‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Sabtu, 4 Disember 2010

Resah Pak Cik tua ...


Seorang nelayan di pengkalan pendaratan ikan sedang resah memikirkan masa depan. Apalah guna berbungkus-bungkus, bergulung-gulung wang ringgit bergetah gelung di tangan tetapi nilainya merundum.

Atau inikah yang dinamakan kesan dari usaha jadikan Negara Berpendapatan Tinggi? Barang dibeli dengan wang kertas berangka besar, angka digitnya berderet-deret tetapi nilainya terlalu kerdil!

Garam, gula dahulu dapat dibeli sekati sepuluh sen. Sekarang harganya jauh dari itu, berpuluh-puluh kali ganda berbeza. Kata ahli ekonomi yang bersekongkol dengan ahli politik, itu tanda kemajuan.


Kalau dulu ikan ditangkap dengan bersampan. Dayung dikayuh perlahan-lahan untuk ke lubuk ikan. Hari ini kalau diperlakukan hal yang sama, bukan ikan yang diraih, tetapi sampah sarap dari sisa industri dan pembuangan sisa domestik yang terperangkap di jaring dan pukat. Jadinya, kalau mahu berjaya menjadi nelayan hidup senang perlulah ke tengah laut. Sebagusnya ke laut dalam.


Secangkir air teh disuakan ke mulut. Meneguk perlahan-lahan meninjau-ninjau masa hadapan.

Hendak ke laut dalam sana perlukan petrol dan diesel. Dikatakan saja bersubsidi tetapi bocor sana sini. Wang rakyat mengalir. Mengalir sederas air pasang tadi.

Kelat air teh tadi begitu terasa di kerongkong, sebaik terbaca berita tersebar luas tentang harga minyak di pasaran dunia melonjak lagi. Dan tadi berita yang tidak mahu didengarinya sudah terpapar di kaca TV. Pelarasan harga minyak sudah dibuat oleh kerajaan. Petrol. diesel, gas memasak, gula naik lagi!

Subsidi petrol, diesel, gula, LPG dikurangkan mulai esok
2010/12/03

KUALA LUMPUR: Subsidi bagi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 5 sen seliter, Gas Cecair Petroleum (LPG) sebanyak 5 sen sekilogram dan gula sebanyak 20 sen sekilogram mulai esok.

Berikutan penyelarasan jumlah subsidi itu, harga petrol RON95 kini ialah RM1.90 seliter, diesel RM1.80 seliter, LPG RM1.90 sekilogram dan gula RM2.10 sekilogram. (Sumber: Berita Harian)

Rentetan dari pelarasan subsidi tersebut membawa natijah kenaikan harga barang makanan dan barang harian. Semua orang tahu kesan rantaian itu. Pak tani, kerani, pekerja bengkel, taukeh basikal, eksekutif syarikat, cikgu, posmen di pengkalan pekan ini semuanya tahu malah pernah terkena bahananya juga.

Kata ahli ekonomi negara, ini adalah petunjuk ekonomi negara kita berkembang. Sedikit kenaikan inflasi adalah baik untuk pertumbuhan ekonomi negara. Lagipun subsidi untuk rakyat jelata merupakan bebanan!

Di hati pak cik tua nelayan ini berdetik, bila masa pula rakyat menjadi bebanan negara?

Ah! Apalah yang seorang tua nelayan ini tahu perihal itu semua. Pak cik nelayan masih mengusap misai dan janggut. Masih berkira-kira duit di dalam dompet. Memandang lesu dan berbisik sendirian, "semakin kering wang saku aku ini. Semakin kontang. Di manakah kemajuannya?"

Sekonyong-konyong datanglah seorang graduan dari pekan besar sana. Si graduan terdengar bisikan Pak cik nelayan tua lalu menepuk bahu Pak cik nelayan tadi. "Semua orang merasa peritnya pak cik. Mari kita ubah cara hidup," kata pemuda tampan cendiakawan itu cuba memujuk hati pak cik nelayan tua.

Di celah hati pak cik nelayan berkata, betul semua orang kena perkara yang sama. Tapi bukan semua orang menyuap mulut keluarga ku dengan segenggam beras yang sama. Periuk masing-masing lain keraknya.


"Hendak mengubah hidup bagaimana lagi, nak (anak)? Akhir-akhir ini pun pak cik susah nak beli beras. Bukan tak ada bekalan beras. Ada. Bukan duit tak ada. Ada di dalam genggaman ini. (sambil menunjukkan segulung wang seringgit dan lima ringgit di tangan). Tetapi hendak membeli beras Nasional, bersubsidi itu untuk orang susah macam pak cik ni, dengan duit segenggam di tangan ini masih tak mencukupi untuk menyuap keluarga kecil pak cik di gubuk kecil itu nak (anak). Sekarang makan pun sudah bercatu," suram muka pak cik nelayan.

Sang anak cendekiawan merenung tajam ke telapak tangan pak cik itu. Kemudian memadang pak cik tersebut dan berkata, "kita kena usaha keras untuk berjaya pak cik. Kita tidak boleh malas dan menyerahkan nasib. Kita tak boleh harapkan tongkat! Kita mesti berkorban untuk kemajuan negara ini di masa depan. Untuk generasi akan datang. Kita mahu negara ini menjadi maju dan berpendapatan tinggi! Usaha yang dilakukan ini juga untuk memastikan negara kita tidak bankrupt macam negara Greece dan Ireland"


"Anak. Berapa banyakkah lagi harus pak cik berkorban? Tidak cukupkah pengorbanan pak cik selama ini dengan bersabar dan mendiamkan diri. Membayar cukai sana sini. Membiarkan hasil bumi mengalir dan ditelan oleh mereka itu. Dan haruskah pak cik berkorban sampai pejam mata ini demi untuk orang lain di atas nama kemajuan negara ini?"

Masing-masing membisu. Masing-masing melontarkan pandangan jauh ke ufuk horizon sana. Tiada jawapan pasti. Mereka bermain perasaan sendiri. Menggaru-garu poket sendiri. Mula mengira wang yang berbaki setelah ditolak itu dan ini. Sekarang fikiran melayang menconggak nasib napsi-napsi...


Pictures setting
ISO, AV, f = semua gambar pakai telefon berkamera aje, sudah.. huhuhu

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails