(Bersambung dari episod yang lalu. Klik sini untuk membaca kisah lalu)
“Begini”, Pak Mat ingin memulakan ceritanya yang tersekat tadi.
“Ilmu saka Pak Mat ini ilmu yang cukup istimewa. Sejak kecil lagi. Ha! Baya si Latip ni lah Pak Mat dah ada ilmu itu. Ketika tu kalau tak silap Pak Mat, umur Pak Mat dalam lingkungan dua belas tahun atau tiga belas tahun.”, Pak Mat membuat muka yang begitu serius. Dia memandang setiap orang yang berada di dalam warung itu. Seketika dia mencuri pandang ke luar sana. Ke bendang yang luas itu di dalam malam yang gelap.
Masing-masing terus memegunkan diri. Tidak ada suara yang keluar untuk memangkah kata-kata Pak Mat. Kalau ada bunyi pun hanyalah dari pelangan yang cuma membetulkan tempat duduk agar lebih selesa.
(Ilustrasi: Kopi istimewa Warong Banon membuntangkan mata ngantuk di malam hari dan merancakkan siri bualan orang-orang kampung)
“Tapi ilmu ini ada syaratnya. Tidak boleh main-main. Bahaya! Boleh Makan diri nanti!”
“Eh! Apa rahsianya Pak Mat? Cepatlah bagi tahu kami!”, gesa Tok Siak yang sudah dirasuk dengan cerita Pak Mat itu.
“Ilmu ini hanya mujarab dan bertambah kuat apabila Pak Mat berkahwin sahaja. Dan sekarang ni pun, dalam sikit masa lagi Pak Mat akan perturunkan segala ilmu itu kepada anak-anak Pak Mat. Si Samad dengan Si Salehin tu ha. Jadi, mudah-mudahan mereka dapat berbakti kepada kampung dan kamu semua. Terutama setelah Pak Mat tak ada lagi”, air muka Pak Mat bertukar menjadi sedih pula.
“Eh! Pelik benar bunyinyer Pak Mat. Tak pernah lak saya dengar ilmu saka macam Pak Mat punya ini? Siap syaratnya mujarab apabila dah berkahwin. Biar betul Pak Mat. Seram saya ni.”, tingkah Jemari pemuda bujang terlajak di kampung itu.
“Ha tu lah korang ... Kan Pak Mat dah bagi tahu. Ilmu ini ilmu yang cukup istimewa. Tapi korang jangan risau. Ilmu saka Pak Mat ini tak menyusahkan sesiapa. Termasuklah orang kampung ini.”
“Alamak korang ni ... Dengar ajelah cerita Pak Mat tu dulu. Hish! Lepas tu apa Mat? Err ... Apa nama ilmu saka kau tu?”, Pak Mail mula teruja sambil mengelap beberapa pinggan di hadapannya.
Sambil muka toya dan menyuakan pisang ke dalam mulutnya, Pak Mat menyambung kembali ceritanya yang tergantung itu. Kakinya diangkat ke atas kerusi panjang. Pak Mat menungkah lutut dengan kelopak matanya diredahkan ke bawah dan keningnya dinaikan tinggi ke atas, setinggi yang mungkin. Lagaknya seperti gengster di Kampung Dusun. Kerusi panjang itu pula boleh memuatkan empat bontot orang dewasa!
“Ilmu saka Pak Mat dipanggil Ilmu Saka Baka!’
“Ilmu Saka Baka!!!”, masing-masing di dalam warung itu terbeliak biji mata. Melopong mulut masing-masing.
“Tak pernah pulak aku dengar ilmu ini. Err ... macam mana rupanya Pak Mat?”, tanya Tok Ketua Kampung sambil memagut janggutnya yang nipis itu.
“Sesuai dengan namanya, ilmu ini hanya berguna selepas kita berkahwin sahaja.” Sekali lagi Pak Mat memandang muka-muka tidak bersalah di dalam warung tepi jalan itu. Di tatapnya seorang demi seorang anak mata mereka.
“Iaitu saka baka aku ini ialah ilmu untuk menurunkan baka-baka baik. Yalah, baka yang baik untuk masa depan kita!”
“Eh! Macam mana pula tu Pak Mat”
Muka Pak Mat terus serius, sejurus selepas itu dia menguntumkan senyuman; senyuman yang tertahan, “Hmm ahem .. (sambil Pak Mat menelan pisang tersebut dan cuba melegakan kerongkong sebelum mula bersuara) ... macam ni, alahai, ilmu saka keturunan datuk nenek moyang kita juga. Ilmu yang diperturunkan untuk mendapatkan zuriat! Kira macam ilmu saka nak dapatkan anaklah. Erk! Macam kaedah Malam Pertama Pengantin Baru gitu. Bukan senang ooo.. Salah hemat korang tak berzuriat!”
Anak muda belia di situ mulanya tidak faham. Mengaru-garu kepala. Termasuklah Tok Penghulu, Tok Ketua Kampung, Tok Siak dan juga Imam.
“Haammmpeh!!! Pak Mat. Itu pun kami tahu cara-cara nak dapat anak! ... Siapa-siapa pun ada ilmu saka baka tu Pak Mat. Ni Ha si Leman yang baru bersunat, silap-silap dah tahu ilmu saka tu. Cuma tempatnya tak ada!”, radang Pak Ismail sambil menghempaskan kain buruk yang digenggamannya.
(Ilustrasi: Senda, gurau dan ketawa tanda hati bahagia.)
Pak Mat terus tersenyum lebar lalu pecah ketawa terkekeh-kekeh. Beberapa orang tua yang ada di situ turut gelak sakan hingga terasa senak perut bagai hendak terburai.
Tidak kurang juga Tok Penghulu tertawa sambil menepuk songkoknya yang tertengek di atas kepala.
Tok Penghulu sempat mengulum gigi palsunya itu seraya berkata, “Aduhai, terkena juga aku lagi, Double kali ini. Rugi-rugi. Dah lah kena belanja orang tua ni, lepas tu aku pulak yang dikenakan balik. Hahahahahaha...” air mata suci Tok Penghulu akhirnya tertumpah mengalir. Ia meleleh ke pipi sambil Tok Penghulu membetulkan kain pelikatnya.
Pemuda innocent yang di luar sana, yang masih tidak faham, terus tercengang-cengang meninggalkan kisah Pak Mat dengan Ilmu Saka Bakanya itu tidak berungkai.
Manakala mereka yang sudah cukup baligh sudah pasti akan menghempaskan songkok atau topi yang dipakainya di atas meja dan berkata, “Apa daaa Pak Mat! Kah kah kah kah...”
Tamat