‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 21 Disember 2015

SELAMAT JALAN KAWAN, JANGAN KAU HIBA



Lokman sebelah kanan sekali, memakai baju kuning

"Lokman pindah malam ini ke Terengganu. Balik kampung katanya." Isteri maza mula buka mulut.

"Kenapa pula dengan budak tu?" maza hairan.

Lokman merupakan kawan baik kepada anak-anak maza. Berkawan dan membesar bersama-sama di rumah tingkat tinggi-tinggi ini. Mereka pernah bersekolah tadika bersama. Bermain bersama. Ke masjid pun bersama. Malah, Lokman antara anak-anak yang sering mengajak anak-anak maza ke masjid dan ke surau berdekatan. Terutama apabila ada sesuatu majlis di sana, tangan anak-anak maza akan diheret bersama.

Ibu Lokman seorang graduan, tetapi memilih menjadi guru tadika berikutan desakan hidup. Ayahnya, Helmi, sebagai juruteknik di syarikat hypermarket.

Istimewanya, maza juga berkawan dengan nenek Lokman, Puan Fatimah (Mak Kiah).

"Budak-budak ni tanya kenapa Lokman nak pindah. Jawab Lokman, mak aku cakap kos sara hidup kat sini tinggi."

Ya, maza terpaksa akur dengan kata-kata ibu Lokman, Cikgu Milah, yang pernah mengajar anak-anak maza.

Lokman dan adiknya, Balqis, memang cerdik budaknya. Sering bertandang untuk mentelaah pelajaran.

Hati menjadi sayu. Hiba itu menendang pintu hati. Kotak memori terkangkang luas. Betapa tidaknya, maza pernah berada dalam situasi sebegini. Kawan-kawan baik merangkap kawan sekampung pindah keluar dari kampung. Bukanlah disebabkan kos hidup yang menekan seperti sekarang dengan cukai GST, inflasi, penghapusan subsidi, kenaikan petrol, pengembangan kerjaya terhalang, ekonomi menguncup dan pelbagai lagi cabaran di ibu kota. Mereka berpindah disebabkan ayah berpindah kerja kerana dinaikkan pangkat atau memperoleh peluang memperbaiki pendapatan keluarga.

Selain itu, kawan-kawan maza sendiri meneroka potensi diri dengan berpindah sekolah di bandar atau sekolah berasrama. Orang-orang tua kata, masa depan mereka di sana lebih terjamin. Apalah yang dapat sekolah kampung tawarkan untuk kecemerlangan dan kemajuan anak-anak hebat ini? Jadi, eloklah mereka meneruskan langkah maju ke hadapan.

Antara rakan-rakan kecil maza yang terpisah ialah Azham bin Abdul Aziz, Supian Sabtu, Sufian Mohammad, Rohaiza Minhat, Norazlin Aziz, Nazariah, Hazalinda, Massuzah, Rosli bin Jeffry, Hamidah Salim, Mohd Zaki Mohammad (anak Atan Bilal), Ustaz (Suhaimi bin Mustapa bin Sidin), Zamri Mohammad, Suriani Rahim, Diana Hatley, Norlelawati dan ramai lagi.

Tiada siapa tahu sendu menerpa tampa dipinta. Saat-saat di darjah enam ke tingkatan satu, malam-malam berlalu itu dirasakan sepi. Air mata ini mengalir kerinduan dengan teman-teman. Apabila di varsiti, perasaan hiba itu datang kembali. Berpisah dengan pensyarah, kawan-kawan fakulti dan kolej yang dicintai.

Maza pesan pada isteri agar benarkan Lokman dan anak-anak maza bersama-sama. Biarkan mereka meluangkan masa selama mana mereka mahu. Malam ini mereka berpisah. Entahkan bila akan bertemu. Maza tidak mahu, atau setidaknya mereka dapat meminimumkan rasa pilu seperti yang pernah ayahnya lalui.

Selamat jalan Lokman, selamat sukses Helmi dan Cikgu Milah. Kami sedaya upaya untuk bertahan di sini. Selagi ada hayat. Selagi kami mampu, kami akan setia di sini. Mudah-mudahan kita dianugerahkan rezeki untuk bertemu kembali. Selamat pulang kawan ke kampung halaman.

~nukilan alam~
ammak satu kali 
 

Ahad, 20 Disember 2015

Pantun Tua Dua Kerat

Tepek gambar yang gitu-gitu aje udah ler ya kengkawan.

Hik hik...


By maza  

Sabtu, 19 Disember 2015

PAYAHNYA MENANAK BERAS WANGI



Anak saudara maza, Syawal Shumey, mengadu betapa payahnya menanak beras wangi.

Pada percubaan kali pertamanya, nasi menjadi lembik. Percubaan kali kedua setelah sukatan air dikurangkan, nasi menjadi keras.

Maza fikir ini rumit. 

Entah dari mana ilham muncul setelah keluar dari tandas, tiba-tiba teringatkan rumus matematik. Ilmu hisab ini maza pernah belajar di sekolah menengah daripada Cikgu Shamsul dua puluh enam tahun lalu. Tajuk subjek ialah 'pemboleh ubah rawak dan malar', 'ketaksamaan linear', 'persamaan garis lurus' 'vektor' dan 'regressi'.

Dalam hal ini foktor konstan ialah beras.

Faktor pemboleh ubah rawak pula ialah air dan kepanasan.

Setelah meneliti secara mendalam, maza mendapati bahawa terdapat satu lagi faktor pemboleh ubah yang kritikal dan sering tertinggal.

Maka maza cadangkan kepada anak saudara itu untuk mengawal faktor pemboleh ubah rawak yang satu ini. Maza minta dia kurangkan wangian beras itu. Maza kira dengan mengurangkan 'minyak wangi beras' tersebut, nasi akan menjadi "yang sedang-sedang sahaja; yang penting ku cinta dia mak."



~ate, acu, cuba, try, test~
Ammak satu kali.
Hik hik

Isnin, 7 Disember 2015

MENATANG ANAK, MEMBELAI SAYANG: MELANKOLIA SEORANG AYAH

Abu Muaz (24 hari)  sedang nyenyak tidur di bawah belaian tangan kasar ayah

Si kecil Abu Muaz dalam telapak tangan ayah. Dibelai. Dimanja. Disayangi. Dirindui. Dilindungi.

Dewasa nanti, belailah ayahanda dan bonda mu dengan jiwa dan genggaman jejari lembut kasih sayangmu.

Salah silap ayahanda dan bonda dalam melindungimu, ayahanda dan bonda mohon ampun dan perlindungan daripada Allah SWT jua.

Ya Allah, peliharalah Abu Muaz sebagaimana Engkau pelihara para ambia dan para solehin. Perelokkanlah akhlak Abu Muaz sebagaimana Kau memperelok dan memperindahkan akhlak kekasih-Mu, Nabi Muhammad Rasulullah S.A.W.

Selamat datang ke alam dunia wahai Abu Muaz (4 jam dari masa kelahiran)
 Abu Muaz dilahirkan pada 4 November 2015. 

Lahirnya Abu Muaz ketika keluarga sedang menghadapi cabaran hebat. Ayahanda dan bonda yakin setiap anak yang dilahirkan ada rezeki bersamanya. Firman Allah SWT dalam surah Al Isra': 31, "
“Dan janganlah kalian membunuh anak kalian kerana takut miskin Kami adalah memberi rezeki mereka dan kepada kalian sungguh membunuh mereka adalah dosa besar."

"Barang siapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangka." (At Thalaq: 2-3)/ayat seribu dinar

"... Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa." (Surah Taha: 132)


Abang Long Nasrun menyantuni Abu Muaz yang baharu kembali dari hospital.

Nukilan ayahanda

Sabtu, 17 Oktober 2015

Peristiwa Sehari Sebelum Majlis Konvokesyen Universiti Malaya 2015

16 Oktober 2015, UMKL - maza berkesempatan untuk menghadiri taklimat konvokesyen Universiti Malaya bagi tahun 2015. Sudah lama benar maza tidak menjejakan kaki ke Dewan Tuanku Canselor ini. Kalau tidak silap, maza telah meninggalkan majlis yang sama hampir lima belas tahun yang lalu.

Univeristi Malaya: Saat di kemuncak


Sessi taklimat ini membawa maza terimbau kembali peristiwa pertama kali maza menjejaki kaki ke Universiti Malaya sehingga bergelar graduan. Di varsiti inilah susah senang, jerit perih, bertekelumus lumur berjuang demi ilmu, segunung harapan dan segulung ijazah.

Dewan Tuanku Canselor: Sessi taklimat sedang bermula


Dewan Tuanku Canselor: barisan lampu sorot

Seperti biasa, setiap kali melibatkan kehadiran Canselor (bagi Universiti Malaya ialah Sultan Nazrin Shah, Sultan Perak) akan melibatkan protokol yang ketat. Justeru sebagaimana lazim, majlis keraian penganugerahan ijazah ini akan didahului dengan perbarisan hormat dan pemeriksaan perbarisan ke bawah duli Sultan. Kadet dari pasukan PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) Universiti Malaya akan melaksanakan upacara kehormat ini dengan diiringi oleh pasukan pancaragam askar Renjer.




Selepas upacara pemeriksaan ini, Tuanku Canselor bersama-sama Pro Cancelor, Senat, Sarjana, Ilmuan, Pegawai Akademik, Pegawai Univerisiti akan berarak masuk. Majlis gilang gemilang akan bermula di dalam dewan mulia tersebut.

Ketika taklimat disampaikan, pegawai majlis, aturcara dan protokol menunjukkan cara memakai pakaian akademik atau dikenali juga sebagai jubah. Setiap fakulti mempunyai warna jalur 'hood' masing-masing. Sebagai contoh Fakulti Pentadbiran Perniagaan berwarna perak, Fakulti Sains; kuning, Fakulti Pergigian: merah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial; merah jambu, Fakulti Akademik Islam; hijau tua, Fakulti Perakaunan; biru muda.

Pakaian Akademik Univeristi Malaya: Bermula dari kiri Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah


Jubah akademik Universiti Malaya bagi sarjana muda dan sarjana (master) hanya terdapat sedikit perbezaan iaitu pada lengannya. Manakala bagi ijazah kedoktoran falsafah jubah yang dikenakan berbeza dengan pemengang ijazah sarjana. Jubah ijazah kedoktoran mempunyai dua tone warna yang ketara iaitu biru dan hijau selain warna 'lining' di hood berbeza warna mengikut fakulti. Topi yang dikenakan bagi pemegang ijazah sarjana muda dan sarjana dipanggil "mortar board", manakala ijazah kedoktoran dipanggil "bonnet".

Selesai majlis taklimat tersebut, maza mula membuat hal (hik hik). Maza cuba merakamkan detik-detik manis para graduan dengan mendorong mereka untuk melakukan aksi pengambaran (yang senonoh aje tau... hik hik hik).

Abang besar bikin hal. (hik hik)

Pada awalnya adik-adik graduan ini malu-malu hendak berkomunikasi sesama rakan graduan daripada fakulti yang lain. Masing-masing membuat hal dengan kumpulan masing-masing atau dengan keluarga dalam merakamkan gambar.


Kasihankan keadaan itu, maza mendapat idea dan bertindak untuk menggabungkan mereka bagi mendapatkan shot penggambaran yang terbaik. Rupanya cempedak menjadi nangka, tanpa disangka-sangka ilham lantun-lantun maza itu disahut dengan baik oleh adik-adik, pakcik dan abang-abang termasuklah graduan berasal dari luar negara (Iran, Pakistan dan China).



Pada awalnya mereka kelihatan malu-malu dan "keras kejung" ketika mula-mula diminta berbaris dan bergambar. Antara graduan yang terlibat ialah dari Fakulti Akademik Islam, Pergigian, Sastera, Sains, Kejuteraan, Pusat Pengajian Kebudayaan. Namun setelah beberapa rangsangan dan rakaman foto dilakukan, semua tembelang, keghairan dan kegembiraan terzahir. Aksi-aksi kegembiraan begitu ketara dan sesetengahnya menampakan kejantanan yang terserlah (hik hik hik).


Sebagai imbuhan pengaturan pengambaran tersebut, maza pun mengambil kesempatan untuk bergambar sama. Kata orang melepaskan gian, meraikan dan mengambil semangat mereka (alo lo lo kanzzz?)


I'm the best, I'm the best, 1'm the best; yes you are the best!
hik hik hik

Rabu, 7 Oktober 2015

KEMBARA JALANAN: EKSPERIMENTASI BERKELANA SIRI ANAK BERANAK

Sudah lama juga Cik Silvy si kuda besi itu tertambat di bawah rumah. Terbiar begitu sahaja semenjak beberapa bulan lalu gara-gara kesibukan melanda mengalahkan pak menteri keluar masuk ‘oversea’ (hik hik). Jadinya, pada hujung minggu ini yang penuh dengan kabus asap maza cuba-cubalah membawa Cik Silvy merenggangkan kaki, tulang dan otot. Biarkan dia melompat-lompat, terkinja-kinja sana sini.

Berehat di Genting Sempah aje. hik hik
Dalam masa sama, maza juga berangan-angan untuk meneruskan kembara yang entah berapa plohratus ribu kali tertangguh dan tak menjadi ke seantero Malaya. Biarlah kali ini maza berpetualang dengan anak yang semakin meningkat remaja. Paling tidak pun sebagai peneman dan memberinya pengalaman sebagai seorang ‘jantan sejati’ (uhuk, ihik, ahaks). 



Sebagai persediaan awal bagi memenuhi misi pengembaraan yang lebih jauh, maza mula melatih anak sulung maza menunggang sebagai pembonceng (pilion rider) terlebih dahulu. Sengaja maza mahu menguji ketahanannya. Maza mahu melihat sejau manakah kemampuan, kekuatan, keazaman, displin dan stamina Nasrun menghadapi cabaran kembara ini. Dari pemerhatian maza yang melihat perkembanganya dari semasa ke semasa, Nasrun sukakan adiwira dan kisah-kisah kembara. Kali ini, maza mahu biarkan Nasrun merasai erti sebenar kehidupan seorang pengembara dan adiwira yang penuh cubaan, ujian, galangan, kerukunan; semua ini memerlukan kesabaran, keberanian, ketabahan, strategi, bijak, pantas, tangkas dan cerdas (hik hik).



Destinasi kembara singkat ini hanyalah di Genting Sempah. Perjalanan dari rumah maza ke sini lebih kurang tiga puluh minit. Nampaknya Nasrun mempunyai ciri-cir daya ketahanan sebagai pengembara dan begitu teruja.

Ini memberi petunjuk memberangsangkan yang misi 'Kembara Jalanan Anak Beranak' sudah boleh direalisasikan tidak lama lagi (ahaks, sila muntah ijaw iya).






Satu kesimpulan yang boleh maza gambarkan untuk kembara jalanan ini ialah berkongsi minat, hobi dan mengembara dengan anak-anak adalah satu nikmat. Hik hik hik...


Nukilan lantun-lantun ammak satu kali,

Selasa, 29 September 2015

Bila Ikan Gelama Kering Bakar, Ubi Kayu Bakar dan Sambal Tumis Ikan Bilis Menyengat, Baru Padan Muka

Ikan glama kering bakar


Kota Damansara hujan. Sejuk menyelinap ke tulang sumsum hitam.

Perut berkeriuk, kelaparan. Mulut minta disuap makanan. Saya jengah sana sini, terlihat akan ikan masin gelama. Bawah dapur pula ada ubi kayu. Saya tersenyum. Ada projek yang boleh dijalankan.

Mendung di luar masih pekat. Awan gelap menyelimuti langit. Dahulu di musim tengkujuh di Kampung Sri Lukut, Jalan Temiggol keadaan seperti ini petanda bah bakal menyapa.

Hujan-hujan sebegini orang kampung diam berkurung. Duduk di anjung atau bersila panggung di atas tangga melihat titis-titis hujan menerpa atap dan menitis di bumbung. Air hujan yang mencurah-curah dari rabung terbiar mengalir membasahi bumi kampung. Tiada seorang pun yang berdaya menahan ketentuan Illahi.

Ayah menggaru kepala. Tidak menoreh atau ke sawah lagi hari ini. Hati penuh resah. Perut dan tekak anak-anak perlu dibasah dengan minuman dan menjamah makanan. Ligat memikirkan mulut dan perut si kecil mungil. Mudah-mudahan hari ini tidak kembung dek angin, kelaparan atau kesejukan.

Ayah tak cepat mengalah. Otak menderu mencari akal. Jaring dan gombang segera dibentang bidang. Rezeki banjir siapa yang boleh sangka atau diseka. Ayah tersenyum, rusuh di hati tenang seketika. Tampak bibirnya kembali menguntum senyuman. Mungkin rezeki dari Sungai Teminggol, Parit Mengkarong, Sungai Madik, Sungai Lanjut, Sungai Kahang, Lubuk Jambu, Sungai Lenggor akan membuahkan hasil. Sepat, lampam, sebarau, tapah, jelawat, putih, lais, inggil-inggih atau pun inang dan seluang, itu semua rezeki yang tempat keluarnya dari bumi Kahang. Lebih untung dapatlah menjamah undang galah.

Sambil memasang jaring atau menahan gombang di pondok, ayah boleh memasang jebak dan jerat. Biasanya binatang akan keluar dari hutan dara ini untuk menyelamatkan diri atau berkeliaran mengisi perut menyambung nyawa. Kalau jerat mengena, merasalah seisi rumah daging landak, napuh, kancil, kijang, ayam hutan dan rusa. Pesan ayah, jika jerangkap mengena lembu, kambing atau kerbau di pinggir hutan itu jangan diambil. Panggil Tok Ketua Kampung. Jika bernasib baik dan Tok Ketua Kampung izikan, kita boleh kenduri sekampung. Kalau sebaliknya, kenalah pulangkan binatang al-an'am tu kepada empunya nya. Entah milik Pak Lebai Talib, Imam Salehan, Tok Noja Tompang, selain tuannya ialah Tok Ketua Kampung.

Ikan gelama kering bakar: Tak ada kayu api, bakar atas dapur gas pun jadilah

Musim monsun baru bermula. Jadi, pesta seperti itu belum tiba. Biasanya tatkala seperti ini atau di saat rabak, sesak duit di poket, emak panjang ilhamnya. Ubi kayu dilonggokkan di atas dapur. Kemudian, kayu api dihimpunkan menimbun. Api dinyalakan membakar ubi kayu. Tungku diletak beralaskan batu bata. Kemudian kuali ditenggekkan. Setelah minyak cukup panas, bawang, ikan bilis dan lada kering giling dihumban ke dalamnya. Selepas pecah minyak, air asam jawa, garam dan gula dimesrakan bersama. Selesai masak sambal tumis itu, kini giliran ikan kering pula. Ikan gelama tadi dilayur di atas bara. Dibakar hingga harumannya memenuhi ruang dapur. Baunya dapat dihidu sepelusuk rumah menyebabkan perut kecil kami memalu bertalu-talu tidak dapat menahan gelodak 'asmara' itu.

Cerek hitam berbontot arang ditonggeng menuangkan air panas ke dalam teko. Dua teko, satu teh o dan satu kopi o kaw.

Hidangan pun dibawa ke hadapan, ke pangkin atau ke tempat ayah mengelamun sambil memerhatikan deruan hujan. Ayah menyambut kehadiran emak dengan leret senyuman acuh tak acuh. Emak membalasnya dengan perasaan bangga. Kami adik beradik sudah lama berkerumun, semenjak haruman ikan gelama memenuhi ruang hidung dan paru-paru. Kami tahu, pasti emak akan cari ayah.

Sebaik dulang terletak, emak dan ayah menyiang ubi kayu bakar hitam untuk kami santap bersama sambal tumis dan ikan gelama bakar. Kami adik-beradik berebut-rebut menerkam, tak tahan sabar menikmatinya. Emak kecuh mengurus satu persatu. Becok mulutnya hingga menenggelamkan riuh hujan menimpa atap. Sekali lagi ayah melemparkan senyuman. Inilah bahagia, "makanlah anak..., alhamdulillah."

Jumaat, 25 September 2015

Barisan Pahlawan Lama dan Masa Depan

Beberapa bulan lepas maza dan keluarga sempat melawat Muzium Negara. Ketika ini ada pameran berkenaan Senjata dan Perang.

Kebetulan pula ada sebuah gambar pahlawan Melayu yang besar kedabak. Teringin pula menyelusuri kehebatan mereka. Dapat rasa aura mereka dengan bergambar di sisi pemerintah dan pahlawan itu pun jadilah (hik hik).

Sultan Ahmad bersama pengikutnya lengkap bersenjata lembing dan tombak semasa Persidangan Durbar di Kuala Kangsar, 1897. Bersama-samanya kelihatan tiga orang anak muda yang sedang menyerap aura pendekar dan pahlawan Melayu masa silam iaitu sebelah kiri sekali Nasrun Hakim, Tengah Aqlan Sholehin dan kanan Daniel Hakim.


Gambar di atas merupakan rakaman peristiwa di Persidangan Durbar Pertama di Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada tahun 1897 iaitu Sultan Ahmad (Sultan Negeri Pahang) bersama-sama pengikutnya.


Persidangan Durbar juga dikenali sebagai Majlis Raja-Raja Negeri Melayu Bersekutu yang bermesyuarat bersama-sama Gabenor dan Residen Inggeris.

Kesengsaraan vs Keamanan, mana satu pilihan?

Syukur kita hidup dalam keadaan aman. Keamanan ini janganlah digalang ganti dengan kesengsaraan akibat daripada sikap sombong, penting diri, dengki, rasuah, gelojoh dan berpuak-puak. Tanganilah segala permasalahan dengan semangat perpaduan, keinsafan, dan keadilan.

Maza pula bukanlah pendokong tegar pahlawan Jamal Pak Tongkol merusuh sana sini...hik hik hik


Rabu, 12 Ogos 2015

Sup Utara



Sup utara @Bangsar, Kuala Lumpur

Menghirup dan mencicip 'sup utara' pada petang yang redup dapat merangsang naluri segar tubuh.

Menyudunya perlahan-lahan sambil mencicah roti benggali kemudian menyua ke mulut adalah kurniaan nikmat yang sukar digambarkan.


Walaupun rupa bentuk sup utara ini hampir menyerupai sup soto, bakso atau lainnya, tetapi rasa dan aroma yang terbit berbeza.



~sup utara Abang Misai, Bangsar~
ammak satu kali

Khamis, 23 Julai 2015

Raya Kelima 2015: Misi Memenuhkan Tabung Ayam Anak


Kalau saya beraya
duapatkali ke rumah yang sama dengan pakaian sebegini pada hari raya kelima, agak-agak adakah tuan rumah itu boleh cam saya atau tidak?

Hik hik hik

Ilham lantun-lantun oleh 

Selasa, 21 Julai 2015

Dialog Anak Beranak Pada Hari Raya Keempat 2015


"Lepas ni kita nak ke mana ayah?"

"Kita balik rumahlah. Esok ayah nak kerja."

"Alamak, macam mana ni? Ayah belok depan sana. Kat rumah tu."

"Eh, nak buat apa?"

"Nak raya. Nak penuhkan tabung ayam."

"Hmm...elok tu."

Khamis, 16 Julai 2015

CERITA MALAM SEMALAM KETIKA SEKATAN JALAN RAYA

Gambar En, Simon Pengawal Keselamatan:
Sekadar Hiasan
Semalam maza sempat meronda kawasan kediaman bersama beberapa orang penguatkuasa. Sekatan jalan raya dibina untuk pemeriksaan sempena hari raya. Kawalan keselamatan dipertingkatkan.

Dalam samar-samar malam, seorang pemuda dalam lingkungan pertengahan 30-an melalui sekatan jalan kami dengan menunggang motorsikal. Beliau menunggang bersama empat orang penumpang. Tiga orang daripadanya kanak-kanak berusia 9, 8 dan 6 tahun, dan seorang wanita hampir sebaya dengannya.

Maza tahan pemuda itu. Lampu sorot menyuluh muka setiap seorang.  Salah seorang konstable memegang  handle motorsikal.

Seorang lagi sahabat maza, seorang pegawai polis, cuba menyiasat. Dengan tegas beliau bersuara, “Encik hendak ke mana ni? Bahaya menunggang ramai macam ni! Ini terang-terangan sudah salah. Menyalahi undang-undang Akta Pengangkutan Jalan. Encik tak sayang anak bini ke? Bawalah kereta kalau dah tahu ahli keluarga ramai.”

Soalan yang diajukan bertubi-tubi sehingga pemuda itu tidak sempat menjawab satu persatu.

Tidak semena-mena, pemuda itu menghulurkan kad pengenalan, lesen memandu B2 dan telefon bimbit. Kemudian dia berkata, “Maaf encik. Encik tolong terima ini dulu. Sebetulnya saya memang tak ada kereta. Kami tinggal hujung jalan sana, tiga kilometer dari sini. Nanti selepas solat terawih saya akan hubungi encik dan ambil surat saman daripada encik.”

Kami semua tergamam. Kami saling berpandangan sesama sendiri.

“Err… encik jangan salah anggap, ini bukan rasuah, tetapi cagaran sementara.  Sebab kami nak pegi masjid. Encik, tolonglah bagi peluang kepada saya dan keluarga. Malam ini malam last terawih. Berilah kami peluang mengecapi dan mengakhiri terawih terakhir tahun ini. Kami risau, takut-takut terlepas malam lailatul-qadar. Tolonglah kami encik. Saya berjanji, saya akan hubungi encik sebaik selesai solat tarawih”.

Sekali lagi kami terkedu. Dalam diam kami merasakan seperti ada sebuah tamparan melekat di dahi. Kami terdiam sejenak. Tidak tahu hendak berbuat apa.

Lamunan kami terhenti sebaik pegawai polis tersebut meminta mereka turun daripada motor buruk itu. Beliau mengarahkan pemuda dan keluarganya memasuki kereta polis yang mempunyai lampu siren.

“Tolonglah saya encik. Berilah peluang untuk kami kecapi terawih yang terakhir ini. Berilah kami peluang menikmati nikmat ibadah. Saya merayu encik. Saya hendak ke masjid depan itu sahaja.”

“Walau apa pun niat baik encik, tidak bermakna encik boleh melanggar undang-undang begitu sahaja. Ingat encik, hukum usul fiqh; niat tidak menghalalkan cara! Sudah! Semua masuk ke dalam kereta itu. Cepat! Saya ada tugas lain ni. Demi tanggungjawab saya ke atas keselamatan negara dan masyarakat; ini untuk kebaikan semua!”

Pemuda itu mengalirkan air mata. Isterinya mengelap air sendunya dengan telekong. Si anak kerdil kurus kering itu pula termanggu-manggu sambil mencebit sebungkus makanan kecil, barangkali untuk moreh.

Sebaik kelima-lima masuk ke perut kereta peronda, pegawai itu memanggil maza. Dia menyuruh maza ikut serta. Kemudian dia sendiri yang memandu kereta peronda tersebut sambil dibunyikan siren. Bunyinya bergema memecah malam yang semakin sunyi di kota ini bernama Kota Damansara.

Pegawai itu memecut laju. Dari sayup-sayup kedengaran suara azan melaung mendayu-dayu. Tak ubah seperti suara muazin di masjid tanah suci Mekah. Semakin jauh kami meninggalkan sekatan jalan raya itu, semakin kuat pula seruan azan Isyak. Menyeru-nyeru, merayu-rayu memanggil ke pangkuan rumah Allah.

Maza sangka kami akan ke balai polis berdekatan selepas melalui Masjid Kuning, Kota Damansara. Telahan maza meleset. Pegawai itu mematikan siren dan terus membelok kereta peronda ke pintu gerbang masjid. Sebaik sampai di pintu masjid, dia meminta pemuda itu segera menunaikan panggilan azan dan laksanakan tarawih di malam akhir Ramadan ini. Pegawai itu juga menghulurkan tangan untuk bersalaman.  Dia memohon ampun dan maaf di atas sikapnya yang kasar tadi. Kemudian dia menyeluk saku dan memberikan sumbangan duit raya kepada anak-anak kecil itu. Memang, anak-anak itu berpakaian compang-camping tetapi kemas.

“Maafkan saya encik. Saya sekadar menjalankan tanggungjawab sebagai pegawai kerajaan dan amanah masyarakat. Saya bukan hendak menghalang encik dari jalan Allah. Saya perlu menjadi contoh, tegas dan berdisiplin di hadapan anggota saya. Encik Maza, setelah encik ini selesai solat nanti, tolong hubungi saya. Saya akan hantar anak-anak ini ke rumahnya.” Terang pegawai itu sebelum dia menghilangkan diri dalam kepekatan malam terakhir tarawih Ramadan.

Usai menjalankan tugas rondaan, maza termenung dalam kantung kereta maza. Maza lihat detik-detik manis wajah pemuda dan isterinya yang begitu puas dapat menunaikan solat tarawih berjemaah. Mereka merasa berbaloi walaupun menghadapi keadaan hidup yang getir. Anak-anaknya begitu riang dan mereka berpelukan sebagai tanda syukur kepada Ilahi yang telah memberikan mereka peluang beribadah di malam terakhir tarawih. Lantaran itu mengetuk memori maza terhadap anak-anak dan isteri yang saya tinggalkan di rumah. Aduh, itu tanggungjawab maza. Maza benar-benar terpukul. Sayu membelah jiwa ini. Maza berasa begitu rugi kerana di celah-celah Ramadan tahun ini terlalu banyak lompang ibadah. Terlalu banyak cuai dan gagal mengambil kesempatan yang Allah SWT berikan. Terlalu banyak nafsu yang gagal dikawal. Terlalu banyak pembaziran masa dan tenaga untuk kerja-kerja yang tidak mendatangkan faedah pahala.

Dalam diam maza berdoa, 'Ya Allah, berikanlah aku kesempatan untuk bertemu Ramadan pada tahun akan datang. Berikanlah aku kekuatan untuk beramal ibadah di dalam bulan yang Kau muliakan ini. Ya Allah, aku terlepas terawih Ramadan terakhir. Aku ada kereta yang baik tetapi pemuda yang naik motor tadi bersama...? Ya Allah, anak bini aku kat rumah sibuk dengan pakaian baru, kuih muih dan pulang ke kampung halaman. RUGINYA AKU, TAK BAWA ANAK BINI AKU PERGI TERAWIH DENGAN kereta ini.. SEBULAN TAK PERNAH PERGI... Ya Allah ampunkanlah aku. Engkau tunjukkanlah pada aku sekeluarga ke jalan lurus. Terima kasih Ya Allah, kerana memberi hidayah ini. Amin.'

Coretan Ramadan terakhir;
maza

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails