Alkisah tersebutlah kisah di alam buana ini. Terdapatlah sebuah negeri di atas angin dengan bersultankan Maharaja Singgahsana.
Maharaja Singgahsana mempunyai seorang putera yang diberi gelaran Sang Sakti Purba. Usianya baru mencecah darah setampuk pinang.
Syahdan suatu hari Maharaja dan kaum kerabatnya telah berangkat berburu di pusat beli belah yang tidak kurang ternama juga.
Ada pun pusat beli belah itu diberi nama Gedung Gergasi.
Arakian diberikan nama Gedung Gergasi menyebabkan Doremone dan Nobita dari negeri matahari terbit tidak mahu berkunjung tiba ke negeri atas angin ini.
Dikatakan orang Doremone dan Nobita terlalu phobia dek kerana selalu dibuli oleh Sang Gergasi. Jadi disebabkan itulah Doremone dan Nobita tidak mahu singgah ke sini menjalinkan hubungan siasah dan diplomatik.
Dalam pada berjalan dari hujung sana hingga ke hujung sana, tiba-tiba Maharaja Singgahsana berkenan pula dengan sebuah kerusi ajaib berwarna merah. Ia boleh dilipat dan mudah dibawa ke sana sini.
“Elok beta letakkan aje kerusi ajaib ini di hadapan anjung Istana Mahligai kita, ya dinda. Sambil kita kudapan petang dan menjamu selera melihatkan putera-putera kita, atau kita membaca buku, kita duduk di atasnya. Ah! Beta dapat bayang betapa selesanya.”
“Molek benar wahai kekanda. Adinda pun bersetuju”, Permaisuri membenarkan kata-kata suaminya.
Setelah membayarnya dengan wang plastik, khadam raja pun angkutlah kerusi ajaib berwarna merah itu ke Istana Mahligai. Lalu ditempatkanlah ia di anjung istana sebagaimana dititahkan oleh baginda Maharaja.
Hati Maharaja Singgahsana cukup ceria, riang sekali melihatkan kerusi barunya itu. Syahdan baginda mahu mencubanya buat kali pertama.
Tetapi niat Maharaja Singgahsana terbantut. Baginda telah diserang bertubi-tubi. Niat bangida dihalang. Seseorang telah datang hendak merampas kuasa. Kerusi merah ajaib itu telah ditarik ke tepi.
Baginda Maharaja hanya mampu mengerdipkan mata. Seolah-olah baginda telah dipukau. Onar yang mencucuk mata dibiarkan berlalu sahaja.
Tidak semena-mena Maharaja Singgahsana menjadi lemah. Baginda tunduk dan akur sahaja dengan perempas kuasa itu.
“Tepi-tepi. Anaknda punya. Lalu ayahnda. Lalu...”, titah betah Sang Sakti Purba kepada ayahndanya Maharaja Singgahsana.
“Eh! Itu kan ayahnda. Kerusi ini ayahnda yang punya?!”, Permaisuri Maharaja Singgahsana menyanggah kata-kata Sang Sakti Purba.
“Tepi-tepi. Anaknda punya. Lalu ayahnda. Lalu...”, Sang Sakti Purba terus tidak mempedulikan kata-kata bondanya.
Maharaja Singgahsana tidak terkata apa, melainkan mengeluh sambil menggaru-garukan pundaknya yang tidak gatal, “Hmm.. Biarlah dinda. Haii...kerajaan kekanda telah dirampas oleh Sang Sakti Purba. Duduklah anaknda, duduklah...”
Akhirnya Maharaja Singgahsana mengambil kerusi yang lain dan duduk memerhatikan sahaja si Sang Sakti Purba merasmikan kerusi ajaib merah itu.
Sang Sakti Purba pula tidak sedikit pun merasa bersalah. Jauh sekali untuknya merasa sesal. Sang Sakti Purba hanya membuat muka toya sambil bermain straw. Lihat sahajalah mukanya itu. Aderkkk...
(Gambar: Sang Sakti Purba Di atas Singgahsana Rebutan)
Pinggan Ayan: adakalanya kita terpaksa juga mengalah dengan anak-anak. Huhuhu. Tetapi jangan sampai terlalu sangat mengikut katanya. Terlalu manjakan nanti bisa memusnahkan masa depan mereka... eemmm hemmm!!!!