Apabila isteri 'melarikan diri' atau bercuti hibernisasi dari kerja-kerja rumah, maka besar harapanlah dapur di rumah tak berasap.
Apatah lagi apabila dia menemui aktiviti kegemaran di luar kawasan laman rumah. Aduhaiiii... maka ramailah para suami akan menggaru kepala yang tak gatal itu... huhuhu...
Tapi, apa salahnya kan? Isteri juga manusia. Perlukan waktu sengang dan rehat tersendiri. Waktu peribadi katanya.
Tak salah, malah tak kena tangkap polis pun bila membenarkan si isteri berehat dan mencuba hobi baru dengan ditemani para suami.
Kali ini aktiviti yang disertai oleh isteri-isteri teman & isteri maza ialah memancing. Ha, jangan tak percaya ada orang perempuan suka memancing!
Ada sesetengah tu memancing telah menjadi hobi tegar mereka. Pantang ada terluang masa, maka kaum hawa itu akan berdedai-dedai di takungan air; baik di kolam, sungai atau pun di tasik. Mereka akan melabuhkan joran dan melontar batu ladong.
(Gambar: aksi para isteri memancing. Hobi memancing juga ada gunanya.... Isteri seorang teman sedang mencekak pinggang di gigi air. Agak-agak ikan punyai keberanian hendak memakan umpan itu tak? Atau terpana dengan wajah sang isteri lalu terkonyong-konyong memagut umpan atau bertempiaran lari..? hehehehe)
Kata isteri maza, untung-untung dapat ikan jaws di tasik ini. Nanti boleh dibuat lauk dan jimat juga duit belanja.
Petang semakin menyingsing. Setelah hampir dua jam menongkat dagu menantikan umpan mengena, akhirnya seekor ikan kerdil lagi kudut berjaya dinaikkan. Itu pun setelah ikan itu tersesat dan tak sengaja mengenai mata kail.
Oleh kerana sifat kemanusian dan keibuan begitu menebal, isteri maza berasa kasihan dan melepaskannya kembali ke dalam tasik. Setelah itu, kami melipat batang joran dan berkemas untuk pulang.
"Hmm... macam mana dengan hobi baru ini?" maza melontarkan senyuman sambil mengerlingkan anak mata tanda perli.
"Best..! Tapi kami tak akan give-up walaupun kali ini tak dapat ikan besor. Wahai tasik, tunggu.. kami akan kembali lagi! Kali ini biar jaws pula kami tawan. Err... bang, karang kita singgah kedai Acheh beli ikan, ya?"
"Laa.. esok ajelah kita pergi ke pasar, beli semua keperluan sekali."
"Ishh, kalau jiran tanya, sekurang-kurangnya kita boleh tunjukkan ikan tu ha. Dapatlah nanti kita cover malu."
Petang itu pecah berderai dengan riuh-rendah tawa kami di tepi tasik sambil mengenangkan nasib dan hobi baru ini.