Menoreh getah pernah menjadi pekerjaan utama di Malaysia |
Suara emak sesekali memecahkan sunyinya di malam itu. Suasana sungguh tenang dan sesekali dihiburkan dengan bunyi reriang di malam hari. Rembulan jelas tersemat di dada langit sana. Bintang-bintang bertaburan di balik dedaun kelapa yang menjulang meninggi. Di kampung ini begitu tenang sekali sedangkan Ramadan baru sahaja menyisingkan tirai.
"Habis tu, takkan kau nak kerja macam ni aje? Macam mana pula nasib anak bini kau di belakang hari nanti?" Abang Johan cuba membuka fikiran Mohd Nor.
"Abang ... itu jangan dirisaukan. Rezeki pemberian Tuhan, apa yang penting sekarang ialah ianya halal dan bersih. Saya pun boleh menjaga isteri dan emak sekaligus di sini. Hati saya tenang. Lagipun saya tak punyai sijil."
"Menoreh tanah di baruh tu ... berapa senlah yang kau dapat? Perbelanjaan makin tinggi. Takkan lah kau nak mewarisi kemiskinan keluarga ini?"
Tiga tahun kemudian.
Abang Johan pulang dengan kereta besarnya. Sebaik dia memakir kereta di halaman rumah kampung itu dia terperasan sudah terdiri sebuah bangsal mengapit rumah ibunya.
Di dalam garaj itu sudah berisi. Sebuah kereta nasional berwarna merah mengisi perut bangsal itu. Abang Johan menyangka tentulah saudara mara sudah datang untuk beraya sama tahun ini. Siapakah mereka, tanya hati Abang Johan.
"Emak, o ... emak!"
"Ah kau Johan bila sampai?"
"Baru kejap ni. Tu kereta baru siapa tu mak? Pak Busu Zali ke yang punya?"
"Tu kereta adik kau, Mohd Nor!"
"Eh biar betul?! Mana dia dapat duit sebanyak itu hendak membeli kereta?"
"Apa kau ingat orang menoreh tak boleh membeli kereta ke? Tu lah hasil keringat dia menoreh getah di dua tempat. Di baruh satu, di atas bukit sana satu. Syurkur pemberian Tuhan."
"Eh macam tak percaya je." Abang Johan melulu ke bangsal itu. Dia membelek-belek kereta baru yang adiknya beli baru sebulan sudah.
"Tulah kau. Lain kali jangan nak menghina pekerjaan orang walaupun nampak kerja tu selekeh dan tak setaraf dengan kau. Kalau kita kena gaya bekerja, berusaha gigih, rezeki bersih dan berkat, Insyallah kebahagiaan itu lambat laun akan datang juga. Kalau kerja hebat macam mana pun, kemudian ia merubah kau jadi kaya. Tetapi kerja yang kau lakukan itu penuh dengan ketidakberkatan, masa dengan keluarga tak ada, dua puluh empat jam asyik sibuk hingga lupa Tuhan, lupakan diri sendiri malah sanggup meenipu. Makanya hidup kau tidak ke mana-mana. Lambat-laun kebahagian yang kau cari entah ke mana dan kau akan sentiasa hidup dalam kesempitan walaupun dilambakkan dengan wang ringgit," emak berceramah di petang Ramadhan itu.
Abang Johan hanya terdiam mengamait kereta itu sambil berpura-pura tidak mendengar kata-kata ibunya.
"Satu lagi, Tuhan tak suruh kita semua ini kejar kekayaan, pangkat dan darjat di dunia. Tetapi Tuhan menyuruh kita mencari keberkataan di dalam hidup. Urusan menjadikan kita kaya atau miskin adalah urusan Allah SWT. Urusan kita pula perlu memastikan apa-apa sahaja kita lakukan itu bersih, suci dan halal serta di dalam keredhaan Allah. Pendek kata, janganlah kamu mencampakan diri kamu dan keluarga kamu ke dalam api neraka!" tambah emak lagi.
Abang Johan menggaru kepalanya. Ayat-ayat yang dilontarkan oleh emaknya itu penuh bermakna. Dan Abang Johan berasa sangat berbisa.
"Sudah mari masuk. Karang kejap lagi baliklah adik kau tu."
Ya, Mohd Nor masih juga menyuluh di subuh hari untuk mencari rezeki demi menyuapkan makanan ke mulut keluarga itu. Terbongkok-bongkok bersama lampu karbaid yang dilekatkan di atas kepalanya. Seolah-olah menyembah pohon getah sambil mengharapkan susu getah mengalir banyak dan bermutu tinggi.
Sesekali Mohd Nor menampar pipi atau lengan apabila dihinggapi oleh nyamuk. Itu pun sekali sekala dia menepis. Dia sudah tidak kuasa atau sudah terbiasa dengan nyamuk menghurung muka, lengan dan kakinya. Adakalanya kakinya berdarah diserang pacat. Lebih-lebih lagi di musim dingin dengan hujan baru melanda pagi semalam.
Selesai menoreh sekitar jam 9.00 pagi. Selepas Zuhur sekali lagi Mohd Nor bersama isterinya pergi ke kebun untuk membangkit getah beku. Kata orang Negeri Sembilan menangkat lantun (getah buku). Bau getah buku tidak enak untuk dihidu, tetapi itulah punca rezekinya.
Di hati Abang Johan berkata, bertapa syukurnya kerana dia tidak perlu bersusah payah dan bekerja keras seperti itu. Lebih-lebih lagi di dalam bulan Ramadan ini. Makanya tidak ada alasan untuk dia dan anak-anaknya dari bandar itu untuk merungut susah, lapar dan sebagainya.
Melepaskan lelah setelah selesai menoreh |
Untuk kepuasan gambar, sila ke ronawarna.blogspot.com