‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 7 Februari 2013

Pukul Telefon Di Pondok Telefon Awam Untuk Telesiswa

Pondok telefon awam di Sungai Lembing, 26200 Kuantan, Pahang. Ia masih berfungsi dengan sempurna.


Seputar pertengahan 1980-an hinggga pertengahan 1990-an, telephone booth, atau pondok telefon amatlah berguna sekali. Maza kira, fungsi pondok telefon pada era ini semakin longlai dan pada kebanyakan masa tiada siapa yang mempedulikannya.

Perkhidmatan telefon awam hari ini masih boleh dilihat di lokasi tertentu dan tidak semeriah pada zaman dahulu. Ia disediakan hanya pada tempat-tempat terpilih contohnya di stesen bas dan pasaraya sahaja. Namun sambutan terhadap fungsi dan perkhidmatannya sudah semakin tidak meriah, kurang mendapat sambutan orang awam. 

Begitu juga dengan kawasan taman tempat tinggal maza, dahulunya ada sebuah telefon awam di sini, sekarang ini entah ke mana ia menghilang.

Maza fikir fenomena kemurunduman pondok telefon awam ada kaitan dengan perkhidmatan  telefon bimbit yang canggih dan perkembangan ICT dekad ini.

CERITA LAMPAU


Dahulu di kampung maza (Kampung Sri Lukut, Kahang), terdapat hanya beberapa buah telefon awam sahaja yang disediakan oleh Jabatan Telekom Malaysia. Hari ini Jabatan Telekom Malaysia sudah bertukar tangan menjadi Telekom Malaysia, sebuah syarikat berhad hasil penswastaan kerajaan.

Antara lokasi telefon awam ini ialah di hadapan Kedai Syarikat (Koperasi Penduduk Kampung) yang sekarang bangunan itu sudah rebah ke bumi. Tinggalan sisanya masih boleh dijejak. Ia terletak bersebelahan rumah Kak Sakyah isterinya arwah Pak Zainal dekat dengan kompleks balai raya atau bekas kompleks Penghulu Mukim Kahang.

Kalau di Kampung Temiggol pula (salah sebuah perkampungan gugusan Kampung Sri Lukut), pondok telefon awam diamnya di Kedai Pakcik A'ap. Kedai Pacik A'ap sebenarnya bengkel membaiki basikal dan motorsikal.

Semenjak adanya telefon di kedai Pakcik A'ap itu, maka bertambah meriah di kedai itu. Setiap malam anak-anak muda berlonggok dan bergayut di pondok telefon berkenanan. 

Antara fungsi istimewa pondok telefon itu ialah ia boleh menerima panggilan masuk. Pendek kata, telefon itu boleh berfungsi untuk menerima panggilan daripada pemanggil luar. Di pondok telefon itu tertera nombor telefon tersebut (07-7881087). Jadinya, sekiranya ada mana-mana pemanggil luar hendak menghubungi penduduk kampung, mereka boleh memanggil dengan mendail nombor telefon yang disediakan itu. 

Jika telefon tersebut berdering, terpaksalah sesiapa yang ada berdekatan menyambutnya. Biasanya keluarga Pakcik A'Ap terpaksa menyambut. Apa tidaknya, selagi tidak berjawab, selagi itulah ia akan berdering. Bak kata orang 'buat memakak aje' tidak mengira masa, walaupun di tengah malam buta. (hahahaha).

Kemudian si penyambut telefon akan bergegas berlari mendapatkan orang yang hendak dihubungi oleh si pemanggil itu. Jadinya, jika rumah orang yang hendak dihubungi berdekatan dengan pondok telefon awam tersebut, maka akan terdengarlah suara pekikan membingit telinga memanggil orang yang hendak dihubungi itu. 

"Sarimah! Oh... Sarimah! Telefon untuk kau!!!!" penyambut panggilan tadi. 

Itu kalau jarak rumahnya sepelaung. Dalam kes-kes tertentu, penyambut panggilan terpaska berlari, atau mengayuh basikal sepantas mungkin untuk memanggil orang yang hendak dihubungi di rumah orang itu. 

"Mak anjang! Mak anjang! Ada telefon untuk mak anjang. Cepat, dia nak cakap kat pondok telefon," sambil termengah-mengah, tercungap-cungap memberitahu orang yang hendak dihubungi yang jarak rumahnya hampir 500 meter dari pondok telefon awam. 

Setelah diberitahu, apa lagi penerima panggilan selepas itu pula akan bermengah-mengah, tercungap-cungap, berlari-lari pula mendapatkan pondok telefon. Jangan tidak percaya, pernah berlaku kain terburai di tengah jalan malah tercicir gara-gara hendak cepat menyambut panggilan telefon.

Dalam kes tertentu pemanggil akan meminta tolong kepada penjawab telefon untuk menyampaikan pesan kepada orang kampung yang hendak dihubungi. Biasanya ia berlaku jika rumah orang yang hendak dipanggil itu terlalu jauh, atau si pemanggil tidak mahu menunggu lama. 

Masih segar diingatan maza, selain kes kecemasan, terutama untuk orang-orang muda belia, sekiranya mendapat panggilan telefon, perasaan bangga mula menyelinap! Apatah lagi panggilan itu daripada pasangan kekasih. Lepas menerima panggilan, cara mereka jalan juga berubah! Berjalan mengembang dada semacam, sambil tersengeh-sengeh kebahagiaan..

"Eleh, act lah tu? Eksyen . . ." kata orang yang cemburu sambil mencebekkan bibir melihatkan temannya memperoleh panggilan istimewa.

Justeru, fungsi telefon awam ketika itu bukan hanya berguna ketika kecemasan, tetapi dalam masa sama menghubungkan dengan dunia luar.

PUKUL TELEFON


Di Johor atau lebih tepat lagi di kampung maza selalunya menggunakan istilah "PUKUL TELEFON".

Ini tidak bermakna ada orang hendak menjahanamkan pondok telefon, walaupun kebiasaannya perbuatan vandelisme memang selalu berlaku.

"Kau nak ke mana?"

"Nak pukul telefon si Bedah Seman."

atau

"Aku nak pergi pukul telefon si Pok De Usop di Pontian."

Kalau ada sesiapa yang menyamar sebagai orang Johor, tentulah akan menjawab, "Apa kejadahnya kau nak pukul telefon?! Kau nak rosakan harta kerajaan ke?"

Sebenarnya maksud PUKUL TELEFON di sini ialah membuat panggilan melalui telefon. Jadinya, kalau tuan-tuan datang ke tempat kami, jangan terperanjat bila ada orang cakap pukul telefon.

Sungguh pun begitu, perkataan pukul telefon sudah amat jarang digunakan kecuali orang-orang lama. 

"Kejap, aku nak call budak itu"
"Abang sudah call Neelofa?" cadang isteri maza, (ahaks..*senyum)

Hari ini, perkataan CALL sudah mendominasi dan menjadi budaya baru di kampung maza lalu menggantikan perkataan pukul telefon. Ini semua gara-gara 'keterbukaan langit' dan kemajuan ICT.

MUKTAHIR


Malangnya pondok telefon awam di kampung maza itu sudah tidak ada. Telefon awam di kedai Pakcik A'Ap sisanya juga sudah hilang.  Bangkainya kalau ada pun sudah menjadi pusaka mainan anak-anak kecil penduduk kampung. 

Seputar zaman belajar di IPTA, pertengahan tahun 1990-an, telefon awam juga dilengkapi dengan fungsi pekhidmatan TELESISWA.

Maza biasanya menggunakan perkhidmatan telesiswa ini untuk bertanyakan khabar keluarga di kampung. Selain daripada itu, apa yang lebih penting ialah ia amat berguna apabila berlaku kecemasan keputusan duit belanja! (hehehe)

Telesiswa adalah perkhidmatan khusus disediakan untuk mahasiswa. Sebenarnya perkhidmatan Telesiswa ini lebih kurang serupa dengan perkhidmatan 'reverse-charge' atau dalam bahasa Melayunya "caj diterbalikan"

Dalam kata lain maksud 'reverse charge' ialah bil panggilan akan dikenakan kepada orang yang menerima panggilan. Dalam hal ini apabila maza membuat panggilan ke kampung, maza tidak membayar sebarang bil panggilan telefon tersebut. Sebaliknya caj bil itu akan ditanggung oleh emak yang menerima panggilan maza! (hehehe)

Cara menggunakannya cukup mudah. Angkat ganggang telefon dan nantikan operator menjawab. Kemudian buat permintaan kepada operator dan ikut arahan seterusnya. 

Operator akan membuat panggilan ke kampung dan bertanyakan emak kalau-kalau bersetuju menerima panggilan anaknya ini. Sekiranya bersetuju panggilan akan disambungkan dan caj dikenakan kepada emak dengan caj yang lebih mahal daripada buat panggilan kaedah 'langsung'.



Sebuah nukilan lantun-lantun oleh
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails