‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 29 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 5

Sila klik untuk episod pertama, kedua, ketiga dan keempat

Puas dua tiga kali mencari di tempat yang sama, dia tidak dapat menemui kampung mahu pun jalan keluar yang digunakannya bersama pak cik itu di malam semalam!

Aroy amat pasti, di kawasan celah semak itulah tempat dia keluar simpang malam tadi dan terus ke Bahau. Tetapi tidak ada apa-apa kesan jalan pun, waema denai yang kecil!?

Yang ada cuma lorong yang sempit. Di sebelah belakang sana batas-batas sawah yang padanya tumbuh rumput-rumput kering. Di petak-petak sawah itu airnya sudah kering kontang.

Aroy kebingungan seketika.

(Gambar: Kawasan yang sering dikaitkan dengan puaka jelmaan)

Penat berulang kali mencari jalan tersebut, dia terus menyinggah di sebuah warong di tepi jalan berhampiran sawah menghala ke Bukit Kepis. Jalan itulah sepatutnya yang dia gunakan semalam. Tetapi tidak bertemu.

Hari ini, jalan tersebut elok sahaja. Seperti sedia kala. Tiada apa yang pelik. Kecuali di petang rambang senja itu dia berehat di warong yang baru didirikan di tepi jalan tersebut.

Aroy berkira-kira untuk menyiasat atau bertanyakan sesuatu kepada penduduk kampung sambil menikmati kuih dan nasi lemak di warong itu.

“Mak cik, selain warong mak cik di sini, ada tak warong lain lagi kat jalan sana itu”, Aroy meluruskan ibu jarinya menunjuk ke arah jalan ke Kuala Kepis.

“Setahu mak cik tak ada. Kenapa nak?”

“Erk! Tapi malam tadi saya lalu kat kawasan itu. Ada warong. Ramai orang. Tapi hari ini saya cuba cari, tak jumpa pula."

“Hmm. Kalau macam itu, anak ni memang bertuah lah. Sebab di sini memang ada kawasan orang bunian. Mungkin anak dah termasuk ke kampungnya itu. Ramai jugalah orang yang tersesat ke sana. Tapi tidaklah diusiknya."

Mulut Aroy terbuka luas. Ternganga besar di situ juga. Itulah pengalaman pertama yang pernah dilaluinya sepanjang pulang ke Palong.

Seminggu sesudah peritiwa itu, Aroy pulang ke kampung mertuanya lagi. Kali ini di sebelah siang pula. Aroy melalui warong mak cik tempoh hari.

Kali ini warong mak cik itu kelihatan begitu usang sekali. Banyak papannya sudah reput. Pangkin yang seminggu lalu kemas di sudut sebelah sana sudah roboh, dimakan anai-anai. Atap nipahnya ada yang sudah lerai. Beberapa gelegar sudah ada yang patah.

Di dalam warong itu berselerakan dedaun kering. Rerumput hijau memenuhi sebahagian besar lantainya. Di belakang warong pula ditumbuhi lalang dengan semak-samun yang menjulang tinggi.

Di sebelah sana resam sedang menghijau. Di luar kedai itu pula kelihatan pokok buluh penuh merimbun. Sesetengah tempat ia menaungi dapur warung itu.

Sekilas pandang, warong itu tidak layak didiami sebarang manusia. Apatah lagi untuk dibuat berniaga! Tapi bagaimanakah mungkin ia terjadi demikian rupa. Walhal baru seminggu lalu Aroy berehat di situ sambil meneguk secangkir teh panas.

Aroy tercegat sendirian, tergamam bersama beribu-ribu soalan! Dia bingung sendirian dalam mencari kepastian.

Tamat.

Sila klik untuk episod pertama, kedua, ketiga dan keempat


author : maza


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails