***selingan...
Hari ini langit bertukar mendung. Suasana sayu menyelubungi alam.
Maza merafak sembah mengucapkan takziah kepada kerabat Diraja Johor juga rakyat jelata Johor di atas kemangkataan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Almutakawakil alallah Almarhum Sultan Iskandar (pada 22. Januari 2010, Jumaat).
Akhirnya tumpah jua air mata maza ke bumi. Walaupun hampir dua dekad merantau di bumi asing, namun hati dan jiwa maza masih tetap di Johor. Anak jati Johor ini mengangkat sembah Duli Tuanku!
Semoga ruh ke bawah duli tuanku bersemanyam di sisi orang-orang yang soleh dan mendapat limpah rahmat dari Allah SWT!
Kepada Ke Bawah Duli Tengku Mahkota Johor, Tengku Ibrahim, patik merafak sembah menjunjung kasih dan setinggi-tinggi tahniah di atas pemasyhuran tuanku sebagai Sultan Johor Darul Takzim. Digarhayu tuanku. Selamatlah Sultan Johor bersemayam di atas singgahsana memerintah negeri dan tanah jajahannya.
Patik rakyat Johor mengangkat sembah:
"DAULAT TUANKU!", "DAULAT TUANKU!", "DAULAT TUANKU!"
***
"Saya nak buanglah pokok bunga depan rumah tu. Kata mak saya menyemak mata aje. Tak sesuai dengan rumah baru kita ni. " Suri bersuara.
"Tak payahlah. Bunga tu tak ada apa-apa salahnya." balas Saidin lembut kepada isterinya.
"Tapi mak saya tak suka. Dia cakap buat sakit mata!"
"Bunga itukan mak saya yang tanam. Dia suka kat depan rumah tu. Biarlah."
"Mak saya suruh saya buang dan gantikan pokok bunga ros. Ha! Barulah harum dan cantik rumah kita."
"Kalau kita buangkan nanti, kecil hati mak saya pulak. Lagipun mak saya dah pesan, jaga baik-baik pokok tu."
"Saya cuma nak jadi anak yang solehah. Taat kepada emak. Saya hanya menurut perintah emak. Kalau tak ikut karang, saya menderhaka", Suri merenung tajam suaminya.
Saidin meletakkan surat khabar ke riba sambil membetulkan cermin matanya. "Awak ni sebenarnya salah konsep. Mari saya betulkan."
"Ha, macam mana?" gerutu Suri sambil membetulkan duduknya.
"Si isteri wajib taat kepada suami. Itu jelas sebagaimana diperkatakan di dalam Al-Quran. Semua orang tahu.
Manakala si suami pula wajib taat kepada kedua ibubapanya. Hal ini diambil contoh dari nas surahtul Ibrahim.
Iaitu bagaimana Nabi Ibrahim A.S pernah menasihati si anaknya, Nabi Ismail A.S untuk menceraikan isterinya. Lalu Nabi Ismail A.S menceraikan isteri baginda dan berkahwin pula dengan isteri baru yang diredhai oleh Ibrahim dan Allah SWT.
Dalam soal taat ini, Rasulullah S.A.W ada menekankan betapa si suami wajib taat kepada kedua ibubapanya!"
"Ooo! Abang nak menangkan emak dialah tu."
"Ish! Bukan begitu sahaja. Bahkan taraf taat kepada ibu kepada suami itu lebih aula' (utama) iaitu tiga kali ganda daripada bapa.
Maknanya, kalau si ibu kepada suami berkata ceraikan isteri kamu, maka wajib taat!
Jadinya, wanita perlu taat kepada suami, tetapi si suami pula wajib taat kepada ibunya.
Dan bukankah ibu itu juga seorang wanita? Awak juga seorang wanita dan punyai anak. Nanti anak-anak awak pun sama jugalah.
Pendek kata, putaran taat tetap adil dan saksama. Cuma sama ada kita sedar atau tidak.
Sebagai kesimpulan tarbiah petang Jumaat ini, kalau saya wajib taat kepada emak saya, awak apatah lagi, wajib juga mentaati mertua awak. Kalau tidak, derhaka, tahu!
Sepatutnya juga, perkara 'gaduh-gaduh' antara awak, sebagai isteri, dengan ibu mertua tak akan wujud kalau difahami betul-betul.
Sebab perkara hiraki keluarga Muslimin telah jelas dicontohkan oleh Islam. Setidak-tidaknya telah diperjelaskan semenjak zaman Nabi Ibrahim A.S lagi.
Hmm... saya nak tambah lagi. Mentang-mentang saya cakap macam ini, tidak bermakna awak dan saya tidak perlu melayani kerenah orang tua awak. Kita kena hormati mereka. Tetapi utamakan yang aula' dahulu. Barulah kita akan selamat... Dah! Apa lagi? Pergi buatkan saya lempeng dan teh panas."
"Ish. Ya lah, ya lah...", Suri menghentak manja kakinya ke lantai.
"Erk! Kalau awak nak tahu lagi, berbuat baik terutama kepada suami dengan ikhlas adalah disayangi Tuhan."
"Yalah! Awaklah yang betul", getus Suri.
Saidin menggeleng-gelengkan kepala sambil menyambung kembali membaca akhbar yang terhenti tadi.
pinggan ayan:-
Nabi SAW pernah berpesan.
Fitnah ke atas agama akan datang. Di mana kerosakan akidah besar-besaran akan berlaku. Sehingga seorang Muslim itu sendiri sudah tidak dapat bezakan antara dosa dan pahala, antara kebaikan dan keburukan. Sebagaimana gelap hati mereka seperti hendak membezakan semut di atas batu di dalam malam yang gelap gelita. Iaitu tatkala seorang lelaki Muslim mula:
1) menjadikan wanita sebagai kiblat mereka.
2) Emas, perak, wang ringgit dan harta kekayaan menjadi penentu kebenaran dan kebatilan. Iaini mereka sanggup menggadaikan dan menjual agamanya demi keuntungan dunia yang sedikit!
psst: adakalanya suami turut rasa serba salah di atas permintaan dua wanita ini. Tak dengar cakap ibu karang menderhaka. Bila menegur isteri yang punya kaitan dengan si ibu kita, karang hati isteri terluka dan isteri rasa tak sayang padanya.. Bila isteri merajuk, jwabnya si suami terpaksalah mengalah dengan tidur di luar! Aduhaiiii..
.. huhuhuhu..nauzubillah!