‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 30 Julai 2009

SIRI RUMAH TANGGA PAK MAT: Bala Saka Baka 1

Usai solat Isyak Pak Mat bergegas menghala ke warong Banun. Tiap-tiap malam demikianlah perilakunya. Kerongkongnya sudah ketagih kopi si Banun.


Sebaik menghampiri warong tersebut sudah ada lima enam orang di situ. Budak-budak muda di hujung sana di bawah pokok cempedak sibuk bermain dam haji dan carom. Lampu kalimantang setia menemani mereka.




(Illustrasi: Warong Banon di tepi jalan)


Di dalam warong beratap rumbia itu terdapat meja segi empat sama yang di selang selikan dengan meja panjang segi empat tepat. Beberapa buah meja itu telah berpenghuni. Mereka semua itu dikenali oleh Pak Mat. Mereka ialah kawan-kawan Pak Mat juga. Orang kampung situ.


Warong Banun terletak di tepi jalan besar. Hari Selesa malam Rabu di Jalan Kahang-Mersing ini memberikan rezeki halal untuk Mak Banun bersama Pak Ismail. Hampir dua puluh tahun mereka berkhidmat kepada orang kampung. Dan selama itu jugalah kopi, soto dan mee bandung sedia mengisi kantung perut orang-orang tempatan.


Warung ini juga seolah warung terapung. Di sebelah warung ini dan di seberang jalan sana terletak sawah nan luas mata memandang. Kalau di siang hari pula jelas kelihatan kehijauan menghening ketika padi baru disemai dipetak-petak bidang sawah.


Suasana damai inilah sering kali membuatkan pengunjung rasa cukup kagum dan senang sekali. Selesa dan tak betah merakamkan segala isi permai kampung melainkan menyaksikan sendiri.


Di balik sawah itu pula terpamer tanah banjaran Keledang yang sayup-sayup kebiru-biruan. Di atas sana letaknya Gunung Berlumut.


Warung Banun berdindingkan kayu. Cukup ringkas dan bereka bentuk tradisi. Di atas dinding di salah satu sudut itu diamnya sebuah tv bersaiz dua puluh satu inci. Hampir sepuluh tahun tv berjenama Hitachi itu berkhidmat di situ.


Imam, bilal, tok siak, penghulu dan tok ketua sudah sedia ada di bawah bumbung warong Banun. Mereka sedang mengadap hidangan masing-masing.


“Banun buatkan aku kopi o kaw dengan soto! Errr… Masuk buku yea!”, jerit Pak Mat dari luar sambil menongkatkan basikal tuanya.


Mak Banun dan Pak Ismail sudah biasa benar karenah orang kampung. Buku yang dimaksudkan oleh Pak Mat ialah buku tiga lima (555). Buku akaun itu merujuk sebagai buku hutang pelangan tetapnya. Setelah Pak Mat menjual hasil kebun atau getah keping di baruh itu, Pak Mat akan membayar segala hutang di warung tersebut. Itu pun dua minggu atau tiga minggu sekali. Bergantung kepada rezeki, cuaca dan kekuatan tubuh orang tua itu.


“Hah! Pak Mat lambat sampai?”, tegur Hussain





(Gambar: Sup Utara juga salah satu hidangan istimewa di situ)




“Ah’ah! Aku lewat sampai sebab perut aku memulas tadi.”, Pak Mat terus menuju ke meja Hussain. Kemudian dia bersalaman dengan seisi kedai itu. Kecuai budak-budak muda di bawah pokok cempedak sana. Mereka terlalu asyik di atas pangkin dengan pertandingan dam haji, chess dan carom. Khusyuknya mengalahkan mereka yang mengambil bahagian dalam musabaqah Al Quren ataupun acara lontar cakera di kejohanan piala dunia.


Semua alat permainan tersebut disediakan oleh tuan kedai. Selain memenuhi aktiviti malam hari pemuda-pemuda di kampung itu, dapat juga mereka berlatih, memantapkan minda dan strategi untuk bertanding kejohanan temasya sukan tahunan di kampung ini dan kampung Nitar di sebelah sana.


Selain itu ia sebagai strategi memeriahkan kedainya. Juga untuk memantapkan hasil jualan Mak Banun.


Pak Mat dan warga kampung saling menyantuni dan bertegur sapa dengan mesra seperti biasa. Mereka rancak berborak. Ada yang berborak tentang penghasilan kampung, politik, kenduri kahwin, kenduri arwah, sukan, perancangan masa depan hinggakan ke masalah negara.


Secangkir kopi o kaw yang dipesan oleh Pak Mat telah sampai dan dihidangkan di hadapannya. Soto juga sedia terhidang. Pak Mat menikmati hidangan lazat itu. Dihirupnya soto itu satu persatu. Dielusnya perlahan-lahan kenimakmatan soto di batang kerongkongnya. Sesekali kopi pahit itu diteguk sambil melayani dan mendengar butir hujah teman-teman sekampung.


Tepat jam sepuluh malam mereka terdiam.


“Dah tiba. Dah tiba!”, Hussain yang duduk di hadapan Pak Mat berteriak.


Pemuda-pemuda harapan kampung bergegas melompat dari pangkin itu masuk ke kedai Mak Banun. Mengambil tempat kosong di meja-meja yang terkangkang di situ.


Mak Banun dan Pak Ismail segera memberhentikan kerja. Tambahan pula tiada pesanan yang diterima. Dia bergegas dari dapur ke ruang depan warung. Sama-sama terpaku di situ.


Sunyi seketika. Mata masing-masing kalau boleh diseka, maka mereka akan menyekanya agar tidak tertutup. Terbeliak masing-masing. Memaku tepat di kaca tv Hitachi dua puluh satu inci itu.


Satu suara pun tidak berdetik. Bahkan tidak berani untuk melentingkan bunyi.


Kalau ada cengkerik, cenkerik pun dipaksa diam. Kalau ada katak sedang melaung-laung, diherdiknya supaya berhenti berbunyi. Apatah lagi kalau ada suara-suara yang berdehem atau terkeluar kata. Ada harapan manusia itu dilutu kepalanya di situ juga.


Tidak kiralah dari siapa suara itu keluar, waema ketua kampung atau penghulu, mata-mata ganas akan segera menikam mereka!


Mereka benar-benar memberi laluan. Cerita bersiri di TV2 bertajuk, “Jangan Pandang Belakang” sedang memaparkan aksi seram. Lakonan itu dijayakan oleh beberapa pelakon baru dan pelakon vateran handalan. Antaranya Ashraf Muslim (sebagai Syakir), Maznah Hamid (Mak Busu), Syarifah Sahora (Putih) dan lain-lain lagi.


Masing-masing akan menghela nafas lega setelah laluan komersial (iklan) mengambil tempat di saat-saat yang berbaki itu.


Elok jam sebelas malam (11.00 malam) wayang percuma di warung Banun pun tamat. Masing-masing mulalah berbincang, membuat tekaan atau menjelaskan lagi perkara yang terselindung di sebalik wayang itu tadi.


Orang-orang kampung yang tinggal dan mencari rezeki di pinggiran hutan Lenggong sudah biasa sangat dengan pengalaman seram seperti itu. Terutama orang-orang tuanya.


Anak-anak muda di situ akan menekuni setiap butir cerita yang terkeluar dari bibir orang-orang tua di kampung tersebut. Mereka berbuat demikian untuk mengetahui maklumat tambahan disamping mendapatkan detail selanjutnya. Pelajaran tidak rasmi ini hanya terdapat di bawah pondok Warung Banun. Dan ia akan disampaikan dari generasi ke generasi.


“Kalau kau orang nak tahu. Aku pun ada saka.”, Pak Mat bersuara lantang hingga memegunkan orang yang berada di sekeliling. Penghulu melopong mendengarkan dakwaan Pak Mat. Tok Ketua pula ternganga. Mereka yang sedang menghirup minuman masing-masing berhenti meneguk.


Beberapa orang sedang berbual mula terdiam dan mereka memberikan perhatian kepada Pak Mat. Mereka menantikan butir kata seterusnya.


“Saka yang macam mana tu Pak Mat?”, Tok Siak ingin kepastian.


“Saka ini sebenarnya satu ilmu. Dulunya ia ditimba untuk kebaikan. Bayangkan orang-orang tua kita dahulu itu! Mana terdaya nak buat sawah berbidang-bidang ekar ini seorang. Tak pun, zaman darurat atau zaman gajah bermaharajalela, kalau tidak kerana ilmu tersebut susah juga orang kampung nak menjaga keamanan seluruh kampung kita! Tetapi ilmu saka aku pula lain daripada mereka itu. Sudah lama aku amalkan”


Pak Mat mematikan kata seketika. Dia cuba melegakan kerongkong dengan menghirup kopi o kaw yang mulai menyejuk itu. Dari balik celah cangkir tersebut dia cuba mengerling sekeliling. Dari situ dia mendapati semua orang resah.


“Lepas tu Pak Mat”, Tok Ketua sudah tidak sabar.


Pak Mat senyum seketika. Senyum sinis yang membayangkan betapa hebat dirinya itu. Dan hari ini dia akan mendedahkan segala rahsia yang tersimpan. Ah! Biarkan ia pecah, lagipun usianya sudah melangkah ke alam tua. Kalau tidak diceritakan nanti ditakuti ilmu tersebut terkubur bersama-samanya.


“Ya! Saka aku lain sikit. Tidak sama sebagaimana engkau orang sangkakan. ... Banun minta aku kopi o lagi dan pisang sekali ya!”.


“Aduhh ... Pak Mat ni ... saja lah!”, mereka yang melopong dari tadi mengeluh beramai-ramai.


“Engkau orang nak dengar cerita tak? Kalau nak tunggulah. Sabar! Tekak aku ni rasa kering. Kena basahkan dulu. Barulah lancar sikit. Tapi lagi lancar kalau ada pengerasnya ...” Pak Mat menjeling dan memandang kepada semua batang tubuh yang ada di dalam kedai itu.


“Tak pe. Tak pe! Biar saya yang bayar semua sekali. Minta apa aje Pak Mat. Biar ayah saya bayarkan untuk Pak Mat”, Jani anak Tok Penghulu dengan selambanya bersuara. Jani masih menganggur. Dia graduan dari universiti tempatan. Jani membuat keputusan yang berani itu tanpa memandang bahkan persetujuan bapanya.


Dalam diam Tok Penghulu mengeluh perlahan, “Hmm ... aku lagi lah tu yang kena bayarkan ...”. Mereka yang terdengar suara Tok Penghulu tersenyum sambil menutup mulut. Ada dalam kalangan mereka yang menahan ketawa sambil memalingkan muka.


Bersambung ke minggu hadapan...


Sambungan episod ke dua, klik di sini ...





blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails