‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Isnin, 7 September 2009

Ramadhan: Kampung Cacing #3

Untuk lihat kisah lalu klik sini: Episod 1 dan Episod 2


Sepelusuk kampung kedengaran suara orang memekik. "Lari, lari! Hantu! Hantuuu!". Tapi tiada sesiapa pun berkehendakkan memeriksa keadaan di luar rumah itu.

Abang Miskam tidak menunggu lama. Dia melangkah besar-besar hendak membawa diri ke tempat selamat. Pecutnya sepenuh kuderat. Abang Miskam sudah tidak mengira apa lagi. Dia tidak mahu teraba-raba. Dirasakan kalau teraba-raba, takut-takut tak sempat menyelamatkan diri. Terus nantinya makhluk itu mendakap Abang Miskam lalu menghisap darah di tengkuk.

Mereka yang awalnya memasang lampu laman serta ruang rumah yang masih terang, serta merta memadangkan lampu tersebut. Sudahnya tiada lampu limpah menerangi jalan sempit itu. Malam yang kelam terus menjadi gelap-gelita.

Melihatkan kedaan tersebut, Abang Miskam menggandakan lagi langkahnya. Pecutannya bertambah laju. Habis semua dirempuhnya. Perkiraan wajar sudah padam di minda. Apa yang penting sampai ke rumah dan selamatkan diri!

Tiba-tiba Abang Miskam merasa suasana gelap mengepung dirinya. Kakinya melangkah seolah-olah di awang-awangan. Melayang ke kayangan. Senyuman di bibir terus terukir bersama bintang-bintang yang dirasakan mengelilinginya.

Hanya keesokan paginya di waktu subuh barulah Abang Miskam tersedar. Bukan di atas katil atau di dalam biliknya. Tetapi terlentang di bawah rumah sewa lima orang jejaka.

Rumah kayu atas ini disewa oleh Manot, Samsi, Zailani, Abdul Rahman dan Halim. Mereka merupakan pelajar SSAJ (Sekolah Sultan Abdul Jalil, Kluang, Johor).




(Gambar: Bilakah masanya?)



Mujur Pak Din jiran sebelah rumah budak lelaki tersebut, terlihat Abang Miskam yang terbaring di bawah rumah. Kemudian Pak Din memanggil budak-budak sewa supaya turun dan membantunya mendorong Abang Miskam pulang ke rumah.

Jarak rumah Abang Miskam tinggal beberapa rantai sahaja lagi. Mereka bergilir-gilir memimpin Abang Miskam.

"Patutlah rumah kita malam tadi bergegar. Rupanya Abang Miskam yang langgar." Manot cuba mengingati peristiwa semalam.

Abang Miskam dilentangkan di atas tikar mengkuang di ruang tengah rumahnya. Senang bila orang datang melawat Abang Miskam nanti.

Pagi itu Abang Miskam mengerang-ngerang menahan kesakitan. Lebam sana sini. Benjol kepalanya tampak jelas.

Dari pagi hingga petang orang ramai tidak putus-putus, bagai bertali arus, melawat Abang Miskam.

Ada antara orang kampung itu berlagak seolah-olah tidak bersalah. Kalaulah tidak kerana mereka memadamkan lampu, sudah tentu kemalangan seumpama ini tidak terjadi.

Pak Naim ialah tuan rumah kepada lima orang bujang tersebut. Bukan sahaja rumah yang diduduki lima orang bujang itu dimilikinya. Sekurang-kurangnya terdapat empat buah rumah sewa lain lagi. Semuanya berderat di belakang rumah Pak Naim.

Rumah-rumah tersebut, termasuklah rumah Pak Naim, berada di sisi jalan sempit itu. Sejajar selurus barisan tersusun atur.

Pak Naim memang terkenal dengan sikap gasarnya dari muda dahulu. Sekarang ini pun sikap panas barannya itu sekali sekala terserlah, walaupun sudah naik haji dua tahun lalu.

"Betul ke hantu, Miskam? Bulan puasa setahu aku tak ada hantu. Segala hantu dan syaitan kena tambat!" soal Naim inginkan kepastian.

"Entahlah. Aku tak pastilah pulak. Yang aku nampak ada makhluk kat semak tu. Kepalanya tak nampak. Kakinya pun aku tak nampak. Tiba-tiba aje dia bangun nak serang aku" Abang Miskam menambah perisa di dalam ceritanya sambil mengurut-ngurut dadanya.

"Mungkin juga ada budak-budak kampung yang nak menyakat kau tak? Tapikan kalau aku dapatlah budak-budak ke, atau hantu tu ke di bulan puasa ini sekali pun, aku akan tangkap dia. Aku akan ikat dia kat perdu pokok getah sana tu. Biar dia orang rasakan akibat menyakat orang nak berbuat ibadah ni!" Pak Naim meluahkan rasa geramnya. Bersamangat sungguh.

Setelah beberapa ketika, Pak Naim dan tetamu lain pun mohon diri dan beransur dari rumah Abang Miskam.

****

Petang itu Imam Hamid datang ke rumah Abang Miskam. Imam Hamid menggeleng-gelengkan kepala. Tanda simpati.

"Entahlah Imam. Saya sendiri pun sekarang tak pasti. Mungkin hantu atau jin. Pagi tadi si Naim cakap mungkin budak-budak yang nak sakat saya. Imam rasa-rasa apalah benda alah tu ya?"

"Saya pun kurang pasti. Lagipun saya bukan bomoh, Miskam!" Imam Hamid memandang sekeliling tetamu-tetamu yang ada sambil memberikan senyuman perli. Mereka yang selalu mempraktikan berbomoh-bomoh siam itu segera tertunduk tersipu-sipu. Malu kaedahnya.

"Beginilah. Mengikut pendapat saya ada tiga kemungkinan. Pertama saya setuju dengan kata-kata si Naim tu. Mungkin budak yang nak menyakat engkau.

Kedua, barangkali rezeki kau nak terserempak dengan jin"

"Eh! Bukan ke semua syaitan-syaitan dan hantu diikat sekarang ini imam?" celah Samsi yang tiba-tiba tersedar dari lamunannya.

"Itu syaitan, jin belum tahu lagi. Ini kerana dalam kalangan jin itu sendiri ada jin Islam. Mereka juga beramal seperti kita dan mengambil syariat nabi kita. Jadinya tidak mustahil perkara ini boleh berlaku.



(Gambar: Bertuah orang-orang yang mati di dalam takwa)


Yang ketiganya ialah mungkin juga Tuhan hendak menguji engkau. Lalu Dia menampakkan makhluk-makhluk halus-Nya. Mungkin juga itu ialah malaikat. Siapa tahu kalau-kalau rezeki kau nak jumpa malam Lailatul Qadar.

Hah beruntunglah kau Miskam! Lebih-lebih lagi tatkala itu kau pohon hajat yang baik-baik. Insyallah, Allah SWT akan makbulkan segala doa dan permohonan engkau tu. Termasuklah permohonan masuk syurga tanpa perhitungan di Padang Mahsyar."

"Ooo... Begitu ya imam. Tapi kalau betullah malaikatlah imam, rugilah saya. Saya cabut lari malam tadi. Lagi siap saya panggil dia ''Hantu! Hantu!...' aduhai." Abang Miskam melahirkan kekesalannya.

Abdul Rahman atau lebih tepat lagi lima orang bujangan tersebut ada sama di situ sejak pagi tadi. Kebetulan hari itu cuti. Lagipun keluraga Abang Miskam sudah menjadi keluarga angkat mereka. Tambahan pula malam itu Mak Idah, isteri Abang Miskam, mengajak mereka berbuka di situ.

Abdul Rahman membuka mulut dan bertanya, "Imam. Bukankah malam Lailatul Qadar dikatakan orang munculnya di malam sepuluh yang terakhir?"

"Betul tu. Bahkan ada nas yang diriwayatkan oleh Syaidatina Aisyah bahawa dia melihat Rasulullah SAW akan tingkatkan ibadah; menjadi lebih banyak beribadah dan beriktikaf di dalam masjid di malam sepuluh terakhir berbanding malam-malam yang lain. Lalu para ulama berpendapat malam Lailatul Qadar mungkin jatuh malam sepuluh yang akhir.

Tetapi ada juga sirah menyatakan bahawa Lailatul Qadar sering datang pada malam-malam ganjil.

Bagi saya pula, Tuhan tidak pernah menentukan mana-mana hari atau memberi sebarang alamat hari-hari tertentu. Apa yang dinyatakan di dalam surah Fajr ialah tentang satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan.

Kemudiannya, Allah SWT menyuruh kita mencarinya sendiri. Tetapi bilakah malam Lailatul Qadar itu diturunkan, ia menjadi rahsia Allah.

Barangkali atau yang pastinya Allah SWT mahu menguji hamba-Nya dan menyuruh mereka sentiasa bersiap sedia. Maka seelok-eloknya tiap-tiap hari kita hendaklah beramal soleh.

Tingkatkan ibadah terutama di bulan yang mulia ini. Tidak kira masa dan ketika. Mana tahu, untung-untung bertemulah kita dengan Lailatul Qadar. Dan rasanya apabila kita buat secara konsisten, insyallah kita sebenarnya telah melalui Lailatul Qadar dengan amal soleh sama ada kita sedar atau tidak."

Masing-masing membundarkan mulut dan mengangguk-anggukkan kepala tanda faham.

"Baiklah. Saya minta diri dulu semua. Hari pun dah nak masuk Asar. Jadi untung-untung hari ini Lailatul Qadar datang lagi. Dan mungkin kita menjadi orang bertuah, bertemu dengannya walaupun terpaksa terlantar seperti ini"

"Erk! Tapi imam. Bukan ke Lailatul Qadar tu hanya satu malam?" tanya Samsi lagi.

"Hmm. Bagus juga soalan kau ni wahai anak muda. Betul tu, sesetengah orang menyangka hanya satu malam sahaja malam Lailatul Qadar. Tetapi sebenarnya malam tersebut tidaklah dinyatakan dengan tepat jumlah bilangannya.

Mungkin satu, mungkin dua, mungkin tiga atau tiada langsung untuk tahun ini. Segalanya menjadi rahsia Allah SWT. Tetapi harus diingat. Janji Allah adalah janji benar!

Kalau Allah SWT berkehendakkan tiap-tiap malam Lailatul Qadar pun boleh atau jika Allah berkehendakan hanya satu atau dua atau lima belas sekali pun, Maha Berkuasa Allah mampu melakukan segala-galanya.

Dah sekarang ini apa yang penting ialah kita jalankan tanggungjawab kita sebagai hamba. Dan beramal ibadahlah seikhlas-ikhlasnya. Kerana amalan yang ikhlas itulah yang disayangi dan disenangi di sisi Allah SWT.

Beribadahlah kerana Allah. Carilah kebaikan dan tinggallah segala perbuatan yang dilarang. Mari kita ke surau" ajak imam pula.

Dalam kalangan tetamu itu ada yang bingkis berdiri mahu membontoti Imam Hamid. Ada yang liat untuk solat jamaah. Mereka bangun lambat-lambat dan tersipu-sipu. Kali ini mereka sudah terkena perangkap ajakan Imam Hamid. Apatah lagi mendengarkan pencerahan dari Imam Hamid tadi. Mereka gagahkan juga untuk pergi ke surau kecil di Kampung Cacing itu.

Bersambung... (Klik sini untuk ke episod #1, Episod 2, episod#4 dan episod akhir.)


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails