‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 21 Mac 2014

Keputusan SPM dan STPM bukanlah yang terbaik


Selepas SPM, saya mula berjinak-jinak dengan mesin taip. Ketika itu trengkas dan menaip dengan mesin taip menjadi satu kelebihan jika mahu bekerja sebagai kerani di pejabat. Pantang ada peluang, saya akan mempelajari menaip berdikit-dikit. Awalnya saya menaip seperti patuk ayam, menggunakan dua batang jari telunjuk.

Ketika di tingkatan enam saya mula mahir menggunakan mesin taip kepunyaan teman serumah. Setiap assignment dengan sedaya upaya saya sudahkannya bertaip. Meskipun tiada assignment hendak dibuat, saya akan menulis karangan merapu untuk memantapkan kemahiran menaip selain mengelak agar skill tidak luput.

Selepas STPM, bermulalah zaman komputer dengan perisian word processing bernama Word Star dan Lotus 123. Rata-rata rakan saya mula berebut dan melengkapkan diri untuk celik komputer. Mereka pergi kursus dan mendapatkan sijil kemahiran yang satu ini. Katanya mahu menambah nilai diri. Antara insan yang berbuat demikian ialah Idris Saleh, Rauqhahzihah Daud. Saya pula tidak mampu berbuat serupa.

Kepentingan komputer tidak dapat disangkal. Ketika di universiti keperluan itu semakin mendesak. Saya mengambil inisiatif untuk belajar dengan teman siswa/i lainnya. Istimewa pula En. Mohd Yamin Ahmad dan ex-rooomate antaranya Khairil Rizal banyak membantu. Pernah saya gunakan komputer anak Jins Samsudin bernama Tuah, begitu juga dengan roomate beliau (ex-PP) Iskandar Waharp dan Nazar Abdul Raof. Waktu itu komputer masih menggunakan "operating system" Window 3.11.

Pengetahuan menaip saya bertambah dengan signifikan di atas tunjuk ajar akak Lina Jenal ketika menjadi fasilitator program MOYATIM 1 (Motivasi Anak-anak Yatim).

Dengan kemahiran itu juga saya pernah mengambil upah menaip.

Sepanjang pengajian itu saya tidak pernah memiliki komputer. Komputer pertama saya merupakan komputer riba setelah dibeli dari wang gaji & beberapa bulan berkahwin (2003).

Jadi, pengajarannya ialah sama ada cemerlang atau cemergap dalam keputusan SPM @ STPM, tidak akan bermakna kalau terputus usahanya di situ. Hidup ini perlu diteruskan dan penentu kejayaan hanya akan diketahui di saat perhitungan di atas Mizan, Padang Mahsyar, Akhirat kelak.

~retrospective~ 

Selasa, 18 Mac 2014

Musibah itu bukannya Kifarah



Aqlan Sholehin (4 tahun)

Ada masanya orang alim dan para ahli ibadah juga didatangkan musibah. Pada hal, dari padangan zahirnya mereka tidak melakukan apa-apa dosa besar pun. 

Sebagai contoh peristiwa Nabi Ibrahim a.s dicampakkan ke dalam api yang marak. Kisah Nabi Zakaria mati dibunuh di dalam batang pokok. Nabi Yusuf difitnah. Nabi Musa dengan kezaliman firaun. Sirah Nabi Muhammad SAW di Taif dibaling batu sehingga berdarah tumit dan kakinya. Walhal para nabi dan rasul terpelihara daripada segala dosa, seorang yang maksum. Jadinya, sudah tentu musibah yang dikenakan itu bukannya berbentuk kifarah untuk menghapuskan dosa! Maka musibah ini bukanlah merupakan bala untuk kifarah, tetapi dikenali sebagai ujian untuk meningkatkan darjat iaitu dipanggil sebagai istidraj.

TIDAK SEMESTINYA MUSIBAH ITU ADALAH KIFARAH

Sebenarnya, Allah SWT mahu menunjukkan kekuasaan. Kuasa-Nya tiada batasan. Tiada pula had dan tidak bergantung pada asbab. Barangsiapa yang Dia kehendaki diturunkan masalah padanya, maka Allah SWT akan datangkan juga. Cukup dengan Allah SWT berfirman, "Kun Fayakun'.

Sungguhpun demikian, janganlah lupakan janji Allah SWT. Sesungguhnya, Allah SWT ada menyatakan bahawa ujian yang didatangkan itu untuk meningkatkan darjat, menguji kesabaran dan mengukur ketakwaan hamba-hamba-Nya.

". . . Maka dengan ujian itu, nyatalah apa yang diketahui Allah terhadap orang yang sebenar-benarnya beriman dan nyatalah pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta.” (Al-Ankabut: 2-3) 

Jadi, musibah yang datang itu boleh jadi kifarah dan boleh juga berupa ujian ketakwaan.
"Setiap yang bernyawa akan merasakan mati. Kami akan menguji kamu dengan 'keburukan' dan 'kebaikan' (kesenangan) sebagai cubaan. Dan kamu akan dikembalikan hanya kepada Kami." (An-Anbiya: 35)

Walau apa sekalipun Allah SWT tetap Maha Pengasih dan Penyayang. Tiada salah duduk beristigfar dan bertaubat nasuhah tatkala menghadapi musibah, malah itulah sebaik-baiknya. Allah SWT amat mengasihi dan menyayangi pada mereka yang sentiasa “pulang kepada-Nya” (menyerah diri) dan bertaubat. Tambahan pula, syarat orang bersabar itu ialah bertaubat dan beristiqamah dalam membuat kebajikan. 

Cuma tanggapan terhadap musibah itu perlu diperbetulkan. Sebagai Muslimin sejati, kita perlu tahu, ada alamat yang perlu difahami, ada imbuhan disebalik setiap perjalanan peristiwa dan kejadian.
Bersyukurlah, setidak-tidaknya ada kesempatan dan peringatan.

~ husnul zhan~
 


Khamis, 13 Mac 2014

PEMERINTAH BENAR, HAKIS DERITA RAYAT

Mengisar Pasal Diri, Mencari Jalan



Pada suatu malam dingin, Umar al Khatab keluar dari rumah hendak melihat sendiri keadaan raykatnya bersama seorang pembantu. Mereka menyelusuri dari satu lorong ke satu lorong di kota Madinah itu. Saat melalui sebuah lorong, Umar bertembung dengan seorang wanita dan anak-anaknya yang duduk berkeliling menghadap unggun api. Di atas unggun api itu ada sebiji periuk besar. Dalam pada mereka menanti, tiba-tiba anak itu mengeluh kelaparan.

Khalifah Umar datang merapati mereka sekeluarga lalu bertanya kepada ibu tersebut apa yang telah terjadi. Maka si ibu pun menjawab bahawa anak-anaknya kelaparan kerana sudah dua hari mereka tidak menjamah sebarang makanan. Untuk menenangkan keadaan anak-anaknya, si ibu merebus batu di dalam periuk itu. Ibu tersebut cuba mengakal si anak agar anaknya sabar menunggu hingga tertidur.

Umar berasa pelik lalu bertanya lagi mengapakah si ibu tidak memberitahu perihal kebuluran yang mereka alami kepada khalifah. Sebetulnya ibu tersebut tidak mengenali langsung Khalifah Umar, pada hal orang yang bertanya itulah khalifah sendiri.

Kemudian ibu itu pun menjawab, “Seharusnya dialah yang tahu keadaan kami, dia punya kuda dan juga ribuan tentera, seharusnya dia tidak boleh tidur nyenyak di rumah sementara rakyatnya seperti kami ini kelaparan dan kedinginan.”

Mendengarkan jawapan si ibu malang tersebut, Umar terus meninggalkan wanita dan anak-anak itu.

Syaidina Umar bukannya melarikan diri, tetapi sememangnya Umar bergegas kembali ke gudang menyimpan gandum. Umar mengambil sekarung gandum bersama minyak samin. Dengan kudrat yang ada, Umar mengendung sendiri karung gandum bersama minyak tadi. Pembantu Umar cuba menghalang. Pembantu itu meminta Umar meletakkan karung gandum tersebut dan biarkan dia sahaja yang memikul guni dan minyak itu.

Sebaliknya Umar tidak bersetuju. Dia menegah dengan tegas. Kata Umar, “Apakah kamu ingin memikul dosaku di hari kiamat kelak?”

Umar tidak menghiraukan lagi pembantunya lalu bergegas meninggalkan pembantu itu termangu-mangu dalam kebuntuan. Umar segera hendak mendapatkan si ibu dan anak-anak tadi. Sampai di tempat keluarga itu, Umar sendiri menghidupkan api. Kemudian dengan kedua-dua belah tangan Khalifah itulah dia memasakkan untuk rakyat marhainnya.

Sesudah siap memasak, Umar meminta perempuan tadi mengejutkan anak-anaknya untuk makan makanan yang telah dimasak. Setelah puas melihat mereka makan, sebelum Syaidina Umar berlalu pergi dia berpesan agar si ibu malang tadi pergi ke pejabat Khalifah keesokan harinya untuk mendapatkan bantuan segera.

Keesokan pagi, si ibu pergilah ke pejabat Khalifah sebagaimana dipesankan. Ketika itulah si ibu baru mengetahui bahawa guni gandum yang dipikul dan air tangan yang memasak makanannya itu adalah kepunyaan Khalifah Umar al-Khatab! Dia sangat terkejut. Syaidina Umar al Khatab adalah orang yang dia katanya semalam.

Memang tatkala muda Umar seorang yang kasar, degil dan tegas. Hatinya cukup keras sehinggakan semua orang gentar. Dia seorang perenggus dan pemarah. Namun, hasil didikan dan tarbiah yang Rasulullah SAW sampaikan telah merubah sikap Umar. Hakikatnya Umar seorang insan yang benar-benar amanah, siang bagaikan singa tetapi malam bagaikan tikus takutkan Allah SWT. Sesungguhnya, Umar telah menjaga rakyatnya tanpa mengira darjat dan agama, selagi mana di bawah pemerintahannya maka tertegaklah keadilan, pembelaan dan kezaliman padam.

~catatan sirah~
 




Selasa, 11 Mac 2014

Apabila Sains Berakhir, Bermulalah Kudrat Allah

"Allah yang Ghaib
Malaikat yang ghaib
Alam kubur yang ghaib
Akhirat yang ghaib

Di mana SAINS BERAKHIR, Bermulalah kudrat Allah.
Dan kudrat Allah bersama orang beriman.
Dan untuk memanfat kudrat Allah, orang beriman ini perlu ada yakin dengan janji Allah.

Mereka yang tidak yakin dengan janji Allah, tidak akan dapat bantuan.
Tidak akan dapat bantuan"

Kapten Norudin Abd Majid,
bekas juruterbang B777 Fleet Mas

 

Kata-kata Kapten Norudin Abd Majid amat menyentap hati maza. Masakan tidak, misteri tragedi hilang kapal terbang MH370, Boeing 777 milik Malaysian Airline System (MAS), dalam tidak sedar Allah SWT sedang menegur kita yang begitu takjub dan taksub dengan teknologi. Kita sombong di atas muka bumi ini, walhal segala pengetahuan sains dan teknologi itu hanyalah cebisan daripada kebesaran ilmu Allah SWT untuk manusia manfaatkan. 

Sains merupakan ilmu berkenaan pengenalan sifat-sifat benda. Ilmu tentang mengetahui rupa bentuk dan sifat fizikal sesuatu benda. Manakala teknologi pula ialah ilmu penggunaan di atas pengetahuan sifat-sifat benda tersebut (sains). 

Ilmu sains dan teknologi datangnya dari sisi Allah. Maka sains dan teknologi itu adalah milik Allah.

Al-Quran menceritakan bahawa Allah SWT telah mengajarkan Adam a.s. mengenal segala benda (sains) dan kegunaannya (teknologi). 

"Dan Dia (Allah) telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda (sains) dan gunanya (teknologi):  . . . " (Al-Baqarah ayat 31)

Maka kita tidak boleh sama sekali sombong dengan sekelumit pengetahuan sains dan teknologi. Walhal sepatutnya kita wajib mengangap segala pemberian ilmu (sains dan teknologi) dan segala manfaat kemudahan yang ada padanya, hanyalah pemberian di atas nama rahmat Allah SWT. Maka dalam semua hal kita perlu kembali kepada Allah SWT!

Dari sudut tingkap memanjatkan doa sambil memerhatikan garisan awan tinggalan rempuhan kapal terbang.
~Mencari MH370~


Dalam menghadapi kemelut dan misteri MH370 ini, kita sudah terlupa disebabkan keasyikkan terhadap teori-teori ciptaan manusia, pengetahuan sains yang dimiliki dan keupayaan teknologi, sedangkan dari dahulu, kini dan selamanya penyelamat sebenar di daratan dan lautan termasuklah di udara ialah Allah SWT. Firman Allah Azza Wa Jalla:-

"Katakanlah, 'Siapakah yang menyelamatkan kamu dari bencana-bencana di darat dan di laut?' (Ketika) Kamu berdoa merayu kepada-Nya dengan merendah diri (secara terbuka) dan secara bersembunyi, (dengan berkata), 'Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur." (Al-An'am: 63)

"Katakanlah, Allah jualah yang menyelamatkan kamu dari bencana itu dan dari segala jenis kesusahan. Dalam pada itu, kamu (masih) mempersekutukan (kufur atau ingkar untuk mengEsakan Allah." (Al-An'am: 64)

Ke manakah Arah Tuju Kita

Sekarang ini terang-terangan Allah SWT menempelak dan memperbodohkan manusia. Pada hal di tangan manusia itu ada segala macam peralatan teknologi yang canggih. Allah SWT menjadikan manusia buntu dan meraba-raba! Sehinggakan soalan yang dilontarkan mendapat jawapan yang juga menjadi soalan yang tidak berjawab.

Allah SWT sedang memperkecil-kecilkan segala usaha dan upaya manusia. Pada tanggapan, nafsu dan agenda manusia itu bahawa segala macam kemajuan teknologi dan sains dimiliki itu sudah ampuh dan mampu merungkai segala persoalan yang terbit. Hingga ada di antara manusia itu lupa akan sunatullah dan janji Allah SWT!  

“Bukankah Allah cukup untuk mengawal dan melindungi hamba-Nya (yang bertaqwa)? Dan mereka menakutkanmu (Wahai Muhammad) dengan yang mereka sembah yang lain dari Allah. Dan (ingatlah) sesiapa yang disesatkan oleh Allah (dengan pilihannya yang salah), maka tidak ada sesiapapun yang dapat memberi hidayah petunjuk kepada-Nya.” (Az-Zumar: 36)
 

Siapakah manusia itu? Lain tidak bukan, kita ini rakyat Malaysia. Tragedi ini amat dekat dengan kita. Maka kita perlu sentiasa berhati-hati terhadap segala apa yang kita fikir, buat, rancang dan melangkah! Adakah cara hidup kita sekarang ini benar-benar mengikut syariat Allah SWT?



"Rendahkan diri di hadapan Allah, Pujuk rayulah pada Allah Aza Wajalla"

Dalam sedar tidak sedar, bencana ini merupakan teguran yang datangnya daripada Allah SWT. Tempelak Allah SWT kepada rakyat Malaysia dan dunia. 

Dalam menghadapi musyibah ini sebenarnya terselit rahmat Allah SWT. Tuhan Maha Pengasih dan Penyayang masih memberi kesempatan kepada kita agar terus BERINGAT untuk berada di 'jalan siratalmustaqqim', jalan tauhid yang Rasulullah SAW serukan 1400 tahun lalu.

Lantaran itu, rendahkanlah diri, tunduk dan berserahlah diri kepada Allah SWT. Itulah apa yang Allah SWT mahukan pada kita, iaitu "beribadah dan berserah diri kepada-Nya". Caranya ialah kawal segala kelakuan, akhlak, niat, dan cara hidup ini. Serentak dengan itu, sentiasa bersyukurlah dan ingatlah pada Allah SWT.

Setiap sesuatu tindakan manusia itu tidak sedikit pun memberi bekas kepada Allah SWT, tetapi murka Allah jangan dicari.

Firman Allah Aza Wajalla;

“Kemudian Tuhannya memilihnya (dengan diberi taufiq untuk bertaubat), lalu Allah menerima taubatnya serta diberi petunjuk.” (Thaha: 122)
 

"Sesungguhnya aku bertaubat kepadamu, Ya Allah. Dan aku akui kesalahanku. Ampunilah dosa-dosaku, Ya Allah. Tiada siapa yang dapat menyelamatkan kami, melainkan Engkau. Demi sesungguhnya jika Allah selamatkan kami dari bencana ini, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang bersyukur. Dan Engkaulah Tuhan yang Maha Penerima Taubat lagi Maha Pengasih dan Penyayang."


~istighfar~

Khamis, 6 Mac 2014

PEREMPUAN MUDA BUNUH DIRI DI KAHANG



5 Mac 2014 - Sekumpulan pelajar lelaki baru pulang dari Sekolah Menengah Kahang sedang melalui sebuah jambatan di Batu 26 dengan bermotorsikal. Lalu mereka terlihatkan seorang perempuan muda sedang berdiri di bibir jambatan. Lagaknya mahu terjun ke dalam sungai yang sedang toho akibat musim kemarau.

Salah seorang ketua kumpulan pelajar tersebut cuba menghampiri wanita jelita itu dan bertanyakan apa yang dia cuba lakukan. 

Jawab perempuan itu dengan nada penuh kecewa, “saya mahu membunuh diri.”

Jika diperhatikan ketinggian jambatan tersebut dengan Sungai Kahang yang mengalir di bawahnya cukup jauh ke bawah. Kalau wanita itu jatuh atau terjun, sudah tentu boleh membunuhnya. Apatah lagi kalau terhentak di atas timbunan batu-batu yang ada di dasar sungai itu. 

Mendengarkan jawapan perempuan tersebut, kesemua remaja di situ menjadi kaget. Orang ramai mulai berkumpul. Kenderaan yang lalu lalang mula memberhentikan diri. Masing-masing menyaksikan pengakhiran episod drama tragis ini. 

Ketua kumpulan pelajar tadi ligat mencari akal. Dia mahu memujuk wanita tersebut.

“Jika awak benar-benar awak hendak bunuh diri, saya tidak dapat menghalangnya lagi. Sebelum awak nekad terjun ke bawah, apa kata awak berikan ciuman selamat tinggal kepada saya!” pelajar lelaki tadi menjalankan ‘jarumnya’.

Helah ketua kumpulan pelajar itu menjadi. Perempuan seksi tersebut mula termakan pujukan. Dia menyuruh pelajar lelaki tadi menghampirinya. 

Mereka pun bercium di atas jambatan disaksikan orang ramai.

Pelajar lelaki mencium mulut wanita tersebut bersungguh-sungguh sambil memaut pinggangnya. Sekali imbas seperti sepasang kekasih yang sudah lama kangan (kerinduan). 

Perempuan muda itu turut sama menikmati detik-detik akhir yang berlalu. Dia memejamkan mata dan membiarkan bibir dipagut lelaki muda untuk melumatinya. Perlahan-lahan perempuan jelita melonggarkan pegangan pada pengadang sisi jambatan. 

Setelah puas mereka bercium, pelajar lelaki tadi bertanya lagi, “awak memang pandai bercium. Awak hebat dan menawan. Tetapi kenapa awak mahu mensia-siakan hidup ini dengan membunuh diri?”

“Sebenarnya saya kecewa dengan sikap ibu dan ayah saya. Mereka tidak pernah memahami kehendak rohani saya. Mereka tidak menyukai saya berpakaian seperti wanita. Benci! Benci! Benci tau! Tak kwasa!”

Lemah lutut pelajar lelaki itu. Dia tergamam. Tiba-tiba dia terjelepuk dan jatuh ke dalam sungai.

“Auuuwww, awak!” jerit lelaki palsu yang disangkakan seorang wanita seksi. 

Mujur juga penyelamat sudah awal-awal lagi bersiap sedia di bawah jabatan. Pelajar yang menjadi hero cuma mengalami demam, seminggu tidak datang ke sekolah. Dan bertahun-tahun juga dia menanggung beban. Beban malu.



Ilham lantun-lantun by




LinkWithin

Related Posts with Thumbnails