‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 22 Jun 2016

PROSES MEMBUAT KEPUTUSAN YANG TEPAT DAN BERKESAN



Acapkali kita menghadapi kesukaran dalam membuat keputusan. Untuk menambahkan kesukaran, pilihan yang ada hampir sama kesan kesudahannya. Sebagai contoh Ahmad seorang pekebun kecil yang dihadapkan dengan pilihan untuk menanam ubi, keledek, tembikai, pisang dan betik. Kesemuanya boleh memberikan pendapatan lumayan. Dengan saiz kebun 10 ekar yang terhad, Ahmad perlu memilih sejenis tanaman sahaja yang tidak mudah diserang penyakit dan paling menguntungkan. Ahmad dalam dilemma dan perlukan mekanisme yang sesuai untuk membuat keputusan.

Kepayahan dalam membuat keputusan ini merupakan sebuah ujian dan kita diuji pada setiap masa. Hal ini sesuai dengan fitrah kejadian manusia, “Sungguh, Kami (Allah) telah menciptakan manusia untuk sentiasa dalam keadaan kesusahan dan kesulitan (al Balad: 4).”

Setiap keputusan yang dibuat melahirkan kesan akhir. Sama ada kesan itu bersifat positif atau negatif. Firman Allah dalam surah al-Mulk: 2, “(Allah) Yang menciptakan mati dan hidup supaya Dia mengujimu; siapa dalam kalangan kamu yang lebih baik amalnya. Dan Dia Maha Perkasa lagi Maha Pengampun,”

Justeru manusia digesa agar membuat keputusan yang tepat, benar dan menguntungkan dalam urusan dunia dan akhirat. Gunakanlah segala macam anugerah (tools) yang ada untuk membuat keputusan dan Allah SWT berpesan bahawa keputusan akhir mestilah berobjektifkan kebahagian akhirat “Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu (kebahagiaan) negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari (kenikmatan) duniawi . . . .” (al-Qasas: 77).

Syaikh Abdul Rahman bin Nashir As Sa’di dalam kitab Taisir Karimir Rahman (hal. 623) menjelaskan, “Engkau telah menggenggam berbagai cara (dari segi keupayaan dan modal) untuk mencapai kebahagiaan akhirat dengan harta, yang harta tersebut tidaklah dimiliki selainmu. Haraplah dengan harta tersebut untuk mencapai keredhaan Allah. Janganlah nikmat dunia digunakan untuk memenuhi syahwat dan kelezatan semata-mata. Jangan pula sampai lupa nasibmu di dunia, iaitu Allah tidak memerintahkan supaya manusia menginfakkan seluruh hartanya, sehingga lalai dari menafkahkan yang wajib (nafkah anak, isteri dan diri sendiri). Namun infaklah dengan berniatkan untuk (kebahagian) akhiratmu. Bersenang-senanglah pula dengan duniamu namun jangan sampai melalaikan agama dan membahayakan kehidupan akhiratmu kelak.”

Keputusan yang tepat itu ialah keputusan yang bersandarkan akhlak mulia, “. . . Dan berbuat baiklah (kepada orang lain) sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu dan janganlah kamu berbuat kerosakan di (muka) bumi. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang berbuat kerosakan.” (al-Qasas: 77).

AWAS, setiap keputusan yang hendak diambil hendaklah jelas, nyata dan tidak melibatkan syubahah. Rasulullah SAW telah mengingatkan dengan bersungguh-sungguh:-

Dari Abu Abdillah Nu’man bin Basyir r.a, dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang subahat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh orang banyak. Maka siapa yang takut terhadap subahat bererti dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara subahat, maka akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan. Sebagaimana penggembala yang menggembala haiwan gembalaannya di sekitar (ladang) yang dilarang untuk memasukinya, maka lambat laun dia akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh; ketahuilah bahwa ia adalah hati. (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Justeru, hati hendaklah teguh dengan prinsip (iman) dan tidak lalai daripada godaan dan ancaman yang boleh membinasakan diri dan organisasi, lebih-lebih lagi yang melibatkan kepentingan awam. Firman Allah SWT, “Dan ketahuilah bahawa harta dan anak-anakmu itu hanyalah sebagai cubaan dan sesungguhnya di sisi Allah-lah pahala yang besar.” (al-Anfal: 28) ; “Sesungguhnya Kami telah menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, agar Kami menguji mereka siapakah di antara mereka yang terbaik perbuatannya.” (al-Kahf: 7)

Iman Qurthubi menjelaskan, “Hendaklah seseorang menggunakan nikmat dunia yang Allah berikan untuk menggapai kehidupan akhirat iaitu syurga. Ini kerana seorang mukmin hendaklah memanfaatkan dunianya untuk hal yang bermanfaat bagi akhiratnya.”

Allah SWT berpesan, setiap kali membuat keputusan janganlah terburu-buru. buatlah keputusan setelah menyelidiki dan mendapat info yang jelas. Siasatan (tabayyun) hendaklah dijalankan dan buatlah keputusan dengan ilmu. Dalam kata lain, konsep tabayyun itu hendalah dijadikan amalan: “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.” (al-Hujurat: 6)

Menurut Gore (1962) terdapat tiga jenis “keputusan” iaitu (i) keputusan rutin, (ii) keputusan untuk mengubahsuai polisi-polisi semasa dan (iii) keputusan inovatif untuk membentuk polisi dan matlamat baru. Hal ini disokong oleh Luthans (1977) dengan menambah bahawa “keputusan pentadbiran” terbahagi kepada dua, iaitu (i) keputusan peribadi /organisasi, dan (ii) keputusan rutin atau asas.

Dalam kata lain, manusia tidak boleh lari daripada membuat keputusan kritikal, sama ada untuk dirinya atau organisasi. Proses membuat keputusan pula boleh dipecahkan kepada dua:-

1) keputusan pentadbiran, iaitu amalan rutin dalam menyelenggara dan mengurus sesuatu tugasan harian. Keputusan boleh dibuat cukup hanya bersandarkan pengalaman, tidak kompleks, keputusan boleh dibuat secara langsung dan hasil keberkesanan keputusan itu boleh diperoleh hampir serta-merta (tidak memakan masa yang lama). Contohnya keputusan membersihkan rumah dengan menyapu sampah.

2) keputusan strategik, iaitu keputusan yang melibatkan pengurusan yang kompleks, pembangunan jangka panjang, pelan tindakan berliku-liku, memerlukan pemerhatian serta penilaian yang teliti dan hasilnya akan diketahui lewat dengan mengambil masa lama. Sebagai contoh rancangan strategik 10 tahun bagi memasarkan 15 juta kereta.

Menurut Pearce & Robinson (1997), pengurusan strategik terdiri daripada sembilan tugasan kritikal iaitu:
  1. Menformulasi misi organisasi termasuk pernyataan umum tentang tujuan, falsafah dan matlamatnya.
  2. Membina profil organisasi yang menyatakan keadaan dalaman dan keupayaannya.
  3. Mentaksir persekitaran luaran organisasi yang mengandungi persaingan dan faktor kontekstual umum.
  4. Menganalisis pilihan organisasi lalu memadankannya dengan persekitaran luaran.
  5. Mengenal pasti pilihan terbaik dengan menilai setiap pilihan berdasarkan misi organisasi.
  6. Memilih satu set objektif jangka panjang dan strategi utama yang sesuai yang boleh mencapai pilihan terbaik tersebut.
  7. Membina objektif tahunan dan strategi jangka pendek yang sesuai dengan objektif jangka panjang dan strategi utama.
  8. Melaksanakan pilihan strategik dengan menekankan tentang sumber yang ada di samping tugasan, manusia, struktur, teknologi dan sistem ganjaran.
  9. Menilai kejayaan proses strategik sebagai input untuk membuat keputusan pada masa akan datang.

Sungguhpun begitu, David (1997) dan Edaris (2004), merumuskan komponen proses pengurusan strategik terbahagi kepada tiga bahagian besar iaitu (i) menformulasi, (ii) pelaksanaan dan (iii) penilaian strategik.

Keputusan strategik yang dibagunkan bersandarkan untuk memuaskan organisai melalui pencapaian visi, misi dan objektif yang bersifat perancangan jangka masa panjang. Keputusan pentadbiran pula menjurus kepada memenuhi indeks penunjuk kecemerlangan/prestasi (KPI) diri yang bersifat perancangan semasa jangka pendek.

Secara ringkasnya terdapat tujuh proses membuat keputusan berkesan amalan organisasi dunia. Kaedah ini amat praktikal dalam banyak hal, sama ada keputusan pentadbiran yang berupa rutin harian ataupun keputusan strategik yang begitu kompleks. Tujuh proses membuat keputusan tersebut adalah seperti berikut:-

1. Mengenalpasti (diagnose), menilai dan mendifinisi masalah, Keperluan dan Situasi

Bahagian ini merupakan bahagian kritikal. Jika gagal mengenalpasti masalah (atau peluang) bermakna situasi itu bukannya situasi sebenar dan bukan pokok persoalan yang memerlukan jawapan serta tindakan. Sebaliknya hanyalah rungutan, keluhan atau kekeliruan yang tidak memberi sebarang makna.

Apabila masalah dapat dikenalpasti, maka sebahagian besar jawapan terlah pun terjawab dengan sendirinya. Ini memudahkan proses membuat keputusan. Kebiasaannya, penyelesaian masalah pokok akan menyelesaikan juga segala masalah yang remeh, tempelan dan kecilan dalam waktu yang sama. Mengenalpasti masalah dengan betul adalah penting kerana mengenalpastikan masalah yang salah akan mempengaruhi proses membuat keputusan yang selanjutnya.

Bagi mengelakkan berlakunya pertindanan masalah yang bertimbun-timbun, pengenalpastian masalah diperingkat awal amatlah perlu. Hanya masalah yang tulen, kritikal dan menjadi tunjang pokok persoalan akan diberikan perhatian. Penyataan masalah disusun mengikut keperluan dan merit purata keberatan (weighted average).

2. Analisis Data dan Maklumat

Setelah mengenalpasti semua punca sebenar masalah proses seterusnya ialah mengumpulkan data. Kemajuan teknologi seperti kemudahan internet, media sosial baharu, telefon pintar merupakan alat mudah cara (device) yang boleh digunakan. Rujukan dan maklumat boleh didapatkan melalui sumber ‘big data’ (dapatan maklumat daripada luaran organisasi seperti lambakan maklumat dari internet) dan ‘small data’ (rujukan maklumat daripada dalaman organisasi seperti laporan kewangan, mesyuarat agung tahuan dan sebagainya)

3. Pembentukan Alternatif

Setelah mendapatkan maklumat, senaraikan semua masalah-masalah tadi mengikut keutamaan. Gunakan kaedah pertimbangan ‘berat kewajaran’ (weighted average). Setelah itu memformulasi pilihan pelbagai bentuk alternatif penyelesaian masalah.

Berikan pertimbangkan (justifikasi) maklumat berdasarkan (i) kebolehbergantungan dan kebolehpercayaan maklumat (reliability), (ii) kredibiliti sumber maklumat, (iii) kesahihan maklumat (validity).

4. Pemilihan Alternatif

Senaraikan solusi alternatif sebanyak yang mungkin. Pada peringkat ini ‘brain storming’ amat berguna dan setiap idea yang dilontarkan hendaklah dicatat tanpa menolak sebarang komen dan pertimbangan.

Berikan merit ke atas setiap solusi alternatif tersebut. Buat penilaian mendalam dengan bersandarkan (i) keberkesanan, (ii) kemampuan kebolehlaksanaan, (ii) sumber seperti dana, logistik dan tenaga kerja, (iv) kesan jangkaan, (v) kebaikan, (vi) keburukan, (vii) masa, (viii) kesesuaian dan (ix) faedah diperolehi.

5 Perlaksanaan Alternatif

Kaedah penyelesaian yang dipilih hendaklah dilaksanakan dan diuruskan dengan betul, efisyen dan efektif. Pada peringkat ini pengurusan perjalanan perlaksanaan alternatif amat kritikal. Sesuatu alternatif penyelesian akan dapat menjawab semua persoalan pokok jika perjalanan perlaksanaan itu dilakukan dengan betul dan tepat sebaigaman yang telah direncanakan.

6. Penilaian & Maklum Balas (Feed back)

Proses seterusnya ialah membuat penilaian dan keberkesanan alternatif yang dilaksanakan itu. Sekiranya penilaian mendapati alternatif tersebut tidak berkesan atau kurang produktif, maka alternatif tersebut hendaklah segera dibaiki, rekayasa atau digantikan dengan solusi yang lebih cekap dan berkesan.

Dalam hal ini ada beberapa kaedah penilaian prestasi boleh digunapakai iaitu seperti:

a) Menetapkan (setting) ukuran dan saiz progress keberkesanan perlaksanaan

b) Menggunakan instrumen analisis seperti soal selidik, kajian eksperimen, ujian klinikal, senarai semak, tinjauan pasaran dan penilaian kolerasi (kajian kuantitatif)

c) Ujian kebolehpasaran (test market atau ‘trial run’)

d) Penyelidikan kualitatif seperti etnografi, temuduga mendalam, kajian kes, kajian tindakan dan laporan naratif untuk menilai tahap keberkesanan alternatif perlaksanaan itu.

7. Pembaikan dan Pembetulan

Setelah mendapat maklum balas daripada khalayak, pembaikan ke atas tindakan perlaksanaan hendaklah segera dilakukan. Tindakan segera ini dapat mengelakkan kerosakan menjadi bertambah parah (collateral demage) dan dalam masa sama mampu meningkatkan reputasi diri. Sesuatu alternatif penyelesaian boleh dianggap baik, cekap dan berkesan apabila alternatif itu menunjukkan keberkesanan kepada keseluruhan dan melingkungi penghapusan punca masalah (substance elemination).

Setelah berusaha sedaya upaya maka kembalikanlah usaha itu ke pada Allah SWT untuk Allah nilai dan memberikan sebaik-baik gajaran. Datangilah tikar sejadah dengan mendirikan solat, berdoa dan bertawakal kepada Allah SWT. Menyerah diri kepada Allah SWT yang Maha Mencipta dan Maha Mengetahui agar dikurniakan jalan keluar yang sebaik-baiknya; pada jalan yang lurus (siratalmustaqim) iaitu pada jalan orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat. Rukun iman terakhir iaitu mengimani qada’ dan qadar hendaklah disemat utuh di dalam jiwa yang dengannya dapat menghindari penyakit hati; qadariah dan jabariah. Firman Allah SWT:

Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik untukmu dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk untukmu Allah Maha mengetahui sementara kamu tidak mengetahui (al-Baqarah: 216).

Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya (al-Baqarah: 286).

Allah tidak memikulkan beban kepada seseorang melainkan sekedar apa yang Allah berikan kepadanya. (ath-Thalaq: 7)

Nukilan
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails