‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 15 Ogos 2011

Pohon Berhantu

Dahulu tatkala maza zaman kanak-kanak, kampung tempat tinggal maza di kelilingi oleh hutan. Di belakang rumah hutan, di depan rumah sawah, di hujung kampung juga hutan. Kalau mahu ke kampung ini dari bandar Kluang atau Mersing sudah tentulah akan melalui hutan yang amat tebal.

Sudahlah jalannya berliku-liku seperti ular dipalu, salah hemat boleh bermuntahkan najis muntanajis! Kalau tidak biasa dengan laluan ini, perut anda pasti akan mual dan memulas. Biji mata pun berpinor-pinor. Kepala berdenyut-denyut dek kerana lipatan selekohnya yang pendek dan berbagai bentuk. Ada bentuk 'U' dan lagi dahsyat seperti huruf 'S' yang berturut-turut seperti 7 beradik!

Kebetulan pula perjalanan anda terpaksa melaluinya di malam hari, alamatlah bertemankan kengerian sepanjang jalan. Itu belum lagi al-kisah gangguan binatang buas di pertengahan jalan, juga segala jin dan mambang turut melintasi laluan tersebut.

Gambar 1: Katanya pokok jenis ini jin dan makhluk halus suka menjadikannya tempat tinggal

Dijadikan satu cerita, dahulukala maza amat ngeri dan takut melihatkan pepohon yang besar, rendang dan menjulang tinggi. Begitu juga halnya dengan pokok yang besar tegak berdiri tetapi togel!

Emak pernah bercerita kepada kami bahawa pontianak, langsuir dan makhluk-makhluk halus yang sejenis dengannya suka hinggap atau terbang di atas  pokok ara. Adakalanya mereka menjadikan pokok yang rendang, berselirat akar hingga ke dahan itu sebagai tempat tinggal mereka.

Kata orang-orang tua lagi, pernah berlaku ada mangsa yang diangkut oleh pontianak ke atas pokok ara tersebut. Bayangkan, pokok ara itu sudah besar, tinggi dan dahannya jarang-jarang! Ada tu pokok ara sudah tidak punya daun dan togel! Aduhaiiii...

Kebetulan pula di tanah perkuburan Islam di kampung itu yang bersetentangan dengan rumah sekolah rendah kami terdapat pohon ara, dan pokok-pokok rendang yang sedemikian rupa. Acap kali juga maza ngeri apabila melalui kawasan tersebut.
Hari ini kawasan perkuburan itu sudah terang. Kalau ada pun lalang melitupi batu nesan. Pohonan rendang dan pokok ara tidak ada lagi. 

Dengar kata bukan sebarangan orang yang berjaya menebang pepohonan yang berusia ratusan tahun itu. Kalau tidak cukup ilmu di dada, jangan cuba mencederakan pohon tersebut. Mesin gergaji mahupun jentolak telah digunakan, namun pokok tersebut gagal ditumbangkan. 

Malah pekerja itu pula diserang gangguan di malam hari. Ada itu sampai demam-demam.

Gambar 2: Kita tidak tinggal bersendirian di dunia ini!

Penyudahnya ada seorang yang bijak pandai telah meminta izin dan membacakan sesuatu. Lalu dia hanya menggunakan kapak dan beliung untuk menumbangkan pokok yang berada di kawasan perkuburan tersebut. Alhamdulilah, pokok tersebut itu lut dan tumbanglah menyembah bumi. Lantas kerja-kerja pembersihan dan perluasan tanah perkuburan kami dapat dilaksanakan.

Jadi kengkawan, sukalah maza berpesan. Sesungguhnya pepohon juga adalah benda hidup. Ia mempunyai nafas, hayat dan setiap yang bernyawa kita perlu hargai. Jangan mudah sangat mahu memusnahkan alam, kerana setiap yang dibina dan dijadikan Allah SWT mempunyai penjaga dan hikmatnya. 

Lantas, jangan bertangan 'gatal' mahu merosakan pokok tanpa ada aral dan musabab!



blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails