Islam menganjurkan kebersihan. Baik dari segi rohani mahupun jasmani. Sedangkan kebersihan tempat solat perlu diutamakan inikan pula kebersihan dan kesihatan diri. Lantaran itu jugalah setiap kali hendak solat Muslimin dikehendaki membersihkan diri dengan berwuduk.
Antara kebersihan yang perlu diberi perhatian ialah mencukur bulu kemaluan. Jika bulu kemaluan tidak dicukur ia melahirkan aroma yang hamis yang kurang enak selain kelihatan serabut dan kusut-masai. Sementelah itu ia menjadi tempat pembiakan kuman dan bakteria. Apabila kuman sudah berkampung selain tidak selesa ia boleh menyebabkan penyakit. Apa yang mengerikan ialah bawaan penyakit kelamin.
Kawasan bulu ari-ari adalah kawasan mudah berpeluh dan banyak keluar peluh. Sekiranya tidak dicukur bulu tersebut, maka ia akan menjadi banyak dan lebih banyak mengeluarkan peluh. Apabila terkena kesan-kesan kumuhan badan serta najis-najis lain, mungkin amat sukar untuk dihilangkan. Lama kelamaan ia mendatangkan bau yang kurang enak. Tambahan pula, mencukur bulu ari-ari mencegah daripada pembiakan kutu. Selain itu, ia membantu penjagaan kulit di kawasan kemaluan.
Dari Ibn Umar bahawa Rasulullah SAW bersabda : “Daripada perkara fitrah ialah mencukur bulu ari-ari, memotong kuku dan menggunting misai” (H.R: al-Bukhari).
Fitrah adalah bermaksud apa yang dicenderungi oleh tabiat kejadian manusia yang sejahtera. Islam ialah agama yang fitrah dan ajarannya menepati fitrah kejadian manusia. Fitrah manusia sukakan kebersihan dan kesucian. Justeru, amat bertepatanlah pensyariatan mencukur bulu ari-ari ini.
Dalam hadis selain menggunakan lafaz halq al-anah حلق العانة (cukur bulu ari-ari), Nabi SAW juga menyebut dengan nama al-Istihdad. (H.R: al-Bukhari dan Muslim)
Al-Nawawi berkata: “al-Istihdad ialah halq al-anah (cukur bulu ari-ari). Dinamakan al-istihdad kerana caranya dengan menggunakan al-hadid (asal maksud besi; dikehendaki di sini ialah pisau cukur).
Umat Islam amatlah dituntut untuk mencukur bulu kemaluan mereka. Jangan biarkan ia berkembang biak sehingga menjadi semak samun. Mengikut sunah Rasulullah SAW, bulu-bulu tersebut harus ditebas paling tidak empat puluh hari sekali.
Dari Anas bin Malik Radhiallahu 'Anhu bahawa ia berkata: "Kami diberi batas waktu untuk menggunting kumis (misai), memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan mencukur bulu kemaluan, yaitu tidak membiarkannya lebih dari empat puluh hari." (H.R: Muslim, Ibnu Majah, Ahmad, At-Tirmidzi , An-Nasa'i dan Abu Daud).
Jadi kengkawan, esok sudah Khamais malam Jumaat. Jadinya rajin-rajinlah menjaga kesihatan diri!.. hehehe