‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 9 November 2014

Memaksimumkan Kesempatan


Awal usia remaja saya banyak dihabiskan dengan menghadapi peperiksaan besar. Sama ada peperiksaan dari institusi sekolah formal dan tidak formal.

Di usia sebegitu muda lazimnya saya mentelaah secara berjemaah. Menjadi kebiasaan saya juga mentelaah sambil beriktikaf dalam Masjid Jamek Kampung Sri Lukut.

Mulanya emak keberatan melepas bebas saya ke situ. Emak khuatir saya yang masih mentah akan mengganggu jemaah lainnya. Mengacau gugat orang hendak bersolat.

Namun, telahan emak goyah setelah teman-teman dan Ustaz Syafie sendiri menerang dan mengajak saya belajar di masjid (masjid jamek Ar Rahman Kg. Sri Lukut, Kahang yang lama).

Pernah saya mengikuti kelas tambahan Ustaz Syafie di ruang tambahan belakang masjid yang biasanya diperuntukkan untuk jemaah wanita dan jenazah.

Lazimnya kelas tambahan bermula selepas solat Maghrib dan Isyak. Ketika peperiksaan besar semakin suntuk, kami akan bermalaman dan qiamulail di masjid. Kami betul-betul berusaha dan bertawakal kepada Allah SWT. Kadang-kadang kami hanyut dalam kesyahduan doa; mohon kejayaan di dunia dan akhirat.

Pada zaman itu gerakan mentelaah dan kuliah di masjid kampung kami begitu janggal. Ada penduduk kampung membantah keras. Kata mereka, kehadiran kami mengacau bilau, bingit dan merosakan masjid.

Akhirnya kaedah mentelaah sebegitu ditamatkan di atas desakan penduduk setempat. Kami tidak menyalahkan mereka kerana ada segelintir kecil rakan-rakan kami yang nakal dan mengambil kesempatan di atas kepercayaan yang telah diberikan.

Selain itu kami juga dimomok-momokkan dengan kehadiran "jin" Islam di masjid itu yang mengalihkan mereka sedang tidur di dalam masjid.

Akhirnya kelas kami bertahan separuh jalan. Tiada lagi mentelaah bersama-sama di masjid. Bubar.

Rumah saya sendiri menjadi tumpuan perhimpunan untuk kami belajar bersama-sama. Ketika itu usia kami menginjak 13 tahun.

Ketika SPM (1992), lokasi belajar berkumpulan (study group) saya berpindah ke pondok kecil Pak Mat Drebar. Kali ini rakan sebaya kami, Azlan bin Ahmad pemilik pondok (bekas kepuk padi) menjadi tuan tanah (rumah).

Kedudukan pondok itu bersebelahan dengan rumah Pak Mat Drebar Lori Balak. Cuma selang 20 meter dari Masjid Jamek kampung kami. Jadinya, aura masjid tetap kena tempiasnya.

Setelah solat Maghrib di masjid, kami berjemaah mentelaah pula di pondok kecil tersebut. Pondok ini turut dilengkapi kemudahan seperti katil bujang, tv, rak buku dan radio.

Kata Azlan Pak Mat Drebar, semenjak mencecah umur baligh lagi dia sudah pun tinggal bersendirian di pondok itu. Adakalanya ditemani oleh adik lelakinya dan saban masa di temani oleh kawan-kawan sebaya.

Selain disebabkan faktor keremajaan yang inginkan privasi, di rumahnya penuh dengan anak-anak dara (kakak, adik dan adik susuan). Justeru, Azlan Pak Mat Drebar berkorban hendak memberikan keselesaan kepada keluarganya.

Hari ini saya kembali mentelaah dan berikhtikaf di Masjid Kota Damansara. Persediaan untuk pembentangan dan peperiksaan pengajian saya tidak lama lagi.

Mujur juga tidak berlaku sebagaimana pengalaman yang lalu itu. Malah kanak-kanak bebas bermain di taman permainan di luar masjid. Jika di kampung saya dahulu, perihal sebegini sudah tentu berbeza. Kanak-kanak tersebut akan diherdik dan dihambat jauh-jauh. Katanya mengganggu orang baca Quran, sembahyang dan berzikir. Walhal kebanyakkan masa masjid itu sendiri sunyi; kosong tidak berahli.

~throwback~
blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails