. Dua wanita dan dua lelaki. Diamatinya dalam-dalam.


Peluh jantannya mula mengalir. Dia merasa seolah lemas. Kakinya menggigil kuat dan melemah di situ. Jeff ketakutan. Mukanya sudah berubah kepucatan. Dia takut!


Baru sebentar tadi berita di tv kecil itu memaparkan gambar-gambar mangsa kemalangan ngeri tersebut. Kini mereka berkongsi satu lift.


Jeff longlai di situ juga lalu menjawab,“Argh! Kenal..!”.


Keempat-empat batang tubuh itu mengorak langkah dan bergerak merapati Jeff. Seorang demi seorang berubah wajah. Mereka mulai menunjukkan wajah mereka yang sebenar. Wajah ngeri sebagaimana di dalam paparan kemalangan tadi.


Mukanya ada yang kemek, tersembul tulang pipi, terjojol biji mata. Mulut penuh dengan darah mengalir perlahan-lahan. Muka mereka bertukar kepucatan, kebiruan. Seolah tidak ada seri. Tidak ada darah mengalir di situ.


Muka masing-masing tidak sempurna! Polis yang cedera ringan itu pun ikut bersekongkol, menggabungkan diri dengan penjenayah-penjenayah itu.


Mereka hampir dan semakin hampir. Gawat! Resah! Cemas!


Dada Jeff berombak kuat. Degupan jantung berdegup laju. Perasaan berdebar menghimpit rongga nafas. Kaki dirasakan begitu lembik. Tidak bermaya. Seolah-olah sendinya sudah lumpuh, tidak berfungsi.


Umbun-umbun di kepala terasa sejuk. Menggeletar sekujur tubuh!


Jeff tidak tahu hendak berbuat apa. Dia terkurung di situ. Dikerumuni oleh makhluk yang dahsyat. Makhluk itu mahu berbuat aniaya. Ganas! Ngeri! Kejam!


Tiada apa yang dapat Jeff usahakan. Jeff mula berputus-asa untuk menyelamatkan nyawanya. Dalam diam dia mula mengalah.


Jeff pasrah. Pasrah menyerah diri kepada keadaan. Hendak dirayu tidak berdaya lagi. Kerana lidahnya sudah kelu. Jeff sudah bisu!


Jeff menggangkat kedua belah tangannya. Dia cuba melindungi mata dan mukanya. Sekurang-kurangnya dengan berbuat begitu dapat memberikan isyarat rayuan terakhir. Isyarat minta belas kasihan. Atau usaha terakhir untuk menyelamatkan diri sebelum dia diratah mentah-mentah!




(Illustrasi: Ketakutan Yang Merusuh Kehilangan Nyawa)



Jeff semakin terhimpit di sudut kanan lift tersebut. Dia cuba mengecilkan diri. Jika mampu dia mahu sahaja menyelinap di celah-celah sudut sempit itu.


Jeff terpelosok di sudut itu. Sedang Mokhtar bersama rakan-rakannya semakin dekat. Dan begitu dekat sekali.


Mokhtar yang paling ganas di antara mereka berganjak ke hadapan. Dia mula mencengkam bahu Jeff. “Mari Jeff. Mari Jeff ikut kami...”.


Dua wanita itu pula bersuara lembut, “Mari abang, mari ikut kami.Mari …”


Jeff memejamkan mata. Jeff tidak mahu melihat itu semua. Dia menekup telinga.


“Pergi! Pergi! Jangan kacau aku. Pergi! Aku tak buat salah dengan engkau. Kenapa engkau kacau aku?”, Jeff memekik sekuat-kuatnya.


Dalam pada masa sama, Jeff berserah diri kepada Tuhan. Di hatinya berkata, barangkali sudah tiba masa Tuhan mengambil nyawanya! Jeff berdoa agar segala peristiwa penamatan riwayatnya itu berakhir dengan segera. Dan yang penting tanpa sebarang penderitaan!


Mokhtar dan teman-temannya terus kejam. Tidak menunjukkan belas kasihan. Mereka terus menghampiri Jeff dengan tangan masing-masing dihulurkan ke hadapan. Jari jemari mereka terlekat kuku yang panjang berwarna hitam.


Jeff tidak sanggup melihat lagi. Lalu dia memejamkan mata pejap. Dia merekot ke dinding itu. Badannya dilabuhkan ke bawah. Dia menyangkung. Dia cuba membesarkan tubuh itu agar tidak ditelan hidup-hidup oleh puaka laknat tersebut.


Tiba-tiba Jeff merasakan bahunya begitu sakit. Ada sesuatu menggigit bahu kanannya.Cengkaman yang diterimanya semakin kuat. Tubuhnya digoncang-goncang! Semakin kuat digoncangkannya.


“Jangan! Jangan! Tidak! Allahu Akabarrrrr!!!!”, Jeff menjerit sekuat hati.


“Abang! Abang! Ya Allah, ABANG!! … Bangun bang dah nak masuk Isyak ni. Mengigau lak orang tua ni. Tu la lepas berbasikal lain kali terus mandi dan solat dulu!”, Syidah, isteri Jeff, menggerakkan suaminya yang tertidur di atas sofa di ruang tamu rumah itu.


“Erk! Aku masih hidup lagi ke? Ke ... aku dalam syurga dah ni?”


“Apa abang ni. Dah buang tebiat? Nah towel. Pergi mandilah. Dah busuk tu.”


“Alhamdulilah.. Aku masih hidup lagi rupanya.”, setelah terpinga-pinga, Jeff kembali sedar. Lalu menguntumkan senyuman kepada isterinya. Semenjak itulah kasih Jeff terhadap Syidah bertambah-tambah.


Sekian.


Pinggan ayan: Masuk lift pun kena baca bismillah gitew


den keno tag dgn si OD ... maka eh, nilah wahai Opah De den tepekkan kek sinin.. huhuhu

terimo kasih yo... dan lihatlah DUNIO... den dapek tag dari Opah si Gunung Aussie.. horeyyyyy!!!!




Selasa, 21 Julai 2009

Malam Pertama : Versi Maza

(Gambar: Katil Malam Pertama. Ehsan Dari En. Google)

Kisah ini susulan cerita di blog Tie (malam pertama)

Malam Pertama Di Rumah Mertua....

Selepas menikah di siang hari dan berpelaminan sesudah Zohor di Negeri Sembilan. Kemudian membasuh periuk belanga yang besar kedabak barang seketul dua, dan akan disambung esok hari.

Malamnya.. hehehe malu ahhhh... jeng.. jeng.. jenggg...

cuit bahu isteri baru.. (hehehe) "psst Yang, abg masuk dulu yea!"

Mak dan abah menjeling gitew, sambil bibir mereka mula menguntumkan senyuman 'ngada-ngada'...

Untuk cover malu, Isteri Baru cakap, "abg masuklah dulu. Kita ada kerja sikit lagi ni."

Dalam Bilik Pengantin...

Masuk dalam bilik jek.. jeng.. jeng.. jenggggg.....

Maza duduk di birai katil. Tersenyum sendirian.. kendian memopok-mopok bantal peluk. Kata orang kampung, kasik jampi dahulu. Buat persediaan apa yang patut. Almaklumlah pengatin baru masuk suku jerk. hehehhehe (awas seram seh! eeeeehehehhee)

Entah macam mana Isteri Baru datang tanpa berdetap derapan kaki. Dia mencuit bahu. "abang... abang... abang.."

Isteri baru bersuara lembut dan berbisik-bisik; takut-takut orang lain terdengar pula.

"Yea!", maza menyahut dengan penuh lemah lembut sambil mata stim mulai menguasai diri.

Lalu Isteri Baru menyambung kata disusuli dengan haruman wangi. Wanginya umpama bau Axion berperisa limau. "Abang, bangkit bang. Abang tidurlah atas katil sebelah sana. Abang berlingkar macam ni, macam mana kita nak tidur. Kita pun nak rasa tilam empuk yang kita beli sama ni."

Peristiwa itu tidak habis setakat itu sahaja... adegan ganaz 18GX bersambung pula...jeng.. jeng.. jenggg..

Dengan malas maza menguntum senyuman, tahulah maza Isteri Baru sudah bersedia. Dalam gelap kelam malam itu maza cuba mengalihkan kepala. Kemudian...jeng...jeng... jenggg...

Esok pagi bangkit agak lewat. Malu gila dengan mertua. Bingkas lalu terjun dari katil tanpa banyak bicara.

Tetiba ada sekujur tubuh di bawah katil. Maza tak biasa perkara seumpama ini. Al maklumlah selama ini tidur sendirian. Maza hampir menjerit. Hampir terpijak Isteri Baru yang lena di bawah katil.

"Eh! kenapa tidur di sini?"

"Dah abang tidur tak ingat dunia. Tak sedar langsung. Bangun senyum jerk, lepas tu terus berdengkur. Kita rasa nak angkat abang, tapi tak kuat. Kita mengantuk gak. Tidur ajelah kat bawah ini"


Demikianlah cerita dogeng maza di malam pertama....



Kisah Chekdenoor

KEBAMBOOMMMMMMM!!!! Pheeeewwweetttttt!

Lihatlah dunia! Lihatlah betul-betul!

Hari ini maza hendak umumkan. Hari ini rasa amat bahagia... dan nak kembangkan ketiak besor-besor.. heheheh.. kasik korang jeles yang amat.

maza rasa sudah tiba masanya maza umumkan. Maza terima AWARD dari kengkawan yang manis-manis gitew.

hehehhe





Terima kasih chekdenoor.....

Ahad, 19 Julai 2009

Kelab Jiwa Luka

(Gambar: Mengenangkan Kembali Kisah Lalu Di Kopitiam, Dataran Sunyway, Kota Damansara)

“maza, jom la ke bilik Naza. Aku bawa gitar ko yea?”, ajak Leman. Leman dan kumpulannya mahu menghiburkan hati yang sedang lara.


F200 terletak separas tanah, manakala F100 pula di bawah tanah. Di hujung tingkat ini letaknya surau.


Ketika itu maza baru dua tahun tinggal di asrama Kolej Kediaman Kinabalu. Dan itu jugalah bermakna tahun kedua maza mengaji di Universiti Malaya.


Petang minggu itu terasa begitu sunyi sekali. Apakan tidak, mereka yang mempunyai mak we atau kekasih sudah lama lesap meninggalkan kami yang masih tidak mempunyai ‘penyeri’!


Bilik maza pula terletak di F206 manakala bilik Naza F204. Letaknya bersebelahan bilik maza sahaja.


Naza Rauf ialah pelajar senior. Dia baru tahun tiga jurusan Sains. Orangnya kacak, tinggi dan ramai juga peminat dalam kalangan mahasiswi. Tetapi itu tidak menjanjikan hatinya sentiasa terisi dengan ‘penyeri’. Adakalanya hatinya turut terluka disebabkan hal yang tidak boleh dibagi tahu di sini.


Sudah setahun lebih dia kesepian ditinggalkan atau meninggalkan kekasihnya. Hatinya rawan!


Kebetulan pula Leman, junior maza, menghadapi masalah yang hampir sama. Kekasihnya yang menyambung pengajian di Shah Alam telah bersikap acuh tidak acuh dengannya.


Ketika di kampung dahulu di Kota Bahru, Kelantan, Leman dan Sue begitu akrab sekali. Perkenalan yang tidak disengajakan di suatu petang telah menambat hati keduanya. Sedang ketika itu Leman di tingkatan lima dan Sue pula tingkatan empat.


Sue diterima dahulu masuk ke ITM Shah Alam setelah memperolehi keputusan SPM memberangsangkan lalu meninggalkan Leman di kampung halaman.


Berpatah Arang, Berkerat Rotan


Pemergian Sue itu telah meningkatkan hormon adrenaline Leman untuk terus berjuang. Leman memutuskan melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Akhirnya dia berjaya ke Universiti Malaya setahun setengah selepas ketidakhadiran Sue di sisinya.


Pernah Leman begitu resah sekali. Dia datang ke bilik maza mengadu perihal hubungannya. Lalu mendesak maza untuk pergi ke ITM pada malam itu juga. Pada hal baik maza mahupun Leman tidak biasa langsung dengan selok belok di Kuala Lumpur dan Shah Alam itu.


Demi melihatkan kasihan dan semangat setia kawan, maza ikut juga. Motor RXZ BCJ 4982 kepunyaan maza ditunggang. Kami menghala ke Shah Alam. Kami sesat entah ke mana menghilang…


Nasib baik dengan berbekalkan sedikit imformasi yang dikutip oleh Leman, kami berjaya juga menemui ITM itu. Tetapi persoalannya sekarang bagaimana mahu masuk? Di mana pula asrama Sue? Pada hal ketika itu sudah dinihari!


Akhirnya kami pulang setelah sesat hingga ke Puchong dan Dengkil. Leman rasa agak puas hati setelah melihatkan bumbung dan bangunan Menara ITM itu.


Beberapa hari kemudian setelah motor Leman yang didatangkan khas dari kampung tiba ke kampus. Sekali lagi Leman membuat misi gilanya. Dia pergi sendirian dengan motor Yamaha C80 (Yamaha Cub) berwarna biru bernombor pendaftaran Johor (JBV 327).


Setelah beberapa kali melakukan misi tersebut, akhirnya Leman bertemu Sue. Di saat itulah segala-galanya terjawab. Lalu membawa cinta Leman terkubur akibat dipermainkan. Leman meraung sendirian lalu menukarnya dari manusia penuh lembut kepada agresif dan kada kala begitu rapuh! Hatinya tidak tenteram. Penuh dengan lara, dendam dan patah hati.


Di sebalik jiwa-jiwa yang lara itulah mereka berkumpul di bilik Naza. Selain Naza, Leman antara teman lain ialah Wadi, Korda, Klang anak Jongga, Rizalman, Makhzani, Zainal dan Lan beberapa orang lain.


Maza pula sekali sekala dijemput khas ke bilik mereka. Ataupun maza berkunjung ke sana setelah bosan asyik ditinggalkan sendirian oleh roommate.


Roommate maza tengah mabuk bercinta. Siang-malam asyik ber-tenet (berendut). Hanya tengah malam barulah nampak batang hidungnya. Kata orang ibarat ayam pulang ke reban setelah matahari terbenam masuk malam. Syam baru sahaja dapat ‘tackle’ Gee dan mereka baru sahaja ‘declare’ sehidup semati. (sehingga hari ini mereka benar-benar bersatu dan memperoleh tiga orang cahaya mata).




(Gambar: Bersantai Bersama Bekas Teman Sepengajian. Terimbau Kenangan Lalu. Mat Lan)



Lantaran itu terkontang-kantinglah maza. Terkebil-kebil memandang kipas angin tergantung di dalam bilik yang menempatkan dua buah katil. Di tengah-tengah ruang itu pula letaknya gerobok baju. Di hujung katil diamnya meja tulis berbentuk ‘L” dan di situ juga terdapat tingkap bernakoh. Bilik itu bersaiz 15 x 10 kaki.


“Cepat la. Dia orang dah tunggu ko tu!”, gerak Leman lagi. Maza turun dari katil malas-malas. Maza tahu apa niat mereka itu. Apa lagi, kalau bukan menghiburkan hati mereka. Maza akan disuruh bermain gitar sambil mereka bernyanyi-nyanyi.


Ada kalanya terpekik terlolong, dan adakalanya lagu sentimental bergalang ganti muzik rock kapak di zaman itu.


Naza memang pandai menyanyi. Bahkan dialah penyanyi utama kelab boria kami. Ada kalanya dia turut menyertai pertandingan karaoke.


Oleh kerana perkumpulan mereka ini mempunyai nasib dan sejarah yang hampir sama, lalu mereka gelarkan bilik dan kumpulan mereka itu, “KELAB JIWA LUKA”.


Kelab Jiwa Luka pernah mencipta sebuah lagu. Lagu tersebut menceritakan kisah cinta mereka. Antara bait-bait rangkap lagu tersebut ialah:-

"Aku Sendiri Mencari Di Dalam Sepi
Kau Yang Ku Harap, Kini Hilang Menyepi...." huhuhu

Di situ jugalah mereka melepaskan sesalan, kerinduan dan airmata. Siapa cakap hati lelaki keras kematu? Mereka juga lembut, kalau kena gayanya. (hehehehe.. jangan marah aaa Leman).


Namun ada kebenarannya juga. Bercinta di varsiti adalah lebih serius berbanding cinta monyet di sekolah. Barangkali usia sudah meningkat, dan rasa tanggungjawab sudah mulai hadir!


Tetapi percintaan tersebut telah mendewasakan banyak pihak. Mematangkan fikiran.


Hari ini, mereka dari Kelab Jiwa Luka itu telah memperolehi kebahagiaan tersendiri bersama-sama jodoh mereka. Gadis yang pernah mengecewakan mereka mulai terasa sesal. Apakan daya segala-galanya sudah terlambat untuk diperbetulkan.


Biarkanlah ahli Kelab Jiwa Luka berbahagia dan senang dengan dunianya hari ini. Biarlah peristiwa yang merobek dan meruntukan air mata lelaki ini ditinggalkan menjadikan sejarah yang berguna!


Sekian...


(pinggan ayan: maza tidak pasti sama ada kelab itu wujud ataupun sudah terkubur sebaik semua anggotanya graduan)

Rabu, 15 Julai 2009

Perkumpulan Pelajar

(Sempena peperiksaan utama negara yang tidak lama lagi muncul. Entry ini khusus untuk berkongsi tentang petua mentelaah pelajaran yang dirasakan mujarab gitew)

Ustaz Syafiee ialah guru di sekolah agama rakyat di kampungku. Kebetulan Wahid menjadi ketua geng kumpulan kami. Kami ketika itu mengikuti pengajian darjah enam di sekolah agama. Ketika ini aku baru berumur empat belas tahun. Atau kalau di sekolah pagi, baru sekolah menengah tingkatan dua.

Manakala Wahid pula tua setahun daripadaku.

Di zaman itu, sekolah agama Johor masih mengamalkan sistem siapa lulus ujian akhir tahun maka dia akan dinaikkan darjah. Jika gagal, maka murid tersebut akan terus tinggal di darjah tersebut hinggalah dia lulus ujian tadi.

Jadi di dalam sesebuah kelas itu tidak hairanlah jika terdapat para pelajarnya tidak sebaya. Ada yang terlanjut usia dan ada pula yang jauh lebih muda.

Ketika ini Ustaz Syafiee sering menyeru kami untuk belajar secara berkumpulan. Membuat ulangkaji bersama dan sentiasa tinggal dalam 'study group'.

Dalam masa yang sama, di sekolah pagi juga guru-guru kami sentiasa menggalakkan belajar sedemikian rupa. Tetapi initatif yang intensif didasari oleh Ustaz Syafiee.

Darjah enam di sekolah agama Johor merupakan peringkat tertinggi sebelum melangkah masuk ke darjah khas. Dahulu dengan adanya Sijil Darjah Enam dan disokong pula sijil SRP atau SPM, seseorang itu sudah boleh menjadi guru sandaran di sekolah agama kerajaan Negeri Johor (dibaca di lewat tahun 60-an - lewat 80-an).

Manakala Sijil Sekolah Khas pula sudah boleh mengajar sebagai guru penuh atau tetap. Bahkan dengan kelulusan SPM atau STPM seseorang itu pula sudah boleh menjawat jawatan Naib Qadi.

Dahulu juga dengan berbekalkan Sijil Sekolah khas ini seseorang itu boleh melanjutkan pelajaran ke Sekolah Maahad Johor.

Sekolah Maahad Johor merupakan salah sebuah sekolah agama tersohor di seluruh negara. Dari situ juga kita boleh menyambung pelajaran ke Timur Tengah. Biasanya Universiti Al Azhar menjadi pilihan utama.

Oleh kerana pandangan mulia masyarakat ke atas pemegang Sijil Darjah Enam Sekolah Agama ini, maka usaha keras dan penuh dedikasi mula mengambil tempat. Jadi, adakalanya Ustaz Syafiee akan membuat kelas tambahan tanpa sebarang bayaran.

Tidak cukup di sekolah, kelas tambahan akan dilanjutkan sehingga ke rumahnya. Adakalanya kelas itu tamat pada jam 10.00 hingga 11.00 malam. Terutama apabila peperiksaan benar-benar hampir. Itu tidak termasuk kelas tambahan hujung minggu turut diadakan.

Ibubapa kami amat menggalakkan kami untuk terus berjuang menuntut ilmu. Akhirnya galakkan inilah yang mencipta study group terbesar di kampung itu.

Ketika itu jumlah antara sepuluh orang sudah menjadi kumpulan terbesar kelas study group. Kali ini group kami terdiri daripada pelajar perempuan juga.

Antara nama-nama yang sempat aku ingati ialah Wahid bin Yusof, Norazhar Aziz, Hishamuddin Md Isa, Yazid bin Yahya.

Pelajar perempuan pula ialah Siti Aishah Abu Bakar, Rohaizah Minhad, Baznizah, Nadzariah Ismail.

Peperiksaan semakin dekat. Jadi kami perlukan satu tempat berpusat seumpama asrama.

Entah bagaimana Wahid telah mencadangkan rumahku sebagai tempat perkumpulan study group. Katanya lebih sesuai dan selesa.

Jadinya, hampir setiap malam setelah habis sekolah kami akan study bersama-sama di rumahku (semestinya setelah mendapat permit dari emak ler hehehe). Kami study hingga lewat malam.

Akhirnya dek kerana terlalu lewat malam, jadi mereka pun tidur sahaja di rumahku. Hampir setiap malam berlanjut sedemikian rupa, hinggalah tamatnya peperiksaan.

Selepas tamat peperiksaan pun adakalanya mereka bermalam di rumahku. Dan ketika itu adalah beberapa aktiviti sampingan lain pula muncul. Hehehehehe...

Antaranya belajar silat separuh jalan. Tidak sempat menerima ijazah pun. Tidak sempat habis jurus lalu kami terpaksa berhenti di atas faktor-faktor tertentu.

Kemudian bermain carrom hingga lewat malam. Berkelah di hadapan rumah. Bermain gitar dan macam-macam lagi.

Jadinya fungsi rumahku sudah berubah sedikit. Dari perkumpulan study group telah menjadi perkumpulan sosial kanak-kanak riang. hehehhee

Dan kumpulan kami berlanjutan hinggalah beberapa peperiksaan yang lain. Tetapi ketika SPM kumpulan study group kembali menyusut (disebabkan ada port yang lagi ok di "Gubuk Kecil Lan Pak Mat Drebar". Sedangkan ada geng kami berpindah sekolah dan tamat persekolahan. Paling utama ketua kami si Wahid juga sudah habis SPM. Jadi tukang 'lead' sudah tak ada).


Pinggan Ayan: Memang study group amat berguna. Tapi kalau salah pembawakan, lebih main dari study.. huhuhuhu



Khamis, 9 Julai 2009

Kenangan Lalu Bersama 'Budak Itu'!


Cerita Tentang Bulan arahan Ahmad Idham terbitan Metrowealth telah menggamit kenangan lalu. Sedikit sebanyak ia telah berjaya mengentuk kimpalan padu lubuk kerinduan maza di zaman kanak-kanak. Menyebabkan maza terjengah-jengah sambil berdingkit-dingkit ke kotak minda lama.

Sedang ketika itu maza baharu menjejakkan kaki ke darjah lima, di Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28, Kluang, Johor.

Pada pagi yang berbahagia tersebut, kelas kami telah dikejutkan. Cikgu kelas memperkenalkan kami dengan seorang murid baru. Mata masing-masing terus tertumpu kaku. Memaku pejap ke arah teman baru itu.

Seolah-olah pagi yang agak dingin itu dilimpahi dengan sinar suria. Merubah penumpuan di papan hitam kepada silauan simbahan ceria. Menghasilkan pantulan cahaya yang gemilang dari kejernihan, kepulusan dan keayuan gadis tersebut.

Kelas 5A dihadiahkan dengan kehadiran seorang gadis sunti. Dia tertunduk kemalu-maluan.

"Murid-murid. Ini pelajar baru. Nama dia Rohaiza binti Minhat. Jadi, cikgu nak murid-murid sekalian bantu dia untuk menyesuaikan diri di sini, ya?!.", demikianlah pesan guru kelas kami.

maza tidak tahu hinggalah ke hari ini, Rohaiza itu datangnya dari sekolah mana. Atau mungkin maza sudah terlupa. Tetapi itu tidak penting. Yang penting ialah dia sudah ada di dalam kelas kami. Dia juga telah membawa banyak perubahan dalam kehidupan kami.

Kenangan Bersama Budak Itu: Rohaiza Minhat

Antara para pelajar golongan cemerlang dan berwajah bersih ketika itu ialah Suriani Rahim, Norazlin Nasir, Massuzah Zakaria, Nor Hazalinda, Anita, Rini Asom, Siti Aishah Abu Bakar dan beberapa orang lagi telah menjadi kawan Rohaiza.

Lantaran itu menambahkan lagi ikatan gadis tersebut digolongkan dalam kelompok gadis-gadis elit di sekolah kami.

Dalam kalangan murid lelaki pula barangkali maza boleh namakan Brad Harris (arwah), Mokhzani bin Roni, Norazhar Abdul Aziz, Mohd Zaki Mohamed (ustaz @ ketua/ penolong ketua geng), Suhaimi Mustafa (ketua geng), Zambri Mohamad, Yazid Yahya dan beberapa orang lain.

Oleh kerana Rohaiza menjadi perhatian yang cukup istimewa, ada dalam kalangan murid darjah kami (termasuklah kelas 5A dan 5B) masing-masing membuat gosip tentangnya (tak pandan dengan masih budak lagi tu.. wakakaka).

Segala gerak-geri dan perbuatan menjadi perbualan harian. Rohaiza sentiasa dalam perhatian. Dia sentiasa diburu oleh mata-mata para pelajar. Di awasi gerak langkahnya, yang entah apa di benak sang pemerhati sedang fikirkan.

Kemudian segala butiran akan dilaporkan, lalu menjadi buah mulut kami.

Bagi mereka yang rasa dirinya tidak layak atau dikira macam kelas kedua di antara jejaka-jejaka sebaya, awal-awal lagi mereka mengaku kalah. Mengecil dan mengerdilkan diri. Mengasingkan diri dari pelajar tersebut.

Manakala golongan yang berkeyakinan tinggi, seperti golongan elit (terutama Mokhzani Roni, Brad Haris, Min - Hishamuddin Md Isa, Selamat Abu, Bakhtiar Md. Shah, dan lain-lain) yang punyai keberanian akan cuba menegur, berkawan dan berkenalan dengan Rohaiza.

Begitu juga dengan beberapa abang-abang senior, membundarkan mata dan cuba mengurat Rohaiza.

Namun golongan pertengahan pula tersepit di tengah-tengah. "Nak kata nak, tapi tak nak. Nak kata tak nak, alahai..." kiranya golongan ini malu-malu gitew...

Oleh kerana golongan pertengahan ini terlalu ramai dan kuat, makanya golongan tegar dan berani menjadi terikut-ikut dengan rentak golongan pertengahan.

Perasaan cemburu dan menyimpan perasaan mulai menyelinap hampir di setiap jiwa kanak-kanak.

Jadinya golongan 'malu-malu meow' ini akan cuba menggosip atau mengejek mana-mana lelaki bujangan yang cuba mendekati, mengenali, berkawan dan merapati Rohaiza.

Bahkan tindakan mereka ini seolah-olah mendapat restu pula dari sesetengah pihak kaum hawa sendiri. Lagaknya seperti persekongkolan antara geng-geng bawah tanah.

Untuk tidak menambahkan parah dan agar Rohaiza tidak perasan yang kami mengatakan perihalnya, lalu kami berikan kod rahsia. Panggilan kod rahsia untuk Rohaiza binti Minhad ini ialah "budak itu."

Contoh ayat yang dirujuk kepadanya ialah seperti berikut:-
"Woo ... semalam kau berjalan kat belakang budak tu yea?"
"Tak ada lah, mana ada. Aku tak perasan pun budak tu ada kat situ!"
"Semalam aku lalu depan rumah budak tu!"

Akhirnya tidak ramai lelaki berani untuk bercakap, berkawan atau rapat dengan 'budak itu' di sekolah kami. kesian... Antaranya termasuklah maza sendiri. Takut dan segan kena gossip beb.. wakakaka.

Jadinya, kalau di dalam kelas ada kerja kumpulan, pelajar lelaki akan takut-takut untuk duduk satu kumpulan dengannya. Atau membuat kerja dengannya.

Pernah maza ditempatkan bersebelahan dengannya di dalam kelas. Menggigil juga kepala lutut ini. Di muka pula cuba mengawal keadaan sebaik mungkin. Kawal macho katanya. Tersengeh-sengeh macam kerang busuk.

Adakalanya hal ini memberikan keuntungan besar kepada pelajar yang berani mendekati beliau. Kiranya, pelajar lelaki tersebut tahap manusia "tidak tahu malu". Bolehlah disamakan seperti watak Roy di dalam filem 'Gila-gila Remaja' lakonan Faizal Hussein.

Hingga kini maza tidak pasti, sama ada Rohaiza tahu bahawa dia itu dulunya digelarkan 'budak itu' dan menjadi buah mulut kami malahan budak-budak kampung, atau tidak!

Pernah terjadi Rohaiza berjalan-jalan bersama teman sepermainannya mengambil angin petang. Dia pergi ke sungai Temigol. Jalan hendak ke sana harus melalui depan rumah maza. Kebetulan pula maza sedang membantu emak menyapu sampah atau paling tidak tengah lepak di beranda rumah (sudah lupa seh..).

Segera maza terjun dan lari menyorok. Takut-takut beliau terlihatkan maza dan tahu bahawa itu pula rumah maza. Ini semua gara-gara takutkan gossip dan dituduh 'ada hati dengannya' oleh teman-teman seperjuangan. Aduhai ... kadang-kala bila terkenangkan peristiwa ini malu sendiri dan tergelak sendirian. Tapi masalahnya bukan maza sahaja yang berkelakuan aneh seperti itu, ada antara teman lain juga berkelakuan seperti maza, malahan lagi teruk. wakakakaka.

Kebetulan pula emak hendak membelikan basikal baru untuk maza agar memudahkan maza ke sekolah. Mulanya maza membayangkan dan mengidamkan basikal BMX yang cukup popular ketika itu. Lagipun basikal itu menampakkan kejantanan dan lasak.

Namun apa yang diharapkan tidak menjadi. Emak membelikan sebuah basikal yang berhandle tinggi seperti basikal kanak-kanak perempuan punyai selalu. Dan ianya berwarna biru sama seperti basikal Rohaiza.

Aduhai, sebaik kawan-kawan maza tahu basikal itu menyerupai basikal 'budak itu', tidak henti-henti mereka mengutuk maza.

Mereka mengejek maza dengan berkata, "woo, ko ada hati dengan budak tu yea! woo... baru aku tau! Yea! Yea! Maza ada hati dengan budak itu! Yea yea!" (memek muka mengejek dan dikenyit-kenyitkan mata). Perkh! Tertekan jiwa dan perasaan.

Kadang kala maza pun pelik. Kalau mereka itu rasa segan hendak berkawan, atau tidak mahu berkawan dengan Rohaiza, tetapi apabila pulang dari sekolah petang atau pagi, mereka sanggup mengekori atau menunggu budak itu pulang. Kalau mengekori pun agak jauh jugalah. Janji konon-konon dapat berjalan bersama.

Pernah, sebenarnya selalu, tiap-tiap kali balik dari sekolah agama. Jika Rohaiza menyusur jalan di sebelah kanan, maka kami semua akan menyusur pula di sebelah kiri.

Pada suatu hari Bakhtiar bin Md. Shah secara tidak sengaja mengekori Rohaiza di jalan yang sama. Lalu Azham bin Abdul Aziz mulakan gerakan mengejek Bakhtiar. "Woo... Ko jalan dengan budak tu yea?! Haaaaa...."

Adakalanya maza terpaksa menjadi seperti lembu dicucuk hidung. Mengikut sahaja. Aderkkk.. (kira macam mangsa keadaan gak ler.. karang tak ikut karang, tak ada geng lah pulak)

Secara peribadi maza mulai rapat dengan beliau; boleh bercakap, berani berbual, berkomunikasi seperti teman-teman biasa walaupun ada perasaan takut, segan dan malu, setelah kami berada di tingkatan satu. huhuuuhu

Keberanian itu mungkin disebabkan ketika itu ramai pelajar elit kami telah berpindah sekolah yang jauh lebih bagus. Lantas meninggalkan kami yang kurang 'elit' di sini. (Ini tidak bermakna Rohaiza terkeluar dari golongan elit atau pelajar pintar. Cuma keadaan dan sesuatu keperluan yang dia terus tinggal bersama-sama kami)

Tambahan pula, masing-masing mula meningkat remaja. Sudah mulai terdedah dengan persekitaran lalu mampu membuka minda masing-masing.

Namun 'taboo' itu masih tetap ada, tetapi tidak bertiup begitu kencang seperti mula-mula di sekolah rendah.

Mungkin satu hal lagi ialah kekerapan kami terserempak di dalam sekolah yang sama. Baik di sekolah pagi mahupun sekolah agama. Di kantin dan padang permainan yang sama. Kami satu darjah dan satu arah balik ke rumah masing-masing. Barangkali hal itulah juga yang telah merungkaikan 'barrier' yang begitu tebal.

Rohaiza sempat membesar bersama-sama kami sehinggalah ke tingkatan tiga. Setelah itu dia menyambung pelajaran di Sekolah Menengah Teknik Perdagangan di Johor dengan keputusan peperiksaan SRP yang memberangsangkan.

Maza?! Seperti biasalah, masih setia di sekolah kampung itu. huhuhu.. (belum ada rezeki kaedahnya.. hehehehe).

Semenjak itu juga hubungan kami semakin rengang dan hari ini ia telah terurai.

Hmm ... dimanakah Rohaiza sekarang ya? Berapa orangkah anaknya? Siapalah lelaki yang bertuah itu? atau maza seorang aje yang tertinggal kapal tidak mengetahui keadaannya hari ini?! Harap-harap hari raya tahun ini mampu menemukan kami semula. Hmm?...


Maza yakin anda juga mempunyai kenangan terindah di waktu sekolah rendah dahulu. Apa kata, jika anda kongsikan pengalaman menarik anda itu di kotak komen di bawah ini ... hehehhe


Pingan ayan: kalau ekau tau lah tentang budak ini, bawalah ke mari dio tu. Dah lamo bonar den tak dongar an berito si Milah tu ha!... huhuhu..

Isnin, 6 Julai 2009

Gaji Besar Tanggungjawab Besar

Merujuk ayat di dalam cerita "Spiderman" mengatakan, "a great job comes with a great responsibility".

Hari ini maza nak kongsikan kisah seorang sahabat karib maza. Namun 3R (Response, Relaks and Respect) dari anda amat dialu-alukan.

Cetera Bermula...

Malam tadi maza ditelefonni oleh seorang kawan lama, Mohamad Bin Abdul Hamid namanya. Dia sudah stabil dan kerja di Penang.

Baru-baru ini syarikat beliau menawarkan VSS (Pemberhentian Sukarela Berbayar). Melihatkan kegawatan tersebut, beliau telah memohon kerja baru.

Kali ini tempat kerja tersebut berhampiran dengan rumah ibunya sendiri.

Hasil permohonannya itu, Mohamad ditawarkan kerja tersebut dengan gaji yang cukup lumayan. Berkali-kali ganda. Dari bergaji empat angka kepada lima angka.

Setelah berfikir semasak-masaknya, akhirnya Mohamad menolak jawatan tersebut.

Jelas Mohamad kepada maza bahawa syarikat itu ialah syarikat tempatan. Tetapi ia mempunyai jaringan rankaian hubungan dengan Vietnam. Hasil rangkaian itu juga telah membentuk beberapa buah rangkaian perniagaan lain.

Sungguh pun ada jaminan dari syarikat baru yang Mohamad tidak akan dipindahkan ke Vietnam, lambat laun Mohamad merasakan dia akan terpaksa juga meninggalkan tanah air ini.

Tetapi itu bukanlah masalah sebenarnya!

Walaupun dibayar upah lima angka sebulan, dia lebih selesa memilih untuk terus bekerja di tempat sekarang. Di kilang sedia ada.

Hari ini beliau juga ialah seorang Pegawai Senior, Jabatan Sumber Manusia.

Kata Mohamad lagi, "hidup dan nyawaku seolah-olah telah dibeli oleh syarikat yang baru dengan gaji yang hebat itu. Upah lima angka bermakna tanggungjawab aku jadi cukup besar! Sampai malam pun belum tentu boleh tidur lena. Mungkin lagi teruk tidur isteri dan anak-anak akan terganggu. Sebab bapanya tidak ada sentiasa di rumah. Masa untuk keluarga pun akan berlalu bergitu sahaja. Apatah lagi utk merawat ibu yang semakin tua dan uzur!"


Untuk rekod bapanya baru meninggal 6 bulan yang lalu. Jadi Mohamad menyampaikan lagi bahawa biarlah dapat gaji empat angka itu. Asalkan ada masa untuk keluarga, ada masa untuk ketenangan jiwa, ada masa beribadah, berkelah dan bersosial bersama kawan-kawan. Hidup ini terlalu singkat. Lantaran itu, hidup ini perlu dinikmati sebaik-baiknya!

Mohamad bin Abdul Hamid sekali lagi mengusulkan persoalan betapa pentingnya rasa syukur ... (Alhamdulillah) ... ke atas setiap detik dan kesempatan yang dianugerahkan oleh Tuhan. Juga rezeki yang didatangkan kepada kita. Setiap dari kita ada bahagiannya, soalnya bilakah dan bagaimanakah kita harus zahirkan rasa syukur itu dengan apa yang dikurniakan tadi! (?)

Mohamad sempat berpesan lagi, janganlah sampai kita menjualkan ~nyawa, harga diri dan iman ~ dan digalang-gantikan dengan emas, perak dan kemewahan melimpah ruah. Kerana ianya bersifat sementara.

Pendek kata, setiap emas dan perak yang diterima, semakin besar jumlah direzekikan, semakin besar pulalah tanggungjawabnya...

Namun bagi sesiapa yang mampu dan merasakan boleh meneruskan perjuangan, teruskanlah. Sebabnya setiap besarnya wang emas dan perak diterima itu disertakan sekali besar juga pahala! (bersedekah, zakat, menolong orang susah dengan membangunkan ekonomi ummah dan sebagainya.



Pinggan ayan:

apabila sampai masanya, RM bukan lagi menjadi tuntutan hidup, tetapi nikmat dan kebebasan itulah yang ditanggih.

Lalu menjadikan hidup untuk dinikmati. Bukan lagi menjadi hamba kepada ideologi materlisme.. huhuhu .. tapi bilakah masa itu akan sampai kepada kita? Atau sempatkah zaman itu kita lalui?! hmm



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails