‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rencana. Papar semua catatan

Isnin, 5 Jun 2023

SEJARAH ASAL USUL TEMIGGOL

 SUNGAI TEMIGGOL

Sungai Temiggol
Sungai Temiggol

Tiada rekod untuk menunjukkan asal muasal nama Sungai Temiggol ditemui. Sungguhpun demikian, penyelidikan lanjut mendapati ejaan Temiggol telah dieja dengan pelbagai ragam dan bentuk. Antaranya ialah Temiggol, Teminggol, Temigol dan Tumigol. Kajian mendapati, pada geran tanah mukim Kahang yang dikeluarkan sebelum merdeka 1957, kata nama Temiggol telah dieja dengan perkataan Tumigol (تومڠݢل).

Carian seterusnya menampilkan frasa Tumigol ini wujud di dalam bahasa Bobongko.

Taman Rekreasi Sg Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol, Kg Sri Lukut, Kahang

Bahasa Bobonko dituturkan oleh sebahagian kecil kaum yang berasal dari perkampungan Lembanato dan Tumbulawa, Kepulauan Togian, Tengah Sulawesi, Indonesia.

Maksud perkataan Tumigol ialah berdiri (stand).

Sungai Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol, lokasi liburan dan pelancongan

Teori

Pada awal pembukaan kampung ini, terdapat beberapa buah keluarga berketurunan Bugis yang berasal dari Sulawesi. Secara umumnya, Sungai Temiggol yang muranya bertembung dengan Sungai Madek telah menjadi jalan pengangkutan, sumber rezeki dan kawasan penempatan awal di Kampung Sri Lukut. Lantaran itu, sungai ini telah diberikan nama Tumigol bagi menyatakan tempat berdiri atau berdiamnya selain menerangkan kewujudan (melalui penggunaan bahasa Bobonko itu) tentang keluarga berketurunan dari Sulaweisi atau Bugis di sini.

Sungai Temiggol
Sg Temiggol, Kg. Sri Lukut, tempat 'healing' gaya Kampung People

Hasil daripada proses asimilasi, perubahan budaya dan keadaan setempat terutamanya dengan kehadiran ramai keluarga berketurunan Banjar dari pulau Kalimantan, perkataan Tumigol mula berubah. Demikian juga apabila tulisan rumi mula mengambil tempat tulisan jawi, maka ejaan untuk menyesuaikan perkataan Tumigol (تومڠݢل) turut berubah menjadi Temigol, Temiggol atau Teminggol.

Dapatan ini bukanlah sesuatu sejarah dan bukti yang konkrit, namun sekadar teori bagi menggambarkan perkaitan kewujudan nama Temiggol.

 

Rabu, 14 September 2022

I LOVE SG TEMIGGOL

 


Taman Rekreasi Sungai Temiggol menawarkan pelbagai dan banyak aktiviti riadah untuk ahli keluarga.

Selain berkelah, terdapat kemudahan berkhemah, inap desa dan tempat-tempat menarik seperti bendang dan hutan simpan hidupan liar kekal.

Taman Rekreasi Sg Temiggol terletak di tengah-tengah perkampungan tradisional Kg. Sri Lukut, Kahang, Kluang, Johor.

Jom ke sini. Kita santai dan beriadah bersama-sama.


Hik hik
Ammak satu kali

Ahad, 5 Disember 2021

APA? MANUSIA TIDAK LAYAK MENGHUKUM!

Tukang  Bakar Sampah

Jadi bagaimana pula dengan status hukum-hukum ini:-
Hukum tajwid?
Hukum matematik?
Hukum anak?
Hukum suami?
Hukum mati kerana membunuh?
Hukum kanun?
Hukum arak, judi dan zina?
Hukum berbogel tetapi berpakaian?

Kalaulah mengambil kata-kata 'manusia tiada hak menghukum, hanya Allah berhak,' maka kita akan mencipta manusia yang tuna rasa, tidak mempedulikan hukum dan rukun.

Mendorong dan Mencipta Manusia Tidak Ambil Peduli / Endah

Justeru, manusia tidak perlu ke sekolah, tidak perlu pendidikan rohani, pendidikan adab & moral, tidak perlukan rukun Islam, rukun Iman, tak perlu tatanegara.

Maka tak bergunalah adanya Nabi, Rasul dan Ulama.

Oleh sebab manusia tidak berhak menghukum, makanya manusia juga tidak berhak untuk menuntut balas dan bicara hukuman!

Apakah kita mahu mewujudkan manusia anarki yang memandang bahawa semuanya hak sama tiada sempadan; hak Tuhan. Arkian dengan sewenang-sewenangnya mengambil dan memakan harta orang lain?

Benarkah manusia tiada hak menghukum? Bermaksud manusia tiada hak ke atas elemen 'rasa, emosi dan perasaan' seperti suka, duka, marah dan sakit hati kerana kesemua ini adalah berbentuk hukuman.

Jika prinsip 'manusia tiada hak menghukum, hanya Tuhan berhak,' maka manusia tidak boleh ada sistem kehakiman, sistem perundangan dan sistem kedaulatan. Kesannya ialah orang bebas mencuri, berbogel, mencederakan orang, melakukan jenayah, memaki, berzina dan sebagainya. Hiduplah manusia ini lebih buruk daripada haiwan. Sedangkan haiwan reti erti sempadan, seperti harimau meninggalkan kencing dan cakaran di pohon sebagai tanda amaran wilayah buruan. Mereka yang melangkaui had sempadan itu, telah memasuki ruang hukum halal untuk harimau tersebut memburu dan memakannya. Manusia?

Tidak Perlulah Padang Mahsyar dan Timbangan Mizan!

Kalau begitu, apa perlunya mendapatkan pendidikan dan membentuk nilai-nilai diri serta budaya masyarakat? Malah bertambah bahaya menjadi tidak berguna mempelajari dan mempercayai hadis, Al Quran dan kata² ulama.

Hmm..

Bagi saya, jangan mudah terperangkap dengan bidalan atau kata-kata orientalis, ateis, feminisme dan/atau pejuang² (kononnya) hak kesamarataan, pejuang-pejuang hak asasi secara membuta tuli.

Nukilan lantun-lantun
Ammak satu kali . . .
😁😁😁


Jumaat, 27 Disember 2019

MUAFAKAT MEMBAWA BERKAT

Kg Sri Lukut Mesyuarat di dalam teratak
Muafakat Membawa Berkat

Kg Sri Lukut: Adat hidup di kampung, hidup kena bermuafakat.

Mesyuarat dengan pemimpin kampung; tok penghulu, tok ketua kampung, tok imam, MPKK, PIBG, PELADANG ketua penanggah, ketua khairat kematian, ketua sukan, ketua badminton (eh eh eh..) dan macam² lagi.

Kadang-kadang pasal nak sembelih ayam dara, jantan atau betina pun kena bermesyuarat. Itu belum lagi mesyuarat nak naik pelamin...eh, eh, 😜

Adakalanya sibuk bermesyuarat mengalahkan pegawai-pegawai di jabatan kerajaan. 🤭🤭🤭

Uniknya mesyuarat kali ini diadakan di hujung kampung. Teratak ini kepunyaan En. Azman Aziz. Katanya dia mahu mengusahakan kem dan eko tourism di situ.

Kg Sri Lukut: Sungai / Sg Madek
Antara kawasan perkhemahan sementara
yang terdapat di tebing sungai

Kawasannya cantik, pinggiran hutan, berhampiran sawit, bendang dan kebun sayur. Suasannya begitu tenang dan damai. Bersebelahan pula dengan sungai yang airnya cukup jernih.


Kg Sri Lukut: Sungai Madek
Aliran sungai yang lesu
menjanjikan kesegaran dan ikan yang enak

Lepas mesyuarat katanya boleh berendam di sungai. Kalau mahu berkhemah di tebing Sungai Madek ini pun boleh. Air yang jernih menjanjikan kesegaran.

Sungai ini juga mempunyai khazanah marin yang bernilai antaranya ikan kelabau, sebarau, lais, baung, putih, lampan dan macam lagi.

Mesyuarat Membawa Berkat: Kg Sri Lukut, Kahang
Saya mencadangkan bla bla bla

"Pengerusi! Saya, saya. Allahuakbar. Alahai lupa pula. Ha! Pengerusi, dengan ini saya mencadangkan, cadangan ditutup."

Eh eh eh
🤪🤪🤪

Nukilan lantun-lantun

Selasa, 3 Disember 2019

TEH AIS TERANGKAT

Bukanlah perkara asing di Malaysia kalau bercakap tentang teh. Di tanah bertuah ini, terdapat ramai penggemar teh dari segenap peringkat umur. Sebagai contoh teh tarik merupakan minuman yang telah diangkat sebagai minuman rakyat.

Teh Ais Terangkat keluaran BEKAL: Di Pasar Tani

Jika dahulu teh ais dijual terhad di warung-warung, kedai makan, kafe dan restoran. Dewasa ini teh ais mula dijual di tepi-tepi jalan. Penjaja-penjaja mula berpusu-pusu menjual teh ais di kaki lima, simpang jalan, pasar malam, pasar tani, karnival dan pesta keraian. Pendek kata, teh ais mulai mendapat tempat di hati masyarakat.

Banyak jenama-jenama teh ais telah tumbuh dengan meriahnya. Antara nama yang popular ialah Teh Ais Madu Padu, Teh Ais Sedap/Pyorr, Dhaka Teh Ais, Teh Ais Derhaka, Tealive, Teh Madu, Teh Ais Cincau Kaww, Teh Ais Malaysia Pukaw, Teh Ais Kaww dan macam-macam lagi.

Slurpp: Pekena Teh Ais Terangkat

Sesuai dengan rakyat Malaysia yang semakin kreatif dan terbuka, teh ais telah dikembangkan, diolah dan dicipta dengan pelbagai perisa baharu. Teh ais dicampur dengan cincau, coklat, madu, bunga cengkih, aiskrim dan terkini bobba.

Ramuan tambahan ini bertujuan untuk mencipta kelainan, menampilkan aneka pilihan dan paling utama ialah faktor pemasaran atas nama hendak mencetuskan permintaan serta kuasa tular (viral).

Teh Ais Terangkat BEKAL: Di tapak karnival 

Sementelah lagi, generasi hari ini cenderung hendak mencuba sesuatu yang baharu; terdapat kelainan, selain mudah terpengaruh dengan sesuatu yang sohor kini.

Teh Ais Terangkat merupakan jenama teh ais baharu yang semakin mendapat tempat di masyarakat. Jenama ini semakin masyhur dalam kalangan penggemar teh di Kahang, Johor.

Teh Ais Terangkat keluaran BEKAL telah mula bertapak di Kahang dan mula dilancarkan/dipasarkan pada September 1, 2019 di Dataran Kahang.

Teh Ais Terangkat:
Berada di tapak pesta, kenduri dan pengantin

Teh Ais Terangkat mempunyai rasa teh yang jelas, lemak, berkrim, dan yang penting tidak terlalu manis. Ramuan yang digunakan kena dengan anak tekak hingga melahirkan rasa segar.

Keenakan Teh Ais Terangkat sukar diperkatakan sehingga menyebabkan peminumnya akan terangkat kening dan tersembul biji mata dalam memberi reaksi keistimewaan dan kesedapannya.



Slogan Teh Ais Terangkat keluaran BEKAL yang dimiliki oleh Ciptawarna Enterprise adalah "Hilangkan Kehausan, Segarkan Fikiran dan Mendatangkan Ketenangan".


Pihak pengurusan BEKAL juga bercadang untuk memasarkan Teh Ais Terangkat lebih jauh. Lantaran itu, BEKAL bercadang untuk membotolkan Teh Ais Terangkat ini dan diedarkan di pasaran terbuka. Untuk maklumat lanjut boleh hubungi whatsaap: www.wasap.my/+60179608720 atau ikuti suka (follow) FB page: bekal.kotadamansara.

Jadi, jangan lupa untuk mencuba dan menikmati Teh Ais Terangkat untuk merasai sendiri keenakan dan kesegaran. Badan segar, terasa nikmat, semoga malam bermimpi indah.

#tehaisterangkat #bekal #bekalkotadamansara

Catatan Kembara

Isnin, 29 Julai 2019

NASI AYAM FARHANI

Nasi Ayam Farhani, Tanjong Malim

Nasi Ayam dikatakan berasal daripada masakan kaum Cina. Di Malaysia, Nasi Ayam digemari oleh semua kaum. Selain Nasi Lemak, Roti Canai dan Teh Tarik sebagai identiti makanan rakyat Malaysia, Nasi Ayam rasanya juga patut disenaraikan ke dalam masakan rakyat Malaysia.

Nasi Ayam Farhani:
Pemandangan seberang jalan
dari Slim River ke Tg Malim

Kini terdapat pelbagai variasi Nasi Ayam. Cara penyediaan juga berbeza. Contohnya Nasi Ayam Hainan, Nasi Ayam Singapore dan Nasi Ayam Linda Onn.

Malah terdapat rangkaian restoran francais yang berasaskan Nasi Ayam iaitu seperti The Rice Chicken Shop, Restoran Nasi Ayam Linda Onn dan sebagainya.

Di Tanjong Malim, Nasi Ayam yang popular dan suka ramai adalah Nasi Ayam Farhani.

Sebut sahaja jenama Nasi Ayam Farhani, segera orang tempatan akan mengetahui dan mengakuinya.

Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari:
Nasi Ayam Farhani terletak
bersetentangan dengan sekolah ini

Lokasinya ialah di jalan Tanjong Malim ke Slim River. Warung ini terletak berdekatan dengan stesyen minyak BHP dan berhadapan dengan Sekolah Menengah Khair Johari, Tanjong Malim.

Jika di Kota Tinggi, Johor, Nasi Ayam paling terkenal adalah Nasi Ayam Abu Bakar. Kalau di Tanjong Malim, warung Nasi Ayam Farhani menjadi pilihan utama di sini.


~Kita suap dulu, ya~
Hik hik Ammak satu kali

Jumaat, 11 Januari 2019

PULANGKAN KASUT SAYA

(Nukilan Tahun Januari 18, 2018)

Pagi ini kecuh seisi rumah. Sepasang kasut sekolah baharu Aqlan Sholehin (8 tahun) sudah hilang.

Puas menyelongkar, namun usaha itu sia-sia. Kasut putih bersize kecil telah tiada di tempat simpanan biasa di rak kasut bertutup luar rumah.

Bagi seorang ayah yang menyara keluarga dalam "musim tengkujuh" dengan bilangan anak setengah dozen, perkara sebegini boleh menyebabkan kegusaran dan kemurungan. Kehilangan kasut putih sekolah di tahun baharu bukanlah sesuatu yang enak, lebih-lebih lagi hanya kasut itulah dimiliki oleh anak kecil ini.

Mungkinkah ada yang bergurau kasar? Barangkali penyamun itu menghadapi masalah ekonomi yang lebih serius? Ataupun pada musim hujan ini niat mereka hanya meminjam disebabkan kasutnya basah dan takut dimarahi oleh guru?

Pulangkan kasut saya: Aqlan Sholehin

"Pulangkanlah kasut saya," rayu Aqlan.

Saya menganggukkan kepala sambil ligat mencari ikhtiar.

Akhirnya Aqlan akur dan termakan bujukan saya untuk pergi ke sekolah walaupun sudah lewat.

"Biarlah pengawas mencatat nama Aqlan berulang kali. Biarlah cikgu tegur dan marah berulangkali. Asalkan Aqlan minta maaf, pergi sekolah dan menuntut ilmu itu lebih penting daripada kehilangan kasut. Ketinggalan matapelajaran di sekolah amat merugikan daripada ketakutan kerana kehilangan kasut." Saya mengajar beliau erti mengurus risiko dalam laras bahasa ekonomi; biar rugi sedikit asalkan kelak untung banyak, atau biar rugi sedikit daripada rugi besar.

Sambil mengesat air mata, Aqlan melangkah gagah memanjat anak tangga sekolah.

'Plap, plup, plap, plup,' bunyi selipar jepun berderap menghitung 30 mata anak tangga.

Sampai di puncak anak tangga pintu pagar sekolah, Aqlan berpaling ke arah saya sambil melambaikan tangan dan melemparkan senyuman manis. Di situ jugalah, sekoyong-konyong seorang pengawas berwajah tegas menyoalsiasat anak saya. Nama Aqlan dicatat dalam buku nota akhlak murid-murid bermasalah di Sekolah Seksyen 9, Kota Damansara. Semoga Aqlan tabah, sabar dan sebagai pejuang tegar, ini adalah jihad.

Dalam hati seorang ayah yang semakin dimamah usia dengan sisa kudrat yang ada memanjat doa agar Allah memudahkan urusan kami.

'Pulangkan kasut anak saya.'

Sekarang, saya perlu berkayuh pergi. BEKAL sedia menanti.

Saya berkira-kira dalam hati kecil, 'siapakah yang mahu buat pesanan BEKAL?'

Whatsapp BEKAL: 017-960 8720 ; FB fanpage: bekal.kotadamansara untuk mendapatkan pilihan menu idaman anda.

1. Ubi kayu rebus + sambal tumis + ikan air tawar masin/kering MADIK
2. Popia basah/goreng/sira
3. Bee hoon Singapore
4. Lunch Box...

hik hik
~ammak satu kali~
Ini betul-betul ni, bukan cobaaan..
Hahaha

Nukilan lantun-lantun

Selasa, 25 Disember 2018

KESEMPURNAAN REZEKI DAN KEHIDUPAN


Setelah ALLAH SWT melengkapkan dan menyempurnakan rezeki seseorang, maka petanda ajal sudah tiba. Kitaran hayat dan kehidupan manusia telah dipenuhi.

Bermakna, selagi ajal tidak menjengah, selagi itulah ada rezeki. Selagi ada rezeki, maka sakaratul maut (mati) belum tiba.

Ramai antara kita sedang diuji dan ketakutan dengan pelbagai rencam; pekerjaan, ekonomi, perniagaan, kesihatan dan sebagainya. Saat begini berdoalah, agar kita tidak dibebani hutang dan mampu membayar hutang piutang.

Sesungguhnya hutang itu menyempitkan dada. Merubah diri daripada manusia bebas merdeka kepada menjadi hamba sahya. Pasal hutang, menjadikan roh terbang di awan-awangan, tidak diterima oleh makhluk di langit dan bumi.

Setelah berusaha bersungguh-sungguh, maka berserahlah kepada ALLAH SWT agar kita terpilih dan terkeluar daripada golongan mereka yang berhutang.

Segarkan diri dengan merendamkan kaki di kolam Air Panas, Ulu Selangor

ALLAH jua Maha Mengetahui dan Maha Perkasa yang mampu melepaskan kita daripada bebanan ini. ALLAH Maha Kaya, Maha Perancang dan Maha Pengasih dan Penyayang.

"[5] Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan,

[6] (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

[7] Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal soleh), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain),

[8] Dan kepada Tuhanmu sahaja hendaklah engkau memohon (apa yang engkau gemar dan ingini)." (QS, Surah Insyirah: 5 - 8 )

~nak cari kayu api, nak cari kayu api~
Ammak satu kali.
Hik hik

Ahad, 23 Disember 2018

MALAM BULAN DIPAGAR BINTANG

Disember 23, 2018 - Tanjong Malim.


Depan pintu rumah, mengadap bulan dan bintang pada malam minggu.

Sambil-sambil itu mengusap balung tabung ayam. Bila digoncang, lantang berbunyi bilangan logam 'nickel brass' duit syiling.

Kembali menghirup secangkir air kopi pahit, satu persatu nostalgia menerjah ke kotak minda. Anak mata masih merenung ke bidang langit. Ada berbalam di situ.

~duduk di kampung ini, punya aura dan aroma yang begitu melankolia. Melambai-lambai di suatu sudut hujung hati~

Hik hik
Ammak satu kali

Rabu, 21 Februari 2018

TAMAN REKREASI KAMPUNG TEMIGOL, KAHANG


Cuti Tahun Baru Cina 2018 kali ini Maza dan anak beranak menghabiskan masa bersama-sama keluarga tercinta di kampung halaman sahaja.

Kami beriadah di Taman Rekreasi Kampung Temigol, Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor.

Maza pernah menulis Taman Rekreasi Kampung Temigol, Kg. Sri Lukut, Kahang ini pada tahun 2010 (klik sini: Taman Rekreasi Kampung Temigol)

Jambatan dengan penhadang biru yang kemudiannya menjadi gelaran JB
Taman Rekreasi Kampung Temigol mempunyai nama jolokan JB atau Jambatan Biru bersempena nama penghadang jambatan itu yang diwarnakan biru. Sebetulnya keadaan Taman Rekreasi Kampung Temigol, di Kampung Sri Lukut, Kahang telah mengalami beberapa perubahan ketara. 

Perubahan yang dialami Taman Rekreasi Kg Temigol ini antaranya ialah terdapatnya hakisan akibat banjir atau hujan belarutan. Beberapa pokok asal yang besar ada yang tumbang dan merintangi Sungai Temigol. 

Aliran Sungai Temigol yang tenang. Anak-anak riang-ria beriadah. 



Sungguhpun begitu, kayu yang menimpa Sungai Temigol itu telah dibersihkan oleh penduduk kampung dan JKKK Kg Sri Lukut. 

Kawasan Taman Rekreasi Kg Temigol ini tidak hanya tertumpu kepada JB sahaja. Pengembaraan kali ini Maza bawakan anda sedikit keluar dari kawasan JB tetapi masih lagi dalam lingkaran Sungai Temigol berhampiran Taman Rekreasi Temigol, Kg Sri Lukut, Kahang. 

Bermain pasir di tepi pantai sungai

Ada yang berkeyakinan, pasir sungai ini boleh digunakan sebagai medium kebersihan dan kecantikan



Lokasinya bersebelahan rumah arwah Haji Abu Bustani. Seorang anak watan (Siti Mariam binti Abu Bakar) telah mengambil inisiatif mahu memajukan kebun sawitnya yang bersempadanan dengan Sungai Temigol. 

Antara pondok atau wakaf yang terdapat di sini. Plug elektrik sudah tersedia, cuma bekalan elektrik belum ada lagi
Maza difahamkan bahawa beliau mahu membina sebuah taman mini rekreasi dengan membina pondok kecil (wakaf) dan beberapa kemudahan lain seperti tandas, bekalan elektrik dan pejabat pentadbiran kawasan riadah tersebut. 

Selain itu, beliau merancang untuk menyediakan tapak perkhemahan. Kawasan riadah yang diterokainya ini akan diberikan nama khas dan sejumlah yuran penyewaan kemudahan di situ akan dikenakan. 

Acara membakar atau memanggang sebagai pelengkap kepada aktiviti perkelahan.



Mengikut kata Siti Aisyah binti Abu Bakar, kakaknya merancang untuk melengkapkan taman riadah itu dalam tahun ini juga (2018)

Jadi, selepas ini bolehlah kita beramai-ramai beriadah dan berkhemah di pinggir Hutan Simpan Lenggong. Pastinya akan memberikan pengalaman yang berbeza dan indah apabila menyertai ecotorism atau eko-pelancongan di Kg. Sri Lukut, Kahang, Kluang, Johor.

Pekena air kelapa selepas berendam dan berkubang, Awesome!



Maza dan keluarga sempat meninjau perkembangan projek beliau dan mendoakan agar usahanya itu berjaya. Sementelah lagi, usaha murni beliau ini dapat mengembangkan sosio-ekonomi setempat selain membangunkan serta memelihara alam sekitar.

Nukilan lantun-lantun:



Isnin, 29 Januari 2018

PERKHEMAHAN DI PORT DICKSON (SIRI KEDUA)



Pada Januari 21, 2018, Maza anak beranak ke Port Dickson. Biasanya di Port Dickson (PD) Maza dan anak beranak sekadar berkelah serta bermandi manda. Kali ini kami membuat keputusan untuk berkhemah pula. (klik sini untuk SIRI PERTAMA)

Setelah diduga dengan hujan lebat pada sebelah malamnya dan Maza sekadar tidur-tidur ayam, Maza bangkit awal. Setelah Subuh mula berarak lalu, Maza mula mengambil angin di tepi pantai itu dalam keadaan sejuk.

Maza pikul kamera yang gitu-gitu dan merakamkan detik-detik pemandangan di sekitar tempat Maza berkhemah. Sudah lama Maza tidak memukul kamera untuk mengambil gambar pemandangan. Selain sibuk dengan tugasan hakiki, kemajuan teknologi komunikasi dan kemajuan telefon bimbit, menyebabkan kamera DSLR itu tersadai di dinding (hik hik).

Kesempatan berkhemah di Port Dickson kali ini Maza enggan lepaskan memotret keindahan alam (entah chantek entah kan tidak gambar maza itu, kanzzz?).



Paling riang di pantai ialah anak-anak dan mereka yang sedang bercinta. Yang berumur kenalah jadi tukang jaga bag dan barang-barang (hahaha).




Malang sungguh, saat membina istana, tiba-tiba tayar lori pancit dan tergolek pula. Mujur kemalangan ini tidak melibatkan sebarang nyawa (hik hik).


 Ada juga di sini yang membawa periuk belangga dan kebasahan kerana ditinggalkan di luar khemah pada malam tadi. Maza teka mereka masak maggi (hahaha).

Semasa Maza remaja dan menjadi ahli pengakap, perkhemahan seperti ini biasanya lauk atau makanan yang akan menjadi hidangan lumrah lagi istimewa adalah mee segera. Maggi menjadi pilihan utama selain sardin. Nostalgia sungguh, kan?



Ada juga yang membawa kerusi sendiri sambil menikmati keindahan pantai Port Dickson.




Sebahagian paya bakau yang masih terdapat di pantai Port Dickson ini. Inipun sudah gondol dan tinggal sejemput sana sini. 


Kawasan perkhemahan Maza itu berhampiran dengan pengkalan mendarat ikan nelayan tempatan. Banyak perahu dan bot di sini mencantikan lagi pemandangan.

Secara keseluruhannya kawasan ini bersih dan selesa untuk beriadah.


Jadi, sekiranya anda ingin ke Port Dickson dan memilih perkhemahan maka pilihlah tempat yang bersesuaian. Sesetengah tempat ada menyediakan pelbagai kemudahan seperti tandas beroperasi 24 jam dan 8 jam. Sesetegah tempat ada menyediakan lampu limpah jalan.

Jika keselesaan menjadi pilihan, maka tempat perkhemahan berbayar di pantai Teluk Kemang, Port Dickson adalah bersesuaian. Jika memilih ala-ala 'adventure', maka pilihlah di Batu 5 atau Batu 4, Port Dickson. Selamat bersantai kengkawan!

Pinggan ayan

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails