‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerita. Papar semua catatan

Rabu, 25 Januari 2023

FENOMENA INDAH SEPERTI TAMAN SYURGA: TAMAN REKREASI SUNGAI TEMIGGOL

 Januari 25, 2023 (Rabu), Taman Rekreasi Sungai Temiggol, Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor - musim tengkujuh kini bersambung dengan Tahun Baharu Cina. Sejak dua hari lalu hujan lebat menimpa bumi Kg. Sri Lukut. Kejap-kejap lebat, ada masanya menjadi reda. 

Bah di Taman Rekreasi Sg Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Air jernih melimpahi Taman Rekreasi Sg. Temiggol

Keadaan cuaca sebegini menyebabkan sesetengah kawasan rendah dinaiki air. Sehingga catatan ini dilakukan, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Becana Banjir tidak lagi dibuka di sini. 

Air sungai mula penuh dan ada beberapa kawasan sudahpun melimpah. Tidak terkecuali di Taman Rekreasi Sg Temiggol yang dikelilingi oleh tiga sumber air iaitu Sungai Temiggol, tali air pengairan sawah Kahang dan Sungai Mengkarung. 

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Fenomena Alam Musim Tengkujuh

Limpahan air dari hutan dan bukit sekitar telah mengakibatkan fenomena indah ini. Kawasan sekitar Taman Rekreasi Sungai Temiggol digenangi air jernih sehingga boleh menampakkan anak-anak ikan berkeliaran. Sesekali terlihat kelibat ikan-ikan sungai yang bersaiz sederhana dan besar.

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Antara Lokasi Penemuan Ikan Tapah

Seputar tahun 1988, di kawasan ini berlaku tragedi ikan tapah. Ketika itu musim tengkujuh. Ikan-ikan tapah yang pelbagai saiz dan besar-besar belaka telah berenang dan memasuki kawasan hutan simpan kekal ini. Zaman itu Taman Rekreasi Sungai Temiggol belum dinaiktaraf sebagai taman rekreasi atau pusat rekreasi. Kawasannya masih dalam keadaan semulajadi yang dikelilingi oleh hutan belantara.

Taman Rekreasi Sg Temiggol: Pondok atau Wakaf

Taman Rekreasi Sg Temiggol: Antara Anak Sungai yang Mengelilingi Taman Ini

Penduduk kampung berpesta ikan tapah. Ikan tapah ditombak, dipukat dan dijaring. Rekod mencatatkan ikan tapah seberat 40 kilo berjaya dibawa naik. Limpahan rahmat ini telah membawa rezeki besar sehingga ada penduduk kampung mampu membeli sebuah motorsikal RXZ 133cc hasil tangkapan tersebut.

Bah di Sg Temiggol

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Kini fenomena itu tinggal sejarah. Setakat ini kejadian tersebut tidak berulang lagi. 

Sungguhpun demikian, Taman Rekreasi Sg. Temiggol kembali dirahmati dengan fenomena alam yang satu ini. Air jernih melingkari kawasan menciptakan keindahan alam yang begitu sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Semoga Kg. Sri Lukut dilimpahi rahmat dan di dalam pelindungan ALLAH SWT.


Nukilan lantun-lantun


Ahad, 27 Disember 2020

SG TEMIGGOL HIDUP INI BUKAN SEKADAR HIDUP

Sg. Temiggol: merendam kaki melempias lelah

"Kalau hidup sekadar cari makan, lembu dan kambing pun demikian juga. Cukup makan, bahagia. Lepas tu, tunggu sahajalah penyembelih datang." Jais berfalsafah. Jais sedang menyapu di Taman Rekreasi Sg Temiggol. 
Jais bukanlah orang sebarangan sebenarnya. Dia menjalankan tiga pekerjaan dalam satu hari. Subuh hari dia membersihkan taman ini. Sebagai kakitangan JPS (Jabatan Pengairan dan Sungai), dia memantau pula aliran sungai dan tali air di kampung. Sebelah petang dia menjaja 'air batu kisar' (ice blended).

Semuanya dilakukan untuk upaya membahagiakan keluarga kecilnya. Dia perlu membesarkan dua anak kecil sendirian. 

Sebagai duda, bantuan apalah sangat yang boleh diterima olehnya. Jauh berbeza dengan janda. Ramai yang mudah merasa simpati. 

Beristirahat di Sg Temiggol

Bagi Jais, kalau mahu menikah lagi, dialah yang perlu berhabis harta dan wang ringgit. Dia perlu meminang, bukan macam anak dara atau janda, tunggu sahaja pinangan.

Masyarakat pun satu hal. Usianya sudah semakin meninggi, kudratnya bukan banyak lagi. Pun begitu ada yang kejam yang menuduhnya, kalau dia hendak berkahwin lagi mudah sahaja, berbanding dengan orang bujang, anak dara dan janda. 

Sg. Temiggol: Abu Muaz (5 thn), menyelongkar masa depan

Betullah pengalaman melayari bahtera pernikahan itu telah ada. Namun pengisian itu lebih penting. Kalau isi rung pun kontang, dia tak sanggup 'pisang berbuah dua kali'. 

Ya, pengisian ini bukan sekadar untuk makan dan tidur tetapi 'penghidupan'. 

Sg Temiggol: antara gerai dan penjaja

Penghidupan itulah kemajuan dan pembangunan. Sama ada dari segi ekonomi, siasah dan kehidupan kendiri. Hidup bermaksud ada pergerakan. Pergerakan kehidupan dari titik A ke titik B dan seterusnya. Kalau mati, sudah tentu dari semua segi menjadi pegun. Hanya menantikan untuk dihisab dan dihukum. 

Berenang di Sg Temiggol

Berkelah, berkhemah dan beriadah di Sg Temiggol

Kalau berat hendak membantu supaya dia kahwin lain, maka tolonglah kerana hendak membantunya membesarkan anak-anak. Membesarkan anak-anak pada zaman sekarang 'pukulannya' lain macam. 

I love Sg Temiggol

Datanglah ke Taman Rekreasi Sg Temiggol. Saya juga seperti Jais, sedang meningkatkan upaya membina penghidupan dan cari makan. Kami menawarkan pelbagai kemudahan dan keperluan kepada para pengunjung. 

Taman Rekreasi Sg Temiggol

Dengan berkunjung di sini, paling tidak tuan² mendapat salah satu daripada tiga kenikmatan. Pertama: beristirahat dan beriadah berunsurkan alam buana. 

Pertama; beristirahat dan beriadah berunsurkan alam buana. 

Kedua; memperoleh dan menikmati produk-produk kampung seperti samosa, char kuiteaw, roti bedung dan teh ais terangkat.

Sg Temiggol: Haziq di sisi gerai menjual mainan dan pelampung

Ketiga; membantu (amal jariah) kepada ekonomi penduduk desa selain dapat meningkatkan keharmonian sosial dan melastarikan alam. Sebagai contoh berenang² di dalam sungai dengan pelampung/boya, bermain pistol air, bajak, lori, bola, kereta mainan, berkhemah yang kesemuanya boleh didapatkan di gerai saya dan penjaja di sini. 

 Lokasi:-  
𝗧𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗥𝗘𝗞𝗥𝗘𝗔𝗦𝗜 𝗦𝗚 𝗧𝗘𝗠𝗜𝗚𝗚𝗢𝗟, 
Kg Sri Lukut, 86700 Kahang, Johor.


Nukilan 
hik hik ammak satu kali

Jumaat, 25 Disember 2020

ORANG PEREMPUAN MEMANG PAYAH FAHAM PASAL INI

Bersama bekas tunang.

Berkumpul dengan anak beranak di kampung merupakan sebuah nikmat. Kampung Sri Lukut, Mukim Kahang merupakan sebuah kampung tradisional. Rata-rata mereka di sini mempunyai kaitan kekeluargaan.

Anak saudara saya memujuk emaknya di dapur. Dia kata dia hendak berkahwin. 

"Jangan nak mengada-ngada. Habis belajar dulu. Kemudian cari kerja! Bela emak dulu. Bagi mak rasa bebas dan berduit." Tegas si emak. 

Anak itu berasa amat sedih. 



Dia pergi ke ruang tamu. Dengan sugul dia mengadu pula kepada ayah.

"Emak kau memang macam tu. Memang payah hendak memahami keperluan kita. Ayah ni dah lama menanggung dia. Ayah bela mak kau tu dari ramping sampailah besar sepemeluk. Ayah dah bertahun-tahun bekerja, tak ada pun dia nak bagi ayah menikah lagi. Huh." Ayah pula mengerling bersahaja ke arah dapur sambil kembali menyelak hantaran komen di FB.

Mata si anak menyorot tajam memandang ayahnya sambil mulut terlopong.

Jadi, kalau mahu kelihatan tampan dan jelita, tempahlah T-shirt KSL (Kg Sri Lukut), lengan pendek RM55, lengan panjang RM61, saiz Muslimah RM62. Semua T-shirt siap cetakan nama sendiri.
Corak baju boleh dilihat pada petak di bawah ini.

T-Shirt Eksklusif KSL (Kg Sri Lukut)

T-Shirt Eksklusif KSL (Kg Sri Lukut)

T-Shirt Eksklusif KSL (Kg Sri Lukut)




Hik hik
Ammak satu kali


Jumaat, 18 Disember 2020

RINDU YANG TIDAK TERTANGGUH

Berzikir dan bertafakur

Emak menanggung kesakitan. Terbaring di atas tilam bujang di dalam rumah pusaka ini. Sakitnya berat.
Lalu saya menghampiri emak. Saya menyabarkannya. Saya cuba gembirakan emak. Saya sulam dengan jenaka agar dapat mengalihkan perhatiannya terhadap keperihan yang sedang dialami.

Saya memicit-micit kaki dan tubuh yang semakin longlai itu. Saya baringkan emak dari duduknya.

Memang kelaziman saya untuk menelefon emak. Paling tidak seminggu sekali. Isteri saya selalu menjadi wakil kepada saya. Saya juga acap kali berpesan agar isteri dan anak-anak kerap menghubungi emak yang berada di kampung. 

Malah kami sering memujuk emak untuk tinggal bersama di kota metropolitan ini. 

"Bukan emak tak nak ke rumah kau tu. Sejak akhir-akhir ni doktor nak kerap periksa emak. Dua minggu sekali. Sebulan sampai dua atau tiga kali. Doktor kata emak ni mula ada masalah jantung dan buah pinggang bocor. Mata pun tak berapa nak nampak. Nanti menyusahkan kau pula nak hantar emak dan berulang alik." Ungkapan ini pernah emak ajukan setahun yang lalu.

Saya cuba memicit-micit kedua belah kaki emak. "Emak rehatlah ya. Tenang, tenang. Sabar emak. Pasti Allah memberikan ganjaran terbaik untuk kita."

Istirahatlah emak

Naluri kecil saya mula terdetik. Malah emak pernah beritahu, "hidup aku tak lama. Kalau aku tak ada..?"

"Emak, kalau abang rindukan emak macam mana?" 

Emak yang sedang condong mahu berbaring kini bangkit semula mahu duduk. Sepantas kilat itu juga saya menerpa dan mendakap tubuh emak dengan erat. Saya peluk emak kuat-kuat. Lagaknya seperti anak saya berusia lima tahun mendakap saya dalam esakan. Tapi tubuh emak sudah sejuk.

Rasa hiba, pedih, perih, perit merempuh ke dada sempit ini. Terasak sesak dan sebal yang tidak dibuat-buat.

Airmata saya mengalir membasahi bantal. Saya mula tersedar daripada mimpi indah ini.

Saya tidak sanggup membuka mata lagi. Saya tidak berani. Biarlah saya hanyut dalam khayal hangatnya cinta, kasih sayang dan kerinduan terhadap emak sejenak lagi. Menikmati kerinduan yang tidak mungkin berbalas. Saya cuba menahan agar memori indah itu tertangguh lebih lama, tetapi ... (ia tetap berlalu pergi)

Emak: Asiah (rakaman tahun Jun 18, 2012)


Dalam perlahan saya panjatkan doa agar emak aman dan tenang di alam barzah sana. Di dalam pejap gelap bertutup mata di keheningan pagi itu saya hadiahkan al-fatihah kepada emak.

Rindu yang tidak tertangguh lagi. 

Putus cinta itu tidaklah sakit. Yang membawa derita dan rana adalah masih lagi mencintai dan merindui.

𝘌𝘮𝘢𝘬, 𝘬𝘢𝘭𝘢𝘶 𝘢𝘣𝘢𝘯𝘨 𝘳𝘪𝘯𝘥𝘶𝘬𝘢𝘯 𝘦𝘮𝘢𝘬, 𝘮𝘢𝘤𝘢𝘮 𝘮𝘢𝘯𝘢?

Al fatihah
(7 bulan emak sudah pergi selama-lamanya)


Nukilan hik hik...
Ammak satu kali

Khamis, 22 Oktober 2020

𝗥𝗘𝗭𝗘𝗞𝗜 𝗣𝗔𝗦𝗔𝗥 𝗠𝗔𝗟𝗔𝗠


Bilal Sahak memandang tepat mereka yang lalu lalang di hadapan gerai. Ada yang berhenti lalu melintas, ada pula berhenti, bertanya dan berlalu. Mana yang setuju, maka akad berlaku dan pertukaran barang pun berlangsung. 

Adat berdagang begitulah. "Rezeki berniaga pasar malam ni sukar dijangka. Lagi² waktu PKPP begini." Bilal Sahak menyuarakan pandangan batinnya. 

"Eh, apa ke halnya Bilal? Tiba-tiba aje." Turus mahu menyelami kata-kata Bilal Sahak. 

Bilal Sahak memuncungkan bibirnya. Turus ikut memandang ke arah yang ditunjukkan itu.

"Masyaallah, rezeki." Balas Bilal Sahak dan Turus serentak. 

Seorang Ah Moi berseluar senteng menampakan kaki yang putih melepak dan berbaju-T ala 'baby boo' melintas di hadapan mereka. 

Usai anak mata membontoti Ah Moi tadi yang menghilang ke dalam khalayak ramai itu mereka berpaling ke arah hadapan semula. Memandang ke tempat mereka menemui jasad Ah Moi tadi. Cuba memerangkap rezeki lagi. 

Tidak semena-mena mereka tersentak lalu memalingkan muka. 

"Subhannallah, Allahuakbar." Mereka berzikir. 

Dua wanita bersaiz besar dan rendah mula merapati. Pada pandangan Bilal Sahak, wanita itu bermuka pelbagai rasa; cuka, masam, masin. Wanita berusia ini tidaklah secerah dan melepaknya Ah Moi tadi. Jauh berbeza. Terlalu besar jurangnya. 

Mereka adalah isteri Bilal Sahak. 



Salah seorang wanita itu berkata kepada saya, "Abang tolong bungkuskan teh ais terangkat sepuluh, popia basah ni saya borong semua, roti bedung 20, ya."

Benarlah rezeki tak salah alamat. 

Hik hik 
Ammak satu kali lagi 
😁😁😁

Nukilan lantun-lantun

Isnin, 23 September 2019

TUKANG URUT FELDA BELITONG



Wak Ali Tukang Urut Felda Belitong menghampiri saya ketika saya duduk di kaki lima berhampiran sebuah klinik.

"Tunggu siapa?" Wak Ali mulakan bicara.

"Tunggu emak. Tak sihat."

Wak Ali terus bercerita tentang kisah hidupnya yang berasal dari Segamat kemudian berpindah ke Felda Belitong pada tahun 1985. Umurnya baru 72 tahun. Hari jadinya pada 30 September.

"Ramai orang cari saya. Sekarang ni dah ada Facebook, Whatsapp dan macam-macam lagilah. Nak berkenalan dengan saya. Saya ni selalu keluar suara dalam Radio Johor. Selalu berpantun. Dengar Radio jam 6.30 pagi. Macam-macam umur orang nak kawan dengan saya. Yang muda, tua, Singapura, Brunei, Johor.

Ahad, 23 Disember 2018

MALAM BULAN DIPAGAR BINTANG

Disember 23, 2018 - Tanjong Malim.


Depan pintu rumah, mengadap bulan dan bintang pada malam minggu.

Sambil-sambil itu mengusap balung tabung ayam. Bila digoncang, lantang berbunyi bilangan logam 'nickel brass' duit syiling.

Kembali menghirup secangkir air kopi pahit, satu persatu nostalgia menerjah ke kotak minda. Anak mata masih merenung ke bidang langit. Ada berbalam di situ.

~duduk di kampung ini, punya aura dan aroma yang begitu melankolia. Melambai-lambai di suatu sudut hujung hati~

Hik hik
Ammak satu kali

MENARA CONDONG TELUK INTAN PERAK


Cuti hujung minggu sebelum anak-anak masuk ke sekolah baharu, kami ambil kesempatan untuk menziarahi Menara Condong, Teluk Intan, Perak.

Anak-anak begitu teruja melihatkan bangunan bersejarah ini.





Dengan keluar mengembara sebegini, moga-moga kami mendapat kebaikan, hidayah, ketenangan dan menjadi manusia yang lebih bersyukur.



Hik hik
~ammak satu kali~

Ahad, 4 November 2018

GAYAT



Ada masanya saya terpaksa memanjat tinggi-tinggi. Gayat juga.

"Ayah tak takut ke? Besi ni bergoyang-goyang! Angin kuat ni ayah!" Pekik Daniel Hakim (12 tahun) dari nun di bawah.



"Usah takut anak. Ayah sedia melakukan apa sahaja demi mencari rezeki untuk kamu. Asalkan kamu menjadi manusia berguna dan soleh, sudah cukup membahagiakan hati ayah. Doakan ayah dan ibu, ya!"

Peluh berjuraian mengalir di dahi, lantas memasuki ke anak mata, pedih. Perit matahari tanpa belas kasihan memanah tepat, memanggang tubuh. Hangit.

 Drama anak beranak petang Ahad.

 Hik hik
~ammak satu kali~

Khamis, 26 Julai 2018

MUSIM BUAH MANGGIS

Hitam-hitam setompok manggis

Mengikut  FAMA, pada musim dan bulan ini (Julai 2018) merupakan musim buah kayu yang paling meriah setelah beberapa tahun mengalami kemorosotan. 

Rata-rata di media sosial (medsos) melaporkan pesta buah-buahan tempatan terutamanya lambakan buah durian. Berikutan itu, harga buah durian runtuh sama seperti runtuhnya durian dari pokok. Ramai penduduk negara ini mampu menikmati durian sepuas-puasnya. 

Durian kampung

Mereka yang mempunyai kampung mulai berpesta buah-buahan dengan pulang ke kampung, walhal bulan Syawal baru sahaja melabuhkan tirainya.

Menurut kata salah seorang pengarah FAMA ketika diwawancara dalam rancangan WANITA HARI INI, TV3 (24 Julai 2018), fenomena ini terjadi berikutan faktor cuaca yang cukup baik untuk perkembangan buah-buahan tempatan. 

Pak Busu Azali sedang menyorong buah manggis dari dusun sebarang jalan sana

Pada kali ini Maza mahu berkongsi beberapa keping gambar tentang kemeriahan musim buah-buahan ketika Maza pulang ke kampung baru-baru ini. Fokus kali ini ialah berkenaan manggis pula. 

Seputar 30 tahun lalu, keluarga Maza mempunyai dusun. Letaknya di hadapan rumah, seberang jalan dan taliair.

Nasrun dan Aqlan sedang meniti sambil membawa sebaldi buah manggis

Manggis muda

Arwah ayah dan datuk telah menanam pelbgai jenis buah-buahan tempatan dengan pelbagai jenis baka. Antara baka yang terdapat di situ ialah rambutan kahwin, rambutan gula batu, rambai, manggis, durian, kelapa pandan, kelapa kuning, mangga, durian belanda, petai, kerdas, jering, jambu bal, jambu air, jambu batu dan macam-macam lagi. 

Putih melepak isi manggis

Terasa manismya manggis

Hari ini dusun tersebut telah berubah wajah. Banyak tanam-tanaman itu telah mati berikutan faktor usia, banjir dan terpaksa ditebang berikutan perlu memberikan laluan kepada penanaman semula pokok getah dan padi. 

Hanya tinggal beberapa batang pokok manggis, kelapa dan pokok petai jantan. Mujur juga bersisa, jika tidak, cucu-cucu yang berderet-deret ini tidak merasalah. hahaha 

Lambakan manggis

Ketika Maza berusia remaja (sekarang baru berusia remaja dewasa, hik hik), pernah memanjat pokok manggis sehingga ke pucuk dan hujung dahan. Memetik manggis dengan tangan dan sekali sekala menggunakan kayu sepanjang lebih kurang tiga kaki. 

En. Ghani begitu khusyuk dan tawaduk. Jolok apa tu bang?

Maza juga biasa makan buah-buahan itu di atas pokok dan tidur di dahannya. Sambil-sambil itu sempat juga merancang masa depan dan 'berangan' (hahaha) di atas pokok


En. Ghani menyeringai kegirangan setelah berjaya menjolok dan meluruhkan manggis yang masak.

Jikalau hari ini diminta Maza memanjat pokok manggis, Maza khuatir tak sempat dipanjat, pokok itu pula yang tumbang (hahaha)


Nukilan lantun-lantun



LinkWithin

Related Posts with Thumbnails