‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 21 April 2014

Sungai Jin Berpuaka?

Berkelah di tepian Sungai Jin, Sungai Lembing

Aktiviti hujung minggu kami kali ini (19.April.2014) ialah berkelah dan memancing di Sungai Jin, Sungai Lembing, Pahang Darul Makmur.

Nama sahaja Sungai Jin, tetapi kawasan itu tidaklah berpuaka kecuali diri sendiri mempuaka-buaskan (wakakaka).

Bertolak dari Kuantan ke Sungai Jin memakan masa hampir satu jam. Jalan masuk ke Sungai Jin berliku-liku, berhalangan dan memerlukan ketabahan hati.

Terdapat dua laluan. Kali pertama kami pergi ke sini dengan menyelusuri jalan dari pekan Sungai Lembing. Laluan tersebut sememangnya mencabar kerana perlu meredah perkampungan Cina, kebun-kebun, hutan dan belukar sebelum menemui perkampungan orang Asli Sungai Mas. Jalannya sempit, sebahagian berturap tar, sebahagian lagi bertanah liat dan berpasir. Kalau tidak cukup kental, harus berpatah balik. Namun untuk berpatah balik bukan hal yang mudah. Jalannya curam, bergaung, dihimpit pula dengan pokok-pokok balak yang besar-besar.

Laluan kedua ialah melalui jalan ke tapak perkelahan Pasir Kubur. Jalan ini melalui perkampungan Melayu yang berturap tar. Walaupun laluannya sempit tetapi selesa. Cuma perlu berhati-hati terutama apabila berselisih dengan kenderaan lain dan mengelak binatang ternakan penduduk kampung. Selepas melalui perkampungan Melayu, dalam beberapa kilometer akan tiba perkampungan orang Asli pula (Sungai Mas).

Kaum Asli ini terdiri daripada suku Jakun dan Semaq Beri. Dalam kalangan penduduk Asli tersebut ada yang beragama Islam dan selebihnya beragama lain-lain. Terdapat sebuah sekolah kebangsaan di situ, bernama Sekolah Kebangsaan Sungai Mas. Sekolah ini di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA).

Sungai Jin dikatakan mempunyai air terjun, tetapi misi kami kali ini bukanlah ke tempat itu. Kami berniat mahu berkelah di tebing Sungai Jin yang berhampiran jambatan masuk sahaja.

Jambatan batu merentasi Sungai Jin, namun jalannya masih belum bertar lagi.

Sebaik sampai, sudah ramai orang berada di situ. Masing-masing ada yang melabuhkan joran dan tidak kurang juga berkemah dengan keluarga.

Kami memilih kawasan yang sedikit tersorok dan terpencil. Sekadar mahu lebih privasi dan tidak banyak gangguan. Namun tidaklah terperosok, menyorok daripada manusia.

Kereta dipakir betul-betul di bibir sungai. Kawasan pantai sungai pula botak, tidak berpokok. Di sinilah gunanya memacakkan khemah. Usai mendirikan khemah, abah memasang joran dan memulakan hobinya, mengail. Kata orang setempat sungai ini dihuni kelah, sebarau, tongsan, lampam dan bermacam-macam lagi spesis ikan air tawar yang mahal-mahal harganya.

Sungai Jin dipenuhi dengan batu-batan yang bersaiz kecil dan sederhana. Agar sukar juga mahu berjalan dengan selesa tetapi perkara itu tidak menghalang daripada kami hendak berseronok bersama anak beranak. 

Sememangnya Sungai Jin adalah kawasan terpencil, terperosok dan jauh daripada pengetahuan umum. Jika diamati tak ubah seperti kawasan yang diabaikan. Sungguhpun begitu, ramai pengunjung bertandang pada hujung minggu. Terutama setelah kawasan riadah di Pasir Kubur penuh dengan pengunjung maka mereka akan beralih ke kawasan ini.

Bekalan ringkas untuk perkhemahan.

Seperti biasa, setelah peruk berkeroncong kami mula memasak. Air mineral yang dibawa dari rumah dipanaskan dan maggie cup menjadi hidangan. Sebagai pilihan, nasi lemak buatan emak dibawa bekal sama. Setelah sendaawa, sekali lagi kami berendam sambil mencari ikan seluang untuk dibuat perhiasan. 

Lewat petang setelah semuanya kecut, barulah kami bangkit dari dalam sungai dan meruntuhkan khemah. Petang itu juga kami sempat meronda entah sekalian kalinya pekan Sungai Lembing itu. 



Nota kembara

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails