‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 28 Februari 2012

Menungeng-menungeng cari makan


Bukan mudah untuk mendapat keberkatan. Dan ia juga bermakna ujian penentu tahap ketakwaan. Rezeki yang haram sekadar menjanjikan kekayaan. Tetapi janji itu datangnya dari syaitanirajim, kaki penipu dan pembohong yang paling berjaya di dunia ini.

Alternatif ialah pendapatan yang halal. 

Mencari rezeki yang halal perlukan kuderat. Adakalanya perlu 'menungeng-nungeng' memerah keringat. Kadag-kala segala penat lelah tidak melahirkan keputusan yang diinginkan.

Tetapi rezeki yang halal itu sudah dijanjikan oleh Allah SWT akan keberkatan dan kebahagiaan. Manakala Allah SWT pencipta segala kehidupan di dunia ini. Bahkan janjinya pasti!

Jadi, janji siapa perlu kita ikut?

"Berakit-rakit ke hulu
Berenang-renang ke tepian
Bersakit-sakit dahulu
Bersenang-senang kemudian"


Jumaat, 24 Februari 2012

Program Pengajian Ilmu Islam

Kalau dulu kala, kita terpaksa pergi ke rumah tuan guru untuk menuntut ilmu. Maza masih ingat lagi betapa mahu menuntut mengaji Quran dengan Tok Dara, pada tiap-tiap petang sebelum maghrib biasanya akan pergi menolong Tok Dara untuk mengangkat air dari perigi.

Timba dijatuhkan ke dalam perigi sedalam 3 meter. Kemudian air yang diceduk dari perigi itu dituangkan pula ke dalam baldi atau tempayan. Jarak antara perigi dengan rumah Tok Dara sekitar 40-30 meter yang berhampiran pokok manggis di belakang rumahnya. Baldi yang sudah berisi air ini akan dikandar pula dan dituangkan ke dalam tempayan atau besen air yang tersedia ada.

Adakalanya, emak akan mengirimkan lauk kepada Tok Dara. Selepas solat Isyak, maza akan pulang ke rumah yang jaraknya dengan rumah Tok Dara adalah sebidang tanah kebun. 

Menuntut ilmu di mana-mana pun jua selagi ilmu itu adalah ilmu yang bermanfaat


Hari ini, bukan anak murid datang mencari ilmu daripada tok-tok guru. Tetapi tok-tok guru sendiri yang menawarkan diri untuk datang ke rumah anak-anak didik. Mereka sanggup bersusah payah menyebarkan ilmu dan dalam masa sama mendapat sedikit imbuhan berupa yuran tuisyen.

Dengan kemudahan yang sepertinya di hari ini, hendaknyalah kita mengambil peluang untuk terus-terusan menuntut ilmu.

Jadi pada mereka yang mempunyai keupayaan dan ingin menuntut ilmu, bolehlah menempah atau mengambil program rumah ke rumah yang dianjurkan itu.

Maza menemui bingkasan iklan tersebut di Pasaraya Giant di Damansara. Oleh itu mereka di sekitar Petaling Jaya boleh mengambil kesempatan yang baik ini.

Selamat beramal! hehehehe

*nota: terima kasih Cik Jue Tomey kerana sudi jadi follower blog Gubuk Kecil yang lantun-lantun ini.. hehehehe





Isnin, 20 Februari 2012

Terima susah luah pun payah

Maza punyai teman di dunia siber ini yang suka berpantun sana-sini. Di dalam karangan blog beliau pasti akan diselitkan serangkap atau dua bait-bait pantun atau sajak yang puitis.

Entah apa kena hari ini, maza melantun-lantun lagi. Kali ini cuba meniru gaya cikgu Tehramuan (klik sini) berpantun seloka.

Jika orang itu memberi
Nak terima pun payah
Takut-takut apa yang diberi
Rupa-rupanya Rasuah!

Telah banyak suntikan modal
Projek jua tetap tergendala
Pelacur, perompak, Penyundal
Rasuah diberi syurga sementara

Kurang rasa kurang berbahasa
Putih cerah Hitam metalik
Pantun maza tak ada citarasa
Hentam keromok lantun pelik-pelik!


ahaks.... jangan marah aaa kengkawan.. hehehe


Wasiat Nabi SAW kepada Syaidina Ali Abi Talib:
 "Hai Ali! Sentiasa seorang mukmin dalam keadaan bertambah kuat pada agamanya selagi dia tidak makan barang yang haram, dan barangsiapa yang menjauhi ulama-ulama nescaya mati hatinya dan buta ia daripada taat kepada Allah Taala."


Ahad, 19 Februari 2012

Menguis keluar dari lubang telinga



Kata Professor Emeritus Datuk Abu Bakar, propangda tidak perlu dibayar. Ia perlu bersifat percuma untuk sebaran kepada sekalian manusia yang disasarkannya.

Tapi apa yang sudah berlaku sekarang ini?!

Di mana-mana maza pergi, maza baca, maza tonton, maza layari; propaganda itu ada di situ. Seolah-olah ia diam dan melekat likat. Bertambah malang, propaganda murahan menceroboh dan menodai apa yang maza bayar dari hasil titik peluh sendiri; di TV, di Radio, & suratkhabar, bahkan milik swasta yang kami bayar itu pun dia menyelusup masuk! Walhal hakikatnya kami tidak perlu bayar untuk propaganda itu. Tidak, ia tidak perlu dibayar. Tetapi kenapa kami dipaksa lihat, dengar dan bayar yang dengan demikian rupa?! Hodoh! Hina!... 

Ah! Telinga ini mulai gatal. Muak dengan propaganda murahan yang tak reti malu, bermuka tembok, berkaki rahsuah untuk kekal berdiri! Cittt... 

*Nota: monolog lantun-lantun maza. ahaks...lalalala

Sabtu, 18 Februari 2012

Sebuah Kembara


Ya! Hidup itu sebuah kembara. Kembara dari satu alam ke alam yang lain. Bahkan mati itu juga sebuah kembara. Yakni kembara dari alam dunia ke alam barzakh!

Sabda Rasulullah SAW: -
“Ada apa aku dan dunia ini! Tiadalah dunia dan aku ini melainkan seperti seorang pengembara yang berlindung dari panas di bawah sepohon pokok, kemudian pergi meninggalkannya.” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai sahih oleh al-Albani).
 Bahkan Allah SWT menyatakan bahawa tidak ada sesuatu ciptaan-Nya itu sia-sia. Firman Allah SWT: 
 "Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Dan kamu (menyangka pula) tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka (dengan yang demikian) Maha Tinggilah Allah Yang Menguasai seluruh alam, lagi Yang Tetap Benar; tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang mulia. (Surah Al-Mu'minun 23: Ayat 115-116).
 Maka setiap apa yang ada di dunia ini perlu dihargai, disyukuri dan dinikmati dengan cara betul sebagaimana sepatutnya mengikut hukum-hakam syariat.

Manakala syarat menjadi seorang berbudaya ilmu (Culture Literacy) harus tahu menghargai alam dan seni karya agung yang dizahirkan sama ada tersirat dan tersurat (Professor Emeritus Datuk Abu Bakar Abd. Hamid: Feb. 2012). Oleh itu, kita perlukan penelitian, ilmu dan fikiran untuk memahami alam.

Khamis, 16 Februari 2012

Kembali berkursus



Kesinambungan daripada entry semalam (klik sini).

Setelah hampir dua bulan berehat dari kursus, kini tibalah maza kembali ke dewan latihan. Semester kedua pun bermula maka maza terpaksa mengurangkan aktiviti berblog.

Lantaran itu jika maza tidak sempat menyinggah blog kengkawan atau membalas komentar, maza minta maaf. Maza perlu fokus kepada pelajaran dan latihan terlebih dahulu. Demi negara kaedahnya . . . hehehe.

Seperti biasa, sekali sekala akan maza muncul di alam siber ini. Sementara itu maza pohonlah doa daripada kengkawan untuk kejayaan maza. ameennnnnn!



Selasa, 14 Februari 2012

Meraikan Cinta

 

Haram meraikan perayaan Valentine, itu sudah diputuskan oleh JAWI dan JAKIM. Malah khutubah Jumaat minggu lalu juga menegaskan perkara sama.

Hari ini ada juga dalam kalangan kita meraikan. Kata mereka kubur masing-masing. Tetapi Tuhan bukan sahaja mengira soal individu untuk masuk syurga, tetapi perlu melihat kepada nasihat yang diberikan kepada masyarakat (dakwah)

Semalam maza pergi makan luar. Oppss ... jangan fikir bukan-bukan ya kengkawan. Maza pergi makan malam bersama isteri nan tercinta. Untuk mengelakkan sebarang fitnah dan ditangkap khalawat, maza angkut sama anak-anak dan emak sekali. Sebagai butki maza sudah berkahwin dan kami adalah sekeluarga tidak menyambut hari Valentine itu. hehehe

Opps..entry merapu meraban lantun-lantun aje hari ini... I in Loveeee...

Ahad, 12 Februari 2012

Terasa Sesuatu Di Dalam Hati

1998 - Petang itu seorang teman datang tergesa-gesa mendapatkan maza. Lalu memujuk seboleh-boleh mahu mengajak ke Jalan Tengku Abdul Rahman. Katanya maza perlu menemani beliau, ada hal mustahak! Tanpa sebarang syak wasangka, jam 7.30 malam setelah solat maghrib kami bertolak.

Teman yang itu terus melajakkan motor Yamaha 100cc CDI berwarna merah ke Jalan Raja Laut. Maza melopong, apa hal pula ke jalan itu. Dia terus mengarahkan maza menyelusuri jalan tersebut hingga tiba ke salah satu tempat parking motor. Kemudian dia mengheret tangan maza hingga tiba ke salah sebuah panggung wayang bernama Federal. Ketika itu sudah ramai orang berkeliling di kaunter tiket. Ramai berbangsa India, ada juga terselit seorang dua berbangsa Melayu antaranya kamilah orangnya.

Sebaik sampai di panggung itu, segera teman tadi menghulurkan wang dari sakunya. Maza berasa aneh juga. Kemudian dia menyuruh maza membeli tiket di situ untuk kami. Sekonyong-konyong seperti orang dipukau maza menuruti permintaannya lalu beratur panjang untuk membeli tiket. Sebenarnya maza tidak biasa menonton wayang ketika itu, sedikit janggal bila terlalu ramai orang mengerumuni kaunter tiket. Maza tertanya-tanya sendirian cerita apakah yang bakal ditonton hingga ramai orang seperti dirasuk berduyun-duyun ke panggung yang satu ini. Ah! Itu tidak maza peduli, janji misi sekarang ini mendapatkan tiket bagi memenuhi harapan seorang teman.

Kami akhirnya dapat membeli tiket untuk tayangan lewat malam. Jam 11.00 malam tayangan bermula. Tempat duduk kami hampir di barisan belakang. Maza lihat berkeliling, ramai sungguh orang pada malam itu. Ada yang sanggup berdiri dan duduk di tangga. Agak pelik tetapi itulah kenyataannya. 

Panggung Federal ini memang diketahui umum akan menayangkan cerita-cerita Tamil dan Hindi. Jadi malam itu maza buat kali pertamanya akan menonton filem Hindi di panggung. Entah apa angau pun maza tidak tahu, kali ini maza hanya mengikut sahaja permintaan teman itu, walhal cerita Hindi bukanlah filem pilihan kesukaan maza.


Jawabnya, malam itu maza terkena 'perangkap' dengan permintaan teman itu. Cerita di layar putih pun bermula. Tidak sampai dua minit, panggung yang sebelumnya agak kecoh dan bising dengan bahasa tidak difahami, menjadi sunyi sepi. Lima minit selepas itu terdengar sendu memecahkan keheningan panggung. Sesaat kemudian, tidak semena-mena air mata suci jantan maza turut mengalir di pipi tanpa dipaksa! Cerita kali ini betul-betul menampar hati lembut maza. Tersentuh perasaan jiwa remaja!

Minit-minit seterusnya ia memekarkan kembali kembangnya bunga di taman hati ini. Selama lebih tiga jam maza berkurung di dalam panggung itu. Hingga minit-minit akhir maza tetap memegunkan diri menghayati kisah cinta insan-insan tersebut.

Bukan setakat itu sahaja, kemaruk mula menguasai perasaan dan minda. Sekembali dari menonoton, keesokan harinya maza terus terjun ke pasar malam di Kampung Kerinci mahu mencari filem dan lagu-lagu dari filem itu. 

"Bang . . . cerita Kuch Kuch Hota Hai ada?"

Setelah mendapatkan VCD dihajati, bermulalah mabuk menonton cerita Hindi. Mencari teman sekuliah yang mempunyai komputer pemain video cakera liut (VCD). Bukan sekali menonton malah berulang-ulang kali, hinggakan jalan cerita, plot, dialog serta tariannya kami boleh hafal dan meniru!. Hahahaa.. nostalgia sungguh!

Semalam slot Panggung Sabtu di TV3 telah menayangkan cerita Kuch Kuch Hota Hai. Ia benar-benar menyingkap kisah silam. Terimbau kembali keremajaan maza. Ahh!!! I in Loveee  . . . 


Yang lucunya, apabila maza bercerita tentang sinopsis dan tahu beberapa gerak tarian filem tersebut, isteri maza seolah-olah tidak percaya. Terlopong mulutnya sebaik mengetahui rahsia suaminya yang pernah menjadi hantu Hindustan.

Untuk membuktikan bahawa maza benar-benar mengetahui bait-bait lagu serta gerak-tari filem tersebut, selesai menonton, petang itu juga maza mengheret anak dan isteri ke taman dan kami beraksi meniru tarian filem Kuch Kuch Hota Hai. Tergelak-gelak darling melihatkan gelagat maza dan anak-anak!

Sesungguhnya filem Kuch Kuch Hota Hai banyak memberikan kesan mendalam kepada keremajaan maza . .  seolah-olah Terasa Sesuatu Di Dalam Hati ... ahaks! . .


Jumaat, 10 Februari 2012

Teknik baru memberus gigi

Bersugi atau membesihkan gigi adalah sunnah dan menjadi tuntutan. Bersugi jugalah amalan yang sangat disukai oleh Rasulullah SAW hinggakan ketika gering hendak wafat pun Rasulullah SAW memandang kepada kayu suginya dan mengkehendaki bersugi.

Bahkan menjadi amalan Baginda SAW setiap kali hendak solat Baginda SAW bersugi dahulu.

Terdapat tiga hukum bersugi mengikut syarak.
  1. Sunat - hukumnya adalah sunat dan boleh diamalkan pada bila-bila masa. Paling dituntut ialah ketika bangun tidur, mendirikan solat, membaca Al Quran dan berubahnya bau mulut.
  2. Makruh - iaitu kepada orang yang berpuasa bersugi setelah gelincirnya matahari.
Antara hadis dan riwayat perihal bersugi ialah:-
  1. "Jika tidak akan menyusahkan umatku, akan aku suruh mereka bersugi pada tiap-tiap waktu ketika berwuduk" (H.R. Ahmad)
  2. "Dari Aisyah r.ha. "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: Bersugi itu membersihkan mulut dan mendapat redha dari Tuhannya." (H.R. Al Baihaqi)

Menurut Al Qardawi, terdapat salah faham dalam kalangan umat hari ini tentang bersugi. Bersugi yang dikatakan sunnah itu ialah membersih mulut dan gigi bukannya membersihkan gigi dengan kayu siwak itu baru dikira mengikut sunnah. Sebenarnya kayu siwak sebagai alat untuk membersihkan gigi dan mulut sahaja, tetapi yang menjadi utama atau perbuatan sunat itu ialah membersihkan mulut dan gigi. Oleh itu membersihkan gigi dan mulut dengan berus gigi atau sesuatu yang menyamai dengan fungsi membersihkan gigi dan mulut dikira telah mengikut sunnah.

Untuk dikira bersugi mengikut sunnah, jangan lupa kita berniat setiap kali menggosok gigi kerana mengikut sunnah Rasulullah SAW, barulah mendapat pahala dan mudah-mudahan mencapai darjat keredhaan Allah SWT.

Gambar: Aqlan Sholehin - ketika gambar ini dirakamkan Aqlan berumur1 tahun 4 bulan.

Sepertinya itu, maza sedang mengasuh anak bongsu untuk bersugi dua kali sehari iaitu di pagi hari dan sebelum tidur di malam hari.

Jadi kengkawan memandangkan terlalu banyak saranan dari Nabi SAW, faedah dan pahala marilah kita amalkan bersugi. Kalau malas atau tidak larat sekali pun, bersugilah sambil baring dan pejamkan mata pun boleh. Janji mau bersugi sebelum masuk tidur. Jangan tertelan berus gigi sudah . . . hahahahaha...

Khamis, 9 Februari 2012

Cikgu Suraya

Gambar: Di majlis pernikahan

Sudah lama kami tidak bertemu. Entah bagaimana terserempak pula dengan Cikgu Suraya di pasaraya Uda Ocean Kuala Lumpur. Sudah berbeza benar Cikgu Suraya berbanding dua puluh tahun yang lalu.

Semua orang tahu, dahulu di sekolah kami Cikgu Suraya paling lawa. Punyai pinggang yang ramping, berkulit cerah, senyuman leretnya amat manis sekali. Bila berjalan pinggulnya sering kelihatan berayun ke kiri dan ke kanan. Ramai cikgu lelaki terpaut dengan kecantikan Cikgu Suraya. Ada juga cikgu lelaki yang cuba mengurat.

Malangnya Cikgu Suraya yang baru pindah ke sekolah kami sudah pun bernikah dan mempunyai seorang anak. Tetapi itu tidak menghalang mata-mata nakal seisi sekolah dari mencuri pandang ke riak susuk tubuh dan kecantikan wajah Cikgu Suraya. "Haven!" kata sebilangan rakan persekolahan sambil menelan liur dari meleleh.

"Apa khabar Cikgu sekarang?"

"Beginilah apabila semakin meningkat usia."

"Saya tengok cikgu masih hebat. Masih cantik. Kata orang muda sekarang masih bergetah!"

"Hish, mengarutlah awak ni! Mana ada saya bergetah lagi. Anak pun dah lima. Dah banyak kedut sana-sini." senyuman Cikgu Suraya masih tetap manis seperti ketika usianya 26 tahun yang lalu.

"Sungguh cikgu. Saya bercakap benar. Saya rasa bertuah sekali dapat bertemu dengan cikgu hari ini. Terutama bila terkenangkan kisah kita di zaman dahulu."

Kali ini Cikgu Suraya mengangkat kening sambil mengenyitkan mata memberi isyarat nakal. Kemudian Cikgu Suraya bersuara.

"Sebenarnya, kita perlu menjaga lutut kita. Terutama awak sebagai lelaki. Lutut memainkan peranan penting dalam kebahagiaan rumah tangga. Dari itu sebelum berkahwin hinggalah usia sekarang ini, awak perlu menjaga kepala lutut. Jangan asyik ingat main aje!" Cikgu Suraya berkata seraya anak matanya melirik menggoda.

Terperanjat dengan kenyataan Cikgu Suraya itu hingga mulut menjadi bundar, tercopong pinta penjelasan lanjut.

"Begini. Maksud saya, awak itu kan dahulunya atlet sekolah. Aktif bermain bola, hoki, berlumba lari, badminton, pingpong dan macam-macam lagi. Kalau tidak dijaga lutut dari awal, nanti bila sudah berumur, lutut akan memberi masalah. Bila lutut sakit, di tambah pinggang pula sakit, pergerakan kita akan terbatas. Untuk menikmati kebahagiaan juga terbatas. Terutama apabila hendak main. Bermain dengan anak-cucu. Dalam masa sama wajah kita akan kerepot dengan cepat, kelihatan tua sebelum usia sebenar."

"Oh begitu rupanya. Terima kasih cikgu kerana sudi memberikan petua yang berguna ini. Insyallah akan saya simpan azimat ini untuk kebahagian saya di kemudian hari."


***Nota penting : Sebuah nukilan lantun-lantun dari maza. Minta maaflah kepada kengkawan yang mencari cerita Cikgu Suraya yang glamour di alam maya itu. Di sini tidak ada cerita yang sebegitu . . .  hehehehe. Nukilan ini berguna kepada golongan remaja dan dewasa untuk menjaga kesihatan kepala lutut!

"Tingkatkan produktiviti, majulah negara dengan kesejahteraan kepala lutut yang sejati!" - ahaks! tagline terkini, volleh kan? Selamat malam Jumaat ya kengkawan . . .



Rabu, 8 Februari 2012

Kereta kecil ku


Dulu-dulu maza pernah mengidam kereta yang satu ini, Mini Cooper! Kecil, molek dan cute. Memadangkan saiz maza dahulu purba kala cute, kecil, lagi tampan (ahaks! ahaks! ahaks!), maza merasakan kereta itu amat sesuai untuk maza bergedik-santai. "Ayahku pulang dari kota. Bawa kereta warna merah . . . Ku pandu ke kanan, ku pandu ke kiri, oh mama! Naik kereta ku." antara bait lagu yang mengimbaukan nostalgia maza terhadap kereta mini itu.

Kebetulan pula maza meronda-ronda di pasaraya Giant di Kota Damansara lalu terpandangkan pameran kereta mini cooper terpakai untuk dijual.

Ada tiga buah kesemuanya. Ssetiap satu mempunyai ciri-ciri unik. Dua daripadanya sudah diubahsuai kepada pemanduan automatik. Ketiga-tiga kereta tersebut dilengkapi dengan penyaman udara atau penghawa dingin. Kereta mini yang asli tidak disediakan penyaman udara. Almaklumlah saat kereta ini popular, zaman tersebut masih banyak pokok-pokok di belantara sana.

Kereta mini cooper yang sudah siap diubahsuai dijual pada harta RM38,000 setiap satu. Kereta ini buatan Great Braitain. Setelah diketuk dengan jari jemari yang runcing ini, maka sohihlah ia diperbuat daripada besi tulen, bukannya tin biskut! Ahaks lalala


Anak-anak pun suka, siap main picit-picit si mata Mini Cooper. Maza pun tersenyum riang. Petanda restu sudah ada. Cuma Bentara Guru pemerhati akaun bank menjeling tajam, maksudnya mendalam tu... uhuk!

Agak-agaknya kalau maza menaiki kereta ini, larat tak ia membawa maza? . . .  lalala 
opsss . . . lantun-lantun lah fulaks.. hahaha


Glosari: Bentara Guru - si darling maza yang selalu menumbuk sambal di balik dapur sana. ahaks!


Selasa, 7 Februari 2012

Sasau


Di perbatasan itu Datuk Maharajalela sedang mengepalai delapan puluh orang laskar. Benteng ini perlu dipertahankan. Benteng ini benteng terakhir sebelum Benggali Putih menumbangkan Kota Astana Mahligai lalu terjajahlah negeri Sedingin.

Meriam Lela Gempita milik laskar Datuk Maharajalela semakin kurang memuntahkan pelurunya. Tinggal lebih kurang lima butir lagi untuk diletupkan. Harus dimanfaatkan sepenuhnya. Peluru yang ada jangan dibazirkan. Bedil biar tepat kena sasaran!

Tembakan dari istingar Benggali Putih tidak pula mahu menyusut. Malah semakin lebat menghujani. Bertalu-talu mengenai benteng Kota Astana Mahligai.

Seorang demi seorang laskar muda Datuk Maharajalela tumbang terkena tembakan peluru tak bermata itu. Letupan demi letupan memekakan telinga. Asap menyelubungi di sana sini. Suara orang beteriak, melolong, menyeru dan merayu meminta tolong kedengaran semakin banyak. Seorang demi seorang perajurit tumbang di depan mata. Darah menyimbah ke sana sini. Badan bukan berlumpur lagi tetapi berlumuran percikan darah soldadu-soldadu (askar) yang tumpas. 

Jumaat, 3 Februari 2012

Cacat tak menghalang menunggang motor besar!

1 Feb 2012 (Shah Alam) - Tertarik dengan sebuah motor besar jenis Versys 650cc Kawasaki, Maza, Ahmad Safuan Sugiman, Said Alatas, Tahal al Junaid dan Dafinka Alcherasi menelitinya dari depan hinggalah ke ekzos.

Masing-masing kagum dengan aksesori yang dikenakan padanya. Masing-masing memuji kepada tuan punya motor tersebut kerana pandai memilih aksesori untuk dipadankan. 


Gambar: Kawasaki Versys 650 cc

"Tak sangka, orang cacat pun boleh menunggang motor besar ni. Dahlah berat, macam manalah dia menunggang." Tahal mengejutkan kami dengan kenyataan tersebut. 

"Eh, takkan lah orang cacat bawa kot?" Safuan Sugiman cuba mendapatkan kepastian.

"Habis tu kenapa dia parking kat sini?" Said Alatas mencelah.

"Kalau kudung kaki atau tangan tentulah tak boleh nak bawa. Kalau buta confirm tak boleh. Agaknya bisu atau pekak kot. Kalau tak pun cacat otak menyebabkan dia butakan mata, pekakkan telinga dan membisukan mulutnya." Dafinka Alcherasi memberikan pandangan.



Selamat hari Jumaat ya kengkawan. Hari Ahad Maulidur Rasul dan Selasa pula cuti Thaipusam. Molek benarlah tu... hehehe




Rabu, 1 Februari 2012

WW: Ayah tetap menyayangi mu sayang!

Singkatan WW kali ini membawa maksud Wonderful World. 

Ya! Ayah hendak membawa kamu ke sebuah dunia. Dunia yang di dalamnya penuh kasih sayang terhadap mu. Hari ini ayah mahu menukilkan sebuah entry untuk anak-anak ayah sebagai tugu peringatan cinta ayah terhadap kamu.


Betapa ayah sayangkan anak-anak tidak mengira keadaan dan rintangan yang dihadapi. Kerana anak-anak ayah adalah cahaya mata ayah. Senyuman ayah ada padamu. Kaulah pewaris, pendokong cita-cita dan penyambung hayat ayah di dunia ini.


Ayah tidak meminta apa-apa dari mu wahai anakku. Cukuplah amalan solehmu dan sekujur doa untuk ayah di alam barzakh nanti.

Hayatilah klip vedio ini untuk kau selami dalamnya kasih sayang ayah padamu!



Ketahuilah ayah sering merinduimu saban waktu. Ayah menyayangi mu di dunia hinggalah ke akhirat!


Salam sayang dari ayahmu!
maza

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails