# Kes 1
Hari ini datang lewat ke pejabat. Seram sejuk juga memikirkan apakah bala yang akan tertimpa nanti. Terutama apabila terkantol dengan boss. Resah, lemas, rimas bersulam rasa bersalah mendominasi akal dan emosi.
Dari atas motor hinggalah di depan pintu pejabat, otak begitu ligat memikirkan mencari helah. Tapi bala itu juga telah ditempa oleh maza.
Apa tidaknya, siapa suruh layan DVD sampai lewat malam. Kemudian keluar mengeteh dengan kawan-kawan di kedai mamak. Lewat pagi barulah pulang.
Tentulah kawan-kawan maza itu boleh berjaga sampai lewat malam, sebab mereka bercuti sempena awal Ramadhan. Tetapi maza tidak. Dia harus ke pejabat keesokan harinya.
(Ilustrasi: alatan tulis di pejabat)
"Ah! Dalam situasi mendesak ini taktik psikologi amat diperlukan. Baik aku lancarkan strategi yang stragik. Kita main perang saraf dulu. Huhuhu." cadang otak maza yang nakal itu.
Masuk sahaja ke dalam pejabat, terus dia meluru ke tandas. Hampir lima minit di dalam bilik termenung itu. Maza mencari ilham yang jitu sambil mengemaskan pakaiannya yang sedikit kerenyok.
Flush ditarik kuat-kuat agar air menderu keluar. Lalu lahirlah irama yang dikenali ramai. Melodi yang pasti membawa isyarat khusus yang tidak perlu penafsiran yang sukar difahami.
Kemudian maza keluar dari tandas dengan muka berkerut di dahi. Dia memegang perut. Untuk menambah perisa ajinomoto, dibuatnya erangan simpati. Mendayu-dayu bunyinya. Lembut mendesir bagaikan bujukan sang pungguk terhadap bulan.
"Aderk!.. aderk... aderk!!! Aduhaiii"
"Hah! Kenapa dengan awak ni?" tanya boss yang kebetulan tercagat di depan pintu tandas.
"Sakit perut boss. Dari pagi tadi. Agaknya malam semalam tersalah makan kot?" antara rasa malang dan kaget, terus terpacul dari mulut maza alasan yang dikira paling munasabah.
"Hmm. Lain kali jagalah pemakanan. Kita kena sihat barulah produktif. Baru bersemangat berkerja. Hati riang. Company pula dengan rela hati memberi bonus berganda. Dan bla bla bla ..."
Hati maza berubah menjadi riang. Dia berkira bahawa telah terselamat.
Berjaya juga dia mengalihkan perhatian boss dari tema persoalan utama. Soalan maut itu telah bertukar menjadi ceramah halwa telinga tentang matapelajaran Kesihatan dan Tatarakyat pula.
Maza hanya mengangguk-anggukan kepala. Kononnya tanda patuh dan setuju. Fikir di benaknya, helah dari taktik tadi sudah mengena, dan benar-benar menjadi!
"Fuhh lega.." mulut gatal maza menghamburkan kata- kata itu dengan tidak sengaja.
"Hah, bagus tu! ... Kalau dah lega, petang nanti boleh buat kerja overtime tanpa bergaji pulak, ya. Lagipun awak datang kerja lewat sejam setengahkan? Hmm ... Elok juga awak berbakti untuk company. Dapat juga tingkatkan produktiviti. Di kemudian hari nanti awak juga beruntung. bla bla bla... " boss terus melontarkan hujah konkritnya.
"Aderrk! Datang bala lainlah pulaklah ..." maza mengeluh dalam diam.
Mau tidaknya dia mengeluh. Dia ada janjitemu bersama teman sepermainan. Ada perjumpaan penutupan Kembara Jalanan untuk sepanjang Ramadhan ini. Jadinya Cik Silvy akan berehat terlalu panjang kalau tidak dipanaskan enjinnya malam nanti. Aduhai......