‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 27 Disember 2017

KEMBALIKAN WAJAHMU KE ARAH MEREKA YANG BERTAUBAT


Allah sedang menguji mereka tentang apa yang mereka percaya dan yakini.

Adakalanya kita dan mereka memenangi ujian. Sebaliknya ada juga kita gagal.

Justeru, ini adalah perjalanan hidupnya. Kita dan mereka juga tidak jauh pernah tersilap dan tergelincir.

Dipanjatkan rasa syukur sebabnya keterlanjuran itu masih boleh dianggap ujian serta kifarah dan bukannya dosa yang dihukum dalam alam barzakh sana. Sekurang-kurangnya mereka mendapat balasan melalui kifarah atau denda serta teguran daripada Allah SWT secara langsung ketika hidup agar memperbetulkan kembali jalan hidup ini supaya lurus. Apabila mereka bertaubat, pintu syurga mereka kembali terbuka luas.

Bagaimana pula nasib kita? Sudah terselamatkah kita?

Rasulullah SAW pernah menegur dan menunjukkan akhlak amat mulia apabila masalah atau perkara berat dihadapkan kepada Baginda SAW.

Nabi tidak mengeji individu itu. Nabi SAW hanya merasa marah dengan perbuatan maksiat tersebut.

Hanya perkara maksiat yang dilakukan oleh pelaku tersebut yang menyebabkan Nabi SAW kesal, kecewa dan perlu dihalang dan bukan berlaku kejam kepada diri si pelaku itu.

Apabila Nabi SAW menghukum, maka ia sesuai dengan pelakuan maksiat yang dilakukan oleh si pelaku itu. Nabi SAW tidak membalas dengan 'melibas habis' dengan menjatuhkan hukuman yang melampaui batas. Hanya kerana terpaksa menegakkan hukum 'qisas' dan 'had' maka Rasullullah SAW melaksanakan hukuman berat itu. Sungguhpun begitu Nabi SAW masih memohon agar diampunkan dosa pembunuh tersebut utk dibayar duit tebus darah daripada kehilangan nyawa. Inilah yang dinamakan KEADILAN bukannya KESAMARATAAN.

Justeru, kita perlu menghadkan hukuman kejian ke atas pelakuan dosa maksiat itu. Berpaling wajah kepada maksiat itu sahaja.

Setelah si pelaku bertaubat, hendaklah kita  kembali menerima mereka. Mengangkat mereka ke tempat sepatutnya bukannya menghukum secara melampau-lampau, mengikut perasaan, menurut kata hati amarah hingga menghancurkan silaturahim suruhan Tuhan, lalu terjerumus pula ke dalam perangkap syaitan dan Azazil (Iblis).

Kita sepatutnya bantu mereka agar kembali ke jalan lurus bukannya mendorong lagi supaya mereka 'jahanam' dalam hidup ini.

Allah mengarahkan kepada orang-orang beriman supaya:-

1. "Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang taubat dan menyukai orang-orang yang mensucikan diri." (Al Baqarah: 222).

2. "(Malaikat-malaikat) yang memikul 'arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): "Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari seksaan neraka yang bernyala-nyala, ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam surga 'Adn yang telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh; antara bapak -bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah Yang maha Perkasa lagi Maha Bijaksana, dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. Dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan?), kejahatan pada hari itu maka sesungguhnya telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan itulah kemenangan yang besar." (Ghaafir: 7-9).

3. "Sesungguhnya jikalau mereka ketika menganiaya dirinya datang kepadamu, lalu memohon ampun kepada Allah, dan Rasul pun memohon ampun untuk mereka, tentulah mereka mendapati Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang." (QS. An-Nisa: 64)

Lantaran itu, Allah SWT meninggikan darjat kepada mereka yang bertaubat setelah diuji sedemikian rupa. Apakah kita sudah pasti bahawa kita ini terlepas sedangkan kita belum pasti lulus apabila diuji perkara maksiat yang sama dengan mereka?

4. "Sungguhnya Allah menerima taubat seorang hamba selagi nyawa belum sampai ke halkumnya” (Riwayat al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Allah SWT mengarahkan kita  untuk kembali menerima mereka yang telah bertaubat dengan layanan sewajarnya.

1.  "dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang menyeru Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredhaan-Nya semata-mata; dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia; dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui jantung hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami, serta dia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran”. (al-Kahfi: 28).

2. "Seluruh kalian adalah pembuat salah dan dosa, dan orang yang berdosa yang paling baik adalah mereka yang sering bertaubat". (H.R: Ahmad dan lainnya dari Anas)

3. "Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan cubaan kepada orang-orang yang mukmin laki-laki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab jahannam dan bagi mereka azab (neraka) yang membakar." (al Buruuj: 10).

MAKA APABILA MEREKA BERTAUBAT, janganlah berpaling muka, memulau atau menghina mereka lagi, Allah memerintahkan:-

1. "Jika mereka bertaubat dan mendirikan shalat dan menunaikan zakat, maka berilah kebebasan kepada mereka untuk berjalan sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang." (at-Taubah: 5).

2. "Jika mereka bertaubat, mendirikan shalat dan menunaikan zakat, maka (mereka itu) adalah saudara-saudaramu seagama." (At-Taubah: 11)

Wallahualam

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails