‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 13 Januari 2014

Harta Dunia Dan Akhirat

Senja Di Kuala Lumpur.
Jalan Duta, Januari 2014

Hari ini Dollah dilepas dan dibebaskan setelah dipenjara selama 10 tahun. Sebagaimana diduga, tiada siapa yang menyambut di pintu gerbang penjara itu. Dia sudah tiada siapa-siapa; keluarga dan kawan semuanya entah ke mana.

Dollah berkelana, berpelisiran di pekan kecil. Dia membawa diri dengan mengikuti langkah kaki membawanya pergi. Dari satu deretan kedai ke satu deretan kedai sehinggalah petang melewati malam.

Setelah penat mengorak langkah, dia berhenti berehat di kaki lima. Cadangnya mahu melelapkan mata di situ. Menumpang teduh sambil menikmati erti kebebasan setelah terkurung di balik kadang besi bertahun-tahun lamanya.

Di tangan tiada pun wang, perut berkeroncong. Kali ini dia tidak mahu mengambil jalan mudah untuk mendapatkan sesuap nasi seperti dahulu. Dollah sudah taubat nasuha. Walaupun imannya serapuh dedak ayam, tetapi perihal jenayah tidak mahu lagi diulangi.

Sementera menahan lapar dan berkira-kira hendak mencari rezeki halal itu, tiba-tiba sebuku roti kaya dicampakkan kepadanya.

“Nah! Ambil tu. Makanlah.” Kata seorang anak muda yang bergelendangan senasib dengannya. Sebuku roti kaya terbang melayang ke kakinya.

Dollah mengutip dan menyuap ke dalam mulut perlahan-lahan. Inilah kedaannya sekarang. Daif. Miskin. Papa kedana.

Hari-hari terus berlalu, nasibnya belum juga berubah. Masih terkais-kais mencari makan. Di celah-celah tong sampah, tepi longkang dan apa sahaja yang boleh dimakan.

Arif pulang dari sekolah dengan mengheret beg melalui celah-celah lorong. Beg lebih besar daripada tubuh kerdilnya yang berusia seputar sembilan tahun. Di pertengahan jalan Arif ditahan sekumpulan kanak-kanak nakal si kaki buli dan ponteng sekolah. Seperti biasa mereka mahukan wang. Duit Arif selalu tersedekah di situ. Jika tidak diberikan “wang perlindungan” teruk Arif kena belasah.

Bunyi kecoh kanak-kanak membingitkan telinga Dollah yang sedang melelapkan mata di hujung kaki lima deretan kedai berhampiran. Tubuhnya tersorok di balik timbunan kotak. Dollah kurang senang tidurnya terganggu. Sambil berbaring dan matanya dijengkilkan, Dollah menyergah, “Hoi budak! Kau buat apa tu?”

Bercempera kaki buli bertempiaran lari. Dollah kembali melelapkan mata tanpa mempedulikan Arif di situ.

Arif berasa terhutang budi lalu menghampiri Dollah, “Terima kasih pakcik. Terima kasih.”

Dollah tetap Dollah, kantuknya masih sedap dilayan. Dia membiarkan Arif terkulat-kulat. Dollah tetap teruskan dengkuran sambil menahan kelaparan.

Keesokan hari di tengahari itu Dollah masih di situ. Dia merengkot. Kali ini dia benar-benar kelaparan. Sehari semalam perutnya tidak berisi.

Arif pulang dari sekolah. Dijinjitnya sebungkus nasi. Dia mendapatkan Dollah. “Nah pakcik. Arif ada bawa makanan.”

Dollah bingkas dari tempat tidur. Sebaik diletakkan nasi bungkus di atas lantai, segera Dollah menyabar dan memakan segala isinya.

“Terima kasih. Kenapa kau tak balik lagi. Baliklah.” kata Dollah dengan kasar. Sebenarnya di hati Dollah ada rasa malu dan resah. Mana tahu ada orang tuduh dia mahu menculik anak ini!

“Di rumah tiada siapa-siapa pakcik.”

“Ayah kau pergi mana?”

“Kata ummi, ayah sudah mati. Arif tinggal dengan daddy dan ummi. Mereka sibuk bekerja. Lewat tengah malam baru balik. Pakcik boleh ajarkan Arif. Arif tak tahu buat kerja sekolah.”

“Aku bukannya cikgu. Kau pergilah tanya daddy sana.” mulut Dollah penuh dengan nasi bungkus itu.

Arif membuka buku latihannya, lalu dia membaca, “Rukun iman ada enam perkara. Pertama ialah mengucap dua kalimah syahadah. Pakcik, macam mana mengucap dua kalimah syahadah?”
“Ummi kau tak ajar ke?”

Arif menggelengkan kepala. Buku latihan tersebut tertera nama Arif Hakim bin Abdul Syakur. Dollah tergamam, kunyahannya terganggu. Ada sesuatu yang terdetik di hatinya.

“Asshaduallaillaha illallah, wa asshaduana Muhammadar rasulullah.”

Arif melemparkan senyuman.

Seminggu dua ini Arif kerap datang melawat Dollah. Dollah mulai senang dengan kehadiran anak kecil itu. Kadang-kadang mereka berkongsi makanan yang Arif bawa. Dollah dan Arif semakin mesra. Namun di hati Dollah ada sebuah persoalan yang besar melanda. Dollah antara acuh tidak acuh mengajar Arif membaca dan menulis sebagai membalas budi anak kecil itu memberinya makanan.

Pada suatu malam sedang Dollah merayau-rayau mencari makanan, dia terserempak Arif. Kali ini Arif berpimpinan tangan dengan seorang wanita. Susuk tubuh wanita itu dia amat kenal.

“Faridah! Faridah!” Dollah memanggil bekas teman wanitanya.

Wanita itu menoleh. Segera dia melorong tangan Arif supaya terus masuk ke dalam hotel mewah. Sebaik pintu hotel tertutup, wanita itu berhenti di muka pintu hotel. Tercegat menantikan Dollah menghampirinya.

“Nak apa abang Dollah? Cukup-cukuplah jangan menyusahkan saya lagi.”

“Bukan. Aku bukan nak menyusahkan kau. Aku kebetulan berada di sini. Cuma aku nak tanya, budak itu anak siapa? Nama dia Arif, kan?”

Faridah tergamam, dia menoleh ke kiri dan ke kanan. Jelas di wajah Faridah kelihatan resah.

“Maaf bang. Sebenarnya, selepas dua bulan abang kena tangkap, saya baru tahu yang saya mengandungkan anak abang. Itulah Arif Hakim anak abang. Tapi saya beritahu Arif ayahnya sudah mati. Maafkan saya abang. Saya tidak mahu memusnahkan masa depannya.” Faridah menjawab gugup. Dia tergagap-gagap. Ada nada kesal di situ.

Seperti ombak menghempas pantai. Gelombang membadai hebat. Begitulah yang Dollah rasakan setelah mendapat tahu kebenaran. Sangkaannya tepat.

“Tak mengapalah Faridah. Terima kasih Faridah kerana melahirkan anak itu. Terima kasih. Jika begitu, ayah Arif kekal sudah mati. Ayah Arif kekal sudah mati. Ayah Arif kekal sudah mati . . . .” Dollah melangkah pergi menghilang di balik kepekatan malam.

Tiga hari Dollah menanggung ribut di jiwa. Hatinya berbelah bahagi. Selama itu juga dia menghilangkan diri dari pandangan Arif dan selama itu juga rindunya bukan kepalang.

Dollah menyelongkar dan terus menyelongkar tong sampah di belakang restoran mewah di pekan itu. Entah macam mana dia terpandangkan secebis kertas bertulisan tangan yang sudah kusam. Dia membelek kertas itu yang tercatat serangkap kata-kata:

Anak itu anugerah,
Anak itu amanah
Anak itu harta
Harta yang membuat orang miskin menjadi kaya
Kaya di dunia
Kaya di akhirat

Dollah termenung sejenak. Cuba memahami kata-kata itu. Puas dia meneroka maksud, kertas itu dicampakkan kembali ke dalam tong sampah.

Keesokan hari Arif terserempak Dollah yang sedang membongkok memunggut kotak. Di tangan kiri Dollah ada seguni plastik berisi botol-botol.

“Pakcik! Pakcik!” teriak Arif.

Dollah terkedu, tidak tahu berbuat apa. Dollah terperangkap. Tubuh Dollah segera dipeluk anak kecil itu.

“Ke mana Pakcik pergi, puas Arif cari. Arif tak ada kawan. Arif rindukan pakcik. Pakcik sudah makan?” soal Arif bertalu-talu tanpa sempat Dollah menjawabnya.

Sukar Dollah hendak membalas setiap tikaman kata-kata anak itu.

“Jangan sentuh aku. Jangan! Sudah! Mulai hari ini kau jangan cari aku. Kau bukan anak aku. Baliklah. Pergi balik!!!” Dollah mengherdik Arif.

“Tapi apa salah Arif? Kenapa pakcik benci Arif? Kenapa semua orang melarikan diri daripada Arif? Tidak kasihankah pakcik kepada Arif? Siapa mahu ajarkan Arif lepas ni? Arif tak pandai! Siapa mahu temankan Arif? Arif keseorangan pakcik. Arif sunyi,” airmata Arif berderai laju meminta simpati. Kaki Dollah dipegangnya kuat-kuat, seolah-olah Arif sudah melakukan dosa besar dan sedang meminta ampun!

Hati kebal Dollah berkocakkan. Jiwanya bergoncangan bagaikan gempa besar melanda. Sebetulnya Dollah tidak sampai hati melihatkan anaknya sedemikian rupa. Siapa sangka itu anaknya. Siapa sangka anak yang begitu baik adalah zuriatnya. Siapa sangka Allah mempertemukannya dengan anak kecil ini. Siapa sangka Dollah bukan seorang sahaja menderita cinta, tetapi anaknya juga menderita kasih sayang.

“Tapi Arif. Pakcik ni jijik. Pakcik tidak bekerja. Pakcik papa kedana. Pakcik miskin. Arif sepatutnya berkawan dengan orang yang sebaya dengan Arif. Jangan hancurkan masa depan Arif dengan mengambil contoh seperti pakcik. Pakcik ini kotor nak.”

“Pakcik, Arif tak ada kawan. Biarlah Arif berkawan dengan orang miskin. Arif tahu, pakcik orang baik. Kata ustaz, orang miskin pun makhluk Allah. Arif juga miskin pakcik. Arif miskin ayah!”

“Anak ku . . . .” luntur juga hati Dollah. Hatinya benar-benar tersentuh sementelah mendengarkan kepetahan dan ketaatan anak itu, apatah lagi perkataan AYAH itu terzahir dari mulut mungel tersebut.

“Pakcik, izinkan Arif panggil pakcik ayah?”

“Boleh Arif boleh. Malah kaulah anak aku?”

“Tapi ummi cakap ayah sudah mati.”

“Tidak nak. Tidak. Sebenarnya pakciklah ayah kandung kamu. Ayah kandung kau belum mati lagi nak.” semakin erat Dollah memeluk anaknya itu.

“Sekejap pakcik. Sekejap.” Arif meleraikan pelukan Dollah. Kemudian dia membuka zip beg sekolahnya. Arif mengeluarkan sekeping gambar.

“Ini gambar arwah ayah Arif. Ummi yang beri. Semenjak hari itu, hari-hari Arif bawa gambar ini.”

Sebaik gambar itu Dollah dan Arif lihat bersama, ternyata gambar itu gambar Dollah sewaktu muda. Arif tercengang, mereka tergamam lalu berdakapan kembali. Kali ini lebih erat.

“Ayahhhh . . . . ke mana ayah menghilang? Arif rindukan ayah!” Arif tersendu sendan.

Seorang pemuda menghampiri anak beranak itu. Sebaik sampai di sisi, lelaki itu segera menikam Dollah.

“Mati kau. Mati kau! Aku sudah lama berdendam dengan kau Dollah!”

“Ayah! Ayah! . . .” teriak Arif sambil menepis tangan pemuda itu.

“Allah . . .” Dollah rebah ke tanah. Pemuda itu segera melarikan diri membiarkan Dollah bergelimpangan.

Arif pantas memangku kepala ayahnya.

“Arif, nampaknya sampai di sini sahaja pertemuan kita. Jangan jadi macam ayah, ya nak? Jadilah anak yang soleh!” nafas Dollah semakin sesak.

“Ayah bersabarlah ayah. Ayah mengucap ayah, Lailaha ilallah.” Arif menalkinkan ayahnya yang semakin nazak.

Dollah mengikut setiap bait kata-kata syahadah itu. Payah-payah dia menyebut dan sebaik Dollah mengakhiri lafaz terakhir, putuslah roh dari jasadnya. Dollah meninggal di pangkuan Arif.

~harta dan pelaburan paling bernilai ialah anak yang soleh~

nukilan 
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails