‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 16 Ogos 2011

Satu Hari Di Hari Raya

Esok hari raya, namun di gubuk kecil ini seperti tidak mahu menyambutnya. Tiada suatu pun hiasan rumah berganti. Langsir tetap sama. Baju melayu kami adik beradik masih boleh dipakai lagi walaupun sudah lusuh. Baju melayu itu baru 3 tahun usianya. Sememangnya orang tua kami membelikan baju melayu yang lebih besar saiznya daripada kami. Jimat katanya, boleh pakai sampai bertahun-tahun.

Gambar 1: Kampung

Bukanlah kami tidak mahu menghias teratak buruk ini. Tingkap pun antara wujud dan tidak. Rebeh sana-sini. Tinggal tiga atau empat paku yang masih terletak di dedaun tingkap untuk terus tersangkut di jenang.

Enselnya pula berbaki satu daripada sepasang. Tingkap di teratak ini rata-ratanya menantikan lerah ke bumi. Kalau rebah pun elok juga, senang angin malam memuput tubuh kami di malam hari seperti adanya pendingin hawa macam di rumah agam sana.

Malam tujuh likur lalu aku sempat merayau serata kampung. Itu pun kebetulan kami adik beradik pulang dari surau. Ada jemputan berbuka puasa bersama tok ketua. Kami telah menyaksikan betapa indahnya kampung ini. Rumah dihias begitu cantik sekali. Di malam hari dilimpahi oleh cahaya pelita yang dipasang berkeliling laman rumah. Langsir mereka melambai-lambai dari tingkap yang terdedah. Sesekali kami terdengar hilaian tawa penghuni rumah menandakan betapa mereka itu gembira. Aku turut terasa tempias kegembiraan mereka. Seronok melihatkan fenomena sebegini. Aman, riang, suka, gembira.

Di laman rumah sana ramai anak-anak berkumpul. Barangkali sanak-saudara mereka yang jauh sudah bertandang. Atau anak-anak pakcik Majid kesemuanya pulang untuk menyambut raya tidak lama lagi. Anak-anak kecil itu berlari ke sana ke mari berkejaran sesama mereka selepas puas bermain bunga api dan mercun. Mereka sungguh girang! 

"Abang. Abang. Adik nak bunga api," pinta Yusni yang masih mentah. Anak kecil ini baru berusia tiga tahun.

"Kita tak mampu adik. Abang tak ada duit. Nanti bila abang dah besar, abang dah kerja, abang belikan adik bunga api yang adik suka," aku cuba memujuknya. 

"Alahhh ... abang. Yus nak bunga api. Biar Yus minta duit dengan mak balik nanti, ya?"

"Jangan! Jangan minta duit dengan mak! Jangan serabutkan kepala emak. Kalau ada duit di tangan emak sekali pun kita kena berjimat. Paling tidak untuk makan esok hari atau untuk ke sekolah nanti"

Gambar 2: Mencongak nasib

Yusni hanya terdiam setelah suara aku tertinggi sedikit. Dia terkebil-kebil berdiri di sebelahku sambil matanya terus berkerdip memerhatikan dari jauh rumah Pak Majid sana. 

Kami ini jangan katakan hendak bermain bunga api, sisa duit yang berbaki itu lagi elok disimpan untuk berbuka atau makanan esok hari. Itu lebih penting.

"Lagipun kalau kita bermain bunga api kita tidak dapat melihat betapa indahnya bunga api itu. Sebabnya kita sibuk lari sana, lari sini, pusing sana, pusing sini. Yang untung orang yang melihat kecantikan bunga api yang kita main tadi. Kita juga yang rugi. Sekarang ini, cuba tengok, kan kita beruntung dapat menyaksikan keindahan alam?" aku memujuk Yusni. Entah sama ada dia faham atau tidak aku tidak pasti. Sejelasnya dia mengangguk-anggukan kepala sahaja.

Takbir raya berkumandang di pagi hari. Sayup-sayup dari corong masjid sana. Kami bersemangat bangun tidur di awal pagi. 

Masing-masing sudah pun mengadap di tepi kali. Air yang dingin itu dicurahkan ke tubuh pepes. Sebaik titisan air menyentuh umbun-umbun kepala kami terus berniat mandi sunat Aidilfitri. 

Sejuknya menyengat hingga ke tulang sumsum namun membuatkan kami segar-bugar. Kami sudah biasa begitu. Menggigil-gigil mengertap gigi. 

Di gubuk kecil ini tidak ada langsung istilah mahu memanaskan air untuk mandi. Kami perlu menjimatkan  kayu api atau perlu bersusah-payah meredah belukar dan kebun-kebun orang kampung meminta izin mahu mendapatkan kayu api. 

Lepas memandikan adik-adik, giliran aku pula untuk mandi. Kejebusss, air yang disiram sejuknya segera meresap sampai ke sepelusuk sendi. Menggigit-gigit kedinginan di situ.

Usai mandi kami berebut-rebut untuk solat subuh berjamaah. Kemudian bersiap untuk pergi ke masjid hendak menunaikan solat sunat aidilfitri. Kami mengenakan baju lusuh itu. Ada yang sudah koyak dan berjahit. Bukan berjahit sahaja, tetapi bertampal di sana-sini. Bercumpang-camping. Janji berbaju, elok, bersih, suci dan boleh dipakai, sudah.

Aku duduk sisi emak seraya memandang gembira telatah ketiga-tiga adik-adikku itu. Walaupun kami serba kekurangan namun tetap keriangan. Meriah dengan riuh rendah di waktu pagi raya. Sungguh bahagia.

Selesai mengenakan songkok yang renyuk atau kupiah yang sudah bertukar warna; dari putih ke kuning-kuningan, kami pun berbaris. Kami menghulurkan tangan memohon restu, ampun dan maaf kepada emak. 

Tibalah giliran Suaib, berumur enam tahun, menyalami emak. Emak sedang bersimpuh menantikan anak kecil ini datang mengadapnya. "Emak, Suaib minta ampun segala dosa dan kesalahan Suaib. (Suaib terdiam seketika kemudian bersuara dalam nada tersekat-sekat) Emak ... emak, Suaib rindukan ayah!"

Mendengarkan kata-kata Suaib itu, kami yang tadi dalam keriangan menjadi terdiam. Masing-masing terpaku. Suasana berubah sepenuhnya. Sayu segera menampar lubuk hati kami. Degupan jantung bertukar rentak menjadi melankolia. Tersekat-sekat menahan sebak yang menerjah mendayu-dayu. Kerongkong terasa begitu sempit. Anak tekak menjadi pahit.

Sekejap itu juga berderailah air mata kami semua. Rindu dan pilu itu bertandang lagi, menerpa di pagi satu Syawal. Lalu merubah hati yang tadinya girang, damai, bahagia, utuh, kuat; dan kini menjadi rapuh. Segala sendi menjadi luluh. Semuanya gara-gara teringatkan tragedi arwah ayah di awal 17 Ramadan tahun lalu. Ayah dijemput Ilahi tatkala kami amat memerlukannya. Kami sayang ayah!

Arwah ayah pergi meninggalkan kami tatkala mencari rezeki. Ayah mengambil upah menyabit kelapa sawit milik Haji Kadir di hujung kampung sana. Entah dari mana tiba-tiba ular tedung mematuk buku lali ayah.

Kebetulan pula hari itu ayah bersendirian, menjadikan detik kemalangan bertambah getir. Sementelah luka dan bisa ular semakin parah, menusuk-nusuk setiap urat saraf. Ayah bergelut dengan kesakitan yang amat dahsyat. Ayah menanggung bisa ular tedung sendirian tanpa ada sebarang teman di sisi. Tanpa ada sebarang bantuan, itu sudah pasti!

Saat itu ayah hanya menyerahkan dirinya kepada takdir, kepada Tuhan Rabul Alamin.

Benar, takdir menentukan segalanya. Hanya keesokan pagi orang kampung menemui ayah tersandar di batang kelapa sawit. Dia sudah tidak bernyawa lagi. 

Kami berpelukan sesama sendiri. Sendu-sendan memenuhi segenap ruang gubuk kecil ini. Air mata emak bercucuran laju. Yusni yang tidak faham apa-apa pun turut sama menangis. Teresak-esak kerinduan ayah. Rindu bukannya sedikit. Rindu bukannya main-main. Rindu yang bukan kepalang.

Kalaulah ayah ada, tentulah nasib kami pada hari raya ini sangat berbeza. Biasanya di pagi hari kebesaran seperti ini ayah akan mengusap-gusap kepala kami sambil melemparkan senyuman paling manis. Tetapi hari ini ayah sudah tidak ada. Ayah sudah pergi jauh. Jauh sekali.

Kami kerinduan dengan suasana itu semua. Rindu dengan tangan ayah, suara ayah, raut wajah ayah!

"Sudah nak, sudah nak. Ayah dah tak ada. Allah lebih sayangkan ayah dan Allah berkehendakan ayah. Kita perlu tabah, ya. Kita perlu kuat. Kalau ayah ada pun ayah tak mau kita jadi lemah semacam ni. Kalau kita terus-terusan bersedih, nanti ayah pun sama sedih. Kita tak mahu ayah sedih sendirian di kubur sana, kan? Kitakan sayang ayah. Kita perlu kuat untuk teruskan hidup. Bila kita berjaya dalam hidup barulah kita boleh berjumpa dengan ayah dengan wajah yang paling manis. Paling bahagia. Dan tentulah ayah bangga dengan kita. Kita kena berjaya di dunia dan akhirat ini, ya nak ..." pujuk emak sambil cuba menyengka air mata kami yang terlepas dari iris mata. Dilap-lapnya muka kami dengan tangan kasar emak itu. Tangannya sudah berubah dari lembut kepada kasar semenjak emak terpaksa memikul tugas-tugas ayah untuk membesarkan kami.

"Lepas balik dari masjid karang kita sama-sama berjalan pergi ziarah kubur ayah ya. Kita lawat dia. Lagi pun hari ini hari raya, mana boleh menangis. Kita kena gembira, kan, kan, kan?" Zaki berusia lapan tahun cuba menenangkan keadaan.

Kami betah mengawal emosi masing-masing. Emak mendepakan tangannya. Kami pun menyerbu emak.

Emak mendakap kami erat-erat, "Emak sayang semua anak-anak emak. Selamat hari raya sayang."

"Kami juga emak. Kami sayangkan emak. Selamat hari raya emak."


**************

*Cerita ini dikarang khusus untuk menyahut cabaran Ismail N. Sila klik sini (Cabaran Blogger | Satu Hari Di Hari Raya).

*Maza juga suka menyarankan agar kengkawan turut menulis dan menyahut cabaran Ismail N ini. hehehhehe...

*Moral cerita: Ingatlah pada orang yang kurang berada. Juga jangan lupa sedekahkan al-fatihah pada yang tiada!

*Selamat Hari Raya kengkawan yang tidak lama lagi muncul itu....





blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails