‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 2 Februari 2014

Bahaya Jelingan Mata Ayah


Zaman kanak-kanak dahulu jelingan ayah cukup bermakna. Bahayanya menikam ke sanubari. Tajamnya boleh meruntun hati.

Tidak perlu pun bersuara, dengan satu jelingan tajam ayah si anak mengerti. Faham benar sorotan pandangan itu bisa mengundang kemarahan ayah yang bukan kepalang. Sudah sama seperti dentuman petir dan pusaran ribut.

Anak mata yang dibeliakkan, petanda ayah amat marah! Kalau anak matanya mengekor pula seperti ada suatu amaran terakhir. Isyarat bahawa perlakuan si anak itu tidak digemarinya. Kelakuan itu salah. Perlakuan perlu diperbetulkan serta merta. Bantah dengan arahan senyap itu petanda padah!

Jika mencengkau karipap sejurus selepas bermain di tanah, tiba-tiba nampak kelibat ayah, lalu ayah menjeling. Itu petanda ada sesuatu yang tidak kena. Karipap secara automatik terlepas dari tangan. Tanpa penjelasan, anak itu faham maksud jelingan ayah. Segera bergegas ke dapur dan mencuci habis segala kekotoran. Setelah itu barulah mendapatkan karipap tadi. Duduk bersopan, membaca Basmallah dan menyuakan karipap perlahan-lahan ke dalam mulut.

Begitu juga jika pergi ke kedai runcit Pak Aji. Anak-anak akan terjah ke balang gula-gula. Sebaik memegang penutup telap itu, anak-anak akan lihat ke muka ayah. Jika ayah menjeling atau menjengkilkan anak matanya, anak-anak akan menunduk dan segera berundur ke belakang. Balang itu akan diperhatikan sahaja dari jauh. Pulang dengan senyap dan tangan kosong tanpa ada suara bertingkah. Jika ayah buat tidak tahu atau tersenyum, segera anak-anak membuka balang dan petanda gula-gula itu pemberian berharga daripada ayah. Hadiah istimewa.

Demikianlah yang berlaku kepada Amir. Hubungan Amir dengan ayahnya, Pak Saman, begitu serius. Tegang memanjang. Silap sikit tali pinggang menjadi taruhan. Bontotnya sudah banyak kali menjamah tali pinggang Pak Saman. Tidak terbilang. Ah, itu semua salah Amir juga.

Pak Saman memang mengambil berat tentang akhlak anak-anaknya. Apabila solat mesti berjamaah di surau  bersebelahan dengan rumahnya.

Maghrib itu Lebai Sahak menjadi imam. Saf pula tidak panjang, sekadar dua baris. Seramai tujuh orang ke semuanya di surau kecil itu. Pak Saman dan Amir kebetulan dalam satu saf yang sama di barisan hadapan.

Lepas rukuk entah bagaimana kain pelikat Lebai Sahak terselit di punggung. Amir berniat baik untuk membantu Lebai Sahak. Amir kira Lebai Sahak tentunya tidak selesa berkeadaan sedemikian rupa.

Amir pun menarik kain pelikat Lebai Sahak. Terlerailah kain pelikat yang terselit itu dari celahan bontot Lebai Sahak.

Entah bagaimana Amir terpandangkan muka Pak Saman. Pak Saman menjeling atau lebih tepat lagi menjengkilkan anak matanya, petanda dia tidak bersetuju. Mulut Pak Saman diketap rapat. Pak Saman marah. Pak Saman turut mengangkat jari telunjuk. Itu signal paling dahsyat. Signal yang betul-betul mengundang mala petaka!

Amir berasa gerun. Dia takut. Rasa bersalah bukan kepalang!

Segera Amir memperbetulkan keadaan. Saat Lebai Sahak sujud kali pertama itu, Amir mengambil tindakan pantas. Kain yang terselit tadi disumbatnya kembali ke pungung Lebai Sahak. Malah dikemaskan dengan mencucuk ke dalam bontot orang tua itu.

Apa lagi, Lebai Sahak terperanjat dan terdorong ke hadapan. Lebai Sahak melompat sambil meraba-raba punggung.

“Allah! Allah! Allah!” teriak Lebai Sahak.

Mereka yang telah sujud bersama Lebai Sahak, sebaik mendengarkan perkataan “Allah, Allah, Allah!” menjadi terpinga-pinga. Sejak bila pula 'takbir beralih rukun' perlu diucapkan tiga kali berturut-turut? Atau Lebai Sahak terburu-buru mempercepatkan solatnya? Apa yang Lebai Sahak kejarkan hingga tidak menyempat-nyempat?

Sebaliknya, mereka yang berada di saf belakang telah menyaksikan perlakuan Amir. Awal-awal lagi mereka sudah terguling-guling, keluar dari saf.

Semenjak peristiwa itu, Lebai Sahak merana seminggu tidak ke surau.

Ilham lantun-lantun

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails