‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 31 Disember 2014

SEDEKAH BARANG LUSUH & BURUK


Disember 2014 - negara kita sekali lagi menghadapi dugaan yang hebat. Banjir menenggelamkan hampir keseluruhan negeri Kelantan. Pantai timur dilanda bah besar. Musibah ini menjadikan Kota Bahru, Kuala Krai, Gua Musang, Temerloh lumpuh keseluruhannya. Malah hospital Kota Bahru turut tenggelam hingga menyebabkan mereka yang mengalami masalah kesihatan kritikal terpaksa berpindah randah bersama tong oksigen dan menghadapi situasi sangat getir. 

Sesuai dengan semangat rakyat Malaysia yang sememangnya amat perihatin, 1Malaysia digerakkan bagi membantu mangsa-manga banjir. Berlambak-lambaklah sukarelawan dan tabung-tabung bencana dibentukkan. Hal ini juga melibatkan pusat-pusat pengumpulan barangan untuk disedekah dan diedar kepada mangsa. 

Namun dalam usaha-usaha murni tersebut berlaku juga "calar" yang kurang enak. Rungutan berkumandangan di sana sini. Termasuklah perihal mengambil kesempatan, "menangguk di air keruh".

Ada juga rungutan sukarelawan terhadap penderma yang menghulurkan barangan lusuh dan tidak boleh dipakai di pusat-pusat pengumpulan dan edaran kepada mangsa. Antara barangan yang diterima mereka ialah pakaian lusuh, buruk, tidak lengkap, koyak rabak dan sebagainya.

Sebaliknya, jika itu sahaja yang para penderma ada (pakaian lusuh, buruk, beg usang, kertas surat khabar, buku lama, buku koyak rabak, botol) dan mereka mahu menyumbangkan sedayanya, malah ikhlas. Adakah kita yang menjadi sukarelawan ini layak menempelak mereka dan menuduh mereka tidak ikhlas, menjadikan tempat itu pembuangan sampah atau pelupusan barangan tidak terpakai? Apakah dek kerana menjadi sukarelawan maka darjat kita lebih tinggi?

Sebaliknya, bersangka baiklah sebelum pahala kita bertukar riak, sombong atau bongkak.

Jika baju atau pakaian tidak lengkap seperti baju kurung dengan kain tidak ada, "seluar dalam" tidak disertakan sama, coli terpakai, langsir tidak sedondon; maka pakaian tersebut masih juga boleh digunakan waema dijadikan pengelap kaki sekalipun. Ada bahagian pakaian-pakaian sebegitu, digunakan untuk keperluan tertentu, seperti dibuat pakaian basahan atau harian di rumah. Paling tidak dibuat lap lantai yang berlumpur di pusat-pusat banjir atau di rumah-rumah yang dilanda musibah.

Manakan mungkin pakaian yang elok-elok, kain cantik-cantik, tudung mengerlip mahu dibuat pengelap lantai berlumpur, bukan? Maka dengan kain baju dan beg usang itulah diguna dan dinisbah ke tempat yang sesuai. Ini juga diperkira modal dan kebajikan untuk kebersihan dan kebaikan, terutama pasca banjir yang memerlukan peralatan dan tenaga untuk mengurusinya.

Kata orang Jerman, "be creative, less complaint". Sama-sama kita lakukan dengan ikhlas.

Di tempat pusat pengumpulan maza, kami juga ada menerima buku lusuh dan surat khabar lama selain pakaian tersebut. Namun kami memanfaatkannya dengan bersangka baik dan bakal menggunakannya untuk perkara-perkara yang bersesuaian dengannya, seperti mengalas makanan, tempat duduk, membersihkan atau mengelap meja dan sebagainya.

~Sukarelawan dan mangsa: Perlu bersyukur dan ikhlas kerana lubuk keredhaan serta pahala itu makamnya letaknya di situ.~

Nukilan lantun-lantun:
 


Khamis, 11 Disember 2014

Mamat Wujud



Tahun 1991 - Maza mula berjinak-jinak bermain gitar kapok. Saat itu baru mencicah usia pertengah remaja dan SRP baru sahaja berlalu. Antara guru yang mengajar maza ialah Ujang (anak Pak Jantan abangnya Julia Sabri).

Selepas solat Maghrib sementara menantikan solat waktu Isyak di Masjid Abdul Rahman Kahang masuk maza dan rakan-rakan (termasuklah Aleemhumayraa Muhammad, Azhar Aziz-Jahai, Md Yazid Yahya) selalu melepak di kedai Pak Lebai (Intan Norlela). Kami berdendang dan mendengar abang-abang senior seperti Supaat, Ijam, Rosli (Katak), Emy, Amy (Muhammad atau Anak Haji Abu Bustani), Osman Bustani dan lain-lain bermain gitar serta menyanyi.

Selain di kedai Pak Lebai, port (tempat bersenandung) saya berguru di kedai Pak A'ap (Faris Kazkashiki). Guru saya di situ pula ialah abang Ajis (anak Jemari), Ariey (anak Pak Ghani dan Kak Iham) dan beberapa orang lain yang saya tidak ingat namanya.

Daripada mereka inilah saya terinspirasi. Kononnya mahu menjadi artis (uwek!).

Sesuai dengan perkembangan remaja dan zaman itu, antara lagu-lagu yang biasanya didendangkan ialah dari kumpulan EXIST seperti lagu Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan lain-lain. (hari ini jika dipinta memainkan lagu-lagu tersebut, jawabnya memang sumbang memanjang. Jejari dah keras kematu. Ahaks!).

Maka tidak hairanlah mengapa Mamat Exist begitu dekat dengan generasi seperti kami. Lagu-lagunya melatari hidup kami di sepanjang meniti alam bernama dewasa.

... Jeda ...

Alkisah maza tertonton rancangan Konsert Gegar Vaganza di saluran Astro 105 yang menampilkan Mamat Exist, semerta-merta terimbau kenangan-kenangan lalu. Antaranya ialah bagaimana di malam hari maza curi-curi mengusung gitar buruk ke hulu ke hilir mahu berguru. Ada masanya maza mencuri memandang, mendengar dan melihat skill bermain gitar dari pemuda-pemuda kampung dan juga bandar.

Melihatkan wajah Mamat Exist tempoh hari dengan bawaan nyanyian, suara dan air mukanya menyebabkan maza menelan air liur lalu terasa sebak sendirian. Terutama apabila terkenangkan nasib beliau yang pernah hidup dalam serba tak menjadi dan terlibat dengan beberapa gejala negatif.

Maza fikir itu adalah pengalaman Mamat Exit yang lampau. Hari ini maza berdoa agar Mamat Exit sihat dan mampu pulih daripada kecundangan hidup. Saya juga berharap dia dapat kembali mewarnai industri seni tetapi dalam bentuk lebih bermaruah dan mendidik jiwa.

Konsert Gegar Vaganza merupakan sebuah pertandingan menampilkan artis-artis era 1990-an. Konserta Gegar Vaganza ditayangkan di Astro 105 dengan siaran langsungnya pada setiap hari Ahad. Mungkinkah Mamat Exit menjadi juara dan menggondol hadiah wang tunai RM100,000?

Nukilan lantun-lantun oleh

Sabtu, 6 Disember 2014

Rubber: Punca Tak Dapat Balik Kampung


"Aminah, bagi saya rubber awak?" Kata saya dengan lunak. Di fikiran kusut sedang berserabut. Di sana sini laporan yang Aminah sediakan ada kesalahan. 

Entah mana silapnya, Aminah tidak menjawab sepatah pun. Biasanya dia tidak begitu. Dia gadis periang. Cantik orangnya. Seorang kerani yang ringan tulang dan suka membantu saya. 

Saya menoleh ke wajah Aminah yang berada di belakang. Muka Aminah kelihatan merah padam. Serentak itu juga dia menghentak kaki dan menghempaskan buku laporan tahunan dengan kuat. 

"PANG!!!" 

Semua yang berada di dalam pejabat terperanjat. Bunyi hempasan itu memekakkan telinga. 

"Saya bukan perempuan yang Encik sangkakan itu! Huh!" Tempik Aminah ke muka saya. 

Saya terpana. Gamam memikirkan angin Aminah yang tiba-tiba berubah. 

Dua hari selepas itu saya dipanggil ke bilik Pengarah. Boss menghulurkan sepucuk surat. Di atasnya tertera perkataan, "sex harassment" (Gangguan Seksual). Pengadu "Aminah binti Zahiruddin". 

"Apa semua ni? Cuba awak jelaskan. Saya memang tidak menyangka awak boleh berperangai jelek seperti itu." Tegas boss. 

"Eh, apa yang yang tak kenannya tuan. Saya tak faham." Memang saya tidak mengerti. Saya tiada jawapan. Saya tidak tahu menahu punca perkara ini terjadi. 

"Apa salah saya tuan? Ini fitnah tuan!" 

"Aminah mengadu kepada saya yang awak hendak merabanya dua hari lepas semasa di pejabat selepas jam 3.00 petang. Awak miang! Perkara ini saya tidak boleh benarkan berlaku di pejabat ini. Tindakan tatatertib akan dikenakan. Biar menjadi pengajaran kepada kakitangan yang lain!" 

Saya benar-benar tersentak. Saya tidak menyangka perkara memalukan ini berlaku ke atas saya. 

"Begini tuan. Ini semua salah faham tuan, antara saya dan Aminah. Saya tidak pernah meminta atau berniat mahu meraba Aminah. Apatah lagi merosakan anak gadis baik seperti dia. Saya amat menghormati Aminah, lebih-lebih lagi dia seorang yang sentiasa menjaga tingkah laku, berbudi pekerti mulia dan menutup aurat." 

"Habis tu, versi apa pula awak nak ceritakan ni? Awak jangan nak kelentong!" Sergah boss. 

Boss segera memanggil Aminah masuk ke dalam bilik. Biar Aminah dengar sendiri. Biar Aminah menjadi saksi dan dia juga menjadi bukti. 

Kami berdua mengadap boss. Gugup saya masih ada. Saya gagahkan juga. Cekal melawan resah agar hati menjadi tenang dan berani membela diri. 

"Sekarang kamu cerita di depan Aminah versi pembelaan...atau cerita cubaan kelentong kamu pulak." 

"Begini tuan, maksud saya minta 'rubber' Aminah tempoh hari bukannya minta izin atau mengugut Aminah di atas kesilapannya membuat laporan. Apa yang saya maksudkan ialah 'pemadam pensil'. Di kampung saya, di Johor, kami panggil pemadam itu 'rubber'. Bukannya hendak 'meraba'; perbuatan yang tak senonoh itu." 

"Ooo…begitu." Mulut Aminah dan boss jadi bundar. Mata mereka terbeliak sambil terangguk-angguk. 

Ketika saya memandang tepat ke anak mata Aminah, segera dia mengalihkan pandangan. Dia merenung ke lantai sambil menguis-guis kaki berkasut hitam. Mukanya ditundukkan. Senyuman lebar segera disorok dalam kain tudung. Dari sisi sempit itu, mata saya sempat menyelongkar wajahnya yang merah keputihan berselindung tudung bidang enam inci. Aminah tersipu-sipu. 

Saya memandang boss pula. Matanya terbeliak ke kiri memandang siling. Kumisnya terangkat mengekori bibir atas mengherot ke kiri juga. Bibir bawah terjuih ke sebelah kanan hingga menampakkan gigi. Manakala ke dua-dua belah tangan diangkat tinggi-tinggi dengan kesepuluh jejari diletakkan di atas bahu. 

"Uweekkk." Sepontan suara boss terpacul. 

~Dengan kisah tersebut juga saya memberikan alasan bahawa hujung minggu ini saya tidak boleh pulang ke kampung halaman. Dari corong telefon emak pun menjawab, "Uweekk." Saya yakin emak saya mempercayainya dan tidak meniru perbuatan boss saya itu~

 Nukilan lantun-lantun: maza

Khamis, 27 November 2014

Isteri Bekerja Hendak Membantu Suami?

Kecairan Tunai

"Bukankah niat asal bekerja dan keluar rumah hendak membayar hutang diri seperti PTPTN sebelum bernikah dan "bantu" suami dengan meningkatkan ekonomi keluarga? Dengan kondisi sekarang, hutang bikinan diri sendiri melambak-lambak dan suami dikejar pemiutang akibat hutang bini...jadi, maksud isteri keluar bekerja itu apa?" Bentak salah seorang kariah yang baru sahaja menyertai kumpulan kaunseling tidak bertauliah di kaki tangga Masjid Kota Damansara.

Awalnya beliau menyendiri di suatu penjuru masjid dengan wajah kusut masai dan berkerut dahi. Gayanya seperti sedang merempuh masalah besar. Bukan setakat menanggung kehilangan subsidi. Lebih daripada itu.

"Jangan percaya dengan perkataan 'isteri bantu' dalam menjana pendapatan. Bini sekarang bukannya zuhud seperti zaman Rasulullah. Malah, pada zaman itu hanya segelintir sahaja yang benar-benar zuhud, bekerja hendak membantu suami. Suatu hari pasti dia akan bersungut dan mengungkit. Sehinggakan duit saku yang dikeluarkan di hari raya atau pulang ke kampung dari poketnya akan diungkit. Pada hal suami tidak menyuruh pun menghulurkan duit itu untuk diberikan kepada mak, ayah dan adik beradik." Sambung beliau bernada tegas.

"Jadi, saya amat menyokong bila bab mengeluarkan duit belanja kahwin. Terutama mas kahwin dan hantaran. Jangan sesekali benarkan bakal isteri sama-sama mengeluarkan belanja. Biar dia bantu hal-hal lain, itu pun kalau dia 'hendak sangat' tolong. Jangan percaya! Nanti bila ada masalah, sudah beranak-pinak pun akan diungkitnya." Tambah lelaki itu.

Nukilan lantun-lantun


Ahad, 9 November 2014

Memaksimumkan Kesempatan


Awal usia remaja saya banyak dihabiskan dengan menghadapi peperiksaan besar. Sama ada peperiksaan dari institusi sekolah formal dan tidak formal.

Di usia sebegitu muda lazimnya saya mentelaah secara berjemaah. Menjadi kebiasaan saya juga mentelaah sambil beriktikaf dalam Masjid Jamek Kampung Sri Lukut.

Mulanya emak keberatan melepas bebas saya ke situ. Emak khuatir saya yang masih mentah akan mengganggu jemaah lainnya. Mengacau gugat orang hendak bersolat.

Namun, telahan emak goyah setelah teman-teman dan Ustaz Syafie sendiri menerang dan mengajak saya belajar di masjid (masjid jamek Ar Rahman Kg. Sri Lukut, Kahang yang lama).

Pernah saya mengikuti kelas tambahan Ustaz Syafie di ruang tambahan belakang masjid yang biasanya diperuntukkan untuk jemaah wanita dan jenazah.

Lazimnya kelas tambahan bermula selepas solat Maghrib dan Isyak. Ketika peperiksaan besar semakin suntuk, kami akan bermalaman dan qiamulail di masjid. Kami betul-betul berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Kadang-kadang kami hanyut dalam kesyahduan doa; mohon kejayaan di dunia dan akhirat.

Pada zaman itu gerakan mentelaah dan kuliah di masjid kampung kami begitu janggal. Ada penduduk kampung membantah keras. Kata mereka, kehadiran kami mengacau bilau, bingit dan merosakan masjid.

Akhirnya kaedah mentelaah sebegitu ditamatkan di atas desakan penduduk setempat. Kami tidak menyalahkan mereka kerana ada segelintir kecil rakan-rakan kami yang nakal dan mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang telah diberikan.

Selain itu kami juga dimomok-momokkan dengan kehadiran "jin" Islam di masjid itu yang mengalihkan mereka sedang tidur di dalam masjid.

Akhirnya kelas kami bertahan separuh jalan. Tiada lagi mentelaah bersama-sama di masjid. Bubar.

Rumah saya sendiri menjadi tumpuan perhimpunan untuk kami belajar bersama-sama. Ketika itu usia kami menginjak 13 tahun.

Ketika SPM (1992), lokasi belajar berkumpulan (study group) saya berpindah ke pondok kecil Pak Mat Drebar. Kali ini rakan sebaya kami, Azlan bin Ahmad pemilik pondok (bekas kepuk padi) menjadi tuan tanah (rumah).

Kedudukan pondok itu bersebelahan dengan rumah Pak Mat Drebar Lori Balak. Cuma selang 20 meter dari Masjid Jamek kampung kami. Jadinya, aura masjid tetap kena tempiasnya.

Setelah solat Maghrib di masjid, kami berjemaah mentelaah pula di pondok kecil tersebut. Pondok ini turut dilengkapi kemudahan seperti katil bujang, tv, rak buku dan radio.

Kata Azlan Pak Mat Drebar, semenjak mencecah umur baligh lagi dia sudah pun tinggal bersendirian di pondok itu. Adakalanya ditemani oleh adik lelakinya dan saban masa di temani oleh kawan-kawan sebaya.

Selain disebabkan faktor keremajaan yang inginkan privasi, di rumahnya penuh dengan anak-anak dara (kakak, adik dan adik susuan). Justeru, Azlan Pak Mat Drebar berkorban hendak memberikan keselesaan kepada keluarganya.

Hari ini saya kembali mentelaah dan berikhtikaf di Masjid Kota Damansara. Persediaan untuk pembentangan dan peperiksaan pengajian saya tidak lama lagi.

Mujur juga tidak berlaku sebagaimana pengalaman yang lalu itu. Malah kanak-kanak bebas bermain di taman permainan di luar masjid. Jika di kampung saya dahulu, perihal sebegini sudah tentu berbeza. Kanak-kanak tersebut akan diherdik dan dihambat jauh-jauh. Katanya mengganggu orang baca Quran, sembahyang dan berzikir. Walhal kebanyakkan masa masjid itu sendiri sunyi; kosong tidak berahli.

~throwback~

Isnin, 3 November 2014

Aqlan dan Arnab di Taman Haiwan Berjaya Hill Resort

 
Aqlan memang teruja dengan arnab.

Sudah sekian lama dia mengecek mahu membela seekor. Pantang terlihat kelibat arnab, pasti Aqlan melonjak riang.

Minggu sudah kami sempat singgah di Taman Haiwan, Berjaya Hill Resort.

Sebaik terpandangkan arnab, Aqlan Sholehin bergegas hendak mendapatkannya.

Mulanya dia kekok dan tercari-cari semangat mahu memegang. Setelah berani, enggan pula melepaskan.

"Ayah bukan tak nak bela arnab. Nanti malam tiba-tiba ayah lapar dan makan arnab Aqlan tu macam mana?" Duga saya.

Aqlan terkedu. Arnab itu terlepas dari dakapan. Dengan berat hati dia mengusap-usapnya. Setelah itu Aqlan mengheret kaki meninggalkan si kelinci (rabbit) comel dengan hati sayu.

Selasa, 21 Oktober 2014

Anjing Bukan Binatang Peliharaan: Diari Islamiah

Hukum Pegang dan Memelihara Anjing diulas dengan penuh displin, tuntas dan mapan

Heboh sekarang ini memperkatakan perihal "Program Pegang Anjing" di Central Park One Utama, Petaling Jaya Selangor pada 19 Oktober 2014 (Ahad). 

Program Pegang Anjing itu menjadi fenomena perdebatan hangat sehingga menimbulkan polemik dan kegusaran masyarakat. Sana sini perbahasan tentang Program Pegang Anjing kedengaran sama ada cakap-cakap agamawan, budayawan, politik dan orang awam.

Lebih malang lagi tuduh-menuduh dan kecam-mengecam mula mengatasi kewarasan. 

Diari Islamiah 2015 terbitan Sterling Corwn Sdn Bhd
Terdapat empat jenis pilihan warna


Dari satu segi, perkembangan tersebut diperkira positif kerana mencetuskan kesedaran tentang hukum-hakam Islam. 

Apa yang terjadi sekarang ini, kontroversi itu telah mengundang perbalahan dalam ummah. Sehinggakan ada yang membelakangkan pendapat ulama setempat. Ramai yang mentafsir mengikut akal bijak masing-masing. Dari satu sudut, ini bermakna akal umat sudah berfungsi, cuma  malangnya ada di antara fikiran mereka yang tidak berpandukan kepada nas asal yang asli. Hal ini membuatkan mereka berpegang serta berhujah dengan tikam sembrono, tidak secocok ijmak ulama dan membuat telahan peribadi. Akhirnya muncullah perkataan "liberalisasi Islam". 

Antara tajuk-tajuk artikel yang terdapat di dalam Diari Islamiah 2015 terbitan Sterling Crown Sdn Bhd

Perbincangan tetang hukum fekah dan amalan harian disampaikan dengan cara kreatif


Apakah sebenarnya hukum berkaitan dengan anjing?

Salah sebuah artikel dalam Diari Islamiah 2015 bertajuk "Anjing Bukan Binatang Peliharaan" telah berjaya menjelaskan dari pelbagai sudut dengan terperinci. Pencerahannya sangat jelas dan menyeluruh. Menariknya artikel itu berjaya mengabusi kekaburan yang menghantui masyarakat. Penjelasan itu disertakan statistik dan dalil aqli dan naqli.

Perbincangan tentang isu-isu semasa yang relevan.
Diari Islamiah 2015

Ruang dalam Diari Islamiah 2015. Di penjuru sudut terdapat ruang peringatan "sudah solat?"

Malah, info-info lain yang terkandung di dalam Diari Islamiah 2015 juga amat bertepatan dengan peringatan amalan harian dan isu-isu semasa. Hal ini sesuai dengan fungsi dan namanya sebagai "DIARI ISLAM".

Untuk mendapatkan rumusan dan sudut pandangan yang tuntas dan mapan, elok benar membacanya sendiri dengan memiliki Diari Islamiah 2015 terbitan Sterling Crown Sdn. Bhd. di pasaran sekarang.

Diari Islamiah 2015 boleh didapati di kedai-kedai buku utama seperti Popular, MPH, Times, SMO (Syarikat Muda Osman), Pustaka Buku Intan dan lain-lain. Maklumat lanjut boleh menghubungi talian yang terpapar dalam gambar tersebut
 

Harga pasaran = RM16.50 sebuah.



Jumaat, 17 Oktober 2014

Makna disebalik graduan, FESKUM 2014

 
Mencari nilaian paling dalam
Senyum satu kali, ammak!
 
Khamis (16.Oct.2014) - saya singgah di Feskum 2014 (Festival Konvokesyen Universiti Malaya) seputar jam 3.00 petang. Setidak-tidaknya mahu menyuntik semangat kendiri dan mengimbau zaman penuh bermakna dalam hidup.

Saya berpelesaran seketika sebelum menjamah hasil jualan adik-adik siswa. Saya cuba mencari gerai KK8 (Kolej Kediaman Kinabalu Universiti Malaya) tempat saya pernah berteduh dahulu tetapi tidak bertemu.

Menurut kata siswi di situ, hanya segelintir kolej kediaman yang mengambil bahagian, begitu juga dengan persatuan mahasiswa.

Sudahnya saya bersila dan menikmati hidangan "nasi ambang" dari gerai Kolej Kediaman Bestari Univerisiti Malaya (KK4). Jangan ditanya tentang rasanya, namun hasrat saya sekadar membantu titik peluh mereka yang mahu berusaha dan belajar di institusi ini. Sementara itu saya amat faham situasi mereka, apatah lagi saya pernah terlibat dalam aktiviti gerai konvo suatu ketika dahulu. Asam garam ketika itu amat mengujakan sehingga sekarang. 

Gerai Konvo Feskum 2014 Kolej Kediaman Bestari Universiti Malaya
(KK4)

Saya dapati pesta kali ini hambar. Jumlah gerai begitu sedikit dan jumlah pengunjung juga amat jarang. Tidak ada aktiviti-aktiviti yang begitu menarik.

Malah, tidak ramai mahasiswa sendiri yang berkunjung. Saya berasa hairan, ke mana semangat tegar siswa itu menghilang.

Suasana hanya diberikan nafas segar setelah diriuhkan dengan celoteh DJ konvo diselang seli putaran lagu-lagu. Adakalanya suara itu tercemar dengan kelantangan suara dan kebingitan yang tidak perlu. Alah, mereka bukan DJ professional malah jauh bertaraf amatur, tentu sahaja dalam kelompok novis. Berlebih kurang selagi tidak mendatangkan mudarat kekal.

Penghormatan (salutations) graduan!

Seingat zaman konvokesyen saya dahulu ketika ijazah pertama atau lebih tepat lagi dekad awal 2000-an, keadaanya jauh lebih meriah. Impaknya begitu mendalam dengan keraian dan keramaian. Secara tidak langsung memperlihatkan "salutations" kepada mereka yang telah berjaya. Berbekas adab keilmuan dan kemanisannya terasa ke sekujur urat saraf.

Pernah dibawa masuk ke dalam keraian konvokesyen itu permainan funfair seperti kereta langgar, buai (kincir) berpusing, dam ular gergasi, pertunjukan pancaragam dan macam-macam lagi.

Pertandingan dan pameran dianjur sepanjang minggu. Malah tidak melampu diadakan juga promosi kereta pertama (dari Produa, Proton dan lain-lain), rumah pertama, kad kredit siswa, telefon bimbit dan pembekal talian telefon sellular.

Heboh (havoc)!
 
 
Gerai Konvo Feskum 2014 Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya
(PMIUM)
Gerai-gerai konvo sentiasa sesak dengan pelbagai jualan juadah. Malah, tapak-tapak gerai menjadi rebutan.

Ketika ini siswa, persatuan, fakulti dan kolej kediaman merebut peluang. Peluang belajar berniaga, mencari sumber kewangan berpersatuan dan aktiviti cergas berpersatuan. Sudah tentu manfaatnya banyak. Masing-masing aktif dan ceria. Setiap individu mahasiswa begitu cenderung untuk menyambut dan melibatkan diri dengan keraian ini.

Jika tidak terlibat langsung dalam aktiviti konvo, mereka dengan sukarela datang memberi sokongan terhadap senior/kawan mereka yang sudah bergraduasi.

Sungguh meriah dan bermakna!

Hal-hal seperti ini mampu menyuntik semangat kental terutama kepada freshie untuk menggondol dan menjulang skrol ijazah. Kepada para graduan sudah tentu hari tersebut hari istimewa kepada diri, keluarga dan masyarakat yang diwakilinya. Hari bahagia gilang gemilang yang sentiasa didambarkan malah diimpikan sedari kecil di bangku sekolah lagi.

~maza mencari seri dalam keraian kali ini~
 

Isnin, 13 Oktober 2014

AQILAH SHAFIYAH BETA




AQILAH SHAFIYAH BETA
****************************
(tarikh gambar: 05. April.2014)

Ini tekad beta,
kasih sayang untuk anakanda Aqilah Shafiyah...

Takkanku biarkan walau ribut menyentakmu
yang tidur datang petir menyambar
jengking dan ular
ayahanda takkan berundur

Nyamanlah Aqilah Shafiyah beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa
~~~~
Kan ada satu ketika kau tak tahu mana nak pergi
jalan betul, anakanda,
tak jelas di mata–
ambillah yang sarat duri

Hiduplah Aqilah Shafiyah beta
biarkan jasad yang luka
selama Tuhanmu ada
takkan engkau tercela
~~~
Ngeri... tak terbayang mata
ayahanda takkan ada sentiasa
nanti moga kau tak lupa
ayahanda pernah memujukmu, anakanda

Hiduplah Aqilah Shafiyah beta
biarkan jasad yang luka
selama Tuhanmu ada
takkan engkau tercela

Nyamanlah Aqilah Shafiyah beta
mimpikan yang indah saja
nanti bila kau buka mata
semua tak serupa

Tiadalah ayahanda pinta darimu
akan harta dan nyawa
sekadar hangatnya kasih sayang
dan doamu Aqilah Shafiyah beta...

Ketahuilah wahai anakanda
dikau sentiasa di hati ayahanda...

Hiduplah anakanda, Aqilah Shafiyah beta.


Rabu, 24 September 2014

Segera tunaikan

Tepek gambar satu kali aje ya kengkawan.

Mengikut kanun acara menunaikan haji, syarat kuasa menunaikan haji ada tujuh. Antaranya ialah melangsaikan hutang. Selagi ada "hutang tidak berjadual berbaki", maka wajiblah kita menjelaskannya sebelum ke tanah suci Mekah dan Madinah.

nota ayan: maza mengagahkan diri menuntut dan menjelaskan hutang-piutang.

Isnin, 15 September 2014

Bukit Kepong, Hari Malaysia 2014

 
Replika Stesyen Polis, di Jalan Labis-Muar.


Sept. 14, 2014 - demi kesedaran dan sempena Hari Kemerdekaan, kami anak beranak menyelusuri sejarah bangsa.

Pekan koboi bernama Bukit Kepong kami jejaki untuk merenung zaman darurat Komunis sebelum negara merdeka. Bukit Kepong terletak di tebing Sungai Muar dan dikelilingi bukit bukau. Majoriti penduduk di situ berbangsa Cina. Pekan ini memanjang sejauh 500 meter sepanjang jalan Labis-Muar. Taman perumahan pula di belakang pekan tersebut dan terletak di lereng-lereng bukit.

Batu tanda Bukit Kepong

Pekan Bukit Kepong sepanjang lebih kurang 500 meter atau 1 kilometer di tepi Jalan Labis-Muar.
Pekan kecil ini mengadap Sungai Muar dan Balai Polis bersejarah itu


Bukit Kepong tempat bersejarah. Darah para pejuang mengalir dengan menyaksikan balai Polis (British) diserang pasukan Komunis. Peristiwa tersebut berlaku pada 23 Februari 1950 yang telah mengorbankan seramai 27 orang Polis dan ahli keluarga.

Peristiwa bersejarah ini mengisahkan kekentalan perjuangan dan pertahanan. Pihak Polis sanggup berjuang sehingga ke titisan darah terakhir daripada serangan angkatan bersenjata Parti Komunis Malaya. Serangan tersebut di ketuai oleh Mat Indera, manakala Ketua Balai Polis pula ialah Sarjan Jamil Md Shah.

Jeti Polis Merin, Bukit Kepong yang menjadi jalan perhubungan utama ketika peristiwa Bukit Kepong diserang 1950
Antara aset Polis yang dipamerkan
Anggota Polis Yang Terselamat
  1. Mata-Mata 10533 Othman bin Yusoff (meninggal);
  2. Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud (meninggal);
  3. Mata-Mata Tambahan 3472 Ahmad bin Khalid (meninggal);
  4. Mata-Mata 7645 Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005) 
Ahli keluarga anggota
  1. Mariam binti Ibrahim - isteri Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  2. Zainun binti Muhamad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  3. Abu Samah bin Muhammad - anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  4. Zaleha binti Muhamad- anak Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  5. Jamilah binti Abu Bakar - anak perempuan Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  6. Hussain bin Abu Bakar- anak lelaki Mata-Mata 37 Abu Bakar bin Daud
  7. Fatimah binti Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Mata-Mata Hassan Osman
  8. Pon binti Khalid - isteri Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
  9. Fatimah binti Tuani - isteri Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
  10. Edmund Ross Williams Hunt - orang asli bertugas sebagai pemandu arah
Anggota Polis yang Gugur
  1. Sarjan 2493 Jamil bin Mohd Shah (Ketua Balai Bukit Kepong)
  2. Koperal 7068 Mohd Yassin bin Haji Wahab (Timbalan Ketua Balai Bukit Kepong)
  3. Lans Koperal 7186 Jidin bin Omar
  4. Mata-Mata 9136 Hassan bin Osman
  5. Mata-Mata 3933 Hamzah bin Ahmad
  6. Mata-Mata 8600 Jaafar bin Hassan
  7. Mata-Mata 7493 Muhamad bin Jaafar
  8. Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  9. Mata-Mata 7862 Abu Kadir Jusoh
  10. Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam
  11. Mata-Mata Marin 68 Awang bin Ali
  12. Mata-Mata Marin 181 Basiron bin Adam
  13. Mata-Mata Tambahan 3475 Mohd Top bin Lazim
  14. Mata-Mata Tambahan 3795 Jaafar bin Arshad Polis Bantuan / Auxiliary Police
  15. Ins. Kudarina Naknok
  16. AP 2130 Samad bin Yatim
  17. AP 1912 Mahmud bin Sa'at
  18. AP 1925 Ali bin Akob
  19. AP 2127 Othman Yahya 
 Keluarga Anggota
  1. Fatimah binti Yaaba - isteri Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  2. Hassan bin Abu Bakar - anak Mata-Mata Marin 37 Abu Bakar bin Daud
  3. Saadiah - isteri Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  4. Simah binti Abu - anak Mata-Mata 5674 Abu bin Mohd Ali
  5. Arafah binti Yusoff - isteri Mata-Mata Marin 60 Ibrahim bin Adam Anggota Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kampung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis
  6. AP 2098 Redzuan bin Alias
  7. Embong bin Lazim
  8. Mendiang Koh Ah Cheng

Tabik hormat!
Ketika kami tiba, balai polis dan jeti Polis Marin yang menjadi mercu sejarah itu sedang dinaiktaraf. Mengikut papan kenyataan pembangunan JKR, kerja-kerja tersebut dijangka siap pada November 2014.

"Kami orang, orang polis takkan serah diri! biar kami mati di sini, Bukit Kepong menjadi tanah kubur kami." dialog filem Bukit Kepong (1983) arahan Jins Shamsudin
Maza bercadang hendak melawat pusara Polis yang gugur di medan itu, namun masa tidak mengizinkan. Hari semakin melabuhkan tirainya dan Magrhib bakal berkumandang tidak beberapa minit lagi. 

Sungai Muar, laluan utama yang menghubungkan Bukit Kepong, Lenga, Muar, Labis dan Segamat.

Alang-alang singgah di Bukit Kepong, maza melanjutkan perjalanan dengan singgah di Lenga pula. Dalam pengamatan maza, pekan Lenga lebih kecil berbanding pekan Bukit Kepong tadi.

Sungguhpun pekan Lenga jauh lebih kecil, tetapi kepadatan penduduknya adalah tinggi. Lenga di kelilingi kampung-kampung tradisional Melayu dan taman-taman perumahan yang lebih tersusun dan moden. Penghuni di sini berbilang kaum dengan kaum majoritinya meliputi Melayu dan Cina.

Pekan Lenga terletak di tebing Sungai Muar. Masjid Jamek Pekan Lenga pula di atas bukit, mengadap Sungai Muar dan matahari terbenam. Lembayung merah di seberang sungai sana telah melantunkan sebuah panorama yang indah. Di sekitar masjid tersebut terdapat makam yang menempatkan tanah perkuburan warga asal dan keluarga pemilik tanah masjid yang telah diwakafkan itu. Maza sempat menziarahi salah sebuah makam di situ yang dikatakan kepunyaan seorang wali atau ulama tempatan. Pusara tersebut ialah Kiai Fadhil yang lahir pada 1890 dan meninggal 1950. Beliau berasal dari Tanah Jawa.

Masjid lama ini penuh dengan sejarah dan telah mengalami beberapa pengubahsuaian. Berikutan hari sudah pun gelap, maza tidak dapat menangkap gambar untuk diabdikan di sini. 

Maza mahu mengambil kesempatan hendak mengucapkan SELAMAT HARI MERDEKA & SELAMAT HARI MALAYSIA. 

"Di sini lahirnya sebuah cinta."

#inimalaysiakita


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails