Selepas solat Maghrib sementara menantikan solat waktu Isyak di Masjid Abdul Rahman Kahang masuk maza dan rakan-rakan (termasuklah Aleemhumayraa Muhammad, Azhar Aziz-Jahai, Md Yazid Yahya) selalu melepak di kedai Pak Lebai (Intan Norlela). Kami berdendang dan mendengar abang-abang senior seperti Supaat, Ijam, Rosli (Katak), Emy, Amy (Muhammad atau Anak Haji Abu Bustani), Osman Bustani dan lain-lain bermain gitar serta menyanyi.
Selain di kedai Pak Lebai, port (tempat bersenandung) saya berguru di kedai Pak A'ap (Faris Kazkashiki). Guru saya di situ pula ialah abang Ajis (anak Jemari), Ariey (anak Pak Ghani dan Kak Iham) dan beberapa orang lain yang saya tidak ingat namanya.
Daripada mereka inilah saya terinspirasi. Kononnya mahu menjadi artis
Sesuai dengan perkembangan remaja dan zaman itu, antara lagu-lagu yang biasanya didendangkan ialah dari kumpulan EXIST seperti lagu Untukmu Ibu, Rahsia Pohon Cemara, Langkah Seiringan dan lain-lain. (hari ini jika dipinta memainkan lagu-lagu tersebut, jawabnya memang sumbang memanjang. Jejari dah keras kematu. Ahaks!).
Maka tidak hairanlah mengapa Mamat Exist begitu dekat dengan generasi seperti kami. Lagu-lagunya melatari hidup kami di sepanjang meniti alam bernama dewasa.
... Jeda ...
Alkisah maza tertonton rancangan Konsert Gegar Vaganza di saluran Astro 105 yang menampilkan Mamat Exist, semerta-merta terimbau kenangan-kenangan lalu. Antaranya ialah bagaimana di malam hari maza curi-curi mengusung gitar buruk ke hulu ke hilir mahu berguru. Ada masanya maza mencuri memandang, mendengar dan melihat skill bermain gitar dari pemuda-pemuda kampung dan juga bandar.
Melihatkan wajah Mamat Exist tempoh hari dengan bawaan nyanyian, suara dan air mukanya menyebabkan maza menelan air liur lalu terasa sebak sendirian. Terutama apabila terkenangkan nasib beliau yang pernah hidup dalam serba tak menjadi dan terlibat dengan beberapa gejala negatif.
Maza fikir itu adalah pengalaman Mamat Exit yang lampau. Hari ini maza berdoa agar Mamat Exit sihat dan mampu pulih daripada kecundangan hidup. Saya juga berharap dia dapat kembali mewarnai industri seni tetapi dalam bentuk lebih bermaruah dan mendidik jiwa.
Konsert Gegar Vaganza merupakan sebuah pertandingan menampilkan artis-artis era 1990-an. Konserta Gegar Vaganza ditayangkan di Astro 105 dengan siaran langsungnya pada setiap hari Ahad. Mungkinkah Mamat Exit menjadi juara dan menggondol hadiah wang tunai RM100,000?
Nukilan lantun-lantun oleh