‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Memaparkan catatan dengan label Kembara Kelana. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kembara Kelana. Papar semua catatan

Isnin, 5 Jun 2023

SEJARAH ASAL USUL TEMIGGOL

 SUNGAI TEMIGGOL

Sungai Temiggol
Sungai Temiggol

Tiada rekod untuk menunjukkan asal muasal nama Sungai Temiggol ditemui. Sungguhpun demikian, penyelidikan lanjut mendapati ejaan Temiggol telah dieja dengan pelbagai ragam dan bentuk. Antaranya ialah Temiggol, Teminggol, Temigol dan Tumigol. Kajian mendapati, pada geran tanah mukim Kahang yang dikeluarkan sebelum merdeka 1957, kata nama Temiggol telah dieja dengan perkataan Tumigol (تومڠݢل).

Carian seterusnya menampilkan frasa Tumigol ini wujud di dalam bahasa Bobongko.

Taman Rekreasi Sg Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol, Kg Sri Lukut, Kahang

Bahasa Bobonko dituturkan oleh sebahagian kecil kaum yang berasal dari perkampungan Lembanato dan Tumbulawa, Kepulauan Togian, Tengah Sulawesi, Indonesia.

Maksud perkataan Tumigol ialah berdiri (stand).

Sungai Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol, lokasi liburan dan pelancongan

Teori

Pada awal pembukaan kampung ini, terdapat beberapa buah keluarga berketurunan Bugis yang berasal dari Sulawesi. Secara umumnya, Sungai Temiggol yang muranya bertembung dengan Sungai Madek telah menjadi jalan pengangkutan, sumber rezeki dan kawasan penempatan awal di Kampung Sri Lukut. Lantaran itu, sungai ini telah diberikan nama Tumigol bagi menyatakan tempat berdiri atau berdiamnya selain menerangkan kewujudan (melalui penggunaan bahasa Bobonko itu) tentang keluarga berketurunan dari Sulaweisi atau Bugis di sini.

Sungai Temiggol
Sg Temiggol, Kg. Sri Lukut, tempat 'healing' gaya Kampung People

Hasil daripada proses asimilasi, perubahan budaya dan keadaan setempat terutamanya dengan kehadiran ramai keluarga berketurunan Banjar dari pulau Kalimantan, perkataan Tumigol mula berubah. Demikian juga apabila tulisan rumi mula mengambil tempat tulisan jawi, maka ejaan untuk menyesuaikan perkataan Tumigol (تومڠݢل) turut berubah menjadi Temigol, Temiggol atau Teminggol.

Dapatan ini bukanlah sesuatu sejarah dan bukti yang konkrit, namun sekadar teori bagi menggambarkan perkaitan kewujudan nama Temiggol.

 

Rabu, 25 Januari 2023

FENOMENA INDAH SEPERTI TAMAN SYURGA: TAMAN REKREASI SUNGAI TEMIGGOL

 Januari 25, 2023 (Rabu), Taman Rekreasi Sungai Temiggol, Kg. Sri Lukut, Kahang, Johor - musim tengkujuh kini bersambung dengan Tahun Baharu Cina. Sejak dua hari lalu hujan lebat menimpa bumi Kg. Sri Lukut. Kejap-kejap lebat, ada masanya menjadi reda. 

Bah di Taman Rekreasi Sg Temiggol
Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Air jernih melimpahi Taman Rekreasi Sg. Temiggol

Keadaan cuaca sebegini menyebabkan sesetengah kawasan rendah dinaiki air. Sehingga catatan ini dilakukan, Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Becana Banjir tidak lagi dibuka di sini. 

Air sungai mula penuh dan ada beberapa kawasan sudahpun melimpah. Tidak terkecuali di Taman Rekreasi Sg Temiggol yang dikelilingi oleh tiga sumber air iaitu Sungai Temiggol, tali air pengairan sawah Kahang dan Sungai Mengkarung. 

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Fenomena Alam Musim Tengkujuh

Limpahan air dari hutan dan bukit sekitar telah mengakibatkan fenomena indah ini. Kawasan sekitar Taman Rekreasi Sungai Temiggol digenangi air jernih sehingga boleh menampakkan anak-anak ikan berkeliaran. Sesekali terlihat kelibat ikan-ikan sungai yang bersaiz sederhana dan besar.

Taman Rekreasi Sungai Temiggol: Antara Lokasi Penemuan Ikan Tapah

Seputar tahun 1988, di kawasan ini berlaku tragedi ikan tapah. Ketika itu musim tengkujuh. Ikan-ikan tapah yang pelbagai saiz dan besar-besar belaka telah berenang dan memasuki kawasan hutan simpan kekal ini. Zaman itu Taman Rekreasi Sungai Temiggol belum dinaiktaraf sebagai taman rekreasi atau pusat rekreasi. Kawasannya masih dalam keadaan semulajadi yang dikelilingi oleh hutan belantara.

Taman Rekreasi Sg Temiggol: Pondok atau Wakaf

Taman Rekreasi Sg Temiggol: Antara Anak Sungai yang Mengelilingi Taman Ini

Penduduk kampung berpesta ikan tapah. Ikan tapah ditombak, dipukat dan dijaring. Rekod mencatatkan ikan tapah seberat 40 kilo berjaya dibawa naik. Limpahan rahmat ini telah membawa rezeki besar sehingga ada penduduk kampung mampu membeli sebuah motorsikal RXZ 133cc hasil tangkapan tersebut.

Bah di Sg Temiggol

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Kini fenomena itu tinggal sejarah. Setakat ini kejadian tersebut tidak berulang lagi. 

Sungguhpun demikian, Taman Rekreasi Sg. Temiggol kembali dirahmati dengan fenomena alam yang satu ini. Air jernih melingkari kawasan menciptakan keindahan alam yang begitu sukar digambarkan dengan kata-kata. 

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Taman Rekreasi Sungai Temiggol

Semoga Kg. Sri Lukut dilimpahi rahmat dan di dalam pelindungan ALLAH SWT.


Nukilan lantun-lantun


Rabu, 14 September 2022

I LOVE SG TEMIGGOL

 


Taman Rekreasi Sungai Temiggol menawarkan pelbagai dan banyak aktiviti riadah untuk ahli keluarga.

Selain berkelah, terdapat kemudahan berkhemah, inap desa dan tempat-tempat menarik seperti bendang dan hutan simpan hidupan liar kekal.

Taman Rekreasi Sg Temiggol terletak di tengah-tengah perkampungan tradisional Kg. Sri Lukut, Kahang, Kluang, Johor.

Jom ke sini. Kita santai dan beriadah bersama-sama.


Hik hik
Ammak satu kali

Ahad, 24 Julai 2022

ANAK SAYA SEORANG ATLET JUGA: SEKOLAH KEBANGSAAN KAHANG BATU 28

Sekolah Kebangsaan Paloh, Kluang, Johor - Pada hari ini saya terpaksa melepaskan anak saya, Aqlan Sholehin, untuk menyertai kejohanan ragbi peringkat MSSD Daerah Kluang. 

Awalnya saya macam tidak percaya dengan tenaga, skill dan bakat Aqlan dalam dunia kesukanan. Badannya sekeping; kepeng. Banyak tulang selangka berbanding isi, lemak dan otot sado.

Cikgu Samsuri Nasir pernah menyakinkan saya, terutama keupayaan Sekolah Kebangsaan Kahang dalam kejuaraan yang satu ini.  Bukan kaleng-kaleng katanya. Pernah menjadi juara di perinkat MSSD dan terpilih ke peringkat negeri. Anak saya terpilih berikutan bentuk fizikal yang tinggi dan kepercayaan bakat serta skill yang terpendam di dalam dirinya. 

"Paling tidak pun, dapatlah dia mencatat namanya dalam sijil. Buat bekal untuk dia pada masa akan datang." Cikgu Samsuri menyakinkan saya di Warung Ina Jeman yang menghadap bendang terbentang saujana mata memandang itu. 

Hari ini telah menjadi saksi besar!

Pasukan Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28 yang diwakili oleh barisan atlet cilik dan anak saya itu telah mencetak kejayaan sebagai Naib Johan di Kejohanan Ragbi MSSD Daerah Kluang. 

Sekarang bukan setakat mencetak nama di sijil tamat sekolah atau sijil yang khusus, Aqlan Sholehin memperoleh sebuah pengalaman berharga. Setidak-tidaknya dia mempelajari erti perjuangan. Sebagai seorang lelaki, dia adalah seorang pejuang, pewira, pendekar, pemimpin, pahlawan dan pelindung kepada kehidpan mendatang. 

'I proud of you, my son.'

Tiba-tiba nak 'claim; Like Father like son.'

Dahulu ayahnya ini atlet juga. Pernah menyertai beberapa kejohanan seperti bola sepak, hoki, badminton, catur, pidato, debat, forum, lumba basikal gerek mencelah pokok (acara kampung), tiup belon peringkat hari keluarga.

Namun seingat-ingat ayah paling dalam ialah menjadi juara melontar sabut di tengah padang peringkat rumah pasukan. 

Juga acara balapan berenang di tengah laman ketika hujan peringkat rumah sewa. Masa ini ayah naib johan sahaja. Johannya ialah Ustaz Idris bin Saleh. 

Selain itu ayah pernah menduduki tempat ketiga di belakang Ustaz Zulkifli bin Zainal dan Rozlan Mohamed Noor dalam hafalan kitab peringkat rumah sewa Setingarden, Jalan Kubur, Pantai Dalam, KL. Jangan ditanya nama kitab kuning "Permata Yang Itu". Ayah lupa nama kitabnya. Ni semua pasal tertelan 40 ekor semut, dek kerana ibu kau salah bancuh air teh o beng. Azab! Huhuhu.

Jadinya, ayah bukanlah sembarangan juga dalam arena dunia kesukanan. Boleh diiktiraf sebagai mantan atlet! (wakaka - ketawa gatal)

Tahniah Aqlan Sholehin, Sekolah Kebangsaan Kahang Batu 28, para jurulatih dan guru-guru yang terlibat. 

Hik hik.
Ammak satu kali

Sabtu, 19 Februari 2022

𝗔𝗡𝗚𝗞𝗔𝗥𝗔 𝗕𝗘𝗞𝗔𝗦 𝗧𝗨𝗡𝗔𝗡𝗚

Kami merayau-rayau sekitar kampung dengan menunggang motorsikal berdua. Saya membonceng Bekas Tunang.
 
'Ah, persetanlah orang nak mengata perihal kami berdua-duan ini.'

Kemelesatan ekonomi memang ketara. Masing-masing mengalaminya sendiri. Kelat di kerongkong memikirkan hal nasib keluarga di hari muka. Anak-anak semakin membesar. Hal sekolah dan melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi adakalanya menikam hulu hati. Pedih.

Setibanya di tebing ban di Kampung Kedah, Pinggir Jaya, saya menghentikan motorsikal. Lalu mematikan enjin. Kecamuk di fikiran barangkali panadolnya adalah memerhati keindahan alam.
 
Bekas tunang saya turun dari motorsikal. Lalu mengambil ranting kayu dan melibas-libas ke kiri dan kanan.
 
Entah apa firasat yang dia dapat, tiba-tiba Bekas Tunang saya berteriak bersungguh-sungguh, "siapa yang paling beruntung, cantik dan mulus dalam dunia ini?"

"Muuuuoooooo," sekonyong-konyong terdengar laungan kuat menjawab persoalan berat yang diperkatakan oleh bekas tunang saya dari kandang lembu di seberang tebing ban. Ada lima ekor kesemuanya.


Saya dan dia terus berdekah-dekah di situ juga. Sekelip mata muncul kegirangan; ceria di dalam hati.
Sekarang Allah SWT membalas jawaban kekusutan tadi secara tunai.

Alhamdulilah.
Hik hik

Ammak satu kali


Sabtu, 22 Januari 2022

MUMMY HOMESTAY: INAP DESA YANG SELESA DI KG SRI LUKUT, KAHANG

Kg Sri Lukut, Kahang, Johor sebuah destinasi pelancongan yang semakin mengukir nama dan mendapat sambutan hangat. Lokasinya yang unik, bersempadanan di antara Kluang-Mersing. Malahan terletak di tengah-tengah negeri Johor. Suasana begini menawarkan pengalaman yang unik dengan panorama yang cantik serta segar. Kg Sri Lukut menghamparkan suasana perkampungan tradisional dengan sawah terbentang luas dan sumber ikan sungai yang terpelihara eko-sistemnya. 

Pengunjung yang mementingkan keselesaan dan penginapan yang luas dengan tetamu yang ramai, bolehlah mencuba menginap di Mummy Homestay, Kg Sri Lukut, Kahang, Johor. 

Tempahan penginapan, hubungi: 013-744 1975
Lokasi Homestay Mummy Google Maps: 
7J44+23G Kahang, Johor
2.2550534, 103.6051958

Hubungi: 013-744 1975



Banglo yang terletak di tengah-tengah kampung dan di atas bukit, dikelilingi pula dengan pohon sawit; menawarkan suasana kehidpuan di kampung yang damai, indah dan bermakna. Saiz banglo ini ialah 50 kaki x 80 kaki.

Homestay Mummy, Kg. Sri Lukut Kahang: 
Luas Banglo 50 kaki x 80 kaki

Homestay Mummy Kg Sri Lukut:
Pemandangan Hadapan Rumah

Homestay Mummy Kg Sri Lukut Kahang:
Memiliki Laman yang Luas

Homestay Mummy Kg Sri Lukut Kahang:
Beranda yang Lebar dan Selamat. Sesuai untuk berguling-guling

Homestay Mummy Kg Sri Lukut:
Ruang parkir yang besar hingga boleh memuatkan lebih 10 buah kereta

Soal parkir kereta tidak menjadi masalah. Sebanyak 10 buah kereta boleh parkir di laman Mummy Homestay dalam satu-satu masa.

Ruang istirahat dan ruang tamu yang luas serta dilengkapi dengan perabot. Terdapat dua set sofa disediakan selain peti televisyen, meja kopi dan side table

Homestay Mummy Kg Sri Lukut Kahang:
Ruang tamu dengan set sofa ala Inggeris

Homestay Mummy Kg Sri Lukut Kahang:
set sofa yang dilengkapi dengan sideboard, side table dan coffee table.

Homestay Mummy Kg Sri Lukut Kahang:
Terdapat juga set sofa kulit, console table dan televisyen di ruang tamu


Isnin, 1 November 2021

KHN HOMESTAY KAHANG - INAP DESA KAHANG COMFORT & COSY


Mukim Kahang terletak di dalam Daerah Kluang, Johor semakin mendapat perhatian dan sambutan di mata pelancong. Terdapat banyak produk pelancongan terutamanya yang berkonsepkan agro-pelancongan, eko-pelancongan dan perkampungan tradisional. Sesuai dengan perkembangan tersebut beberapa pengusaha watan telah menawarkan perkhidmatan penginapan inap desa atau homestay

Fokus kali ini ialah KHN MUTIARA HOMESTAY yang dimiliki oleh pasangan suami isteri iaitu saudara Hairi Aziz dan saudari Kastuna Tumpang.

Akses / laluan ke KHN Homestay Kahang amatlah mudah kerana terletak di tengah-tengah pekan Kahang. Lokasinya ialah:-

                        "KHN Mutiara Homestay
                        No. 24, Jalan Ria 2, 
                        Taman Ria Kahang, 
                        86700 Kahang, Johor."

Titik Koordinat Google Maps: 2.212683,103.535490
6G7P+35H Kahang, Johor

Dari segi keselamatan, tidak perlu risau. KHN Mutiara Homestay berhampiran dengan Klinik Kesihatan Kahang Bt. 22, balai Polis dan bilik operasi bomba sukarelawan. 

KHN Mutiara Homestay Kahang:
Bilik Tidur Katil Bersaiz Queen Dilengkapi Dengan Penyaman Udara

KHN Mutiara Homestay Kahang atau KHN inap desa Kahang menawarkan rumah teres satu tingkat dengan 3 buah bilik tidur. Salah satu bilik tidurnya dijadikan bilik penyimpanan barangan, manakala 2 buah bilik lagi untuk penginapan. Setiap bilik dilengkapi dengan gerobok/almari dan meja solek. 

KHN Mutiara Homestay

Penginapan rumah KHN Mutiara Homestay di Kahang ini begitu selesa dan tenang. Dilengkapi dengan penyaman udara pada setiap ruang tamu dan bilik tidur. 

Katil pula bersaiz Queen untuk setiap bilik. 

Terdapat dua buah bilik air. Setiap satunya amat selesa. Bilik air ini dilengkapi dengan pemanas air (water heater) dan shower.

KHN Mutiara Homestay Kahang:
Ruang Tamu yang Luas, Selesa
Dilengkapi Dengan Pendingin Hawa

Ruang tamu yang luas. Amat sesuai untuk penginapan dengan bilangan tetamu yang ramai. (Cadangan bilangan tetamu yang selesa adalah 6 orang.)

Parkir kereta pula adalah percuma. Boleh memuatkan 2 (dua) buah kereta dalam satu masa.

KHN Mutiara Homestay di Kahang turut menyediakan ruang dapur yang lengkap seperti peti ais, meja makan untuk 6 orang dan peralatan memasak seperti periuk nasi elektrik, senduk, mangkuk, pinggan, cawan, sudu dan sebagainya. 

KHN Homestay Kahang:
Meja Makan dan Ruang Dapur

Para tetamu boleh memasak sendiri. Bahan-bahan masakan pula mudah diperoleh di pekan Kahang. Istimewanya adalah bahan bersumberkan hidupan merin dari sungai Kahang dan Kampung Sri Lukut (Kg. Sri Lukut / KSL). 

Kahang dikenali sebagai sumber pengeluaran ikan sungai/darat di Johor. Antara makanan istimewa di sini ialah ikan baung masak asam pedas Kahang, udang galah Sungai Kahang, ikan tapah, ikan patin, ikan lais dan ikan lampam. 

Bekalan ikan sungai mudah didapati di sini, terutamanya di Kedai ZORRO (pekan Kahang), kedai tepian jalan besar Kg. Contoh Kahang atau di Kg. Sri Lukut. 

KHN Mutiara Homestay sangat hampir dengan kawasan pelancongan dan pusat mengail di Kg. Sri Lukut (8 km). Kampung tradisional ini terkenal dengan hamparan sawah padi yang indah, kawasan pemburu makanan ikan sungai, Taman Rekreasi Sg Temiggol/Pusat Rekreasi Sungai Temiggol, lubuk memancing seperti Lubuk Pungkor Man Bot Kahang, Pondok Pak Akob, Pak Busu Campsite dan Pondok Santai Kaki Larong Jarut (perkhidmatan bot memancing dan penginapan secara alami). 

Port Abang Man amat terkenal sebagai Destinasi Pilihan Terbaik kepada pemburu makanan sungai; River Food Hunter (#RiverFoodHunter) yang terletak di Kg. Sri Lukut.

KHN Mutiara Homestay Kahang:
Ruang Istirahat

Kahang turut menawarkan pengalaman melawat perkampungan Orang Asal. Di sini terdapat 9 buah perkampungan Orang Asli yang sesetengahnya masih mengamalkan kehidupan dan budaya setempat tersendiri. 

Pekan Kahang dan KHN Mutiara Homestay menjadi tempat persinggahan serta lokasi untuk mendapatkan bekalan sebelum memasuki ke Taman Negara Endau-Rompin. Pendafataran untuk memasuki ke Taman Negara Endau-Rompin ini terletak di pekan Kahang.

KHN Mutiara Homestay sememangnya menawarkan penginapan dan kemudahan yang lengkap serta selesa, di kelilingi pula dengan kawasan-kawasan menarik (places of interest). Semestinya KHN Mutiara Homestay adalah pilihan utama yang dapat memberikan pengalaman unik, indah dan menarik kepada para tetamu.

Maklumat lanjut atau tempahan, sila hubungi En. Zaid di talian 013-744 1975 atau wasap; https://wa.link/jwqsj4


Nukilan lantun-lantun
Ammak satu kali . . .
😁😁😁

Isnin, 30 Ogos 2021

WARISAN PUSAKA

Kita ini sudah berusia.

Kenalah buat persediaan apa yang patut. Ada beberapa perkara yang sudah pun boleh dilepaskan.

Jadinya, kita wariskanlah sedikit ketampanan ini kepada anak-anak pula. Pusaka katanya dan bukan saka!

Aqlan Sholehin: 11 tahun

Biar dia belajar pengalaman yang satu ini. Bahawa menjadi seorang yang tampan itu ujiannya lain macam. Bukan mudah. Amanah!

Lagipun, pengalaman ayah yang satu itu kenalah dikongsi sebelum jejak di wajah itu sirna dan semakin berkedut; kerepot. Sebagai panduan hidup kepada anak-anak juga.

Bersempena hari kebangsaan tahun 2021 ini, kita terapkan erti kemerdekaan. Semangat yang kental dan kuat perlu dipasak dan dipupuk. Biar berjiwa besar dan MERDEKA!

MERDEKA! Hari Kebangsaan & Hari Malaysia 2021

Hik hik...
Ammak satu kali



Ahad, 27 Disember 2020

SG TEMIGGOL HIDUP INI BUKAN SEKADAR HIDUP

Sg. Temiggol: merendam kaki melempias lelah

"Kalau hidup sekadar cari makan, lembu dan kambing pun demikian juga. Cukup makan, bahagia. Lepas tu, tunggu sahajalah penyembelih datang." Jais berfalsafah. Jais sedang menyapu di Taman Rekreasi Sg Temiggol. 
Jais bukanlah orang sebarangan sebenarnya. Dia menjalankan tiga pekerjaan dalam satu hari. Subuh hari dia membersihkan taman ini. Sebagai kakitangan JPS (Jabatan Pengairan dan Sungai), dia memantau pula aliran sungai dan tali air di kampung. Sebelah petang dia menjaja 'air batu kisar' (ice blended).

Semuanya dilakukan untuk upaya membahagiakan keluarga kecilnya. Dia perlu membesarkan dua anak kecil sendirian. 

Sebagai duda, bantuan apalah sangat yang boleh diterima olehnya. Jauh berbeza dengan janda. Ramai yang mudah merasa simpati. 

Beristirahat di Sg Temiggol

Bagi Jais, kalau mahu menikah lagi, dialah yang perlu berhabis harta dan wang ringgit. Dia perlu meminang, bukan macam anak dara atau janda, tunggu sahaja pinangan.

Masyarakat pun satu hal. Usianya sudah semakin meninggi, kudratnya bukan banyak lagi. Pun begitu ada yang kejam yang menuduhnya, kalau dia hendak berkahwin lagi mudah sahaja, berbanding dengan orang bujang, anak dara dan janda. 

Sg. Temiggol: Abu Muaz (5 thn), menyelongkar masa depan

Betullah pengalaman melayari bahtera pernikahan itu telah ada. Namun pengisian itu lebih penting. Kalau isi rung pun kontang, dia tak sanggup 'pisang berbuah dua kali'. 

Ya, pengisian ini bukan sekadar untuk makan dan tidur tetapi 'penghidupan'. 

Sg Temiggol: antara gerai dan penjaja

Penghidupan itulah kemajuan dan pembangunan. Sama ada dari segi ekonomi, siasah dan kehidupan kendiri. Hidup bermaksud ada pergerakan. Pergerakan kehidupan dari titik A ke titik B dan seterusnya. Kalau mati, sudah tentu dari semua segi menjadi pegun. Hanya menantikan untuk dihisab dan dihukum. 

Berenang di Sg Temiggol

Berkelah, berkhemah dan beriadah di Sg Temiggol

Kalau berat hendak membantu supaya dia kahwin lain, maka tolonglah kerana hendak membantunya membesarkan anak-anak. Membesarkan anak-anak pada zaman sekarang 'pukulannya' lain macam. 

I love Sg Temiggol

Datanglah ke Taman Rekreasi Sg Temiggol. Saya juga seperti Jais, sedang meningkatkan upaya membina penghidupan dan cari makan. Kami menawarkan pelbagai kemudahan dan keperluan kepada para pengunjung. 

Taman Rekreasi Sg Temiggol

Dengan berkunjung di sini, paling tidak tuan² mendapat salah satu daripada tiga kenikmatan. Pertama: beristirahat dan beriadah berunsurkan alam buana. 

Pertama; beristirahat dan beriadah berunsurkan alam buana. 

Kedua; memperoleh dan menikmati produk-produk kampung seperti samosa, char kuiteaw, roti bedung dan teh ais terangkat.

Sg Temiggol: Haziq di sisi gerai menjual mainan dan pelampung

Ketiga; membantu (amal jariah) kepada ekonomi penduduk desa selain dapat meningkatkan keharmonian sosial dan melastarikan alam. Sebagai contoh berenang² di dalam sungai dengan pelampung/boya, bermain pistol air, bajak, lori, bola, kereta mainan, berkhemah yang kesemuanya boleh didapatkan di gerai saya dan penjaja di sini. 

 Lokasi:-  
𝗧𝗔𝗠𝗔𝗡 𝗥𝗘𝗞𝗥𝗘𝗔𝗦𝗜 𝗦𝗚 𝗧𝗘𝗠𝗜𝗚𝗚𝗢𝗟, 
Kg Sri Lukut, 86700 Kahang, Johor.


Nukilan 
hik hik ammak satu kali

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails