Lorong 3, Jalan Orked, Kampung Melayu, Kluang, Johor juga dikenali sebagai Kampung Cacing. Dahulu kawasan ini tempat orang mencari cacing untuk memancing. Selain itu ia dikenali juga sebagai kawasan perkampungan mat-gian...
Rata-rata penghuninya ialah orang-orang Melayu. Tanah asalnya terbiar dijadikan kampung.
Rata-rata penghuninya ialah orang-orang Melayu. Tanah asalnya terbiar dijadikan kampung.
Kawasan ini agak rendah, selalu tenggelam dek banjir. Sedikit berpaya dan diairi oleh Sungai Mengkibul. Dulunya sungai ini agak dalam. Namun berikutan Bandar Kluang semakin membangun dan melebar, sungainya menjadi toho hingga boleh menampakkan dasarnya. Adakala ada orang menuruni sungai tersebut dan berjalan kaki menyelusurinya. Hari ini sungai Mengkibol tinggal hanya sedalam paras buku lali.
Berhampiran Sungai Mengkibol terdapat sebuah surau. Surau ini memberi khidmat kepada kariah Kampung Cacing. Tidaklah luas mana. Ia hanya mampu menampung sekitar seratus atau dua ratus orang sahaja dalam satu-satu masa.
"Dulu di sungai belakang surau ni lah tempat Jepun lalu. Jambatan kampung ni dulu cuma titi dengan dua batang kayu balak diikat sama aje. Kemudian ditukar jadi jambatan kayu. Hari ini dah dilebarkan lagi jadilah jambatan yang ada sekarang.
Ramai juga askar Jepun dan Komunis mati kat sungai tu ha. Orang kita dan orang perempuan kita ada yang kena potong kepala. Sesetengahnya badan dan kepala mereka dicampak ke dalam sungai itu." Andak mula mengenangkan kisah silam.
Andak dikerumuni oleh beberapa orang kampung dan anak muda. Mereka sedang menikmati jamuan moreh setelah solat Tarawih. Di luar surau pula hujan masih merintih. Renyai-renyai, belum lagi mahu berhenti betul. Sekali-sekala kilat sambung menyambung. Tapi tidaklah pula kedengaran guruh.
"Masa dulu-dulu, masa zaman aku bujang, ada orang terserempak kat atas jambatan tu seorang perempuan muda. Berbaju merah kencana. Tunduk berjalan melintasi titi." dari celah serban jelas kelihatan uban memutih di kepala Andak.
"Biasalah. Budak-budak bujang. Pantang nampak anak dara. Mulalah naik tocang. Budak-budak bujang selalu melepak kat titi tu ha sampai lewat malam. Termasuklah aku." sambung Andak sambil menyuakan kuih puteri ketawa ke dalam mulutnya.
"Masa tu tahun bila Pak Andak?" celah Sekman ahli rakan muda surau di kampung itu.
(Ilustrasi: Titi-titi kehidupan di Kampung Cacing.) Ihsan: En. Geogle
"Dalam tahun enam puluhan jugalah. Masa tu umur aku dalam lima belas tahun. Malam tu kebetulan bulan mengambang. Kami berseluar yankee berbaju kemeja berkolar lebar sambil bermain gitar.Aku pulak sibuk bertepuk tangan. Kami main lagu enam puluhan. Kalau tak silap aku, lagu S. Jibeng, tajuknya Kenanganku." jamaah yang ada mula memberikan perhatian.
"Jusoh ni bigor sikit budaknya. Dia pergi kacau budak perempuan tu. Dia tegurnya. Jusoh tanya nama. Tinggal kat mana. Aku dengan yang lain cuma ketawakan perangai si Jusoh.
Tapi tidaklah pernah kami tengok budak perempuan tu sebelum ni. Budak perempuan tu hanya berdiam diri. Kemudian dia berhenti betul-betul kat tengah titi tu ha. Lepas tu dia berpaling kepada kami. Mulanya tak nampaklah mukanya. Kemudian dia lepaskan kain batik yang disarungkan ke kepala. Rambutnya panjang. Sampai ke belakang pingang."
"Nampak ke mukanya Pak Andak?" Sekman menyampuk lagi.
(Gambar: Gadis misteri menghantui penduduk kampung)
"Tak. Mukanya masih terlindung dengan rambut. Entah macam mana, tiba-tiba angin tiup. Kebetulan bulan tengah mengembang. Nampaklah jelas wajahnya.Rupa-rupanya budak perempuan tu tak ada muka. Tak ada hidung, tak ada mulut, tak ada langsung.
Apa lagi. Atok kau Sekman, si Bidin, tu dululah yang menjerit. Hantu! Hantu katanya.
Kami pun bertempiaran lari. Kami dengar perempuan tu mengilai dengan kuat.
Tinggallah si Jusoh. Besoknya kami tengok Jusoh masih ada kat titi tu lagi. Tak bergerak-gerak. Tak pasal-pasal orang kampung terpaksa angkut dia ke rumah. Dekat dua minggu jugalah nak pulihkan si Jusoh yang tersampuk tu" Andak memandang sekeliling. Ulas mata jamaah semuanya memegun. Ada antara mereka menelan liur sendiri.
"Aduhai, Pak Andak. Macam manalah saya nak balik ke seberang ni? Seram lak saya." Hussain mula resah. Hussain cuba juga hendak menghabiskan teh di dalam cawannya. Dia menggigil hingga ketika mengangkat cawan itu terdengar ketaran.
Bersambung... (Klik sini untuk ke episod #2, episod #3, episod#4 dan episod akhir.)