Mersing - Kali ini perjalanan kami sekeluarga menyelusuri pantai timur Johor yang membawa maza ke Mersing sebelum tiba ke Kampung Sri Lukut, Kahang, Johor.
Seputar jam 3.00 petang kami singgah di salah sebuah pantai dengan menyusuri Jalan Pantai dan Jalan Sheikh Hassan. Mulanya maza kaget melihatkan keadaan air surut yang begitu jauh ke tengah! Maza kira itu
petanda tsunami. Air laut surut begitu jauh
hingga kalau hendak menyeberang ke pulau di seberang sana pun boleh hanya berjalan kaki.
Menanti waktu berputar. |
Kebetulan di situ ada beberapa orang nelayan sedang membuat persiapan sebelum turun ke laut. Maza bertanyakan fenomena tersebut. Mereka menyuruh maza bertenang dan ia perkara biasa di situ.
Sambil-sambil itu, maza sempat meneliti kawasan persekitaran sambil menikmati keindahan alam. Tiba-tiba maza terlihatkan sebuah pulau yang kelihatan begitu hampir sekali. Sekali lagi pakcik itu menerangkan bahawa pulau yang maza sedang lihat itu ialah Pulau Setindan.
Pulau Setindan, Mersing |
Katanya lagi, akibat surut yang jauh itu membolehkan kita pergi ke pulau tersebut dengan hanya berjalan kaki. Sungguhpun demikian, jika tersalah perkiraan masa, pejalan kaki boleh tersadai di pulau tersebut. Atau terperangkap di tengah-tengah pantai atau di benteng pasir akibat air pasang. Bertambah malang sekiranya tidak sempat untuk kembali ke daratan lalu boleh membahayakan diri dengan diancam mati lemas ditelan laut China Selatan!
Di hujung sana Kuala Sungai Mersing yang menempatkan bandar Mersing. |
Sebenarnya, Pulau Setindan tidak berpenghuni dan bersaiz sekitar 7 km persegi. Ia dikelilingi pasir pantai dan batu karang. Penghuni utama di sana ialah babi hutan.
Asal nama pulau ini ialah Pulau Setandan. Akibat peredaran masa dan perubahan dialek, akhirnya Pulau Setandan berubah sebutan kepada Pulau Setindan. Mengikut riwayat daripada orang-orang tua di sini, Pulau Setandan kelihatan dari jauh seperti tandan kelapa. Jarak pulau dari muara sungai Mersing sekitar 4.5 km sahaja.
Menghadap Pulau Setindan |
Pulau Setindan memang terkenal sebagai lokasi kaki pancing terutama pemburu ikan karangan seperti kerapu, ketarap, bengkes, delah dan macam-macam lagi. Biasanya pemancing akan mula berlabuh dan mengail dari pagi hingga lewat petang.
TERSADAI DI TEPI PANTAI
Sarat dengan jerangkap untuk memerangkap hasil lautan. |
Tatkala air surut jauh di hujung sana, deretan sampan dan kolek milik nelayan tempatan tersadai memanaskan
diri.
"Ia perlu dijemur untuk membersihkan karangan laut yang melekat di buritan
dan pantat sampan." kata pakcik tadi.
Menurut perkiraan maza, surutnya air laut itu tidak kurang daripada 2 km.
Merenungi masa depan. Antara kabur dan jelas |
Tersadai di pesisiran pantai... Harap-harap hidup juga tidak kabur dan tersadai tak karuan.
Gambar di atas ini bukannya datang dari gurun sahara atau laut kekeringan, tetapi laut Mersing yang indah itu sedang mengalami air surut jauh ke tengah.
Masih adakah harapan untuk maju dalam hidup? |
Nelayan-nelayan pantai ketika ini mengambil kesempatan untuk berehat sebelum memulakan aktiviti perikanan petang nanti. Mereka akan mempertaruhkan nyawa demi secupak rezeki. Demikianlah nasib nelayan pantai menyambung nyawa selagi hayat dikandung badan.
Sebuah catatan kembara