‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Sabtu, 11 Disember 2010

Gambus dan para penari

Muzik gambus samrah (Kumpulan Al Muhibbin - Kayu Ara, Petaling Jaya, Selangor) berkumandang menerobosi di setiap penjuru pangsapuri ini. Lagu yang dimainkan kesemuanya ber-lajjah Arab. Sekali atau dua sahaja lagu berkumandang dalam lajjah Melayu.

(Gambar: Kumpulan Qasidah Al Muhibbin, Kg. Sg. Kayu Ara, Selangor)

Kumpulan gambus ini memulakan persembahan dari jam sepuluh pagi hinggalah hendak masuk waktu Asar. Geselan biola, petikan gambus, bunyian keyboard berjenama Roland, saling sahut menyahut. Tabla, gendang ibu, gendang anak dan rebana ibu pula silih talu-menalu. Sekali sekala besulamkan bunyi seruling.

Rentaknya rancak, iramanya laju. Lagu arab dimainkan dengan penuh semangat. Ada antara para jemputan sudah terangkat-angkat lututnya mengayakan rentak tersebut. Cuma kaki masih terpaku di atas rumput padang itu. Masih malu-malu hendak 'bergoyang gerudi Inul' di tengah laman di hadapan pentas.
]p[
Ada juga beberapa tetamu jemputan, tidak dapat menahan keasyikan. Akhirnya deras menuju ke bawah pentas. Lalu bersatu dengan musik dan menari di situ.

Cuma lagak mereka tidaklah seperti penari gelek dari tanah Arab. Yang ada, cuma manusia Melayu yang galak meniru gerak tari Timur Tengah. Kekadang lucu pula. Ada seperti naik kuda, naik unta dan menunggang burung kasawari yang sedang mengerbangkan sayap pendeknya. Gaya tak ubah seperti mahu terbang di awangan. Tetapi masing-masing sekadar berputar-putar sekitar pentas sana.

Seminggu sebelum majlis perkahwinan ini diadakan, majlis berkampung bagi menyusun atur program telah dibuat di bawah rumah pangsapuri ini sahaja. Kali ini melibatkan ramai orang. Baik dari sebelah keluarga, penghuni pangsapuri dan kawasan kejiranan. Pihak berkuasa tempatan dan polis juga turut dijemput.

Tujuan diadakan majlis berkampung ialah untuk pembahagian tugasan pengurusan majlis, teknikal, jemputan, layanan dan sebagainya.

*****

Majlis perkahwinan itu berlangsungkan dengah penuh kemeriahan. Helai tawa, senyum mesra, perasaan muhibbah dan bahagia bertaut bersatu. Kanak-kanak berlari sana sini, belia dan remaja saling membantu. Kadang kala ia bersulam senyum simpul yang penuh makna.

Majlis ini telah membawa penulis terkenangkan majlis perkahwinan di kampung tatkala zaman kecilnya lagi.

Ketika itu segala kenduri kendara dirasakan cukup meriah. Perasaan suka dan gembira dikongsi bersama antara kaum keluarga, jiran tetangga dan sahabat taulan.

Elok sahaja majlis kenduri diumumkan, masing-masing sudah mula membayangkan yang indah-indah. Anak-anak muda mula sibukan dengan perhiasannya. Mula berkira-kira hendak memakai baju apa, fesyen yang mana.

Sebahagian belia pula sudah bersiap-sedia menyimpan tenaga untuk menjadi ahli penanggah atau tukang layan pembawa dulang dan kendi.

****
REWANG

(Gambar: Merenung masa depan)

Hari ini suasana jauh berbeza. Malah di desa-desa permai yang jauh nun terperok di hujung negeri sudah dipengaruhi dengan arus modenisasi.

Kenduri-kenduri kahwin sudah tidak ada lagi bayang-bayang anak remaja atau para belia berdondong-dondong datang membantu di bawah khemah-khemah jemputan. Mahupun memeriahkan majlis dengan pakaian yang cantik-cantik, muka berseri-seri dan saling menghulurkan tangan.

Hai ini kalau ada pun anak-anak muda seperti itu, boleh dibilang dengan jari. Ataupun mereka akan terpelosok di balik celah tiang. Kalau tidak pun, termenung di atas kerusi menanti giliran untuk mengambil makanan.

Zaman sekarang rata-rata majlis kenduri kendara dijarahi oleh PEMBEKAL MAKANAN (katering).

Katering sudah mengambil alih tempat penanggah. Dewan besar atau hotel ballroom bergalang ganti dengan khemah-khemah yang comel.

Tidak ada datuk-datuk, makcik-pakcik, pak su, pak long, tok siak yang datang awal membantu membina khemah. Tidak ada lagi anak-anak kecil berlarian sana-sini bermain sesama mereka. Atau berkenalan sesama saudara mara, sepupu-sepapat. Tidak ada lagi golongan emak dan ayah sibuk memotong lada, ayam, daging dan bawang di pangkin rewang penaggah! Tidak ada lagi si nak dara sibuk menghias pelamin. Atau anak teruna berseluar labuh mengangkat periuk belangga. Tidak ada lagi giat, gurau, latah dan tawa besar. Hilang sudah perangsang untuk mengenyit atau mengintai anak-anak orang dari kejauhan untuk dibuatkan jodoh.

Semangat kenduri kahwin semakin lesu, semakin kelam. Hilang. Yang ada cuma di hari majlis persandingan itu dihadiri oleh rakan taulan yang rapat. Saudara mara yang terdekat. Tinggal mereka yang luruh gigi dan beruban di kepala. Itu pun mereka datang duduk bersalaman tuan rumah dan pulang setelah kenyang.

Tidak ada lagi gelak tawa, tidak ada lagi senyum santai, tidak ada lagi latah mak inang, atau tidak ada lagi giat si mak andam!

Orang dahulu, anak-anak dara, remaja, teruna, mak orang, bapa orang akan terus menanti-natikan pengantin sampai. Mengadap di depan pelamin. Memeriahkan lagi dengan bertepung tawar. Si bujang dan dara berebut-rebut untuk mendapatkan berkat pengantin.

Hari ini, belum lagi kompang berbunyi, ataupun kalau kompang berbunyi lambat, dewan itu mulai sunyi. Mulai kosong. Masing-masing lepas makan, bersalaman dengan tuan rumah dan terus angkat kaki.

Makna kenduri kahwin semakin hilang! Serinya sudah kelam. Meriahnya sudah payah.

****

Cuma di pangsapuri indah ini, tinggallah mereka dari 'sebarang' membuka budaya lama.

Mereka mempertahankan budaya mereka. Di sini mereka dari Pulau Boyan masih mempraktikan erti "berkampung" atau majlis menyambut, atau majlis mesyuarat rewang. Mereka masih bersatu-padu menjayakan hari bersejarah anak mereka atau jiran tetangga.

Masing-masing sanggup mengorbankan cuti untuk majlis itu. Masing-masing rela memeriahkannya.

Soalnya sekarang, sejauhmanakah hilang budaya 'pengantin' kita hari ini?

Adakah nanti, yang menjadi ukuran majlis kenduri kahwin rakyat Malaysia ialah berlumba-lumba diadakan di tempat yang 'grand'? Atau bilangan dulang dan wang hantaran yang lumayan?

Manakala nilai-nilai murni, kekeluargaan, permuafakatan, kasih sayang, gotong royong yang menjadi junjungan bangsa dan budaya Melayu di Malaysia menjadi luput dan pupus.

Patutkah disimpulkan pengantin hari ini lebih kepada materilastik dan bermegah?

Menayangkan betapa 'gah' dan kayanya seseorang itu, daripada nilai-nilai murni dan mulia disebalik makna kenduri kendara itu sendiri?

Nampaknya tidak adalah majlis basuh periuk belanga yang hitam dan gedabak oleh pengantin baru! Nilai kebahagiaan dan tawa riang sanak saudara akan terkubur begitu sahaja. Yang ada hanyalah penat lelah, dan sesetengahnya mengaut untung semata-mata!

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails