‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Sabtu, 29 Mei 2010

Judi Siput Babi di Negeri Berantah

Semalam di restoran mamak Raja Kapoor riuh rendah. Masing-masing menegakkan pandangan masing-masing.

Keadaan mulanya santai. Sekarang sudah berubah menjadi ribut. Mujur juga tidak ada kerusi terbang. Dan tiada seorang pun yang kena lontar selipar jepun atau pun pinggan, garpu, sudu kepunyaan mamak Raja Kapoor. Kalau tidak, tak ubah seperti di Parlimen Jepun atau Korea Selatan sewaktu ketika dahulu.

Terkawal. Masing-masing masih mampu mengawal perasaan.

Tetapi dengusan nafas dari hidung kedengaran kencang. "Hurssh! hurshh! hurshh!" menghembuskan kuat, kemudian menarik nafas pendek.

"Aku dari Sekolah Menengah Tinggi Gunung Sekaki. Cikgu aku cakap jangan pecah-belah kalau mahu maju dan selamat. Kita perlu sokong kerajaan pimpinan Parti Pokok Pisang di Negeri Berantah ini" jelas Budin.

"Dengan pendidikan dari Harvard yang aku ada, aku sokong kata-kata Budin itu" Johanis menyerigai. Dia yang menjadi pendokong usul meluluskan rang undang-undang itu sudah pasti mendukung cita-cita kerajaan Negeri Berantah ini.

"Ooo, kau ingat kau dari Harvard tu dah hebat sangat! Hukum dunia bolehlah kau putar belit. Pasal ekonomi lah, sosial lah. Habis aku ni dari Sekolah Agama Rakyat Pokok Pandan pula apa cerita? Hukum-hakam yang aku bawa ini hukum Tuhan. Siap dalil aqli dan naqli sekali tau! " Seman mula mengangkat dagunya.

Mulanya si Budin membaca surat khabar bertajuk 'Judi haram akan dibentaras habis-habisan'.

Kemudian Budin membaca isi kandungannya kuat-kuat:-

"Pertaruhan untuk pertandingan lumba siput babi sudah dihalalkan oleh kerajaan.

Barang sesiapa mahu bertaruh dibenarkan berbuat demikian dengan berjudi di Syarikat Gharar Berhad sahaja. Kepada sesiapa yang bertaruh selain dari syarikat yang dilesenkan itu, maka jatuh pertaruhan itu haram.

Perjudian haram akan dibenteras. Mereka akan dikenakan hukuman berat oleh pemerintah. Segala peruntukan akta akan digunakan!

Kerajaan akan menggunakan semua jenteranya. Pihak penguatkuasa tempatan pula berikrar akan melumpuhkan operator judi haram.

JUDI HALAL hanya di Syarikat Gharar Berhad sahaja"

***Jeda***

"Wah! Sudah bagus. Dulu aku tikam nombor ekor. Imam besar kata haram. Orang Islam tak boleh beli. Sekarang tentu Imam besar sudah halalkan. Ah! Ada nas special lah tu kot," Rizal kegirangan. Ketagih nombor ekornya mula naik ke tocang.

"Sebenarnya elok kita halalkan pertaruhan perlumbaan siput babi ini. Kalau kita tak bagi lesen, macam-macam masalah timbul. Kongsi gelap, penipuan, maksiat dan masalah keparahan sosial melanda. Terutama bagi mereka tahi judi. Mereka tak kira masalah sosial itu. Janji mereka bertaruh dan mendapat 'wang besar'!" kata Johannis.

Setelah menghirup seteguk dua air teh tarik itu, Johannis menyambung katanya lagi, "Jika kerajaan biarkan perjudian haram itu berleluasa, kerajaan tak dapat mengawal masalah sosial yang terjadi.

Lebih baik kerajaan bagi satu lesen khas. Ha! Macam sekarang kepada Syarikat Gharar Berhad. Jadinya, kerajaan dapat memastikan dan mengawal segala pergerakan perjudian yang ada.

Lagipun, selama ini kerajaan kerugian. Bila sahaja ada pertarungan seperti piala besar seperti ini ramai rakyat negara ini akan bertaruh secara gelap dan haram.

Jadinya kerajaan kehilangan pendapatan bercukai. Kita semua maklum, setiap aktiviti berjudi yang dilesenkan, kerajaan akan mengutip cukai. Selain caj ke atas lesen yang tentunya mahal, kerajaan juga dapat mengutip cukai syarikat dan cukai perjudian dalam masa sama. Hal ini dapat menambahkan pendapatan kerajaan."

"Wah! Kalau gitu kerajaan tak perlulah memotong subsidi minyak, tepung, gula, beras dan barangan keperluan lain lah ya? Sebabnya sekarang hasil kutipan cukai itu akan menambahkan pendapatan negara!", Budin cuba menunjukkan kecerdikannya..

"Eh! Tak semestinya subsidi tidak dipotong. Subsidi kes lain. Subsidi kena dikurangkan. Lebih baik dihapuskan demi pembangunan dan kemajuan negara.

Perbelanjaan subsidi sekarang cukup tinggi. Negeri Berantah ini akan bankrupt kalau asyik bagi subsidi yang tiap-tiap tahun semakin bertambah! Ini membebankan rakyat. Rakyat kenalah bantu kerajaan sekarang!"

"Eh! Bukan ke kerajaan yang perlu bantu rakyat, hmm?!" Rosli menggaru kepalanya.

"Habis tu, apa perlu kita kutip cukai syarikat perjudian tu ha, kalau subsidi tetap juga ditarik balik?" Asran melopong luas ingin kepastian.

"Alahai, pendapatan dari syarikat judi tu memang besar, tapi tak cukup besar nak menampung perbelanjaan negara," jelas Johanis lagi.

"Cis! Mana ada judi halal. Semua judi haram! Kita tidak perlukan judi. Dalam nas telah terang dan nyata bahawa judi itu haram!

Sebagai sebuah negara Islam, kita perlu tolak perkara judi dihalalkan!" teriak Seman dengan merah padam mukanya.

"Mana ada satu agama dalam dunia ini menghalalkan judi? Mana ada satu kata-kata yang judi ini membawa kesudahannya kebaikan? Namakan sahaja mana-mana agama dalam dunia ini, setahu aku mereka juga mengharamkan 'perjudian'!

Judi memporak-perandakan masyarakat. Itu nyata.

Bayangkan tuan-tuan, hasil perjudian itu dijadikan pendapatan kerajaan. Kemudian disalurkan kepada rakyat pula. Selepas itu hasil duit haram itu dimakan dan digunakan pula oleh tuan-tuan. Penyudahnya hasil haram itu akan jadi darah daging kita pula.

Apakah tuan-tuan mahu memakan hasil haram?! Natijah daripada memakan duit haram, maka akan ramailah anak haram jadah! Masyarakat menjadi huru-hara. Hati menjadi mati; hitam legam!

Tidak ada sesuatu pun hasil makanan dan perbuatan haram dapat keberkataan dari Tuhan. Malah dilaknat Tuhan. Hidup kita akan terumbang-ambing penuh penyeksaan di dunia dan akhirat.

Akhirnya akan sampai pula bala' dari Allah SWT. Mendapat kutukan dari Tuhan di dunia sampai akhirat!

Mahukah tuan-tuan mendapat seksaan Allah SWT di dunia dan akhirat?

Ingat kita sebagai ibubapa bertanggungjawab memelihara kebersihan harta dan makanan untuk diri, keluarga dan anak-anak! Kita wajib memelihara dan menjaga diri, keluarga dan masyarakat!!!" khutubah Seman lagi.

"Kau apa tahu. Ilmu perihal dunia setampuk pinang, ada hati nak bicara soal pemerintahan negara. Ini pasal sosial dan ekonomi negaralah! Masa depan kita juga. Kita perlu ingat kita hidup dalam masyarakat majmuk. Kita harus menerima kepelbagaian dan budaya.

Budaya Cina memang berjudi. Sedangkan dalam kalangan kita sendiri pun ada yang suka berjudi. Jadi 'rasanya' kita perlu atasi dengan memberi lesen perjudian agar segalanya terkawal. Bila terkawal masalah sosial dapat di atasi" marah Johanis pula.

"Woo... kau pakat 'rasa' sahaja. Tetapi kenapa kau tak nak tengok Al-Quran dan hadis. Kenapa kau tak nak tengok 'kata-kata ikhlas' dari bangsa lain juga. Apa kata moral dan etika pegangan mereka?

Kau tau tak, tidak satu pun di antara mereka mengatakan 'judi itu baik'! Tetapi judi itu jalan membawa bencana. Dari itu, kenapa kita tidak haramkan sahaja terus. Kita benteras sahaja!" Seman membidas.

"Ya tak ya juga. Saham Pak Man Telo dan juga sesetengah MLM yang mengamalkan sistem piramid diharamkan. Kalau macam tu hujah si Johanis, aku rasa elok juga kerajaan memberi hanya satu lesen kepada mereka sama. Satu lesen untuk syarikat skim cepat kaya dan satu lagi untuk MLM sistem piramid. Jadi ia lebih terarah, teratur dan terkawal. Masing-masing pelabur akan puas hati", Rosli mencelah.

"Ha! Kenapa kita tidak mengambil sikap seperti Mufti Brunei itu. Dia cakap, kami tidak membenarkan arak dilesenkan di Brunei atau disediakan kawasan khas untuk minum arak disebabkan takutkan laknat Tuhan. Jika diberi lesen seumpama itu, nantinya akan ada orang pula meminta lesen untuk pelacuran dan maksiat lainnya.

Mufti dan kerajaan Brunei harus dipuji dengan sikap tegas mereka dalam menegak kebenaran. Dan mereka sebenarnya tahu impak ekonomi, sosial dan pembangunan negara. Tapi masih tetap tidak membenarkan pendapatan negara meraka bercampur-aduk dengan perkara haram! Kenapa kita tidak setegas seperti itu dalam hal ini?!"

"Kita lain... kita pelbagai kaum dan sejak sekian lama kita ada pelbagai budaya Kita dalam acuan sendiri. Bertoleransi adalah formula kita! Kita tidak boleh tiru Brunei itu", Johannis memberikan alasan bernas pada fikirannya.

"Langkah baik Brunei kita tak boleh ikut. Habis Amerika, Britain, UK dan negara barat lainnya boleh pulak kita tiru di atas nama demi kebaikan negara!" sergah Semn.

Mereka terus bertekak sehingga maghrib menyusul.

Besok ada cadangan dari pihak Seman hendak berdemostrasi. Mahu menunjukkan bantahan keputusan kerajaan Parti Pokok Pisang, Negeri Berantah itu.

"Hidup! Hidup! Hidup Islam!... Hancur, hancur, hancur maksiat!!!" teriak mereka yang mengikuti Seman itu.

Bagi Johanis fikiran geng Seman begitu sempit. "Kita dah minta pendapat orang besar agama dalam kerajaan. Mereka kata ok aje bab lesen perjudian ni. Seman ni pemikiran sempit dan memandai-mandai menghasut rakyat untuk kepentingan dirilah tu." cebik Mak Siah penyokong tegar Johanis.


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails