‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Sabtu, 6 Disember 2014

Rubber: Punca Tak Dapat Balik Kampung


"Aminah, bagi saya rubber awak?" Kata saya dengan lunak. Di fikiran kusut sedang berserabut. Di sana sini laporan yang Aminah sediakan ada kesalahan. 

Entah mana silapnya, Aminah tidak menjawab sepatah pun. Biasanya dia tidak begitu. Dia gadis periang. Cantik orangnya. Seorang kerani yang ringan tulang dan suka membantu saya. 

Saya menoleh ke wajah Aminah yang berada di belakang. Muka Aminah kelihatan merah padam. Serentak itu juga dia menghentak kaki dan menghempaskan buku laporan tahunan dengan kuat. 

"PANG!!!" 

Semua yang berada di dalam pejabat terperanjat. Bunyi hempasan itu memekakkan telinga. 

"Saya bukan perempuan yang Encik sangkakan itu! Huh!" Tempik Aminah ke muka saya. 

Saya terpana. Gamam memikirkan angin Aminah yang tiba-tiba berubah. 

Dua hari selepas itu saya dipanggil ke bilik Pengarah. Boss menghulurkan sepucuk surat. Di atasnya tertera perkataan, "sex harassment" (Gangguan Seksual). Pengadu "Aminah binti Zahiruddin". 

"Apa semua ni? Cuba awak jelaskan. Saya memang tidak menyangka awak boleh berperangai jelek seperti itu." Tegas boss. 

"Eh, apa yang yang tak kenannya tuan. Saya tak faham." Memang saya tidak mengerti. Saya tiada jawapan. Saya tidak tahu menahu punca perkara ini terjadi. 

"Apa salah saya tuan? Ini fitnah tuan!" 

"Aminah mengadu kepada saya yang awak hendak merabanya dua hari lepas semasa di pejabat selepas jam 3.00 petang. Awak miang! Perkara ini saya tidak boleh benarkan berlaku di pejabat ini. Tindakan tatatertib akan dikenakan. Biar menjadi pengajaran kepada kakitangan yang lain!" 

Saya benar-benar tersentak. Saya tidak menyangka perkara memalukan ini berlaku ke atas saya. 

"Begini tuan. Ini semua salah faham tuan, antara saya dan Aminah. Saya tidak pernah meminta atau berniat mahu meraba Aminah. Apatah lagi merosakan anak gadis baik seperti dia. Saya amat menghormati Aminah, lebih-lebih lagi dia seorang yang sentiasa menjaga tingkah laku, berbudi pekerti mulia dan menutup aurat." 

"Habis tu, versi apa pula awak nak ceritakan ni? Awak jangan nak kelentong!" Sergah boss. 

Boss segera memanggil Aminah masuk ke dalam bilik. Biar Aminah dengar sendiri. Biar Aminah menjadi saksi dan dia juga menjadi bukti. 

Kami berdua mengadap boss. Gugup saya masih ada. Saya gagahkan juga. Cekal melawan resah agar hati menjadi tenang dan berani membela diri. 

"Sekarang kamu cerita di depan Aminah versi pembelaan...atau cerita cubaan kelentong kamu pulak." 

"Begini tuan, maksud saya minta 'rubber' Aminah tempoh hari bukannya minta izin atau mengugut Aminah di atas kesilapannya membuat laporan. Apa yang saya maksudkan ialah 'pemadam pensil'. Di kampung saya, di Johor, kami panggil pemadam itu 'rubber'. Bukannya hendak 'meraba'; perbuatan yang tak senonoh itu." 

"Ooo…begitu." Mulut Aminah dan boss jadi bundar. Mata mereka terbeliak sambil terangguk-angguk. 

Ketika saya memandang tepat ke anak mata Aminah, segera dia mengalihkan pandangan. Dia merenung ke lantai sambil menguis-guis kaki berkasut hitam. Mukanya ditundukkan. Senyuman lebar segera disorok dalam kain tudung. Dari sisi sempit itu, mata saya sempat menyelongkar wajahnya yang merah keputihan berselindung tudung bidang enam inci. Aminah tersipu-sipu. 

Saya memandang boss pula. Matanya terbeliak ke kiri memandang siling. Kumisnya terangkat mengekori bibir atas mengherot ke kiri juga. Bibir bawah terjuih ke sebelah kanan hingga menampakkan gigi. Manakala ke dua-dua belah tangan diangkat tinggi-tinggi dengan kesepuluh jejari diletakkan di atas bahu. 

"Uweekkk." Sepontan suara boss terpacul. 

~Dengan kisah tersebut juga saya memberikan alasan bahawa hujung minggu ini saya tidak boleh pulang ke kampung halaman. Dari corong telefon emak pun menjawab, "Uweekk." Saya yakin emak saya mempercayainya dan tidak meniru perbuatan boss saya itu~

 Nukilan lantun-lantun: maza

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails