‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Selasa, 11 Mac 2014

Apabila Sains Berakhir, Bermulalah Kudrat Allah

"Allah yang Ghaib
Malaikat yang ghaib
Alam kubur yang ghaib
Akhirat yang ghaib

Di mana SAINS BERAKHIR, Bermulalah kudrat Allah.
Dan kudrat Allah bersama orang beriman.
Dan untuk memanfat kudrat Allah, orang beriman ini perlu ada yakin dengan janji Allah.

Mereka yang tidak yakin dengan janji Allah, tidak akan dapat bantuan.
Tidak akan dapat bantuan"

Kapten Norudin Abd Majid,
bekas juruterbang B777 Fleet Mas

 

Kata-kata Kapten Norudin Abd Majid amat menyentap hati maza. Masakan tidak, misteri tragedi hilang kapal terbang MH370, Boeing 777 milik Malaysian Airline System (MAS), dalam tidak sedar Allah SWT sedang menegur kita yang begitu takjub dan taksub dengan teknologi. Kita sombong di atas muka bumi ini, walhal segala pengetahuan sains dan teknologi itu hanyalah cebisan daripada kebesaran ilmu Allah SWT untuk manusia manfaatkan. 

Sains merupakan ilmu berkenaan pengenalan sifat-sifat benda. Ilmu tentang mengetahui rupa bentuk dan sifat fizikal sesuatu benda. Manakala teknologi pula ialah ilmu penggunaan di atas pengetahuan sifat-sifat benda tersebut (sains). 

Ilmu sains dan teknologi datangnya dari sisi Allah. Maka sains dan teknologi itu adalah milik Allah.

Al-Quran menceritakan bahawa Allah SWT telah mengajarkan Adam a.s. mengenal segala benda (sains) dan kegunaannya (teknologi). 

"Dan Dia (Allah) telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda (sains) dan gunanya (teknologi):  . . . " (Al-Baqarah ayat 31)

Maka kita tidak boleh sama sekali sombong dengan sekelumit pengetahuan sains dan teknologi. Walhal sepatutnya kita wajib mengangap segala pemberian ilmu (sains dan teknologi) dan segala manfaat kemudahan yang ada padanya, hanyalah pemberian di atas nama rahmat Allah SWT. Maka dalam semua hal kita perlu kembali kepada Allah SWT!

Dari sudut tingkap memanjatkan doa sambil memerhatikan garisan awan tinggalan rempuhan kapal terbang.
~Mencari MH370~


Dalam menghadapi kemelut dan misteri MH370 ini, kita sudah terlupa disebabkan keasyikkan terhadap teori-teori ciptaan manusia, pengetahuan sains yang dimiliki dan keupayaan teknologi, sedangkan dari dahulu, kini dan selamanya penyelamat sebenar di daratan dan lautan termasuklah di udara ialah Allah SWT. Firman Allah Azza Wa Jalla:-

"Katakanlah, 'Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut?' (Ketika) Kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata), 'Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur." (Al-An'am: 63)

"Katakanlah, Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan. Dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (kufur atau ingkar untuk mengEsakan Allah." (Al-An'am: 64)

Ke manakah Arah Tuju Kita

Sekarang ini terang-terangan Allah SWT menempelak dan memperbodohkan manusia. Pada hal di tangan manusia itu ada segala macam peralatan teknologi yang canggih. Allah SWT menjadikan manusia buntu dan meraba-raba! Sehinggakan soalan yang dilontarkan mendapat jawapan yang juga menjadi soalan yang tidak berjawab.

Allah SWT sedang memperkecil-kecilkan segala usaha dan upaya manusia. Pada tanggapan, nafsu dan agenda manusia itu bahawa segala macam kemajuan teknologi dan sains dimiliki itu sudah ampuh dan mampu merungkai segala persoalan yang terbit. Hingga ada di antara manusia itu lupa akan sunatullah dan janji Allah SWT!  

“Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hamba-Nya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (Wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya.” (Az-Zumar: 36)
 

Siapakah manusia itu? Lain tidak bukan, kita ini rakyat Malaysia. Tragedi ini amat dekat dengan kita. Maka kita perlu sentiasa berhati-hati terhadap segala apa yang kita fikir, buat, rancang dan melangkah! Adakah cara hidup kita sekarang ini benar-benar mengikut syariat Allah SWT?



"Rendahkan diri di hadapan Allah, Pujuk rayulah pada Allah Aza Wajalla"

Dalam sedar tidak sedar, bencana ini merupakan teguran yang datangnya daripada Allah SWT. Tempelak Allah SWT kepada rakyat Malaysia dan dunia. 

Dalam menghadapi musyibah ini sebenarnya terselit rahmat Allah SWT. Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang masih memberi kesempatan kepada kita agar terus BERINGAT untuk berada di 'jalan siratalmustaqqim', jalan tauhid yang Rasulullah SAW serukan 1400 tahun lalu.

Lantaran itu, rendahkanlah diri, tunduk dan berserahlah diri kepada Allah SWT. Itulah apa yang Allah SWT mahukan pada kita, iaitu "beribadah dan berserah diri kepada-Nya". Caranya ialah kawal segala kelakuan, akhlak, niat, dan cara hidup ini. Serentak dengan itu, sentiasa bersyukurlah dan ingatlah pada Allah SWT.

Setiap sesuatu tindakan manusia itu tidak sedikit pun memberi bekas kepada Allah SWT, tetapi murka Allah jangan dicari.

Firman Allah Aza Wajalla;

“Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.” (Thaha: 122)
 

"Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, Ya Allah. Dan aku akui kesalahanku. Ampunilah dosa-dosaku, Ya Allah. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan kami, melainkan Engkau. Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur. Dan Engkaulah Tuhan yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih dan Penyayang."


~istighfar~
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails