‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 28 Februari 2013

Alexa Internet Review


Ranking maza yang dinilai oleh Alexa.com pada tahun ini tidaklah begitu menggalakkan. Blog Gubuk Kecil Kembara Jalanan (GKKJ) dahulu pernah menempatkan diri jauh ke hadapan. Sebaliknya hari ini ranking yang diperoleh GKKJ sama ada dari dalam mahupun luar negara sudah merundum.

Maza akui dan percaya bahawa ini disebabkan oleh jumlah posting dengan SEO yang selalu tidak mengena, kurangnya blog walking dan sudah dua tahun tidak mengadakan sebarang promosi seperti kontes atau menulis produk review. Selain itu backlink juga selalu ketinggalan.

Perkara ini berlaku kerana maza harus menumpukan kursus yang sedang maza ikuti. Insyallah, jika tiada aral melintang, tahun ini sampailah giliran maza untuk menamatkan pengajian. Setelah itu, barangkali akan menumpukan lebih masa kepada blog ini. hehehe . . .

Maza kira, sedikit sebanyak objektif blogger adalah untuk mendapatkan perhatian umum dan memperoleh ranking yang baik. Ramai pelawat blog GKKJ datangnya daripada pelayar tempatan iaitu 78%. Manakala pelawat antarabangsa sekadar seputar 22%.

Maza fikir, untuk mengimbangkan taburan pelawat ini mungkin maza mula menulis sekali sekala di dalam bahasa antarabangsa. Barangkali bermula dengan tajuk posting kali ini yang menggunakan tajuk berbahasa Inggeri. Diharap ia mampu membawa beberapa perubahan kepada paras Unique Page dan jumlah pelawat! Berkemungkinan boleh mengambil contoh sebagaimana yang dilakukan oleh pemilik blog Dulu Lain Sekarang Lain iaitu En. Ismail N, atau Kak Jie pemilik blog Kujie2.com.

Sehingga itu, maza mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan jutaan terima  kasih kepada kengkawan yang sudi menjenggah ke Blog Gubuk Kecil Kembara Jalanan yang lantun-lantun selalu. Jika boleh datanglah selalu dan jangan serik ya... hehehe...


Lantun-lantun entah apa-apa entah oleh
 




Rabu, 27 Februari 2013

Gangster Celop: Hanis Zalikha ke Layar Perak



Nama Hanis Zalikha tidak asing lagi di dalam dunia blog. Beliau cukup istimewa hingga namanya meniti sebagai salah seorang 10 bloggers popular di Malaysia (Top 10 of Malaysia's Google Search of 2010). Hanis Zalikha juga tersenarai di dalam pertandingan 19 Most Beautiful Blogger dianjurkan oleh SuaraPeople.Com.

Tidak dinafikan Hanis Zalikha dianugerahkan dengan wajah jelita lantas menjadi daya penarik hingga memperoleh ramai peminat dan pengikut. Tidak cukup hanya bersandarkan kejelitaan wajah untuk menjadikan beliau seorang blogger ternama di tanah air, Hanis Zalikha juga merupakan seorang gadis blogger yang prolifik. Hari ini usaha beliau menjadi blogger tegar itu telah membuahkan hasil yang lumayan.

Kejayaan beliau dalam dunia cyber telah berkembang maju setapak. Kali ini Hanis Zalikha sudah menjadi artis dan berlakon di dalam filem Gengster Celop arahan Ahmad Idham. Filem ini adalah filem pertama Hanis Zalikha.

Ulasan lengkap tentang filem tersebut boleh rujuk di blog Ismail N: Dulu Lain Sekarang Lain. Maza sendiri belum lagi menonton filem tersebut, namun disebabkan ulasan positif dari Ismail N, jiwa ini meronta-ronta untuk sama bertandang ke panggung wayang!

Mengambil contoh kejayaan Hanis Zalikha yang berubah nasib dari dunia blogger ke dunia hiburan, maza kira mahu mencuba nasib juga. Mana tahu, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia tiada siapa yang tahu . . . hehehe.

Dengan memperjudikan sekeping gambar entah apa-apa entah, tahap lantun-lantun itu, diharapkan rezeki maza datang mencurah-curah dengan mampu memikat tawaran berlakon dari Skop Production di bawah kendalian Shamsul Yusof. 

Maza kira dunia blogger dan dunia hiburan masih di bawah lingkungan sama; dunia kreatif.. hehehe


Oppss.. catatan lantun-lantun tahap entah apa-apa entah dari

Isnin, 25 Februari 2013

Titah Ucapan DYMM Raja Dr. Nazrin Shah : Perpaduan Ummah



Anda tidak akan dapat mengikuti ucapan lengkap DYMM Raja Dr. Nazrin ini di Utusan Melayu, Berita Harian, Harian Metro atau pun siaran tv perdana.

Sila lihat di link ini: Titah_Raja_Nazrin.pdf

Ikutilah setiap bait kata-kata DYMM Raja Dr. Nazrin penuh dengan ketinggian budi yang ada pada setiap bait bahasanya tanpa membelakangkan hujah yang sarat dengan fakta.

"Allah lanjutkan usia Tuanku! 
Digerhayu Tuanku!"

Bahasa yang tuanku lontarkan cukup beradab, cukup manis, cukup berbudi layak sebagai seorang bangsawan dambaan junjungan duli tuanku!

* Tiba-tiba terasa teringin pula mendengar titah ucapan baginda Sultan Muhammad V dari Kelantan. hehehehe

Petikan Titah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Perak Darul Ridzuan
Raja Dr. Nazrin Shah.
_____________________________________________________________________________

Majlis: Wacana Perpaduan Ummah Anjuran Dewan Bahasa Dan Pustaka
Tarikh: 19 Februari 2013 (Selasa)
Jam: 10.00 Pagi
Tempat: Balai Budaya Tun Syed Nasir Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur. 

Usaha memupuk perpaduan adalah sebahagian dari sunah. Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW diutus oleh Allah SWT untuk menyatupadukan ummah agar hidup aman, rukun dan damai, saling membantu – saling memperkukuhkan. Daripada Abu Musa a-Ssy’ari, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud; “Sesungguhnya seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seperti satu binaan, sebahagiannya saling mengukuh sebahagian yang lain.”

Demikian seruan Ilahi, demikian peringatan Rasul Junjungan mengenai perpaduan, begitu murni – begitu indah, terangkai dalam kalam Ilahi terkandung dalam Sunah Rasul. Dalam senario dua kabilah politik Melayu masih dalam minda tidak bersedia untuk bergabung, ummah yang dikurniakan akal fikiran wajar memikirkan opsyen perpaduan yang lebih realistik, agar usaha yang dirintis tidak dilihat bagai memasang pelita di tengah hari – bagai mencari bayang di waktu malam. Ummah harus bertanya, apakah hanya ada satu laluan untuk sampai ke Mekah? Apakah hanya ada satu kaedah untuk sampai ke Medinah? Jawapannya pasti tidak. Kerana itu ummah hendaklah melakukan orientasi bijak, memikirkan secara mendalam akan opsyen pendekatan yang lebih realistik supaya kalau berladang biar menjadi – kalau bersawah biar berpadi, dalam menangani iklim politik Melayu Islam yang terbahagi dalam dua kabilah, laksana dua sungai mengalir selari tetapi enggan bercantum.

Setiap yang berlaku mengandungi hikmah tersembunyi sebagai ujian Ilahi kepada manusia. Apabila manusia tekun berfikir, air laut menjadi tawar, racun bisa ada penawar. Kembalilah mencari pedoman di dalam al-Quran. Sesungguhnya, jika Allah menghendaki manusia hanya terdiri dari satu umat, tentunya hari ini dunia hanya mempunyai satu umat seperti yang terkandung pada permulaan ayat 118 Surah Hud, ayat 93 Surah An-Nahl, dan ayat 8 Surah Al-Sura; ketiga-tiga ayat tersebut dimulakan dengan kalimah yang bermaksud: “Jikalau Allah menghendaki, tentu Dia menjadikan manusia umat yang satu . . .”

Tetapi Allah SWT telah mencipta ummah dari seorang lelaki dan perempuan, berbangsa dan bersuku supaya saling mengenali seperti yang terkandung dalam ayat 13 Surah Al Hujurat. Kerana itu ulama berpandangan bahawa perbezaan pendapat adalah satu fitrah yang berlaku, diterima pada zaman Rasulullah SAW, disuarakan di era Khalifah yang empat, demikian juga di era para Tabi’in, disusuli dengan era Mujtahid. Dalam era-era tersebut, muncul pelbagai pendapat, tetapi tidak ada pihak yang merendah-rendahkan kumpulan lain. Allah SWT telah memberikan peringatan melalui ayat 11, Surah Al Hujurat yang bermaksud; “Hai orang-orang yang beriman, janganlah suatu kaum mengolok-olokkan kaum yang lain (kerana) boleh jadi mereka (yang diolok-olokkan) lebih baik dari mereka (yang mengolok-olokkan . . .) . . .

. . . janganlah kamu panggil memanggil dengan gelar-gelar yang buruk. Seburuk-buruk panggilan ialah (panggilan) yang buruk sesudah (mereka) beriman dan barang siapa yang tidak bertaubat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” Surah Al Hujurat (49:11).

Hakikatnya, kelainan pandangan adalah sebahagian dari norma semula jadi intelek. Perbezaan kaedah adalah lumrah yang dibenarkan di dalam Islam, memberikan keistimewaan kepada umat Islam lebih mudah menunaikan ibadah, berpandukan kesesuaian imam dan mazhab tertentu, tetapi tidak sama sekali merendah-rendahkan imam dan mazhab lain, lalu membolehkan berlakunya penyatuan dalam kepelbagaian; perpaduan dalam perbezaan.

Antara kata pujangga Confucius berbunyi; “Tidak menjadi salah untuk sesuatu terusan mempunyai sampan yang banyak asalkan kesemua sampan menuju haluan yang sama.”

Ulasan


Lantaran itu sebagai umat Islam kita harus merenungkan dan mengambil tanggung jawab selaras dengan seruan yang terkandung dalam al-Quran yang bermaksud; “Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari mungkar, merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali Imran: 104).

Begitu pula dalam ayat yang lain bermaksud; “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (Al Hujurat: 10).



Lantunan:

Jumaat, 22 Februari 2013

Kita Adalah Musafir


Ketika itu usia Imam Syafie baru 40 tahun, beliau sudah menggunakan tongkat untuk berjalan. Kemudian ditanya mengapa beliau melakukan demikian rupa, padahal tubuhnya masih sihat dan gagah tanpa keuzuran.

Lalu Imam Syafie menjawab, “Supaya aku selalu ingat bahawa aku adalah musafir menuju akhirat. Demi Allah, aku melihat diriku umpama sesekor burung yang dipenjarakan dalam sangkar yang terbuka pintunya, tetapi kakiu masih terikat di sangkar itu. Sesungguhnya, aku tidak ingin lagi untuk terus bermukim di dunia, tidak kuizinkan lagi teman-temanku memberi hadiah atau mengingatkan aku akan nikmat dunia ini . . . kecuali sekadar keperluan yang wajib bagiku!”

Ya, kita adalah pengembara. Musafir dari alam dunia fana ke alam nyata di akhirat sana.


Salam Jumaat kengkawan, malam Jumaat semalam telah berlalu....

Rabu, 20 Februari 2013

Asal Usul Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor

Bajak di tepi sawah di waktu senja.

Nama asal Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor ialah Kampung Melayu Kahang Batu 28 atau Kampung Kahang Bt 28. Kampung ini dipercayai telah wujud dalam peta Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua lagi. Pada asalnya perkampungan ini dihuni oleh orang-orang asli yang tinggal di tebing sungai Kahang dan dalam hutan Endau Rompin.

Kampung ini terletak di Jalan Mersing dan di tengah-tengah perjalanan antara Kluang dan Mersing. Jarak Kampung Sri Lukut dengan bandar Kluang ialah 45 km atau 28 batu.

Sejarah asal usul nama Kahang

 
Versi pertama

Menurut cerita orang-orang tua di kampung ini, nama “Kahang” diambil sempena nama seorang peniaga berbangsa Cina iaitu Ah Hang. Ketika itu, beliau sering bertandang ke kawasan kampung untuk membeli rotan, damar dan pelbagai hasil hutan daripada penduduk kampung. Akhirnya melalui masa, perubahan sebutan berlaku lalu sebutan Ah Hang menjadi Kahang.

Versi Kedua

Juga berkenaan seorang Cina yang bernama Ah Hang. Kali ini beliau bukan dikenali sebagai peniaga rotan, damar atau pencari hasil-hasil hutan. 

Manusia Ah Hang yang dimaksudkan itu seorang pengusaha atau penembang kayu balak. Ketika itu kawasan Kahang dipenuhi hutan belantara dan dihuni oleh binatang-binatang buas. 

Nama Ah Hang akhirnya meniti di mulut lalu kawasan penerokaan hutan itu dikenali sebagai Kahang.

Versi Ketiga

Nama Kahang diperoleh daripada aktiviti penanaman dan pembukaan ladang lada hitam. Penduduk asal di kampung Melayu itu telah membuka ladang lada hitam dan menjualnya melalui jalan-jalan sungai yang menghubungkan Kluang, Endau, Rompin, Mersing, Kota Tinggi dan Johor.

Lada hitam dalam bahasa Banjar dipanggil SAHANG. Ketika itu lada hitam mendapat permintaan tinggi, maka urusan perniagaan dan perdagangan rancak dijalankan. Begitu juga dengan penerokaan tanah dan kemasukan pendatang-pendatang baru turut tumbuh dengan hebat. Antara yang terlibat di dalam urusan penerokaan dan perdagangan di kawasan ini ialah orang-orang Melayu, Banjar dan Jawa. 

Akhirnya Sahang yang dirujuk tempat atau kebun lada hitam berubah bunyi sebutan lalu menjadi Kahang.

Versi ketiga ini maza dengar sendiri daripada penduduk asal kampung antaranya ialah arwah Atuk Sidin dan Kak Galoh. Maza kira, asal usul nama Kahang dalam versi ketiga ini lebih menyakinkan.

Tali air atau ban yang merentangi di tengah-tengah sawah, Sistem pengairan ini berguna untuk mengawal banjir.

Datuk dan arwah ayah maza merupakan antara peneroka awal Kampung Melayu Kahang Bt. 28. Mereka meneroka dengan menggunakan kapak dan beliung.

Dahulu, kampung ini berjiranan dengan perkampungan orang asli. Menurut kata emak maza, orang-orang asli berkawan rapat dengan arwah ayah dan selalu singgah ke rumah untuk memberi atau menukarkan barang.

Biasanya orang-orang asli itu berkehendakan sirih dan pinang yang kami tanam di halaman rumah. Sebagai pertukaran, orang-orang asli ini memberikan kami buah-buahan kayu hutan seperti petai, jering dan adakalanya binatang buruan yang masih hidup seperti napuh, kijang, rusa, landak dan ayam hutan.

Traktor tersadai setelah membersihkan tapak semaian di tanah sawah Kg. Sri Lukut, Kahang.

Disebabkan pembinaan empangan Temiggol, orang-orang asli itu dipindahkan ke beberapa kampung lain seperti di Kampung Orang Asli Peroh, Kampung Orang Asli Batu 26, Kampung Orang Asli Sedehok, Kampung Orang Asli Air Pasir, Kampung Orang Asli Sri Kenangan, Kampung Orang Asli Tanah Abang, Kampung Orang Asli Punjut, Kampung Orang Asli Pengkalan Tereh.

Kebanyakan orang asli di sini dari suku kaum Penan dan Jakun.

Sebetulnya, sawah padi sudah ada lama di Kampung Melayu Kahang Bt. 28 iaitu sebelum zaman pemerintahan tentera Jepun lagi. Sawah diusahakan secara 'tanaman sara diri' (makan sendiri). Taliair dibina dengan cangkul dan bersaiz kecil. Sehinggalah kerajaan membuat keputusan hendak menjadikan kawasan kampung kami sebagai pusat penanaman padi utama di Johor. Ia dirancang sedemikian rupa dan akan dijadikan lapangan makanan negeri. Cadangan awal itu mahu menjadikan kawasan sawah Kahang bersambungan dengan kawasan tanaman padi di Mersing dan Endau. Namun disebabkan keadaan muka bumi yang tidak begitu sesuai, racangan itu terbantut hinggalah sekarang.

Dengan adanya rancangan penanman padi secara besar-besaran itu, kerajaan mula membawa orang-orang Kedah untuk menyertai Rancangan Pinggiran dan Penanaman Padi di Kahang. Tujuannya ialah untuk mengusahakan tanah sawah Kahang serta menjadi petani contoh kepada penduduk tempatan yang masih menggunakan kaedah penanaman padi secara tradisi. 

Tali air atau ban yang arwah ayah, datuk maza serta penduduk kampung menggali dan mencangkul untuk membinanya

Oleh itu, penduduk asal Kampung Kahang Batu 28 terdiri daripada masyarakat majmuk. Selain orang-orang Melayu Kahang yang menjadi penduduk awal di situ, penduduk-penduduk Kahang juga terdiri daripada mereka yang berasal dari daerah-daerah lain di negeri Johor seperti Muar, Mersing, Endau, Pontian. Tidak kurang juga ada yang berasal dari luar negeri Johor seperti  Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.

Dahulu, berdekatan Kampung Kahang Batu 28 terdapat sebuah pengkalan pelabuhan dan pendaratan sungai. Berdekatan pengkalan tersebut berdiri penempatan orang-orang Cina yang berniaga dan meneroka tanah pertanian seperti lada hitam, pembalakan dan rempah ratus. 

Orang-orang Cina ini dibawa masuk ke sini melalui program 'Sistem Kancu' yang diamalkan oleh Bapa Pemodenan Johor, Maharaja Abu Bakar. Kawasan yang dimaksudkan itu ialah di pinggir sungai Kahang Batu 26. Jadi, tidak hairanlah apabila kita boleh bertemu dengan jirat Cina di tengah-tengah perkampungan Melayu di Kampung Kahang Bt 28 itu.

Sekarang perkampungan di pinggir sungai Batu 26 itu telah dipindahkan. Perkampungan Cina itu dipindahkan ke Kampung Baru Kahang Bt.22 pada zaman darurat pengganas Komunis. Hari ini perkampungan Cina itu telah menjadi sebuah pekan.

Pertukaran Nama


Pertukaran nama Kampung Kahang Batu 28 kepada nama Kampung Sri Lukut berlaku ketika Yang Amat Mulia Tengku Ibrahim Ismail Tengku Mahkota Johor datang mencemar duli ke kampung ini pada tahun 1986/87. 

Jalan Pulang: Pemandangan yang lumrah di waktu petang berlatar belakangkan rumah penduduk kampung dan Surau An Nur, Jalan Temiggol, Kg Sri Lukut


Ketika itu, penduduk kampung memohon perkenan dari Y.A.M. Tengku Mahkota Johor supaya nama kampung ditukar kepada Kampung Sri Lukut berdasarkan peristiwa D.Y.M.M Almarhum Sultan Ibrahim berburu badak sumbu di kampung tersebut. 

Pada waktu itu, Almarhum telah membuat istana sementara untuk bermalam di hulu Sungai Lukut yang terletak berhampiran kampung, iaitu KM 45 Jalan Mersing untuk mengesan perjalanan badak sumbu. Bagi mengenang peristiwa tersebut, penduduk memohon agar permohonan mereka diperkenankan. Maka pada tahun 1987, Kerajaan Negeri Johor telah menukar nama Kampung Kahang Batu 28 kepada Kampung Sri Lukut. Nama ini kekal hingga sekarang.



Lantun-lantun menyingkap asal usul




Isnin, 18 Februari 2013

Inilah Bahagian Hidup. Tanpa Jangka Tanpa Sangka.

Dalam kasus menenangkan hati gundah seorang teman.

Dalam hidup ini macam-macam benda tidak disangka boleh berlaku terutamanya setelah kita selesa dengan apa yang kita hadapi atau perolehi seperti kesihatan, kewangan, keluarga dan sebagainya.

Demikan juga dengan nasib seorang sahabat maza ini.

Dia seorang atlet. Hidupnya penuh dengan mengamalkan gaya hidup sihat. Dia menjaga makan dan pengamal diet seimbang yang tekun. 

Malah dia seorang yang suka bersedekah. Seorang yang baik hati dan suka menghiburkan kawan-kawan.

Pada suatu hari, dia menemui doktor mengadukan halnya yang sudah hampir sebulan mengalami batuk-batuk dan selsema.

Rabu, 13 Februari 2013

Dirotan Cikgu

"Siapa sembahyang lima waktu?" kata Cikgu Yunus dan Syafiee.

Agak ramai juga yang mengangkat tangan.

"Bagus" kata cikgu itu lagi.

"Siapa sembahyang dua waktu dan tak sembahyang tiga waktu, angkat tangan," periksa cikgu.

Menjadi suatu kepelikkan apabila tiga suku daripada kelas Darjah 1, Sekolah Agama Kahang yang mengaku. Padahal semuanya maklum, barang siapa yang mengaku akan dikenakan rotan, satu waktu tinggal solat akan dapat habuan rotan di tangan atau kaki sebanyak itu juga.

"Siapa yang keluar rumah tak menutup aurat? Siapa pakai seluar pendek atau tak bertudung, angkat tangan," cikgu lihat berkeliling.

"Semua yang tak menutup aurat datang ke hadapan," tambah cikgu lagi.

Ramai juga kawan-kawan yang bangun, termasuklah maza sendiri, pergi ke hadapan papan hitam itu. Sebelum hukuman dilaksanakan, sekali lagi cikgu memeriksa kesalahan kami.

"Apa salah awak? Di mana awak lakukan kesalahan?"

Kini tibalah giliran maza pula.

"Saya pakai seluar pendek kat sekeliling rumah aje cikgu."

"Oh! Kalau begitu, cikgu maafkan. Lain kali kalau keluar berkeliling rumah sekali pun, kita kena tutup aurat. Sebab mungkin ada mata-mata yang memandang ke arah kita dan ketika itu kita tidak tutup aurat. Jadi kita akan sama berdosa."

Menyeberang titi di hadapan rumah untuk ke dusun manggis dan sawah

Pelik bukan? Betapa pulusnya kami ketika itu. Kalau tidak mengaku, tentunya akan selamat. Bukannya cikgu tahu pun. Namun kami tetap memilih untuk mengaku.

Maza tersenyum riang setelah terselamat daripada dirotan. Maza berlalu dengan bersahaja ke tempat duduk. Di wajah menguntum senyuman lega.

Belum pun sempat punggung mencecah tempat duduk, tiba-tiba melayang sebuah suara dari belakang. Seorang murid perempuan berkod nama SUE mengadu pula.

"Semalam saya nampak maza mandi telanj **g cikgu. Dia mandi kat ban, kat taliair depan rumah dia."

Pulak! Kena mengadap saat getir lagi nampaknya ni, kata hati maza.

Naik copot jantung maza. Berderau darah. Apa yang menjadi kemusykilan ialah bila masa pula si dia mengendap maza? 

Soalan kedua, macam mana si dia boleh tahu maza mandi sedemikian rupa, sedangkan saban masa maza berendam di dalam air, sehingga bebola mata bertukar menjadi merah? Kalau mandi bog** sekali pun, tentu tidak juga kelihatan disebabkan taliair itu sudah keruh, seumpama secangkir teh susu pekat di kedai Markonah atau Warung Banun!

Ban atau taliair, tempat alternatif yang lazim maza bersuci selain telaga di dalam rumah

"Maza, kenapa awak tak mengaku tadi?" maza pun bangun dan terkeseng-keseng pergi ke hadapan sana.

"Siapa yang tak mengaku dan berbohong, cikgu akan tambahkan denda. Rotan di kaki, dua kali," biasanya hanya rotan di tangan sahaja. Kali ini selain di tangan, tambahan hukuman itu menambahkan lagi keperitan hidup!

"Tapi cikgu . . . tapi cikgu . . . mana ada? Saya cuma berkubang dengan adik saya sahaja semalam" cuba berdalih.

"Zaappp . . . zaappp . . . zaappp . . ." kena rotan juga akhirnya. Bukan setakat tambahan dua kali, tetapi hentamannya dipertingkat dan diperkuatkan sebanyak tiga kali.

Kali ini bukan disebabkan tuduhan mandi berbog**, tetapi tuduhan yang lain. Katanya tuduhan kedua itu lagi berat kerana boleh meragut nyawa. Nyawa hidupan marin dan diri sendiri selain menyusahkan orang kampung hendak mandi disebabkan air berkeladak yang menghilir ke muara sana.

Aderkkk....

Pelik bukan? Betapa mulus dan lurusnya kita pada zaman dahulu. Hari ini maza tidak tahu pula kelakuan kengkawan bagaimana, tetapi maza rasa, maza memang selalu lurus . . . ahaks . . .

(Kesemua gambar menggunakan teknik HDR, 4 EV stop . . .)

Hehehehe


Sebuah nukilan lantun-lantun 

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails