‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 29 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 5

Sila klik untuk episod pertama, kedua, ketiga dan keempat

Puas dua tiga kali mencari di tempat yang sama, dia tidak dapat menemui kampung mahu pun jalan keluar yang digunakannya bersama pak cik itu di malam semalam!

Aroy amat pasti, di kawasan celah semak itulah tempat dia keluar simpang malam tadi dan terus ke Bahau. Tetapi tidak ada apa-apa kesan jalan pun, waema denai yang kecil!?

Yang ada cuma lorong yang sempit. Di sebelah belakang sana batas-batas sawah yang padanya tumbuh rumput-rumput kering. Di petak-petak sawah itu airnya sudah kering kontang.

Aroy kebingungan seketika.

(Gambar: Kawasan yang sering dikaitkan dengan puaka jelmaan)

Penat berulang kali mencari jalan tersebut, dia terus menyinggah di sebuah warong di tepi jalan berhampiran sawah menghala ke Bukit Kepis. Jalan itulah sepatutnya yang dia gunakan semalam. Tetapi tidak bertemu.

Hari ini, jalan tersebut elok sahaja. Seperti sedia kala. Tiada apa yang pelik. Kecuali di petang rambang senja itu dia berehat di warong yang baru didirikan di tepi jalan tersebut.

Aroy berkira-kira untuk menyiasat atau bertanyakan sesuatu kepada penduduk kampung sambil menikmati kuih dan nasi lemak di warong itu.

“Mak cik, selain warong mak cik di sini, ada tak warong lain lagi kat jalan sana itu”, Aroy meluruskan ibu jarinya menunjuk ke arah jalan ke Kuala Kepis.

“Setahu mak cik tak ada. Kenapa nak?”

“Erk! Tapi malam tadi saya lalu kat kawasan itu. Ada warong. Ramai orang. Tapi hari ini saya cuba cari, tak jumpa pula."

“Hmm. Kalau macam itu, anak ni memang bertuah lah. Sebab di sini memang ada kawasan orang bunian. Mungkin anak dah termasuk ke kampungnya itu. Ramai jugalah orang yang tersesat ke sana. Tapi tidaklah diusiknya."

Mulut Aroy terbuka luas. Ternganga besar di situ juga. Itulah pengalaman pertama yang pernah dilaluinya sepanjang pulang ke Palong.

Seminggu sesudah peritiwa itu, Aroy pulang ke kampung mertuanya lagi. Kali ini di sebelah siang pula. Aroy melalui warong mak cik tempoh hari.

Kali ini warong mak cik itu kelihatan begitu usang sekali. Banyak papannya sudah reput. Pangkin yang seminggu lalu kemas di sudut sebelah sana sudah roboh, dimakan anai-anai. Atap nipahnya ada yang sudah lerai. Beberapa gelegar sudah ada yang patah.

Di dalam warong itu berselerakan dedaun kering. Rerumput hijau memenuhi sebahagian besar lantainya. Di belakang warong pula ditumbuhi lalang dengan semak-samun yang menjulang tinggi.

Di sebelah sana resam sedang menghijau. Di luar kedai itu pula kelihatan pokok buluh penuh merimbun. Sesetengah tempat ia menaungi dapur warung itu.

Sekilas pandang, warong itu tidak layak didiami sebarang manusia. Apatah lagi untuk dibuat berniaga! Tapi bagaimanakah mungkin ia terjadi demikian rupa. Walhal baru seminggu lalu Aroy berehat di situ sambil meneguk secangkir teh panas.

Aroy tercegat sendirian, tergamam bersama beribu-ribu soalan! Dia bingung sendirian dalam mencari kepastian.

Tamat.

Sila klik untuk episod pertama, kedua, ketiga dan keempat


author : maza


Sabtu, 27 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 4


(Klik sini untuk ke episod pertama, kedua, dan ketiga)


(Gambar: Tinggallah kafan membaluti tubuh ke alam kubur)

Aroy membunyikan hon menandakan dia sudah tiba ke rumah orang tuannya. Jam menunjukkan satu pagi.

Tingkap mulai diseka oleh emak. Tetapi tidak pula emak terus membuka pintu. Aroy membiarkan keadaan demikian. Dia tidak mahu mengesa orang tuanya itu. Aroy pun letih. Barangkali emaknya pun ingin memulihkan kekuatan sesudah lelap.

Beberapa minit kemudian, setelah helmet berpenutup penuh dibuka, Aroy mengesani bau haruman yang amat wangi. Melekat di hidung dan anak tekak.

“Ah! Bunga orked dan bunga kenanga emak sudah berkembang mekar agaknya. Hmm ... Wanginya!”, fikir Aroy sambil terusan menikmati haruman tersebut.

Sebaik enjin motor dimatikan, Aroy terdengar suara seperti ada bayi menangis, tetapi suaranya tidaklah begitu kuat. Bukanlah ia datang dari dalam rumah keluarganya itu. Bukan anaknya. Tetapi suara itu datang dari arah belakang Aroy.

“Mungkin anak Pak Cik Dollah yang menangis tu.”, rumah Pak Cik Dollah berhadapanan dengan rumah mertua Aroy.

Tidak senang masa senggang yang diambil terlalu lama oleh emak mertuanya itu, Aroy mula memberi salam. Berulang-ulang kali dia memberi salam. Tetapi pintu masih tidak dibuka. Lalu Aroy mengetuk pintu rumah tersebut bertalu-talu.

"Emak! Ooo mak!"

Sebaik pintu dibuka, Aroy bertanya, “Kenapa lambat buka pintu mak?”

Emak membatukan diri sahaja. Tanpa menantikan jawapan Aroy terus menyambut dan mencium tangan emak dan ayah. Kemudian isteri Aroy keluar dari bilik.

Selang tidak beberapa minit Aroy duduk di atas kerusi di ruang tamu itu, tiba-tiba anaknya yang masih kecil, berumur sekitar 12 bulan, mulai menangis. Teresak-esak. Memekik-mekik kuat. Seperti ada orang memukul atau menakut-nakutkannya.

Puas mereka memujuk bayi itu. Anak kecil itu tidak mahu juga diam. Hinggalah akhirnya ayah memegang bayi tersebut lalu diazankan ke telinga si kecil itu. Akhirnya anak itu kembali diam dan terus lena.

Setelah berehat seketika di ruang tamu dan keadaan kembali tenang, mereka kembali masuk tidur.

Ketika sarapan dihidangkan, ayah mula membuka mulut, “Semalam siapa yang kau tumpangkan?”

“Eh! Mana ada? Saya sorang ajelah ayah!”

“Habis tu, ayah tengok ada budak perempuan duduk kat belakang kau tu, siapa?”

“Hah!”, Aroy menoleh emak dan isterinya sambil tercengang hendak mendapatkan kepastian.

“Tapi memang betul Aroy dari Masjid Kuala Pilah terus balik ke sini. Tak ada siapa-siapa lak yang Aroy tumpangkan.”

“Tak apalah. Hmm ... Mungkin mata ayah kelabu sedikit kot.”, Ayah melontarkan senyuman bersahaja.

“Hish! Dah tua-tua ada hati teringatkan perempuan lawa aje!”, emak berseloroh sambil menunjukan reaksi cemburu yang sepontan.

Mereka tertawa. Pagi itu dirasakan begitu bahagia sekali.

Tetapi persoalan ayah tidak tidak terhenti di situ. Ia masih bermain-main di fikiran Aroy. Namun untuk saat ini, Aroy harus cuba pendamkan terlebih dahulu. Mungkin betul juga kata ayahnya itu, yang ayah tersilap pandang.

Petang itu, Aroy cuba mengesani jalan yang dilaluinya malam tadi.


Bersambung episod kelima : episod terakhir.



Jumaat, 26 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 3


(Klik di sini untuk mengikuti episod pertama & episod kedua)


Aroy cuba mencari simpang yang sepatutnya dia lalui. Tetapi dia masih tidak menemukan simpang ke jalan Kuala Pilah – Bahau itu.

“Aku dimana? Ya Allah! Aku di mana?”

Belukar bertukar semak, kemudian ternampak pula pepohon rimba yang pakalnya sebesar pemeluk. Jalan menjadi gelap gelita dan hanya bertemankan lampu sorot dari motornya.

Entah bagaimana di penghujung jalan itu Aroy menemui sebuah kampung. Lega rasa hatinya. Di sepanjang jalan itu pula dilimpahi oleh lampu limpah jalan.

Tetapi masalahnya kampung itu juga Aroy tidak pernah kenal. Tidak pernah dia lihat sebelum ini. Dari celah helmet bertutup litup itu, dia menjeling. Ada sebuah gerai makan di tepi jalan.

Pengunjung warung hanya mengerdipkan mata memandang motor Aroy berlalu. Ada pula yang buat tidak tahu sebaik kelibat Aroy melepasi mereka.

Aroy tetap meneruskan perjalanannya. Hampir dua puluh minit kemudian, Aroy masih tidak dapat mencari simpang Kuala Pilah – Bahau.





(Gambar: laju kudaku laju)



“Macam ni tak boleh jadi. Macam mana aku boleh sesat balik ke kampung sendiri? Subahan Allah. Mungkin orang-orang di warung tadi boleh membantu aku.”, Aroy berpatah balik.

Akhirnya gerai yang ditinggalkan oleh Aroy ditemui lagi. “Pak cik, camno nak poie ko Bahau? Den dah terlangsung nie ha.”

Mulanya mereka ternganga sesama sendiri. Selepas itu mereka berbisik. Sesekali menjeling ke arah Aroy.

Lalu salah seorang dari mereka itu bangkit dan menunjukkan arah.

Canggini, ekau patah balik. Dokek sinin iyo. Adolah dalam beberapo rantai kek sinin ni ha. Ingat adolah dalam 20 rantai yo. Ado simpang. Ekau masuk simpang ke kanan. Ha, ikut sinun. Toghuih yo (terus aje). Kendian ekau jumpo simpang tigo. Belok ke kanan. Tulah jalan eh ko Bahau.”

“Terima kasih pak cik. Den beransurlah dulu yo.”

Aroy menuruti apa yang ditunjukkan itu. Tetapi hampir lima belas minit menungang, malangnya simpang yang dimaksudkan itu masih tidak diketemukan!

“Macam ini tidak boleh jadi!. Aku kena patah balik lagi ni.”

Aroy berpatah balik lalu bertemu sekali lagi warung tersebut. Kali ini semua orang yang ada di situ sudah berbeza.

“Maaf pakcik. Den cubo cari jalan eh ko Bahau. Tapi tak jumpolah. Boleh tolong den laie tak pak cik?”

Setelah mereka yang ada di warung itu berbincang sesama sendiri untuk kesekian kalinya, salah seorang daripada mereka itu bangkit dan menyatakan persetujuan untuk membantu Aroy.

Ekau ni dah terlangsung, tersosek kek kampung kami. Mari essey tunjukan ekau, yo!" Pak cik itu menunggang moto kapchainya lalu menyuruh Aroy mengekorinya.

Tanpa banyak soal, Aroy menuruti pak cik tersebut. Hanya beberapa meter di sebalik lori yang berhenti di tepi jalan berhampiran warung tadi terdapat sebuah simpang. Terlindung di situ rupanya.

Tetapi simpang itu bukanlah simpang yang biasa Aroy lihat. Simpangnya sempit. Malah melalui jalan yang gelap. Kiri-kanan semak samun, ditumbuhi lalang, senduduk dan resam.

Bagaikan lembu dicucuk hidung, Aroy hanya diam dan tidak membantah sedikit pun. Aroy terus membontoti pak cik tersebut.


(Gambar: Langit dan bumi tidak menerima manusia yang durhaka kepada Tuhan)


Agak jauh juga mereka menunggang. Dari belukar mereka bertemu pula beberapa buah rumah. Kemudian semak samun kembali. Selepas itu tanah sawah yang baru dibajak. Di situ juga Aroy sempat memerhatikan ada beberapa buah simpang lain. Tetapi pak cik tadi terus membawanya ke jalan lurus.

Jalan menjadi semakin sempit. Adakalanya terpaksa melanggari bonggol yang tiba-tiba muncul. Lubang di sana sini. Aroy terus membatukan diri. Tidak mahu membuat apa-apa aduan. Diam seribu bahasa seolah-olah mulutnya sudah terkunci.

Pak cik itu akhirnya membawa Aroy sampai di hujung jalan. Di hujung jalan simpang tiga itu Aroy ditemukan jalan yang besar. Aroy menarik nafas lega. Jalan tersebut ialah jalan yang dicarinya. Jalan ke Bahau.

“Ha! Inilah jalan eh. Ekau toguih yo ikut sinin. Bawak motor tu elok-elok yo.”, pak cik tadi memberikan senyuman kepada Aroy, kemudian dia memandang ke arah tempat duduk belakang Aroy. Mukanya berubah seketika menjadi serius. Setelah itu dia berkata sesuatu seolah-olah kepada orang di belakang Aroy. Tapi tidaklah Aroy jelas mendengarkan butir bicaranya. Pak cik tersebut seperti berbisik-bisik. Aroy hanya sempat merakam beberapa patah perkataan sahaja.

“Ekau jangan buek tak tontu arah yo! Toguih balik.”, itulah kata-kata akhir dari pak cik tersebut.

Selepas mengucapkan terima kasih dan salam, Aroy terus meninggalkan pak cik itu sendirian dan meneruskan perjalanan ke Palong.

Kali ini perjalanan Aroy lancar.

Cuma sebaik menghampiri simpang masuk ke rumahnya itu dia sedikit terlajak.


Bersambung ke episod keempat.

(Klik sini ke episod pertama, kedua, ketiga dan keempat)

Khamis, 25 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis - Episod 2

Lantas kedinginan beku itu terus menyelinap masuk ke dalam jaket Aroy yang tebal. Seolah ada seperti kejutan elektrik menyebabkan dia tersentak sedikit.

Lantaran itu, Aroy terasa seperti melayang seketika. Seolah-olah berada di alam yang lain. Namun sekejap itu juga keadaan pulih seperti sedia kala.

Minyak dipulas lagi tanpa menghiraukan keadaan yang tadi tiba-tiba berubah secara drastik.

Tidak lama kemudian, Aroy mengesani sesuatu yang pelik.

Dia merasa asing! Di tempat yang begitu terasing baginya!

(Ilustrasi : Pocong)

Mustahil! Jalan yang lazim dilaluinya menjadi semakin kecil dan mengecil. Jalan ini tidak seperti jalan biasa, yang pernah diketahui olehnya.

Ya! Jalan ini bukan jalan yang selalu itu. Berbeza betul.

Jalan yang sepatutnya ialah jalan yang beraspal tar, ia lebar dan boleh memuatkan dua buah kenderaan dalam satu masa. Tetapi jalan sepatutnya itu sudah berubah.

Laluan itu sekarang hanya boleh memuatkan sebuah kenderaan sahaja. Ia semakin kecil dan berubah menjadi selorong pula!

Tersentak dengan perkembangan baru itu, terus Aroy menekan brek.

Di pandangnya kiri dan kanan, kelihatan dua buah rumah usang yang terlalu asing baginya. Aroy tidak pernah lihat rumah itu sebelum ini. Rumah itu terletak di tengah-tengah belukar di kelilingi oleh kebun getah dan sawit!

Aroy kembali mengamati bersungguh-sungguh persekitarannya. Dia cuba mengingati kembali. Aroy mulai sedar, jalan yang dilalui kini berupa jalan sempit berbatu berewil. Merah warnanya. Dan di tengah-tengah jalan tersebut terdapat barisan rumput. Ia sama seperti jalan di kebun-kebun felda yang terbiar.

“Ah sudah! Di manakah aku? Macam mana aku boleh berada di sini?”, Aroy mulai rasa cemas.

Aroy membuat keputusan untuk berpatah balik. Motornya itu diubah haluannya. Walaupun agak sukar dilakukan akibat lebar jalan yang kecil dan berat motor yang membebankan, dia mesti keluar dari tempat ini.

Kali ini Aroy memecut laju meninggalkan kawasan itu. Laju dan laju!

Bersambung ke episod ketiga.

(Klik sini untuk episod pertama dan episod ketiga)




Rabu, 24 Jun 2009

Gadis Bukit Kepis



Usai menunaikan solat Isyak, wisata diteruskan. Motor Kawaski Versys 650cc mula dihidupkan. Kesan wuduk masih lagi basah melekat di tubuh.


Helmet berpenutup penuh (fullface helmet) dipakai. Sarung tangan sudah siap tersarung. But tinggi telah disematkan ke kaki. Jaket dilambungkan ke tubuh lalu membalutinya. Kaki kanan mulai diangkat dan melangkah melalui atas pelangkin. Pungung mulai rapat di atas kusyen tempat duduk itu.


Setelah membetulkan diam duduknya, klac ditekan dan motor berkapasiti besar meninggalkan pekarangan Mesjid Yam Tuan Muda, Kuala Pilah, Negeri Sembilan.





(Gambar: Berkelana Sendirian)



Hari ini Aroy terpaksa bertolak lewat dari pejabatnya untuk pulang ke kampung. Setelah selesai segala tugasan yang meletihkan di kantor pejabat, Aroy terus memacu motornya itu.


Memang Aroy lazim menunggang di waktu-waktu begini. Hampir saban hujung minggu dia akan pulang ke kampung untuk melawat anak isterinya di rumah mertua. Jalan yang ditempuhi itu ialah Kuala Lumpur ke Palong sudah dirasai begitu akrab. Cukup sebati dengannya.


Jika disuruh pejam mata sekalipun dia tahu untuk menititi ke arah mana. Cukup baginya hanya menggunakan deria rasa dan bau, sudah memadai membawa beliau ke kampung halaman tercinta.


Motor Versys dipacu Aroy meninggalkan dari satu kampung ke satu kampung lain. Jalan Kuala Pilah ke Bukit Kepis menjadi mainannya yang menghubungkan Aroy dengan Pekan Bahau. Bahau ialah pekan yang terdekat dengan Palong.


Malam itu agak dingin dan cuacanya pula begitu baik sekali. Sekali sekala terasa embun malam menebusi jaket yang tebal itu.


Perjalanan dirasakan begitu bersahaja seperti biasa. Tiada apa yang menarik. Ia seperti rutin hari-hari yang lalu.


Sekali sekala Aroy mendongak ke langit. Bintang-bintang bertaburan melata di sana sini. Masya Allah! Indah sekali.


Dari rumah agam, rumah kampung hinggalah kepada rumah batu, Aroy menyelusurinya satu persatu di sepanjang jalan itu.


Persimpangan Kampung Sungai Duo dilaluinya tanpa sebarang masalah. Beberapa kenderaan lain dipotong agar cepat sampai ke rumah.


Aroy lebih selesa tanpa ada kenderaan mengiringinya. Lantas mana-mana kenderaan yang merangkak akan ditinggalkannya terus.


(Gambar: Ilustrasi Pucong)


Keadaan malam yang mulai larut. Udara segar mulai bertukar menjadi terlalu dingin, mengubahnya menjadi sejuk menyusup ke tulang sum-sum. Semakin jauh dia meninggalkan kampung semakin terasa kedinginan itu. Dan bermakna semakin dia ditelan belukar, semak samun dan hutan rimba di kawasan Bukit Kepis.


Di pertengahan jalan tersebut, segumpulan kabus nipis tampak memenuhi jalan. Di kiri kanan pula belukar dengan pepohon hutan yang besar-besar dan meninggi tinggi.


Aroy tiada pilihan. Aroy terpaksa merempuhinya.


Dalam kesamaran kabus itu Aroy ternampak sekilas pandang sesusuk tubuh. Lagaknya seperti kepunyaan wanita. Gadis itu sedang menanti di tepi jalan. Dalam kesamaran malam Aroy tidak dapat melihat wajah gadis tersebut. Rambut panjangnya menutupi wajah. Jubah putih yang menjadi pakaian gadis itu jelas kelihatan mengerbang ditiup bayu silir.


Di seberang jalan, di tempat gadis itu berdiri terdapat beberapa susuk tubuh lembaga lain. Ia kelihatan seperti dua orang budak dan seorang dewasa. Mereka berdiri diam, kaku di situ.


“Ah! Barangkali sedara-mara gadis ini agaknya”, Aroy cuba menyorokkan perasaan.


Namun perasaan aneh terus menendang-nendang benaknya. Menerobos dan mulai menusuk ke hati Aroy. Dia tertanya-tanya sendirian..


“Buat apalah malam-malam buta budak perempuan tu ekk? ... Oh! Baru pukul 10.30. Budak-budak perempuan sekarang bukan macam budak-budak dahulu. Dunia dah maju katakan. ... Mak bapak pun bukan hirau sangat anak-anak gadis dia orang merayau malam-malam buta sepeti ini.” Aroy sedayanya menyanggah perasaan aneh itu dengan jawapan yang demikian.


Sebaik habis sahaja telahan tersebut, sepantas itu juga kedinginan malam mulai mengganas menggigit tubuh Aroy.


Bersambung ke episod kedua.


(Episod kedua klik di sini)


Isnin, 22 Jun 2009

Sayang Semua

Tiba-tiba sahaja perasaan maza terasa sempit. Dihimpit dengan pelbagai ragam dan karenah.

Rasanya kali ini maza hendak luahkan perasaan maza. Perasaan sayang yang hendak dikongsikan bersama kengkawan yang baik-baik gitew.. huhuhu
(erk! ada ke kengkawan yang sudi kongsi sayang dengan maza ekk? hmm)

Terimalah persembahan video dari maza yang tidak seberapa ini...huhuhu

Syahdu lak rasanya..

Jumaat, 19 Jun 2009

La Nina..

Semalam maza pergi ke klinik. Di sana maza perhatikan ramai pesakit. Masing-masing mengadu sakit tekak, batuk, selsema dan demam.

Sambil menantikan giliran maza mendapatkan rawatan doktor tersebut, maza sempat berbual dengan beberapa orang pesakit di situ.

"Semenjak dua menjak ini jerebu makin menjadi-jadi. Hai untunglah klinik. Ketika inilah ramai orang berpusu-pusu kat sini. Saya dah dua hari kena selsema dan batuk", adu maza.




(Gambar: Brickfields Berjerebu)


"Kat TV pun dah cakap. Musim-musim macam ni terpaksalah kita duduk rumah lebih banyak. Kalau nak keluar pun dah kena pakai penutup mulut. Kalau tidak, mudah kena semput", Che Mat pula menyampuk.

Nina gadis genit mula mencurahkan pendapatnya, "Tapikan. Mengikut kajian saya lah. Saya ada cara untuk mengelakkan dari terkena selsema, sakit tekak dan batuk-batuk. Confirm kita akan selamat dan tak perlukan topeng penutup mulut."

"Eh! Macam mana tu?", maza mencelah dan beberapa orang lain mula memberikan perhatian kepada Nina.

Nina gadis berumur sembilan belas tahun mempunyai keazaaman dan daya imaginasi yang tinggi. Dia baru sahaja mengikuti kursus di salah sebuah IPT tempatan.

"Kita gunakan sistem biologi kita sendiri. Jadi tidak perlu membazir mengeluarkan duit untuk perlindungan daripada jerebu El Nino.", jelas Nina sambil memerhatikan mata-mata yang banyak di sekeliling sedang menikam kepadanya.

"Begini. Oleh kerana fungsi bulu hidung menapis habuk dan debu dari memasuki paru-paru, jadi saya cadangkan kita bela bulu hidung bagi panjang. Lagi panjang lagi bagus. Lagi efektif penapisannya. Dari itu habuk dan segala debu akan tertapis di hidung aje. Kita akan terselamat dari terkena batuk dan selsema. ... Orang lelaki pula, elok disimpan misai tebal sebagai extra protection! ... Apa macam, ok tak idea Nina?", Nina menyergai menampakkan gigi dan gusinya.

"Laaa Nina... Apa lah cadangan ko ni.. huhuhu. Laa Nina sungguh!!", masing-masing yang terpegun tadi mula beralih arah dan menarik muka berlalu ke tempat masing-masing.


Pinggan ayan: bila direnungkan semula, ada betul juga kata si Nina itu. Tapi entahlah. Apa kata kawan-kawan pula. hmmm


Selasa, 16 Jun 2009

Berkelana: Jual & Berdagang

"Anak pipit daun dedalu
Sayang kancil mati digonggong
Alahai pipi cubby tak malu
hidung tak mancung muka tersorong-sorong.."

"Ikan gelama ikan duri
ikan puteri si ikan keli
Hilang nyawa tidak berganti
Hilang budi hilang pekerti.."

"Anak Cina memasang lukah
lukah dipasang di tengah laman
sungguh kini sudah berubah
usang budi kerana zaman…"


Himpunan pantun masyhur ciptaan MAZA.
hehehehe

Erk! jangan lupa yea kengkawan, singgalah ke Part 3, cerita Hari Keluarga Taha (klik sini) dan Saliah itew.. hehehhe

Sabtu, 13 Jun 2009

Keluargaku: Hari Keluarga Taha & Saliah; Part 3/3


"Sila klik masing-masing di Part 1 dan Part 2 untuk mengetahu cerita terdahulu"

Jun 6
- Pak long dan seluruh keluarganya (kecuali Kak Nor ~ menguruskan hal ehwal yang berkaitan dengan arwah anaknya itu ~ sila lawati Part 1 ~ klik sini), datang semula ke Majlis Hari Keluarga.

Semangat ini harus dipuji, sungguhpun Pak long baru kehilangan cucu, namun komitment tinggi dan amanah yang dipikul tidak sama sekali diabaikan (tabik spring kat Pak long).

Selesai solat maghrib (berjamaah) tak pasal-pasal Pak anjang tolak aku ke hadapan. Dipaksanya aku memimpin bacaan tahlil. (Aderkk... menggeletar lutut wooo... selalunya aku jadi tukang ikut imam atau tukang makan aje ... huhuhuhu)

Mahu tidak mahu terpaksa jugalah aku memimpinnya. Terkial-kial membaca tahlil dari kitab Surah Yassin yang kebetulan dibawa bersama.

Selesai majlis tahlil, acara diteruskan dengan majlis persembahan.

Malam itu aku sekali lagi menjadi terkujat, apabila angah menyuruh aku menjadi MC. Ini kes bidan terjun punya cerita. Aderkk.. Segala skill menjadi MC sudah lama berkarat. Sudah bertahun tertanam dalam kotak memori.



(Gambar: Mengasah Karat Agar Bersinar Kembali)



Akhirnya Aku dan angah menjadi MC pada malam berbahagia itu.

Terpaksalah aku menggali semula segala skill yang ada.

Mulanya tergagap-gagap juga. Terkulat-kulat biji mata. Lama-lama keberanian itu kembali menguasai diri. huhuhu

Apa tidaknya, acara persembahan ini bukanlah datangnya dari ahli keluarga kami. Tetapi persembahan daripada orang luar. Orang luar ingin menyumbangkan tenaga untuk memeriahkan lagi program kami.




(Gambar: Angah, Gadingan MC Yang Mantap)


Persembahan ini dipersembahkan oleh Kumpulan PDK (Pemulihan Dalam Komuniti) Harmoni Gugusan Felda Lok Heng dan Sekolah Menengah Lokman Hakim, Felda Lok Heng.

PDK Harmoni ialah sebuah pusat pemulihan kanak-kanak istimewa dan golongan OKU. Di Lok Heng kumpulan ini memang aktif terutama mendidik anak-anak istimewa.

Sebetulnya, inilah kali pertama di Lok Heng diadakan majlis seumpama ini secara besar-besaran yang turut melibatkan orang luar (bukan dari kalangan keluarga dan turut melibatkan masyarakat sekeliling).

Bukanlah hendak menunjuk-nunjukkan segala sedekah, sumbangan dan hadiah dari duit lebihan pusaka datuk juga duit poket kami sendiri. Tetapi anak-anak istimewa ini ingin sekali membalas budi dengan mengadakan persembahan kepada pihak kami.



(Gambar: Hidangan Barbeque Untuk Makan Malam.
Kerjasama Antara Keluarga Memudahkan Segala Kerja Hidangan)

Mengikut aturcara program yang disusun atur, awalnya hanya terdapat dua buah persembahan, tetiba mereka pula 'naik sheikh' menjadi tak kurang dari empat buah persembahan. Persembahan mereka memang menarik dan menghiburkan. Terima kasih sekali lagi.

Bagi penganjur, elok jugalah diadakan seperti itu. Ini disebabkan ahli keluarga semua sudah keletihan. Terutama aktiviti sukaneka di Pantai Batu Layar petang tadi. Lagipun bapa dan emak saudaraku semuanya agak berumur. Justeru, inilah masanya untuk mereka berehat dan bersantai.

Antara persembahan kumpulan PDK Harmoni ini ialah tarian Zapin (dah orang Johor, tarian Zapin ler, hehehehe), tarian Cina, tarian India, nanyian solo lelaki, nanyian solo perempuan, tarian Aci-aci Buka Pintu, dan joget lambak.

Persembahan PDK Harmoni ini juga turut melibatkan Kak Ana (Farhana binti Ahmad). Iaitu anak Pak anjang sendiri yang turut termuat sebagai kanak-kanak istimewa.

(Gambar: Persembahan Dari PDK Harmoni, Tarian Zapin dan Aci-aci Buka Pintu)


(Gambar: Ceria, Antara Para Peserta Persembahan PDK Harmoni)

Manakala Sekolah Menengah Lokman Hakim menyajikan kami dengan tiga buah lagu nasyid. Salah satu persembahan mereka juga melibatkan angah.

(Gambar: Kumpulan Nasyid Sekolah Menengah Loqman Hakim, Felda Lok Heng.
Angah Antara Yang Menyumbangkan Suara)


Pertandingan mewarna kanak-kanak turut dijalankan serentak. Peserta dihadkan seramai sepuluh orang sahaja dan ianya acara tertutup (untuk ahli keluarga).




(Gambar: Di Bawah Pentas. Pertandingan Mewarna Dijalankan Serentak)


Lihat sahajalah kemeriahan dan khusyuknya mereka mewarna. Adakalanya ibubapa mereka pula yang terlebih sibuk. (wakakaka)


Jun 7 - Hari ini merupakan hari terakhir. Kali ini pihak penganjur mengadakan pertandingan karoake (pada hal tak ada langsung dalam aturcara majlis. Dari dia orang memekak tak tentu arah baik diadakan pertandingan. Kira macam terancang lah sedikit majlisnya. heheheh).

Pertandingan karaoke ini diselang-selikan dengan majlis ta'aruf keluarga (memperkenalkan ahli keluarga).


(Gambar: Majlis Memperkenalkan Ahli Keluarga.
Dari Kiri Keluarga Mak Andak & Kanan Keluarga Mak Ngah)


Semua adik-beradik emak akan memperkenalkan ahli keluarga masing-masing kepada khalayak umum di hadapan pentas. Ini kerana sesetengah daripada kami ada yang tidak mengenali antara satu sama lain.


(Gambar: Antara Peserta Pertandingan Karaoke.
Dari Kanan Pasangan Anak Beranak Mak Andak & Kiri Peserta Cilik, Syuhadah)



(Gambar: Johan Pertandingan Karaoke: Lagu, Kenanganku '60-an.
Dari Kiri Angah & Ali The black)

Majlis itu diselang-selikan dengan penyampaian hadiah. Akhirnya aku berjaya juga menggondol hadiah. Walaupun aku hanya mendapat tempat kedua dalam acara anyam ketupat, tak kiralah, janji menang dan dapat hadiah (hehehehe).

Adik beradik emak membawa sama hadiah untuk memeriahkan majlis. Bahkan sebahagian besar hadiah ialah sumbangan ahli keluarga. Walaupun hadiah tersebut kecil, tetapi ia amat bermakna.

Lagipun bebanan menyediakan hadiah oleh pihak penganjur dapat dikurangkan. hehehe



(Gambar: Antara Hadiah-hadiah Yang Menjadi Rebutan)



Dari kategori keseluruhan pula, kumpulan tiga (kumpulan aku ler tu) mendapat tempat ke dua. Hamper yang besar kedabak itu akhirnya dibagi sama rata. Dan beberapa penyamar-peyamar yang menyamar sebagai ahli kumpulan tiga (macam Kumpulan Bintang Tiga lah pulak hehehe) turut mendapat bahagian dengan tangan mereka diketuk dan ditepis manja. (huh! ada hati mengaku ahli kumpulan aku. Nak rembat kami punya hamper lah tu. Syuhh.. syuhhhh)

Majlis ditutupi dengan selawat dan bersalam beramai-ramai. Ramai juga yang tewas kali ini. Merah bebola 'putih-hitam' dan mengalirlah air mata suci! Almaklumlah, ada antara kami sudah lanjut usia. Esok lusa belum tentu ketemu lagi.

Kepada semua Ahli Jawatankuasa Penganjur (AJK Hari Keluarga) serta mereka yang terlibat secara langsung atau tidak, maza ingin mengucapkan sekalung tahniah dan diucapakan jutaan terima kasih.

Hal ini termasuklah mereka yang bersusah payah sejak dari awal lagi antaranya Pak Anjang, Mak Anjang, Pak long, Pak Busu bersama keluarganya, Mak Itam, Angah, Ali The Black dan emak.

Begitu juga kepada guru-guru PDK Harmoni, AJK Kampung, masyarakat Lok Heng dan tidak dilupakan anak-anak istimewa kerana turut menjayakan majlis unggul ini.

Bagi maza, objektif kali ini berjaya dicapai dan ia bertepatan dengan temanya.

Masing-masing ahli keluarga menaruh harapan besar agar acara seumpama ini diadakan pada tahun hadapan. Jika boleh masing-masing mahukan diadakan saban tahun. Insyallah kalau kena gayanya dan ditakdir bertemu lagi, kita akan bersua semula di tahun akan datang. Tungguuu..


Sekian laporan maza.



Keluargaku: Hari Keluarga Taha & Saliah: Part 2/3


6 Jun
- Kembali ke Majlis Sambutan Hari Keluarga Taha & Saliah. Walaupun mushibah menimpa, majlis ini tetap diteruskan. Apatah lagi ia telah dirancang sejak dua belas bulan yang lalu.

Jadi pagi itu masing-masing hanya sibuk menguruskan jenazah dan memasak untuk makan tengah hari nanti.

Jam 12.00 tengahari aku pula sampai dengan menunggang Cik Silvy (kuda aku ler, heheheh) ke rumah Pak anjang. Kemudian aku bergabung dengan ahli keluarga yang lain.

Ahli keluarga lain mula bergerak ke Pantai Batu Layar. Aktiviti petang itu diteruskan dengan aktiviti santai, bermandi manda dan sukaneka!

Di sinilah peranan aku mula bermain dengan rancak. Sebelum ini aku hanya sekadar pemberi idea sahaja.

Awalnya aku tidak bercadang hendak mengikuti program ini memandangkan isteriku akan berpindah dari Pahang ke Kuala Lumpur dalam bulan Jun juga. Kami perlu bersiap-siap, berkemas apa yang patut. Lagipun lori sewa hanya ada pada hari tersebut sahaja untuk sebulan itu.

Sebaliknya apabila Pak anjang menelefonku berulangkali, menaruh harapan tinggi sampai merayu-rayu (sayu gak aku bila dengarkan suaranya yang seakan nak menangis itu), lalu aku mengalah.

Tambahan pula Pak anjang aku telah menjadi OKU (Orang Kurang Upaya - akibat kemalangan jalan raya. Terkontang-kanteng dia dan Pak long yang sudah lanjut usia hendak menjalankan aktiviti itu kelak.



(Gambar: Pak anjang dan Pak long)


Nasib baik ada angah (anak Pak anjang - Fairuz bin Ahamad) yang kebetulan sedang cuti semesta UiTM Segamat. Dapatlah dia membantu melancarkan dan menjalankan akitiviti yang telah dirancang lama ini. Lagipun darah orang muda amat diperlukan! (terima kasih dan tahniah angah kerana berjaya menjayakan semua program dan menjadi tulang belakang segala aktiviti).

Ahli keluarga telah dibahagikan kepada empat kumpulan. Kumpulan satu, dua, tiga dan empat. Aku pula diletakkan di dalam kumpulan tiga dan menjadi ketua mereka. (Hulkkk! Hulkkk!!! kumpulan gua power woo...)

Dalam satu kumpulan itu pula dipecahkan lagi menjadi tiga kategori iaitu dewasa, remaja dan kanak-kanak.

Antara sukaneka yang dijalankan ialah:-
1) Tiup belon sampai pecah
2) Gula-gula dalam tepong
3) Lambung kasih
4) Bowling kelapa (paling lawak masa ni lah)
5) Kerusi beracun
6) Makan epal tergantung
7) Gula-gula di padang
8) Ratu cantik atau pakaian beragam.
9) Kaki tiga
10) Anyam ketupat (aku menang tempat kedua huhuhu - psst terima kasih emak kerana bantu aku menang.. hehhe, kalau tak mengelat susah sikit nak menang beb! wakakka)

Macam biasalah, kalau tidak ada yang mengelat atau tidak ada yang menyakat, acara tidak meriah. Macam skimma sahaja. Semua orang cepat bosan. (heheheheh).

Apa lagi, aku lah yang menjadi tukang sakat. (wakaka) Termasuklah Man, Pak Busu dan beberapa orang lagi. Paling meriah lagi best bila Pak Busu turut menyakat anaknya sendiri (kumpulan lain) yang menyertai acara Ratu Cantik @ pakaian beragam.





(Gambar: Pakaian Beragam: Antara Acara Yang Menggegar Gempita Helai Tawa)

Ramai antara kami yang tergolek-golek ketawa melihatkan segala gelagat yang ada. Terutama melihatkan gelagat Pak busu di dalam acara bowling kelapa.

Akhirnya, segala penat lelah aku yang berkuda dari Kuala Lumpur ke sini terlupa seketika.

Setelah selesai semua acara sukaneka, apa lagi, acara berendamlah pula. Baru sahaja aku hendak mengendap puteri duyung (dibaca bukan dugong), habis semua sepupu-sepupu kerdil aku menyerbu ke arah ku (aderk spoil betul lah!). Tak ada peluanglah aku hendak mengayat sepatah dua kata, sambil mengamalkan jampi-serapah disemburkan ke atas puteri-puteri duyung (teknik mencari endut ler) yang sedang khusyuk melayan ombak dan gigi pantai. (uhuk!)

Jam 6.30 petang semua sekali kembali ke Dewan Orang Ramai, Lok Heng Barat. Malam itu ada banyak aktiviti lagi. Memang seronok betul lah. hehehhehe

Nak tahu lebih lanjut (?), tungguuuu ... ke episod yang seterusnya. (hehehe macam drama swasta lah pulak).

Keluargaku: Hari Keluarga Taha & Saliah, Part 1/3

(Gambar: Majlis Sambutan Hari Keluarga Taha & Saliah)

Jun 5- 7, 2009 - Tiga hari tersebut keluarga sebelah emak (berasal dari Muar dan Kampung Murni Jaya, Layang-layang, Johor) telah mengadakan hari keluarga. Majlis ini dikenali sebagai Sambutan Hari Keluarga Taha & Saliah.

Majlis Sambutan Hari Keluarga Taha & Saliah merupakan kali pertama diadakan setelah hampir tiga puluh tahun datuk meninggal dunia.

Tema yang terpilih kali ini ialah "Bersama Mengeratkan Silaturahim".

Kebetulan pula pada Jun 6 ialah Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong dan musim cuti sekolah. Jadi dapatlah ramai angota keluarga melibatkan diri. Hampir seratus lapan orang telah mengambil bahagian.

Keluarga maza hanya diwakili maza seorang diri. Manakala orang rumah terpaksa menguruskan hal ehwal perpindahannya dari Kuantan ke Kuala Lumpur. Anak-anak pula mengikuti atuk dan uwannya.

(Gambar: Antara Ahli Keluarga Yang Hadir)

Kesemua adik beradik emak, seramai sembilan orang kesemuanya, hadir sama. Tetapi ramai sepupu-sepupu ku pula tidak dapat hadir.

Ada antara mereka terlalu sibuk, tidak kurang juga alasan tak ada duit tambang (hmmm). Ada yang tidak yakin dengan aktiviti disediakan. Mereka berangapan aktiviti-aktiviti tersebut tak ubah seperti jemputan untuk makan-makan atau tidak ada apa yang istimewanya.

Hari Keluarga Taha & Saliah telah diadakan di gugusan Felda Lok Heng. Pak anjang (Ahmad bin Taha) menjadi tuan rumah.

Pengarah projek pula ialah Pak anjang dan Pak long (Idris bin Taha).




(Gambar: Pengarah Bersama Projek.
Pak Anjang (Berkerusi Roda) & Pak Long)




Tiga lokasi aktiviti telah terpilih iaitu: -
1) Dewan Orang Ramai, Felda Lok Heng Barat, Kota Tinggi, Johor.
2) Pantai Batu Layar, Kota Tinggi, Johor.
3) Rumah Pak anjang, Felda Lok Heng Timur.

Aturcara Program


Jun 5 - bermula pada petang hari untuk pendaftaran ahli keluarga di Dewan Orang Ramai. Selesai solat maghrib terus sahaja bacaan Yassin dan Tahlil.

Ahli keluarga terus datang ke sini walaupun lewat tengah malam. Kebanyakkan ahli keluarga tidur dan menginap di Dewan Orang Ramai ini, terutama yang bujang.

Bagi mereka yang keuzuran dan mempunyai bayi kecil, mereka ditempatkan di rumah Pak Anjang.

Jun 6 - Usai solat subuh berjamaah berlaku insiden yang tidak diduga. Bayi pasangan Kak Nor (anak Pak Long) dan Abang Aziz yang berusia 4-5 bulan telah meninggal dunia di rumah Pak anjang.

Bayi tersebut sebenarnya sejak lahir telah menghadapi komplikasi pelbagai penyakit. Sekurang-kurangnya empat penyakit dideritainya. Antaranya ialah terdapat dua lubang di jantung. .

Baru dua minggu sudah bayi Mohd Azhad bin Abdul Aziz dikeluarkan dari ICU. Ketika di ICU itu doktor telah menyebut bahawa Azhad sudah tidak ada harapan dan hanya kita berdoa sahajalah. Bukan doktor tidak mahu mencuba, tetapi katanya kalau dibuat sekalipun pembedahan jantung, kompilasi yang sedia ada menyebabkan peluang untuk terus hidup amat tipis.

Jika dilakukan operasi juga, ia diibaratkan doktor itu membunuh bayi tersebut. Lalu doktor pakar menyarankan agar; berkidmatlah dan belailah bayi tersebut sedaya mungkin selagi hayatnya masih dikandung badan. (sob! sob! sob!)

Namun Allah SWT memberikan kesempatan yang tidak terhingga kepada Kak Nor sekeluarga untuk bersama-sama dengan arwah, anak keempat ini, selama seminggu lagi. Hinggalah pada pagi tersebut, jam 7.00 pagi arwah pergi tanpa disedari dan disangka-sangka. Mak itam yang menyaksikan betapa Azad semakin melemah dan akhirnya putus nafas.

Pada mulanya Mak itam menyangkakan Azad mengeliat dan kembali tidur nyenyak. Tetapi sebaik terpandangkan muka Azad yang pucat kebiruan dan tangannya sejuk macam air batu, maklumlah akan dia bahawa Azad sudah tiada.

Seluruh keluarga Pak long berangkat pulang ke Felda Tunggal dan ke Hospital Kota Tinggi untuk urusan jenazah.

Untuk ketahui kesudahan program ini, sila lanjutkan browsing anda ke part 2. hehehehhe Tungguuuuu...



Khamis, 11 Jun 2009

Hutang Mesti Dibayar



Semua orang maklum. Bahkan kafir harbi (kafir yang amat memusuhi Islam) pun tahu. Hutang mesti dibayar. Hutang mesti dilangsaikan!


(Gambar: Contoh Surat Kutip Hutang. Untuk gambar yang lebih jelas, sila double klik di atas gambar tersebut >>>)


Namun ada orang itu hanya tahu berjanji dan buat hutang, tetapi bab nak bayar (?!) ... memang liat. Seliat daging ayam tua goreng. Begitu payah untuk menggigit dan menelannya.

Syarikat merundum, kadang-kala bukannya disebabkan produk tidak bagus. Jauh sekali perkhidmatan selepas jualan tidak baik.

Tetapi disebabkan penghutang yang liat dan tak mahu bayar hutang menjadikan perniagaan rebah, tak bermodal! (huh! menyusahkan semua orang lah!).

Pening juga menguruskan hutang ini!

Boss pernah bertanya, "hai! Takkan masa awak belajar tak ada diajarkan cara-cara memungut hutang?" (aderk!! Buat-buat tanya pulak orang tua ni)

Di universiti, terutama di dalam bidang Pentadbiran Perniagaan atau Perakaunan, kita tidak diajar cara-cara hendak memungut hutang. Kaedah buat hutang adalah!

Jadinya, terjadilah fenomena lambakan hutang tetapi bila hendak pungut hutang masing-masing teraba-raba, terkial-kial. (huhuhuhu)

Kita hanya diajar bagaimana hendak buat hutang, mencari pemiutang (membuat kertas kerja dan memohon pinjaman di bank-bank) dan mengoptimakan pelaburan. Tidak pernah sekali pun terdengar pensyarah-pensyarah memberikan kuliah cara-cara mengutip hutang!

Budaya, Sikap Dan Didikan Orang Tua

Faktor yang lain ialah didikan orang tua. Mak cakap tak perlu susah-susah mintak hutang. Malu katanya hendak minta hutang. Macam orang minta sedekah pula.

"Tahulah si pulan tu bayar hutang kita. Tak payahlah nak minta-minta sangat. Malu tengok dek orang"

"Habis tu mak, kalau dia tak bayar-bayar juga?"

"Dia akan tanggung dosa. Hidupnya tak aman. Mati pun tak aman. Kat akhirat nanti dia akan bawa hutangnya di bahu sambil berdengkut-dengkut mencari pemiutang. Lagipun kalau kita niat sedekah kan lagi elok. Dapat banyak pahala. Nanti Tuhan akan tambahkan rezeki kita!"

(Yeap betul tu. Tapi kalau hutangnya beribu raban, juta-jutaan macam mana? Kalau setakat seposen dua, atau seringgit dua boleh lagi dimaafkan atau diikhlaskan sahaja. Ini sampai periuk nasi kita sendiri terabai. Malah ditaburinya pula 'pasir'.)

Justeru maza nak usulkan kepada Kementerian Pendidikan, agar matapelajaran memungut hutang diwujudkan di kolej-kolej, dan universiti-universiti.

Dari itu ah-long dan cetty juga mendapat manfaat. Mereka menjadi terarah dalam kaedah-kaedah memungut hutang yang porfesional, amalan baik dan berbudi perkerti mulia.

Malah penghutang juga terselamat dari mangsa keganasan. (walhal akibat dirinya juga yang liat bayar hutang!) (rujukan kes yang liat bayar hutang aje tau).

Berikut maza hendak berkongsi firman Allah SWT di dalam Al Quran Nuur Qarim.
"Dan barangsiapa berbuat demikian dengan hak dan aniaya, maka Kami kelak akan memasukannya ke dalam neraka. Yang demikian itu adalah mudah bagi Allah" An. Nisa: 36"

by maza



Isnin, 8 Jun 2009

Orang Johor

(Gambar: Siapa Tak Kenal Bendera Ini Memang Lenggit lagi Beruk! Inilah Bendera Johor)

September 7, 2007 (Jumaat) - Saya memang orang Johor, diberanakkan dan dibesarkan di sana. Cuma lepas besar panjang, dah remaja barulah keluar dari kampung ke Kota Raya KL.

Berikut adalah tanda kenal orang Johor. so mana-mana ada ahli nak menyamar sebagai anak Johor, kami boleh kenal aaaaa!!!..

hehehehe

1. Sembilan daripada sepuluh ayat diakhiri dengan "Ekkk…
"

'Ekk!' ialah trademark orang Johor. Digunakan di hujung SETIAP ayat menggantikan tanda soal (?).

Contoh :-

Ni awak punyer ekk?
Nama awak saper ekk ?
Kenapa kaler kete kita tak cantik ekk ?

Dan macam-macam ekk lagi.

Teringat semasa sekolah, di dalam kelas waktu dahulu, aku dan member sebelah rasa bosan yang amat sangat. Jadi untuk meneruskan kesegaran, kami akan dok mengira berapa kalikah Cikgu akan sebut 'ekk'.

Dalam masa 40 minit kami dapati dekat 100 kali cikgu itu menyebut 'ekk'!

Lepas tu kami gelarkan Cikgu tu Cikgu Ekk. (wakakaka).

2. Johor Bahru dirujuk sebagai Johor dan bukan JB atau Jay Bee.

Orang di negeri Johor sebut Johor, bermaksud Johor Bahru (JB) iaitu bandar, atau ibu negerinya itu. Ia bukan dirujuk sebagai sebuah negeri.

Perkara ini biasanya digunakan oleh mereka yang tinggal di luar bandar Johor Bahru seperti di Masai- Kluang dan Kota Tinggi.

Contoh : Beb, gua nak turun Johor laa. Lu mahu ikut gua tak?

Jadinya, kalau anda memang berasal dari Johor, tidak kira datang dari daerah mana sekali pun, mereka akan faham. Bahawa Johor yang dirujuk oleh rakyat tempatan itu ialah sebenarnya bandar Johor Bahru.

Jangan pulak buat lawak bongok** dengan berkata, "Eh, ko kan dah ada kat Johor?” atau lebih sadis lagi, jangan memandai nak tambah 'ekk' dengan soalan tersebut.



(Gambar: Jata Negeri Johor. Lambang Kedaulatan.)



3. Muar disebut sebagai MUOR. (kena juih bibir itu sikit)

Sebenarnya, jika anda hendak menyembut perkataan yang berakhiran 'ar' disebut sebagai 'or' (dibundarkan mulutnya).

Contoh : Aku kena pakai seluor besor untuk main bolor kat Muor besok. (Aku kena pakai seluar besar nak main bola di Muar besok).

Aku teringat seorang kakak dari negeri "antah-berantah" itu tegur aku bila mak aku cakap macam tu. Tanyanya, "Kenapa emak sebut besar, BESOR? Slipper , SLIPPOR?'".

Aku tergelak sendirian. Aku cuma bercakap seperti itu apabila berjumpa dengan orang Johor sendiri yang betul-betul anak Johor. Tetapi kadang-kala lidah aku sendiri yang tergeliat. Tak pun terlepas juga loghat Johor aku ini. hehehhe

Lapo (lapar), penampor (penampar), ulor (ular), pagor (pagar), bandor (Bandar), pasor (pasar) dan lain-lain.

4. 'Ganaz’ dan ala-ala gila bila bergurau senda, berlawak-jenaka.

Jujurnya, aku amat-amat jarang sangat berjumpa dengan orang Johor yang begitu serious. Begitu skimma.

Iaitu jenis yang tidak boleh menerima gurau-senda. Walaupun mereka itu pendiam atau pemalu, tetapi sense of humour boleh tahan gak. Kebanyakan yang aku jumpa (yang dah kenal lah), ialah mereka yang loyar buruk (Lawyer buruk) or bigor **. (huhuhu)

Baik di kampung mahu di bandar. Senda-gurau mereka begitu unik. Hingga ada kalanya aku dapati kadang-kadang orang luar (non-Johorean) agak takut dengan keganasan budak-budak Johor itu.



(Gambar: Bangunan Sultan Ibrahim, Bukit Timbalan, Johor)



5. Diorang ada ENDUT **.

Anda semua pasti pernah berendut, busuk-busuk pun teringin nak ada
endut.

Contoh ayat :

Haa…kau dah ada endut yer?
Kau pergi berendut kat mana?
Orang berendut dia pun nak berendut!

6. Diorang Makan Gula Tarik, Sagun, Gula Kandy, Bobotok....

Dah lama aku tak tengok atau makan gula tarik, sagun atau kandy. Ada lagi ke bebenda ni kat Johor ekk?

Aku tak boleh nak terangkan dengan jelas, sebab sudah berpuluh tahun aku tidak mencuba dan merasainya lagi. Selain aku sendiri sudah lama merantau. huhuhuhu

Makanan seperti botok-botok. Kalau di luar Johor, botok-botok dikenali dengan nama PAIS IKAN.

Erk! Jangan tanya aku tentang ramuannya. Sebab aku hanya tahu makan sahaja. Selain tulang ikan itu aku letak tepi. Atau kadang-kala dengan tulang-tulang sekali aku bedal.

Satu yang aku pasti ialah botok-botok ini menggunakan banyak daun dan ulam-ulaman. Termasuk daun betik, daun kari, kari ikan. Kemudian segala ramuan tadi dibalut dengan daun pisang (kalau aku tak silap la), kemudian dikukus.


Sejarah Botok-botok / bebotok

Menurut sumber kawan aku, dia pernah bertanya kepada ayahnya, kenapa buruk bebenor nama dia bebotok.

Menurut cerita ayah beliau:-

Di zaman dulu ada seorang nenek yang tinggal seorang diri. Setiap hari cucunya akan datang bawa makanan. Nenek ini suka sangat makan pais ikan dengan bubur.

Jadi dia suruh cucunya itu bawak tetiap hari. Bila cucu tu bawak makanan lain, Nenek akan tanya "Mana Bubur Tok?".

Lama-lama Bubur Tok jadilah Bebotok - kesan bunyi dari cakap cepat-cepat.

Itulah ada pun ceritanya. Jadi kalau dia kelentong aku - maka kelentonglah cerita bebotok tu. Sekian adanya.

7. Pernah (atau berangan nak) jadi Mat Rock.
Aku rasa sebab kedudukan Johor dekat dengan Singapore, sebab itulah pengaruh Barat di Malaysia masuk melalui Johor dulu. Itu teori aku lah.

Kalau ikutkan sejarah Johor, Sultan yang mula-mula kawin dengan Mat Salleh pun Sultan Johor (Almarhum). Jadi, tak hairanlah kalau kumpulan Rock kat Malaysia ini semua ada susur galur dari Johor. Amy Search, Zainal Abidin, Nash, BPR (Bumiputera Rockers), Exit, Ramlah Ram dan lain-lain.

Boleh pakai ke teori aku ni?
Jangan aku kena pancung dengan Sultan, dah ler. Tak pun penampor maut darinya... aderkkk
Ampun Tuanku !

8. Kenduri Kawin Ada Telur Pindang

Telur pindang ialah telur ayam yang direbus dengan segala macam rempah dan dedaun untuk mendapatkan rasa istimewa itu. Lepas rebus, telur akan berwarna coklat. Termasuklah kulit dan isinya.

Biasanya orang buat telur pindang ini untuk majlis tertentu, seperti majlis perkahwinan.

Zaman dulu-dulu, ia menjadi lambang status-quo tuan rumah - orang kaya-kaya jer buat telur pindang ni sebab ianya rumit dan makan masa berjam-jam. Oleh itu melibatkan kos yang tinggi.

9. Tidur atas LECA**

Baju simpan dalam GEROBOK **.

10. Tak pernah menonton RTM sebab semua cerita dah tengok kat TV Singapore!

Masa aku kecil-kecil dulu, aku cukup suka tengok TV Singapore. Sebab iklan dia semua dari luar negara. Sangat menarik. Selain itu ceritanya pula yang terkini di pasaran.

Yang aku suka ialah iklan jeans Levi’s (Let your love flow), iklan lagu Coke (I’d like to build the world a home), iklan Kodak (Times of Your Life -Paul Anka). Paling syok ialah masa Christmas, iklan dan lagu semua best-best. (Itu dulu, sekarang aku rasa semua rancangan RTM sudah semasa.)

Hmm, TV Singapore cuma dapat ditengok oleh penduduk JB dan kawasan yang sewaktu dengannya. Apabila pergi ke utara sedikit, anda akan menyaksikan fenomena yang begitu menarik. Iaitu aerial TV semua setinggi pokok kelapa - semata-mata nak dapatkan siaran dari Singapore!

Apa lagi EKK?

Kamus Johor :

Bongok- bodoh
Bigor - gila-gila, contoh :- Apek Senario tu macam budak BIGOR ekk ?
Endut - makwe/pakwe. Awek/balak. Boifren/girlfren. Boleh digunakan tanpa mengira jantina.

Berendut - berpasangan.
Pergi berendut - dating, macam beromen gak ler...
Botok-botok, bebotok - sejenis makanan menggunakan ikan, ditambah memacam dedaun, letak serbuk kari (don’t ask me - aku tak reti buat) dan dibalut dengan daun betik, diikat dengan sebelum dikukus. Alah, macam Pais Ikan tuh.
Leca - tilam. Biasanya dibuat sendiri menggunakan kekabu (orang zaman dulu-dulu semua buat sendiri (Do It Yourself) - tak ada tilam berjenama Vono, Slumberland, King dan sebagainya).

Lekcha - kena syarahan…heheheh semacam leteran gak ler….berleter tak sudah-sudah
Gerobok, Gobok - Almari. Tak kiralah simpan kain baju ke, simpan pinggan mangkok, kasut, buku ke.

ampor permaidani, carpet- menghampar permaidani atau carpet.
Gebo/Gebar- selimut

kaos - katil


Edited by maza

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails