‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 14 Jun 2016

SAH ATAU BATAL SOLAT APABILA KANAK-KANAK BERADA DALAM SATU SAF




Seseorang telah bersolat di dalam sebuah masjid. Dia berasa janggal dan tidak selesa apabila di tengah-tengah safnya ada seorang kanak-kanak. Hatinya rungsing. Katanya lagi, kehadiran kanak-kanak itu menyebabkan saf solat tersebut terputus dan boleh membatalkan solat jemaah.

Terutamanya kanak-kanak belum bersunat tidak boleh sebaris dengan orang dewasa. Keadaan kemaluannya yang masih menanggung najis boleh menakung air kencing yang tidak tus dan tersimpan di situ. Orang yang bernajis dan menanggung najis tidak sah solatnya. Begitu juga solat orang yang bersentuhan dengan kanak-kanak tadi akan terbatal solatnya.

Disebabkan perkara-perkara di atas banyak masjid dan surau mengasing dan menyediakan saf khusus jemaah kanak-kanak di belakang saf akhir jemaah dewasa.

Jemaah kecil ini dibiarkan solat bersama-sama rakan sebaya. Lain pula masalah yang timbul. Kanak-kanak sukar dikawal. Mereka bising, bergurau, bermain hingga menjadi punca imam dan jemaah tidak khusuk. Solusinya ada beberapa AJK masjid dan surau mengusulkan agar kanak-kanak tidak perlu dibawa ke masjid. Antara justifikasi lain ialah kanak-kanak masih belum baligh dan tidak dipertanggungjawabkan lagi tentang dosa dan pahala. Untuk mengukuhkan tindakan mereka, hadis berikut diutarakan:
جَنِّبُوا مَسَاجِدَكُمْ صِبْيَانَكُمْ..
Maksudnya: Jauhkanlah kanak-kanak dari masjid. hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Hibban. Walau bagaimanapun, hadis tersebut merupakan hadis daif dan tidak boleh dibuat hujah.

Sah atau batal solat?
Dalam hal ini terdapat banyak hadis sahih yang menggalakkan, malah menyuruh ibu bapa agar mendidik kanak-kanak bersolat secara berjemaah.

Nabi SAW bersabda, “Perintahkanlah anak-anak kamu untuk mendirikan solat ketika umur tujuh tahun, dan pukullah mereka (sekiranya mereka tidak mendirikan solat) ketika umur mereka sepuluh tahun, serta pisahkanlah tempat tidur mereka antara lelaki dan perempuan.” (HR Abu Dawud)

Hadis di atas menunjukkan tanggungjawab ibu bapa mendidik anak-anak untuk menunaikan solat semenjak anak itu berumur tujuh tahun lagi. Didikan yang baik ialah melalui didikan contoh dan teladan. Lantaran itu terdapat banyak hadis sahih yang membayang, menggalak dan mengharuskan kanak-kanak solat berjemaah dalam satu saf orang dewasa seperti hadis-hadis berikut:-

Ibn Abbas RH berkata:Aku bermalam di rumah ibu saudaraku Maimunah, pada malam itu Nabi SAW bersolat. Maka aku pun bersolat bersamanya lalu berdiri di sebelah kirinya. Kemudian Nabi SAW memegang kepalaku sambil menarik aku ke sebelah kanannya.” (HR al-Bukhari). Sedangkan Ibnu Abbas ketika ini masih lagi seorang kanak-kanak.

Kata Anas bin Malik: “. . . Rasulullah SAW berdiri untuk solat. Aku bersaf dengan seorang budak yatim di belakang Baginda SAW. Sementara wanita tua berada di belakang kami.” (HR Bukhari). Ketika itu Anas RA masih lagi kanak-kanak.

Pernah Rasulullah SAW memanjangkan solat beliau sewaktu sujud, para sahabat bertanya, "Kenapa terlalu lama Engkau sujud, Ya Rasulullah, adakah terjadi penurunan wahyu?"
Rasulullah SAW berkata, "Tidak ada turunnya wahyu. Aku memanjangkan sujudku kerana cucuku menaiki bahuku. Aku tidak mahu percepatkan sujudku sebelum kemahuan cucuku dipenuhi." (HR Bukahri: 6189)

Rasulullah SAW pernah menunaikan solat dengan mendukung cucu perempuannya, Ummah.

Abu Qatadah al-Anshari RH berkata, “Aku melihat Nabi SAW mengimami solat sambil mendukung Umamah binti Abi al-As yang juga anak perempuan Zainab binti Rasulillah SAW. Apabila Baginda SAW rukuk diletakkannya dan apabila bangun dari sujud Baginda SAW mengangkatnya semula.” (HR Imam Muslim).

Kesemua hadis ini menunjukkan bahawa kanak-kanak yang belum baligh boleh bersolat bersama-sama orang dewasa tanpa mencacatkan solat. Jelaslah tiada saf yang khusus dibentukkan untuk kanak-kanak.

Walaupun ada sesetengah menyandarkan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa melalui hadis berikut:-
“Rasulullah SAW menjadikan saf orang dewasa di hadapan kanak-kanak, dan saf kanak-kanak di belakang mereka sementara saf perempuan di belakang kanak-kanak.” (HR Ahmad dan Abu Dawud).

Menurut Syeikh al-Albani yang merupakan ulama hadis terkenal dan telah menulis kitab-kitab hadis yang mengasingkan antara hak dan batil mengatakan bahawa sanad (rangkaian perawi) hadis ini daif (lemah) kerana terdapat seorang periwayat hadis yang lemah, namanya Syahr bin Husyab. Tambahan lagi, menjadikan saf kanak-kanak di belakang saf orang dewasa tidak pernah didapati dalam riwayat hadis-hadis lain kecuali hadis ini sahaja dan ianya tidak boleh dijadikan hujah. Kata Syeikh al-Albani lagi, “Aku berpendapat tidak mengapa kanak-kanak bersolat sekali dengan saf dewasa sekiranya terdapat kekosongan. Hadis Anas yang bersolat bersama seorang anak yatim di belakang Rasulullah SAW menjadi hujah dalam masalah ini.” (Tammamul Minnah, hlm. 284).

Berkenaan hujah kanak-kanak itu menanggung najis yang sekiranya bersolat bersama dalam satu saf akan membatalkan solat dalam saf itu. Hujah larangan terhadap kanak-kanak ini tidak dibina di atas dalil al-Quran dan sunnah. Jawapan dalam persoalan ini sudah terjawab di dalam hadis di atas iaitu peristiwa Hassan dan Hussein menunggangi Rasulullah SAW dan perihal Nabi SAW mendukung Ummah yang masih kecil.

Begitu juga dengan hujah kanak-kanak belum khatan. Kanak-kanak belum berkhatan boleh satu saf dengan orang dewasa dan tidak membatalkan solat serta mengurangi fadhilat solat jemaah. Hujahnya bersandarkan hadis berikut:-

Daripada Ibn Abbas katanya, “Saya datang dengan menunggang keldai betina, pada ketika itu belum lagi baligh (hampir baligh). Rasulullah SAW sedang bersolat dengan tidak menghadap dinding. Lalu saya melalui di hadapan beberapa saf dan saya turun dan membiarkan keldai itu memakan rumput. Saya masuk ke dalam saf dan seorang pun tidak membantah saya.”

Hadis Ibn Abbas ini membuktikan pada zaman itu menjadi amalan masyarakat bahawa kanak-kanak tidak diasingkan daripada saf orang dewasa.

Menurut Dr Wabbah Az-Zuhaili pula, najis yang berada pada kerudung kemaluan kanak-kanak lelaki tidak bersunat itu adalah najis yang tidak kelihatan (di bawah kulit) yang berlainan (hukumnya) daripada tahu, darah, dan najis yang kelihatan. (Al Fiqh Al-Islami Wa Adillatuhu: Jilid 1, hlm 576)

Perintah Rasulullah SAW terhadap ibu bapa memerintahkan anak-anak mereka bersolat ketika berusia tujuh tahun dan pukullah mereka bila usia sepuluh tahun jika enggan mengerjakan solat (Hadis Abu Daud), merupakan perintah Baginda SAW bersifat umum terhadap kanak-kanak sama ada sudah atau belum berkhatan. Jikalau hanya kanak-kanak berkhatan sahaja dikategorikan orang yang tidak membawa najis dan sah solatnya, sudah tentu Nabi SAW telah berkata demikian semenjak awal. Bahkan mustahil Nabi SAW akan terlepas pandang perkara wajib seperti ini. Jika hal ini diambil kira, maka solat kanak-kanak yang belum khatan adalah sia-sia dan tidak sah. Bukan sekadar kanak-kanak, malahan orang dewasa yang tidak bersunat juga tidak sah solatnya.

Imam Nawawi dalam kitab al-Majmuk mengatakan, haji orang yang tidak berkhatan adalah sah. Ini merupakan pendapat mazhab kami (Syafie) dan pendapat sekalian para ulama, manakala hadis Abu Burdah yang meriwayatkan daripada Nabi SAW, “Tiada haji bagi orang yang tidak berkhatan sehinggalah dia berkhatan” adalah hadis daif.

Jika haji orang yang berkhatan itu sah, maka solat orang yang tidak berkhatan juga adalah sah di sisi para ulama. Hal ini sejajar dengan apa yang diperkatakan oleh Sheikh Al-Habib Abdul Rahman bin Muhammad Ba’Alwi, “Jika ada dalam saf sesiapa yang tiada sah solatnya seperti ada najis padanya, atau dalam lahn (seperti tidak betul bacaan Faatihah-nya)  atau pada saf yang di hadapan terdapat orang yang berkeadaan demikian, maka tidak luput fadilat jemaah mereka yang berada di belakang mereka.” (Bughyah al-Mustarsyidin).

Ada pihak menggunakan hadis berikut untuk mengkhususkan saf untuk kanak-kanak:-
“Hendaklah mereka yang berada di belakangku ahli ahlam (baligh) dan nuha (berakal), kemudian seterusnya dan seterusnya (juga maksud ahli ahlam dan nuha ialah mereka yang mempunyai ilmu dan tahu hukum hakam solat berjemaah, boleh membetulkan imam sekiranya tersilap).” (HR Muslim)

Menurut Syeikh Soleh Ibn Utsaimin menjawab, dalil ini tidak tepat untuk dijadikan hujah mengasingkan kanak-kanak daripada saf orang dewasa. Hal ini juga bertentangan dengan sabda Nabi S.A.W. yang bermaksud: “Sesiapa yang mendahului orang lain kepada sesuatu maka dia lebih berhak mendapatkannya.”

Hadis yang diriwayatkan oleh Muslim tersebut membawa maksud galakan dan gesaan kepada yang baligh dan berakal supaya berada di belakang Rasulullah kerana mereka lebih faham daripada kanak-kanak. Pernyataan Nabi tersebut tidak menyatakan tegahan seperti “jangan berada di belakangku kecuali yang baligh dan berakal”.

Sungguhpun begitu para ulama bersetuju bahawa mereka yang sepatutnya berada di belakang imam ialah mereka yang baligh dan berakal yang mempunyai ilmu tentang solat, supaya sekiranya berlaku sesuatu maka orang yang berada di belakang imam tahu apa yang perlu dilakukan. Contohnya apabila imam batal solat, makmum di belakang imam dapat bertindak menggantikan imam mengikut kaifiat yang betul. Seperkara perlu diingat bahawa bukan hanya kanak-kanak sahaja yang tidak sepatutnya duduk di belakang imam tetapi menjadi kesalahan kepada orang awam dewasa yang sering berada di belakang imam malahan berada tepat di belakang imam, sedangkan mereka kurang ilmu tentang solat jemaah. Golongan ini tidak tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya sesuatu berlaku kepada imam.

Terdapat kanak-kanak yang mempunyai kelebihan seperti menghafal al-Quran dan bagus bacaannya mengalahkan jemaah dewasa yang ada. Perkara ini perlu dilihat secara teliti dan dipertimbangkan agar tidak menimbulkan fitnah kepada kanak-kanak yang mempunyai keutamaan seperti itu. Kanak-kanak sebegini yang Allah anugerahkan kepadanya ilmu agama boleh dan harus dikehadapankan sehingga boleh dilantik menjadi imam walaupun belum mencapai usia baligh.

Imam Khatib al-Syarbini mengatakan, sekiranya kanak-kanak lebih afdhal (baik) daripada orang dewasa, maka kanak-kanak itu patut dikehadapankan daripada orang dewasa.  Pendapat ini disebutkan oleh al-Darimi (Mughni al-Muhtaj, Jilid 1, hlm. 492).

“Amr Ibn Salamah al-Jurmi mengimami kaumnya sedangkan umurnya ketika itu enam atau tujuh tahun. Nabi SAW bersabda, “Yang mengimami mereka ialah yang paling baik bacaan al-Qurannya. Ketika dibaca sabda Nabi ini, orang ramai melihat-lihat kiri dan kanan, maka mereka mendapati tidak ada orang lain yang lebih baik bacaanya kecuali Amr Ibn Salamah al-Jurni, kemudian beliau mengimami solat kaumnya.” (HR Bukhari).

Malah sebahagian ulama mazhab Syafie mengharuskan agar kanak-kanak ditempatkan antara lelaki dewasa bagi tujuan pendidikan solat seperti dinyatakan oleh Imam Fakhrul Islam al-Mustazhiri (Hilyah al-Ulama fi Ma’rifah al-‘Ulama).

Selain itu, banyak kitab-kitab mazhab Syafie menyatakan jika kanak-kanak mendahului orang dewasa dalam kedudukan saf, maka kanak-kanak itu tidak harus dikeluar atau dipindahkan ke belakang. Sama seperti apabila kanak-kanak itu telah berada pada saf pertama (selain berbetulan di belakang imam), maka mereka berhak untuk tetap pada saf tersebut sepertimana dinukilkan di dalam kitab al-Kifayah karangan al-Qadhi Husein.  Perkara ini juga didokong oleh Imam Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitab ­al-Fatawa al-Kubra: -
“Pendapat yang mu’tabar (paling kuat) bahawa kanak-kanak lelaki itu apabila mereka mendahului mereka yang baligh dalam saf yang pertama, maka mereka yang telah baligh tidak boleh mengeluarkan kanak-kanak lelaki itu dari saf yang pertama, bersalahan dengan orang-orang khunsa dan perempuan-perempuan; hendaklah dikeluarkan dari saf yang pertama sebagaimana saya (Imam Ibnu Hajar) telah mengesahkan perkara ini dalam kitab saya Syarh al-Irsyad.”

Kesimpulannya ialah kanak-kanak yang berada di tengah-tengah saf tidak membatalkan solat atau mengurangkan pahala solat jemaah. Sungguhpun begitu kanak-kanak belum mumayyiz yang lincah, hendaklah dipantau, dikawal, dididik oleh ibu bapa agar perlakuannya tidak mengganggu jemaah lain. Adab-adab masjid hendaklah dipelihara dan ditanam dalam jiwa kanak-kanak, ibu bapa, ahli kariah dan masyarakat.  Bukan sahaja kanak-kanak malahan remaja, dan golongan dewasa yang ligat dan lincah turut perlu dipantau dan dinasihati agar menjaga adab ketika berada di dalam masjid. 

Nukilan
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails