‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Khamis, 27 Ogos 2009

Aku dan Ramadhan

Entry ini direncanakan khas untuk pertandingan menulis cerita oleh Kujie & Nuaeman.
Puh! Satu kali. Harap-harap cerito den ni monanglah hendaknyo. huhuhu
Sokongan kalian amatlah diharapkan.

Erk! Cerito Kampung Cacing akan disambung ke hari yang akan diposkan kelak..kuikuikui..
Jangan marah aaaa....


Ramadhan kali ini amat memeritkan. Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan percubaan kali pertama Aku berpuasa. Sebelum ini Aku hanya tahu perihal raya dan berbuka. Selebihnya Aku tewas dengan cabaran Ramadhan. Apatah lagi emak begitu alah melihatkan anaknya ini terjelir-jelir di tengahari.

Ustaz Johar di Sekolah Kebangsaan Kahang ialah guru kelas darjah dua yang juga di perut kelas itu menempatkan Aku mengaji ilmu Tuhan. Acapkali Ustaz Johar menyarankan Aku supaya berlatih berpuasa walaupun kelihatan tidak terdaya.

"Sabar! Sabar. Sebab itulah Tuhan menurunkan bulan puasa untuk mengajar manusia erti sabar. Memang letih, penat, lapar, haus tapi kita tetap kena berusaha. Orang yang berperang di Badar tatkala Ramadhan datang, tengah puasa lagi, dia orang mengangkat pedang. Berjuang dan berjihad ke jalan Allah. Kita ni baru sedikit sahaja diujinya. Dengan panas, dengan matahari, dengan penat dan lelah, takkan kita tidak boleh melaluinya?" tegas Ustaz Johar setahun lalu kepada kami di dalam kelas darjah satu.

Matahari semakin meninggi. Teriknya semakin terasa memanah di umbun-umbun kepala. Bahang fatamorgana terlihat di aspal jalan raya. Peluh mula mengalir. Menjejeh-jejeh keluar tanpa henti tampak seperti ngeri. Tetapi keringat itu amat penting, terutama untuk menyejukkan badan.

Kedai Mustafa yang terletak di simpang masuk ke Jalan Teminggol ke rumah Aku itu seolah-olah melambai-lambai. Peti ais besarnya yang terletak di luar kedai itu menyeru-nyeru agar singgah dan melihat ke dalamnya. Aku tahu, pastinya di dalam peti tersebut terdapat deretan aiskrim. Aiskrim mat saleh berjenama Carneto, Vanila, Walls sehinggalah asikrim malaysia berperisa asam boi, bubur kacang, kacang merah sedang berbaris untuk dinikmati.

Itu belum lagi terlihatkan di para-para sana. Di sebelah dalam kedai itu. Di situ bersusun rapi air botol. Tak kiralah air botol bodoh atau air botol pandai. Juga disediakan dengan pelbagai jenama. Ada Coca-cola, Pepsi, oren, sarsi, strawberi dan pelbagai perisa lain.

Kalaulah direndamkan air gas tersebut ke dalam gelas berisi air batu, tentu menjejeh-jejeh pula air liur meminta agar meneguk air itu.





(Gambar: Teh lemon ais madu)



Yang pasti kesemua air botol itu sedap belaka. Hinggakan terlihatkan sahaja botol-botol di para-para itu, serta-merta terbayangkan aroma dan gasnya. Ia seolah-olah sedang menggelegak di tekak. Melegakan kerongkong yang sesak dek kehausan. Manisnya menjalar hingga ke paru-paru.

Aku terliur. Aku meraba dan mengusap tekak. Merembes air liur akibat sensasi dari air-air yang sejuk dan segar itu. Sebelum air liur meleleh lebih jauh, segera ia ditelan.

Tersedar dari khayalan tersebut, Aku pun teruskan perjalanan. Cepat-cepat membuka langkah. Takut-takut tidak tahan dan terbatal pula puasanya.

Aku terhencap-hencap berjalan menuju ke rumah. Di bahu terkendong sebuah beg berisi buku-buku teks dan latihan. Kala ini beg hijau itu terasa begitu berat sekali. Kadang-kadang Aku rasa hendak hempaskan sahaja di atas jalan itu. Membalingnya jauh-jauh. Terasa ia begitu membebankan, menyusahkan, memberatkan dan menyiksakan. Apatah lagi perjalanan dari pintu pagar sekolah ke rumah sejauh hampir tiga batu.

Kadang-kadang Aku rasa hendak heretkan sahaja beg tersebut. Tetapi sebaik terkenangkan misai ayah yang melingkar bagai ular sawa, tidak jadi Aku lakukannya. Kalau ayah tahu, pastinya mendapat habuan; hadiah di sekeh di atas kepala. Aduh! Tak sanggup.

Sebaik memasuki simpang ke Jalan Teminggol terdapat sebuah taliair yang airnya terisi penuh. Air di ban itu dalam juga. Ia mampu mengambuskan kepala Aku yang tingginya baru tak sampai dua belas jengkal itu.

Air di ban mengalir perlahan. Malas-malas. Aku tahu jika direndamkan kaki sahaja sudah mampu menyegarkan hingga ke otak yang sedang mendidih ini. Airnya mengalir tenang, sejuk dan segar.

Kalaulah boleh hendak sahaja Aku terjun sekarang juga. Paling tidak menyejukkan tubuh kurus ini yang membahang tidak tentu hala. Kemudian Aku berenang ke hulu dan ke hilir. Menyelam seperti ikan. Atau berkuak lentang seperti itik di dalam kolam.

Pula tu lagi seronok jika ada batang pisang. Ya! Batang pisang diikat rapi, dipasak dengan papan. Batang pisang itu nanti dibuat rakit. Dapatlah Aku mengayuh rakit itu dari pelantar di depan rumah Aku hingga ke pelantar rumah Mak Abu atau Aji Minah.

Puas berakit, main terjun-terjun pula. Berenang dan menyelam.
`
"Aduh! Hampeh punya batu. Buat spoil aku aje!" Aku hampir terjatuh tersadung batu ditepi jalan. Lamunan syurga tadi serta-merta lenyap.

Kali ini ia bertukar menjadi azam. Aku berjalan cepat-cepat agar cepat sampai ke rumah. Dari situ nanti Aku akan panggil kawan-kawan sebaya. Diajak untuk menyertai pesta air yang dirancang tadi. Pastinya mereka bersetuju.

Kalau mereka tidak mahupun, biarlah Aku yang pergi sendirian. Dapat berendam sejam dua pun jadilah.

Dalam Aku berkira-kira rancangan tersebut, dalam tidak sedar, akhirnya Aku sampai ke pintu rumah. Elok kasut dibuka, baju seragam sekolah dicampakkan di suatu sudut, Aku pun tergolek di depan pintu rumah itu juga.

Segala perancangan rapi tadi habis hanyut bersama mimpi meneguk aiskrim soda. Merekot di depan pintu itu tanpa siapa menyedarinya.

"Lah! Bila masa pulak kau balik ni? Mak tak perasan pun. Dah bangun. Bangun. Dah dekat pukul tiga ni. Masuk bilik. Kalau tak larat, mak dah sediakan nasi goreng dengan air sirap tu."

"Huh! Abang puasalah mak. Kata ustaz kita kena cuba juga. Kena bersabar. Hari ini abang berazam nak puasa penuh!" jawab Aku yang lemah dan hampir tidak berdaya.

Selepas berganjak ke dalam bilik, meletakkan beg ke atas meja dan bersalin pakaian, Aku terus berbaring di atas katil bujang. Tetapi mata tidaklah pula mahu pejam. Mata sudah cerah. Sudah tidak mahu tidur lagi. Barangkali lelap tadi telah membuahkan tenaga baru.

Lalu Aku teringatkan rancangan untuk berkubang di ban itu. Lekas Aku terjun dari katil. Keluar dari bilik meluru ke laman rumah mencari rakan-rakan sebaya yang lain.

Pergi ke rumah Min, dia tak ada. Pergi rumah Jahai juga tidak ada. Kemudian Aku meluru dengan basikal ke rumah Zam, pun tidak ada. Mereka semua tidak ada di rumah masing-masing.

"Dia orang ada projek baru agaknya. Ah! Aku dah terlambat ni. Mesti dia orang ada kat pondok sawah sana tu!" getus hati Aku. Lalu Aku bergegas ke pondok sawah di seberang ban sana.

Di pondok sawah itulah selalunya mereka berkumpul. Atau pun di balik semak sana juga terdapat khemah rahsia mereka. Saban petang di situlah tempat bermain kalau tidak di padang bola atau di halaman rumah Aku.

Aku mengayuh basikal laju-laju. Untuk sampai ke pondok sawah itu, Aku terpaksa melalui dusun manggis. Dusun ini pula tidaklah begitu terjaga. Ada semak sana sini. Lalang meliar. Tetapi tidaklah menakutkan sesiapa pun yang melalui kawasan itu. Orang-orang kampung semuanya sudah biasa.

"Alah bisa tegal biasa." bisik hati Aku yang ketika itu haram tak tahu pun apa maksud ungkapan orang tua-tua di kampung.

Sebaik sampai di hujung sawah, Aku mencampakkan basikal ke tepi. Berjalan perlahan-lahan. Niat dihati hendak menyergah semua kawan-kawan itu. Aku semakin menghampiri pondok kecil di batas sawah itu.

Aku terdengar sesuatu. Suara beberapa orang budak jelas berbisik-bisik sesama mereka. Lalu Aku tersenyum. Aku pasti, itulah kawan-kawan yang Aku cari tadi.

Aku berdengkit-dengkit. Berjalan senyap-senyap. Berhati-hati agar segala jejak tidak didengari.

"Woi! Aku ada ni ajelah. Tapi oklah. Kita boleh kongsi sama-sama." kata suara itu lagi.

"Woi! Cepatlah habiskan. Sebelum orang tahu. Jangan banyak cerita. Cepat, cepat habiskan" seorang lagi bersuara.

Aku terus sahaja melekapkan mata. Mengendap di sebalik celah dedaun nipah yang menjadi dinding pondok itu.

Mata Aku terus terbeliak, terbelalak. Aku seolah-olah tidak percaya apa yang Aku lihat sekarang.

Rosli, Zainal, Zam dan Min sedang mengadap periuk nasi. Di sebelah periuk itu terdapat semangkuk maggi. Mungkin Rosli ambil dari kedai ibunya.

Aku amat kenal perangai Rosli dan Zainal itu. Dia inilah selalu mengejek Aku. Terutama bila mereka tahu Aku tidak berpuasa. Habis satu kampung dikompangkannya. Dijaja dan dicercanya Aku.

Rupa-rupanya Rosli dan Zainal juga tidak berpuasa selama ini. Kali ini rahsia mereka sudah terbongkar. Mereka bakal menerima balasan tidak lama lagi. Ustaz Johar tentu gembira mendengarkan berita ini. Sekarang Ustaz Johar telah menemui alasan kukuh untuk membelasah punggung mereka berdua.

Tapi Aku merasa pelik juga. Kenapa pula Zam dan Min ada sekali. Rakan Aku itu sudah berpaling tadahkah? Iman mereka telah rapuhkah? Atau mereka telah menjadi mangsa dua orang petualang itu?

"Woi! Tangkap dia. Tangkap dia! Cepat! Sebelum rahsia pecah! Tangkap dia!" jerit Jahai dari celah semak sana sambil memegang seluarnya yang terlondeh.

Aku terkantol. Aku panik. Aku tidak tahu hendak berbuat apa. Kaki Aku kejang.

Rosli, Zainal, Min dan Zam segera terjun dari pondok itu. Mereka bergegas mendapatkan Jahai yang sedia menghalang Aku dari lari.

Rosli menerpa tubuh Aku. Zainal mengilas tangan Aku. Min dan Zam hanya terus memerhatikan tindakan rakus dua petualang itu.

Aku dibawa ke dalam pondok tersebut. Tangan dan kaki Aku diikat di suatu sudut.

"Woi korang buat apa kat aku ni woi. Janganlah. Aku puasa hari ini. Tak baiklah. Dosa tau buat orang macam ni. Kau tak takut Tuhan ke?" rayu Aku.

Mulanya mereka memandang sesama sendiri.

"Aik! Bila pula kau tahu berpuasa ni?" kemudian Zainal memecahkan ketegangan sambil tersenyum sinis.

"Aku dah puasa la. Dua hari masuk hari ni. Aku nak puasa penuh tahun ni. Tolonglah wei, lepaskanlah aku. Aku janji rahsia korang tak kan bocor. Aku simpan. Aku tak bagi Ustaz Johar tahu punya."

Masing-masing kembali saling berpandangan.

"Hmm ... Okey aku percaya. Tapikan. Kalau kami aje yang tak puasa, tak best jugakan. Apa kata kau join sekali. Barulah kami percaya kau tak khabarkan pada ustaz." celah Rosli dengan suara jahatnya.

"Aku tak nak la... Tolonglah... Tolong lepaskan aku."

Lalu Rosli berkata lagi dengan ilham zalimnya, "Woo ... Kau tak nak buka puasa, ya! Tak apa. Kami buatkan kau buka puasa. Zainal, kau pergi ambil bulu ayam ... Kita korek telinga dia! Masa kat kelas tu hari, ustaz cakap kat aku, memasukkan sesuatu ke dalam telinga akan membatalkan puasa! hehehhehe ... Apa lagi cepat la!"

Aku meronta-ronta untuk melepaskan diri. Segala usaha menjadi sia-sia. Aku hampir gagal mempertahankan rukun Islam itu.

Apatah lagi kaki, tangan dan mulut dipegang pejap dan ditekup oleh enam orang budak-budak durjana ini.

Segala rayuan tidak diendahkan. Airmata yang mengalir pohon simpati tidak dihiraukan. Esakkan tidak didengari oleh mereka lagi.

Akhirnya telinga Aku dirogol. Bulu ayam menerobos ke telinga Aku yang suci itu. Ia mengganas dan mengganas merobek sesuka hati. Aku terkulai. Kaku dan layu. Tidak mampu mempertahankan lagi maruah diri.

Dari tangisan sayu memandangkan telinga dicemari dan puasa sudah pun punah, akhirnya diri Aku dapati bertukar menjadi geli-geleman. Aku tidak tahan lalu berderai pula ketawa. Mengekek-ngekek.

Puas melihatkan keadaan itu, mereka berenam melepaskan Aku.

"Ha! Sekarang puasa kau dah terbatal. Apa lagi. Ambillah pinggan tu. Ada nasi, ada maggi, air kotak pun ada kat sana tu. Ada air laici, coklat dan teh bunga." cadang Jahai.

Aku pun terus bangkit dan bersila. Mula-mula Aku minum air kotak berperisa laici. Kemudian menyuapkan maggi ke mulut.

Baru dua kali suap, masing-masing tersentak. Terperanjat. Kali ini benar-benar disergah. Disergah oleh Ustaz Johar sendiri!....




blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails