Kecairan Tunai |
"Bukankah niat asal bekerja dan keluar rumah hendak membayar hutang diri seperti PTPTN sebelum bernikah dan "bantu" suami dengan meningkatkan ekonomi keluarga? Dengan kondisi sekarang, hutang bikinan diri sendiri melambak-lambak dan suami dikejar pemiutang akibat hutang bini...jadi, maksud isteri keluar bekerja itu apa?" Bentak salah seorang kariah yang baru sahaja menyertai kumpulan kaunseling tidak bertauliah di kaki tangga Masjid Kota Damansara.
Awalnya beliau menyendiri di suatu penjuru masjid dengan wajah kusut masai dan berkerut dahi. Gayanya seperti sedang merempuh masalah besar. Bukan setakat menanggung kehilangan subsidi. Lebih daripada itu.
"Jangan percaya dengan perkataan 'isteri bantu' dalam menjana pendapatan. Bini sekarang bukannya zuhud seperti zaman Rasulullah. Malah, pada zaman itu hanya segelintir sahaja yang benar-benar zuhud, bekerja hendak membantu suami. Suatu hari pasti dia akan bersungut dan mengungkit. Sehinggakan duit saku yang dikeluarkan di hari raya atau pulang ke kampung dari poketnya akan diungkit. Pada hal suami tidak menyuruh pun menghulurkan duit itu untuk diberikan kepada mak, ayah dan adik beradik." Sambung beliau bernada tegas.
"Jadi, saya amat menyokong bila bab mengeluarkan duit belanja kahwin. Terutama mas kahwin dan hantaran. Jangan sesekali benarkan bakal isteri sama-sama mengeluarkan belanja. Biar dia bantu hal-hal lain, itu pun kalau dia 'hendak sangat' tolong. Jangan percaya! Nanti bila ada masalah, sudah beranak-pinak pun akan diungkitnya." Tambah lelaki itu.
Nukilan lantun-lantun