Sarah kelewatan. Dia tergesa-gesa. Sarah berlari-lari anak hendak menghadiri majlis hari ibu di taska Sheila. Bukan sengaja dia mahu lewat. Kali ini kelasnya tamat lewat sedikit daripada lazimnya. Peperiksaan diploma semakin menghampiri, dia perlu berusaha gigih untuk masa depan. Sarah tinggal sendirian di rumah sewa demi mengejar impian bergelar graduan. Semuanya demi mengubah nasib diri dan keluarga. Tinggal sebulan lagi sebelum peperiksaan semester terakhir bermula.
Sheila memanggil Sarah, ibu. Memang benar Sarah masih
muda. Usianya baru menginjak 21 tahun.
Ramai orang mengatakan Sarah berzina dengan teman
lelakinya ketika berusia 16 tahun sehingga melahirkan seorang anak. Sekarang
ini anak itu sudah berusia empat tahun. Sesetengah orang mengatakan Sarah
mempunyai ‘sugar daddy’ dan sekarang ‘sugar daddy’ meninggalkan Sarah setelah melahirkan
Shiela.
Cikgu Idris resah menantikan Sarah yang belum muncul-muncul.
Di dewan taska itu sudah penuh dengan ibu bapa. Kerusi tersusun di atas pentas. Beberapa ibu yang mengambil bahagian telah pun duduk di atas pentas itu.
Tinggal sebuah kerusi yang kosong. Kerusi itu akan diisi Sarah. Sebentar lagi
Shiela akan mengadap Sarah di atas pentas untuk menyampaikan ucapan dan bunga
kepada ibunya.
“Sarah di mana awak? Persembahan akan bermula sebentar
lagi.” Cikgu Idris menghantar SMS.
SMS Cikgu Idris tidak berjawab. Bukannya Sarah tidak
mahu menjawab. Dia perlu bergegas tanpa bertangguh. Segala panggilan atau SMS
akan mengganggu kelancaran langkahnya.
Sarah dalam perut tandas sedang mempersiapkan diri. Baju seragam makmal
telah berganti dengan baju yang lebih sesuai dengan majlis Shiela
itu nanti. Soal berlari dari kuliah ke taska bukannya perkara baharu pada
Sarah. Begitulah keadaannya saban hari. Sebaik habis kelas, tanpa sebarang
bicara atau berpelesaran segera dia berlari hendak mendapatkan anak comelnya itu.
Sarah di dalam kelas memang pendiam orangnya. Sering
sahaja menumpukan pelajaran tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Dia hanya aktif
apabila bersoal jawab dan menyiapkan tugasan akademik. Tiada masa berfoya-foya dengan
teman-teman sekuliah. Malah tiada seorang pun jejaka sekuliah mahu merapati
beliau. Sarah bukanlah gadis cantik. Dia berasal dari kampung. Rupanya seperti
wanita biasa, tiada yang istimewa, tiada lesung pipit penghias wajah. Tiada
mekap tebal menempel di iras mukanya. Watak dan gaya pakaian Sarah tidak pernah berubah. Pernah
seorang pelajar lelaki menuduhnya wanita jumud kerana fesyen yang dikenakan
fesyen kekampungan; ketinggalan zaman.
Setelah mendapatkan Shiela, biasanya Sarah akan terus
pulang ke rumah. Mereka melakukan aktiviti bersama; membaca, menulis, melukis,
menelaah, mandi, memasak. Pendek kata apa sahaja aktiviti, mereka akan lakukan
bersama. Sekiranya Sarah terpaksa pulang lewat dari kuliah, Cikgu Idris dengan
sukarela menjadi pengasuh dan peneman Shiela.
Usai menepek ringkas bedak di muka dan menyapu lipstik,
Sarah bergegas masuk ke dalam dewan. Sarah meninjau-ninjau dan terlihatkan Cikgu
Idris yang berada di suatu sudut hujung sana. Mulut Sarah mengumat-gamit tanpa suara memberi isyarat kepada Cikgu Idris bertanyakan kedudukan Shiela.
Cikgu Idris faham, dan lurus jari telunjuknya menunding ke arah Shiela berada.
Sarah melambai-lambai tangan kepada Shiela. Sarah menyeru
nama Shiela perlahan, sekira-kira boleh didengari anak itu sahaja.
Shiela terpandangkan ibunya itu lalu menguntumkan
senyuman paling manis. Shiela turut melambaikan tangan seraya
memberikan isyarat yang Shiela sudah bersedia dan meminta Sarah menaiki pentas segera.
Sarah menyusun jari sepuluh tanda meminta maaf kepada
anak kecil itu di atas kelewetan tadi. Sebenarnya Sarah tiba tepat pada
masanya. Sengaja dia hendak menyakat dan mengambil hati anak kecil itu. Shiela segera
menjelirkan lidah, berlakon merajuk, kemudiannya menguntumkan senyuman
manja.
Sarah berpaling arah dan melihat ke pentas. Dia sedikit gugup. Sekali
lagi Sarah menarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan mengorak langkah menginjak anak-anak
tangga untuk naik ke pentas. Sarah mengambil tempat.
Setelah duduk dengan selesa, majlis pun bermula.
Anak-anak kecil mula diminta menaiki pentas berbaris
mendapatkan ibu masing-masing. Di tangan anak-anak kecil itu tergenggam tiga kuntum bunga dan sebuah lukisan.
Shiela mendapatkan Sarah. Lalu duduk melutut di hadapan
Sarah. Shiela menghulurkan lukisan yang beberapa hari lalu dia melukisnya.
Shiela melukis gambar dia berpimpinan tangan dengan Sarah. Lukisan orang
lidi hasil kerja tangan Shiela itu amat mudah difahami. Pada sebelah tangan ibu
dan anak dalam lukisan itu tergenggam belon dan mereka bersiar-siar di taman. Beberapa
daun keladi diwarnakan merah kecana lambang cinta mereka berdua. Kata Cikgu
Idris, semua lukisan itu Shiela lakukannya sendiri.
Sarah tersentak lalu terimbau. Benar mereka sudah lama
tidak bersiar-siar. Kali terakhir lima bulan lalu di sebuah
taman yang penuh dengan bunga-bungaan. Petang yang hening dan redup itu ditemani Cikgu
Idris yang turut serta.
Ketika inilah Cikgu Idris menyuarakan keresahannya, “Kenapa Sarah
perlu merahsiakan identiti Shiela? Sekarang ramai orang menuduh Sarah yang bukan-bukan
di belakang. Mereka mengeji dan memandang serong terhadap Sarah . . . ”
Sebetulnya Shiela bukanlah anak Sarah.
Ketika itu Sarah berada di tingkatan lima sains dan
tinggal di rumah sewa. Dia terpaksa tinggal di rumah sewa berikutan di
kampungnya tiada sekolah menengah yang menawarkan aliran sains.
Pada suatu pagi minggu, Sarah pergi membuang sampah di
tong besar sana. Bau busuk memenuhi kawasan tong sampah dan amat
memualkan. Lalat berterbangan di sana sini menghurung sisa-sisa buangan.
Segera Sarah mencampakkan sisa perut ikan yang baru disiangnya. Sebaik bungkusan plastik itu jatuh, Sarah terdengar pekikan suara bayi menangis. Pada awalnya dia tidak mempedulikan suara itu.
Segera Sarah mencampakkan sisa perut ikan yang baru disiangnya. Sebaik bungkusan plastik itu jatuh, Sarah terdengar pekikan suara bayi menangis. Pada awalnya dia tidak mempedulikan suara itu.
Sarah melangkah hendak meninggalkan tong sampah
yang menjijikkan dengan segala macam kekotoran; perut ayam, makanan basi,
pampers bernajis, perca kain, sisa pecahan kaca dan sebagainya. Baru menapak selangkah dua,
Sarah rasa tidak sedap hati. Sebenarnya Sarah tidak sampai hati. Dia melihat sekeliling. Tiada orang di
situ, tetapi suara tangisan bayi jelas kedengaran di telinganya. Perasaan ingin tahu membuak-buak menerjah.
Sarah mencari punca suara bayi tadi.
Sarah terpandangkan sebuah beg yang berzip rapat. Suara bayi keluar deras dari arah itu. Sarah menghampiri. Perlahan-lahan dibukanya zip beg tersebut.
Sebaik terbuka, terpancullah wajah seorang bayi perempuan
yang masih kemerah-merahan dari dalam beg pakaian. Bayi perempuan itu
menendang-nendang dan matanya tertutup rapat, barangkali silau diterpa cahaya
matahari. Tangisannya memenuhi alam, barangkali kepanasan atau kelaparan atau
terkejut kerana hempasan balingan sisa perut ikan yang Sarah campakkan beberapa
saat lalu.
Sarah mengamati wajah bayi itu. Dari satu garis ke satu
sisi lain. Tiada suatu pun cacat cela anak kecil ini. Dia melihat berkeliling
sambil memanggil-manggil, “Anak siapa ini? Bayi siapa ini?”
Panggilan Sarah itu sia-sia, tidak berjawab. Malah yang kedengaran
hanyalah suara keras anak kecil yang wajahnya begitu pulus, mulus, bersih dan gebu.
Sarah mengeluarkan bayi itu dari dalam beg pakaian yang menjadi
tempat perlindungannya. Dikendong bayi tersebut. Sarah mula merasa kasihan dan
serba salah. Jika dibiarkan di situ anak ini mungkin akan mati. Mati kelaparan,
mati kepanasan, mati kesejukan, mati kekejangan atau mati digonggong anjing.
Tumpah air mata Sarah mengenangkan nasib bayi kecil itu. Dalam diam-diam perasaan keibuannya segera menyelinap. Perasaan kasih sayang dan cinta terhadap bayi bukanlah boleh dibuat-buat. Perasaan itu hadir tidak semena-mena. Inilah
keindahan seorang wanita. Hanya wanita mempunyai perasaan seperti itu yang
sangat mendalam. Mereka cukup istimewa. Anehnya, di manakah perasaan itu kepada
ibu kandung bayi ini?
Didukungnya bayi perempuan comel tadi pulang ke rumah. Mulai saat itu Sarah membesarkan Shiela sendirian. Perasaan kasih seorang ibu benar-benar tertumpah ke atas Shiela.
Didukungnya bayi perempuan comel tadi pulang ke rumah. Mulai saat itu Sarah membesarkan Shiela sendirian. Perasaan kasih seorang ibu benar-benar tertumpah ke atas Shiela.
Lamunan Sarah tersentak sebaik sahaja Shiela menghulurkan tiga
kuntum bunga mawar merah kepadanya. Sarah menyambut dengan debaran, hatinya mula bergetar. Jiwa Sarah semakin dikuasai sayu.
Shiela dibelanya dengan penuh kasih sayang. Dibelai,
dimanja. Sarah tidak sanggup menghancurkan hati dan masa
depan Shiela. Sebab itu jugalah Sarah sanggup berkorban; melakukan apa sahaja
yang terbaik demi Shiela, bayi comel itu.
Dengan alasan itu jugalah Sarah menjawab soalan Cikgu Idris, “Biarlah
orang nak kata apa sekalipun. Saya tidak mahu merosakkan jiwa dan emosi Shiela
di kemudian hari. Sampai masa nanti saya akan beritahu kepada Shiela. Dan untuk
pengetahuan cikgu, saya tidak sanggup melihat dia menderita lagi.”
Sarah tersentak setelah Shiela bangkit dan memeluknya erat seraya
berkata, “Saya sayang ibu. Ibu ratu hati Shiela.”
Air mata Sarah tertumpah jua. Berderai laju, gagal diseka lagi.
Sarah hanya mampu menggangguk-anggukkan kepala sebagai tanda jawapan seruan Shiela.
Ibu-ibu lain yang duduk sebaris dengan Sarah turut ada yang mengalirkan air
mata deras mereka. Cuma kisah mereka berbeza.
Kalaulah Shiela tahu hal sebenar? Kalaulah masyarakat
sekeliling tahu akan nasib anak beranak ini? Kalaulah ibu kandung Shiela tahu? Kalaulah
wanita tahu kecantikan mereka bukanlah sekadar pada wajahnya?
Ya, setiap wanita itu cantik dari nilai dalamannya. Indah dari segi budi pekerti keibuan terhadap manusia yang mereka warisi dari dalam tubuhnya sendiri, dari kantung tempat kejadian manusia bernama rahim. Ah, nikmat apakah ini?
Ya, setiap wanita itu cantik dari nilai dalamannya. Indah dari segi budi pekerti keibuan terhadap manusia yang mereka warisi dari dalam tubuhnya sendiri, dari kantung tempat kejadian manusia bernama rahim. Ah, nikmat apakah ini?
~nukilan kasih jangan dibuang~