‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Sabtu, 12 September 2009

Ramadhan: Kampung Cacing # 4

Klik sini untuk lihat episod lalu; episod #1, episod #2 dan episod #3

Saentero Kampung Cacing mengenali Pak Naim. Hari kejadian Abang Miskam dihambat hantu telah menjadi buah mulut orang kampung. Dan hari yang sama itu juga Pak Naim mengumpulkan semua anak-anak muda Kampung Cacing.

Balai raya Kampung Cacing dipenuhi anak-anak muda. Baik baru putus hingus hinggalah yang sudah gatal nak menikah, memenuhi ruang di perut balai raya itu. Pak Naim yang juga AJK kampung merangkap Korporal Rela telah melantik dirinya sendiri sebagai pengerusi mesyuarat tersebut.

"Saudara-saudara sekalian. Kampung kita telah ditimpa bencana. Miskam yang kita kenali telah ditimpa mushibah. Tuan-tuan juga sedia maklum. Kita perlu berbuat sesuatu: Demi menjaga kampung ini!" seru Pak Naim peuh patriotik.

"Betul tu. Kita perlu jaga kampung ini" sorak anak-anak muda yang pantang diprovokasi walau sedikit pun.

"Saya cadangkan kita buat rondaan. Kita bergilir-gilir menjaga kampung ini. Jangan biarkan orang luar atau budak-budak tak semengah menganggu-gugat kampung kita. Bahkan kalau ada alien atau makhluk asing sekali pun; jangan sampai lena kita, anak, isteri kita atau orang tua kita terganggu. Jangan ada lagi kita hidup dalam ketakutan!"

"Betul tu! Kami sokong!..." anak-anak muda Kampung Cacing begitu bersemangat. Mereka berteriak dan bertempik untuk membela nasib kampung ini.

"Jadi, mana-mana anak-anak muda Kampung Cacing ini ingin berjasa dan melibatkan diri dalam rukun tetangga, boleh daftarkan diri ke meja hadapan. Kita akan susun aturkan jadual rondaan dan aktiviti tertentu!"

Sepantas itu juga balai raya menjadi sunyi sepi. Terdiam seketika. Hadirin yang ada diam menikus. Tinggal mata mereka yang terkebil-kebil sahaja. Namun untuk bergerak dan mendaftarkan diri, seorang pun belum ada lagi yang gagah untuk ke hadapan. Bontot masing-masing seperti terpaku dalam-dalam dengan paku lima inci.

"Mari kita berbakti, demi kampung, agama dan bangsa kita!" Pak Naim terus menyeru dan memberikan kata semangat yang membara.

Suasana berubah sedikit. Kini kedengaran seperti hurungan lebah terbang berhampiran. Atau langau yang sedang berkerumun di pungung lembu. Kalau diamati betul-betul, bunyi itu sebenarnya sedang menyampaikan mesej antara satu sama lain.

"Kaulah pergi daftar. Demi kampung kita ni"

"Alamak aku masih kurang zatlah. Tak cukup kuat nak lawan orang. Kaulah pergi"

"Alahai, aku setakat 'orang' boleh lagi aku bagi penumbuk. Tapi kalau terserempak bab 'hantu' ni... aduhai.. Al fatihah tu pun ambik masa setahun setengah, hafal depan Imam Hamid."

Masing-masing saling tolak menolak. Mereka tahu kerja sukarelawan tidak membuahkan sebarang imbuhan. Kalau jatuh terjengkang sekali pun hanya sekadar dapat simpati dari orang kampung. Silap hari bulan, belanja ubat di Klinik Bakti pun ditanggung sendiri.

Setelah dua puluh minit meja pendaftaran dibuka, tiada siapa yang tampil ke hadapan. Lalu Pak Naim membuat dorongan lagi, "Macam ni lah. Saya sendiri akan bercakap dengan ketua Rela daerah dan kita akan minta peruntukan daripada mereka. Juga kita pohon sumbangan dari Jabatan Rukun Tetangga. Untung-untung bolehlah kita membayar elaun untuk mereka yang menjaga kampung ini."

Mendengarkan perihal elaun, segera meja pendaftaran penuh. Berpusu-pusu anak-anak muda, termasuklah si mat pit (penagih dadah) yang bertubuh sekeping itu, mendaftarkan diri. Kononnya mereka juga hendak menjadi hero dan pembela Kampung Cacing.

Setelah ditapis dan dianalisa, hanya tiga puluh orang yang diambil sebagai pengawal malam. Mereka ini dipecah-pecahkan kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan tiga orang untuk rondaan. Dan dua orang berjaga di pos kawalan. Mereka akan berkawal dari pintu masuk kampung hinggalah ke sempadan Sungai Mengkibol itu.

Misi mereka ialah mencegah segala perbuatan mungkar. Termasuklah segala perbuatan menakut-nakutkan penduduk kampung. Pada setiap malam mereka bergilir-gilir mengikut urutan menjaga kampung.

Semenjak itu juga keadaan kampung berubah. Kampung terasa aman. Selesa dan selamat. Tetapi kadang-kadang tak ubah seperti berada di dalam lokap polis pula.

Kalau mat pit, tak usah cakaplah. Mereka semakin malu dan amat jarang, walau pun menjengah kepala di kampung itu. Bagi mat pit, port mereka sudah tergugat. Mereka merasakan seolah-olah berada di dalam Penjara Simpang Renggam. Pergerakan mereka menajdi terbatas!

Selama seminggu itu juga tiada sebarang perkara yang buruk atau diingini berlaku. Termasuklah perbuatan terkutuk mendapat kesan yang sama. Seperti berdua-duaan lelaki dan perempuan di tempat gelap, skodeng anak dara orang, atau pencuri ayam di waktu malam.

Mat pit juga menjadi terkongkong. Tidaklah boleh menyonglap kasut orang kampung atau pakaian di ampaian.

Setelah seminggu berlalu, semangat mengawal kampung semakin melemah.

Pemuda-pemuda mulai merasa bosan. Hanya berdiri, menjengah sana-sini, meronda ke hulu-hilir, kemudian tertidur di atas pangkin pondok kawalan. Sedar-sedar sudah terlajak sahur dan luput sudah waktu subuh!

Akhirnya kawalan semakin diabaikan. Mulalah pemuda-pemuda harapan kampung leka. Mereka pulalah yang adakalanya bermain mata dengan anak dara orang. Hero kampunglah katakan. Tentunya senang mendapat perhatian dan kepercayaan.

Pendek kata, ura-ura 'harapkan pagar, pagar makan padi' mulai terkesan. Mujur Pak Naim dapat mengawal situasi. Kalau tidak, parah juga!

Tapi yang paling mereka betul-betul lemah semangat ialah apabila mereka tidak boleh bermain bunga api, mercun atau meriam sewaktu tiba giliran bertugas. Mereka akan tercongok-congok sambil meleleh air liur bersulamkan rasa cemburu; melihatkan kawan-kawan sebaya sibuk menghiburkan diri.

Apatah lagi jiwa mereka terus melayang teringatkan hari raya tidak lama lagi akan muncul. Ada yang sudah berkira-kira berapa jumlah kuih tahun ini yang hendak dibedal atau rumah awek mana perlu diterjah dahulu di pagi raya pertama.

Pak Naim pun begitu juga. Dia sibuk di siang harinya ke bandar Kluang. Katanya membeli peralatan dan persiapan raya. Tahun ini tema langsir telah ditetapkan. Warna kuning cair. Rumahnya pun sudah berubah wajah. Juga di warnakan kuning cair.

Tetapi rumah sewa di belakang rumahnya itu seperti itu juga. Hal yang sama. Tidak pernah berubah. Kulit kayu rumah tetap berwarna seperti lima tahun sudah. Bila ditanya bila hendak dicatkan yang baru, jawab Pak Naim modal tak ada. Tapi sebelum puasa tempoh hari, kereta proton saga baru telah menjalar di halaman rumahnya.

Peristiwa Abang Miskam yang terserempak dengan makhluk asing itu semakin dilupakan orang. Masing-masing mulai lalai. Leka dengan urusan hari lebaran. Mereka lupa ada sesuatu sedang menanti di sebalik semak samun itu. Mereka alpa dengan mata-mata yang sering mengawasi mereka itu.

Bersambung ke episod akhir.

Klik sini untuk lihat episod lalu; episod #1, episod #2 dan episod #3

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails