‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 19 Julai 2013

JULAIBIB SAHABAT YANG HODOH

foto: ronawarna.blogspot.com


Tidak semua manusia dikurniakan wajah tampan, sasa, cantik, ayu, menawan dan menarik. Segelintir daripada kita sedari lahir lagi mengalami pelbagai kekurangan fizikal. Antara manusia yang menghadapi cabaran hidup segetir itu ialah Julaibib.

Julaibib bukanlah seorang yang ternama dan bereputasi tinggi. Tidak terkenal pun, malah teramat jarang namanya disebut di mana-mana sirah Nabi dan riwayat Salafi (para sahabat).

Julaibib tinggal di Kota Yathrib (Madinah). Beliau dilahirkan dengan keadaan fizikal yang tidak sempurna. Seorang yang cacat, sangat pendek, katik, bantut, tidak tampan. Sekali imbas tiada suatu apa pun yang boleh dibanggakan padanya.

Kehidupan Julaibib melarat,. Dia seorang yang fakir, papa kedana. Hidupnya digelumangi penderitaan dan penghinaan.

Malah tiada siapa tahu asal-usulnya. Tiada siapa tahu siapa bapa Julaibib. Bahkan Julaibib tidak mengenali ibu bapanya sendiri.

Nama Julaibib adalah nama gelaran yang diberikan orang. Nama jolokan yang menggambarkan keadaan sifat fizikal Julaibib. Maksud perkataan Julaibib itu sendiri ialah Si Cacat.

Di zaman itu, masyarakat Arab amat mementingkan asal-usul, suku, kaum dan status seseorang untuk diterima dalam kalangan mereka. Keadaan Julaibib yang cacat, tiada beribu bapa, keluarga, suku kaum untuk melindunginya, seorang yang amat kerdil dan berwajah buruk itu, sering kali menjadi bahan ejekan; dihina!

Masyarakat memandang rendah kepadanya. Julaibib dipermain-mainkan dan masyarakat tidak mengendahkannya. Julaibib sering berinteraksi dengan kaum wanita. Ketika itu wanita dianggap sebagai golongan kelas kedua kecuali wanita bangsawan. Malah, hanya golongan wanita itu lebih memahami dan sensitif terhadap perasaan Julaibib. Dalam kebanyakan hal, Julaibib sentiasa disisih, dijadikan bahan lawak jenaka, diperkecil dan dipencilkan!

Julaibib menghadapi situasi kehidupan yang amat sukar, rumit, selalu dinista dan penuh panca roba. Orang lebih mengenali Julaibib sebagai makhluk kerdil yang tidak punyai makna dalam masyarakat. Julaibib diperlakukan seperti debu di padang pasir. Lelaki, wanita, kanak-kanak sering kali mengganggu, menyerang dan membuli Julaibib. Akhirnya Julaibib terperangkap dalam dirinya sendiri, menjadi seorang yang selalu rasa rendah diri.

Julaibib sedar kekurangan fizikalnya itu. Namun, ia bukanlah alasan untuk terus-terusan memencilkan diri dari arus perdana. Mujur sinar hidayah muncul. Dengan adanya Rasulullah SAW, semangat dan tujuan hidup menjadi terserlah. Kekurangan fizikalnya itu bukan lagi menjadi alasan untuk menyisihkan diri daripada perjuangan iman. Sinar Islamiyah di jiwanya amat terang benderang. Julaibib seorang yang rajin berzikir dan tidak pernah tertinggal untuk berada di dalam saf pertama ketika solat berjamaah. Malah Julaibib seorang yang sentiasa menyertai peperangan besar bersama-sama Rasulullah SAW.

Suatu hari Nabi Muhammad SAW bertanya pada Julaibib, “Hai Julaibib, tidakkah kamu ingin menikah?”


“Wahai Rasulullah, siapa yang mahu menikah denganku yang tidak punya harta mahupun kedudukan?” Julaibib merendah diri.

”Tetapi kamu di sisi Alalh bukannya tidak laku,” bidas Nabi SAW.

Pada suatu hari Rasulullah SAW berkata kepada seorang lelaki bangsawan Ansar yang mempunyai kedudukan, “Wahai Fulan. Mahukah puterimu itu aku nikahkan?”

“Ya! Sesungguhnya itu adalah suatu kenikmatan wahai Rasulullah!” Lelaki Ansar itu teruja dan amat berbesar hati. Gembira bukan kepalang. Menikahkan puterinya yang janda dan cantik itu kepada Rasulullah merupakan penghormatan. Sebuah anugerah yang tidak ternilai. Mana mungkin dia mahu menolaknya. Ini suatu rahmat!

“Sesungguhnya aku tidak menginginkannya untuk diriku,” Rasulullah menyengka kegembiraan lelaki itu.

“Lalu untuk siapa? Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali?” tanya lelaki Ansar.

“Untuk Julaibib”

"Julaibib, ya Rasulullah?!" lelaki itu terperanjat besar. Dia tidak menolak permintaan Nabi SAW mentah-mentah, sebaliknya memberikan alasan, “Jika begitu, biarkan aku pinta pendapat isteriku.”

Lelaki itu pun pulang lalu mendapatkan isterinya seraya berkata, “Sesungguhnya Rasulullah telah melamar puterimu.”

“Sungguh! Itu suatu kenikmatan. Puteriku menjadi isteri Rasulullah!” isteri lelaki Ansar berteriak gembira. Girangnya memenuhi setiap penjuru hati.

“Sesungguhnya Rasulullah tidak menginginkan untuk dirinya,” lelaki itu mencelah.

“Lalu untuk siapa? Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali?”

Jika tidak kepada Rasulullah, isteri lelaki itu ingin bermenantukan seseorang yang berstatus tinggi, punyai kedudukan.

"Julaibib," terang lelaki Ansar.

foto: ronawarna.blogspot.com

“Julaibib?! Julaibib?! Julaibib?! Demi sepanjang nyawa Allah sekali pun, tidak! Aku tidak akan mengahwinkan anak perempuan aku itu kepada Julaibib! . . . ”si isteri terperanjat dan berteriak-teriak seumpama orang histeria. Dia tidak mempercayainya! Di hati sanubarinya tiada sekelumit langsung mahu bermenantukan Julaibib: Tak ingin! Julaibib seorang yang serba serbi kekurangan, cacat malah papa kedana! Bayangan penderitaan sedang berlegar di fikirannya dan itu harus ditamatkan; titik!

Si isteri lelaki Ansar tidak dapat menerima kenyataan sehingga dia terbawa-bawa dan melontarkan kata-kata yang melanggari erti ketauhidan Allah SWT. Dia bersumpah dengan perkataan yang amat ditegah, "Demi sepanjang nyawa Allah". Amat jelas dia tidak bersetuju. Amat jelas kekecewaannya. 

Allah SWT berkehendakan sesuatu yang lebih baik kepada isi rumah tersebut. Lalu Allah SWT melontarkan sinar hidayah ke dalam hati anak perempuannya. Janda itu terdengar jeritan si ibu lalu mendapatkan ibu bapanya seraya berkata, “Apa yang sedang berlaku?”

“Rasulullah SAW mahu menikahkan engkau dengan Julaibib! Dan kami tidak akan mengahwinkan kamu dengan Julaibib,” jawab mereka.

“Adakah kalian akan menolak permintaan (perintah) Rasulullah? Bawa aku kepada Rasulullah. Sesungguhnya Rasulullah tidak akan menyia-nyiakan aku,” tegas wanita itu dengan penuh keimanan dan ketakwaan.

Wanita itu memahami Rasulullah SAW. Dia mengimani bahawa apa yang telah ditetapkan Nabi SAW itulah yang terbaik untuk dirinya. Maka Julaibib adalah yang terbaik untuknya, walhal wanita itu mengetahui siapa itu Julaibib!

Setelah tiba masa, wanita dan Julaibib dinikahkan. Sehingga hari ini tiada siapa yang tahu nama wanita tersebut.


JULAIBIB GHAIB


Selang beberapa hari selepas pernikahan mereka, Nabi SAW pun keluar untuk pergi berperang. Julaibib ikut serta seperti lazimnya. Usai peperangan, para pejuang kembali mencari satu sama lain untuk menentukan siapa terkorban dan tercedera.

“Apakah kalian kehilangan seseorang?” Rasulullah SAW bertanya.

“Kami kehilangan fulan dan fulan . . . ” Muslimin menjawab.

Kemudian Rasulullah bertanya lagi, “Apakah kalian kehilangan seseorang?”

Mereka menjawab, “si fulan dan si fulan . . .”

Rasulullah SAW bertanya lagi, “Apakah kalian kehilangan seseorang?”

“Kami kehilangan fulan dan fulan . . .”

Baginda SAW bersabda, “Akan tetapi aku kehilangan Julaibib!”

Tiada seorang pun menyedari kehilangan Julaibib. Hakikatnya tiada siapa yang mempedulikan Julaibib kecuali Nabi SAW!

Mereka mencari dan memeriksa merata tempat. Mereka kembali mencari di celah-celah perajurit yang terkorban. Di medan peperangan itu mereka tidak menemui Julaibib. Julaibib masih tidak ditemukan. Sesetengah daripada mereka mulai merungut, "Di manakah Julaibib tiba-tiba ghaib?!"

Setelah berusaha beberapa lama, akhirnya mereka bertemu Julaibib. Di samping Julaibib bergelimpangan tujuh mayat Musyrikin. Julaibib berjaya membunuh ketujuh-tujuh mereka itu. Cuma berbeza sekarang ini, Julaibib sendiri sudah menjadi mayat. Syahid di dalam peperangan membela Nabi Muhammad SAW dan Islam!

Rasulullah SAW berdiri sebelah mayat Julaibib seraya memadangnya dan berkata, “Dia membunuh tujuh orang lalu mereka membunuhnya. Dia membunuh tujuh orang lalu mereka membunuhnya (Rasulullah mengulangi ucapan itu dua kali). Dia daripada golonganku dan aku daripada golongannya.”

Julaibib yang cacat, hodoh, miskin, papa kedana itu dianggap Rasulullah SAW sebagai saudaranya!? Sekarang darjat Julaibib diangakat begitu tinggi. Jika begitu, siapa pula mereka yang cukup sempurna sifat tubuh badan, berwajah menarik dan berharta di sisi Nabi SAW sedangkan mereka di mata masysarakat adalah golongan jauh lebih mulia daripada Julaibib?

Kemudian Rasulullah SAW sendiri menatang mayat Julaibib yang kerdil itu dengan kedua belah tangan Nabi SAW sendiri. Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan Muslimin untuk menggali lubang untuk menguburkan Julaibib.

Anas berkata, “Kami pun menggali kubur. Sementara Julaibib r.a. tidak memiliki sebarang alas kecuali kedua lengan Rasulullah SAW sehingga ia digalikan dan diletakkan di liang kuburnya.”

Anas berkat lagi, “Demi Allah! Tidak ada di tengah-tengah orang Ansar yang lebih banyak berinfak (sedekah) daripada isterinya. Kemudian, ramai bangsawan pun berlumba-lumba mahu melamarnya setelah Julaibib (mati).” 


PENGAJARAN


Nabi SAW bersabda, “Setiap umatku akan masuk syurga kecuali mereka yang enggan.” Lalu para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, siapakah gerangan mereka itu?” Baginda SAW menjawab, “ Barangsiapa taat kepadaku, maka dia masuk syurga dan barang siapa menderhakaiku bererti dia enggan.” (H.R al-Bukhari)

1. Ramai para sahabat Rasulullah SAW yang berwajah tampan, segak, gagah dan perkasa. Namun terdapat di antaranya yang kekurang sifat fizikal seperti cacat anggota badan, hodoh dan fakir. Sungguh pun begitu Rasulullah SAW tetap menyatuni mereka. Apa yang menjadi ukuran bukanlah perihal rupa paras, kaya, status dan keturunan, tetapi nilaian yang sempurna ialah terhadap akhlak dan iman. Allah SWT hanya memandang ketakwaan seseorang di akhirat kelak.

2. Sirah ini jelas menunjukkan betapa lembut peribadi Rasulullah SAW. Baginda SAW tidak mengira latar dan rupa paras dalam menilai seseorang. Nabi SAW tetap memberi semangat dan menyemarakkan iman bagi sesiapa jua, termasuklah mereka yang mengalami konflik rasa rendah diri yang mendalam. 

3. Janganlah cepat berputus asa disebabkan kekurangan yang ada pada diri kita sendiri. Sebaliknya perlu meneguhkan iman dan menjaga akhlak, kerana dari sisi itulah penentu kejayaan di akhirat kelak; yang mendapat pandangan Allah SWT.

4. Darjat dan pangkat di dunia hanyalah mainan dan hiasan dunia, namun nilai sebenar ialah keikhlasan, kemurnian dan berakhlak mulia!

5. Janganlah berjalan di muka bumi Allah ini dengan perasaan angkuh dan sombong. Setiap kelebihan itu adalah pinjaman daripada Allah SWT. Malah, kita perlu menyantuni setiap manusia. Kita hendaklah melayani setiap makhluk dengan adil dan rasa saling menghormati.


Catatan sirah oleh
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails