Siri Ramadan
Bunga sesudah layu, bertaburan di jalanan. Tiada siapa yang peduli. Berbeza tatkala ia mekar. |
Sebuah bangku panjang setia berdiri teguh menghadap teluk yang dihiasi laluan pejalan kaki dan taman bunga. Pagi dingin itu ramai orang berlari-lari anak, bersenam sambil menghirup udara segar. Taman rekreasi ini tempat orang awam beristirahat, sambil berpeleseran dan menikmati keindahan alam tanpa mengira waktu; hari minggu, siang, malam, pagi, petang.
Dari kejauhan tampak dua batang tubuh manusia sedang berjalan menghampiri bangku usang. Seorang lelaki muda sedang mengiringi wanita tua sambil memimpinnya. Perlahan-lahan wanita tua itu berjalan, gigih menapak satu persatu. Wanita tua kelihatan sedikit uzur namun di matanya ada sinar bahagia. Tidak putus-putus dia melontarkan senyuman. Senyuman bahagia, senyuman ceria!
Mereka melabuhkan punggung di atas bangku uzur, barangkali seuzur wanita tua itu. Mereka berbual seketika. Sekali sekala nenek tua menyeringai menampakkan gigi palsu. Selang beberapa minit lelaki muda pun berkata, “Emak, tinggal di sini dulu. Saya hendak pergi kerja. Sekarang ini saya sudah kelewatan. Takut nanti bos marah dan saya dibuang kerja. Petang nanti, selepas balik kerja saya akan ambil emak di sini. Emak jangan pergi ke mana-mana, ya? ”
Nenek tua dengan lutut sudah goyah mengangguk-anggukkan kepala tanda faham akan kesulitan anaknya.
“Ini ada sekeping kertas. Emak simpan baik-baik. Kalau emak sudah puas di taman ini, emak boleh berikannya kepada pemandu teksi. Jika ada orang bertanyakan emak atau emak perlukan bantuan, emak serahkan kertas ini. Nanti orang itu akan bantu emak dan bawa emak ke alamat saya ini.”
Nenek tua hanya sekadar meleparkan senyuman. Di matanya tetap bersinar bahagia walaupun terpaksa bersendirian.
“Saya kena pergi sekarang. Sudah jam 8.30 pagi, lewat sangat untuk ke ofis. Saya pergi dulu emak,” Hamad mengusap belakang ibunya itu kemudian mencium tangan emaknya sebelum berlalu.
Tinggallah nenek tua sendirian bertemankan bangku usang. Termanggu-manggu. Dia setia di situ sambil melihat laut yang terbentang luas. Sekali sekala bauan haruman bunga-bungaan menyerbu ke serombong hidungnya. Saat itu ibu tua menarik nafas dalam-dalam kemudian melemparkan senyuman. Alhamdulilah . . . dia mensyukuri nikmat Tuhan.
Masa terus berlalu. Detik demi detik meninggalkannya terus sendirian. Namun untuk nenek tua itu meninggalkan bangku usang tersebut tidak sama sekali. Di hati berasa khuatir kalau-kalau Hamad akan datang dan mencarinya. Sekira dia tiada di situ, dia takut akan menyusahkan anaknya itu. Ya, Hamad ialah satu-satu anaknya. Anak tunggal.
Penat datang menerpa, lelah mula menyapa. Matanya berasa letih. Akhirnya nenek tua tertidur di atas bangku panjang yang semakin reput dimakan anai-anai.
“Nenek! Nenek! Nenek!”
Lutut wanita tua itu digoyong-goyong lembut. Wanita tua itu terjaga. Dia sedikit terperanjat. Di hujung kakinya ada seorang kanak-kanak. Mengikut perkiraan beliau mungkin usia sekitar tiga tahun. Nenek tua itu tidak marah setelah lenannya terganggu. Malah tetap melemparkan senyuman manisnya. Kali ini senyumannya cukup lebar. Di hati nenek tua bercambah kegirangan dengan kehadiran kanak-kanak lelaki itu.
Segera nenek tua menyeluk saku. Dikeluarkannya dompet kecil lusuh berwarna merah.
“Ah! Nenek ada sesuatu untuk kamu cu. Tunggu sebentar.”
Terketar-ketar dia mengeluarkan gula-gula dari dompet kecil lusuh berwarna merah. Gula-gula yang dibelinya di gerai tepi jalan sebagai bekal perjalanan. Tinggal satu, ya, tingal satu itu sahaja.
“Nah ambil ni. Ambil! Makanlah.”
Kanak-kanak kecil yang comel tidak mengerti apa-apa mengambilnya seraya memperlihatkan gigi susu tersusun indah.
“Siapa nama cucu?”
“Abdullah”
“Oh! Indahnya nama cucu.”
Belum pun sempat bermesra lebih lanjut, ibu dan bapa kanak-kanak itu menghampiri mereka sambil berteriak-teriak.
“Abdullah! Abdullah! Jangan kacau nenek. Kenapa makan gula-gula ini? Tak elok. Bak sini!” tegas si isteri lalu melemparkan gula-gula itu ke tanah.
Nenek tua hanya menguntum senyuman. Ibu muda segera mengendong Abdullah. Dia berlalu begitu sahaja meninggalkan nenek tua sendirian tanpa sebarang patah kata-kata, kecuali bebelan memarahi anak kecil itu. Si suami sekadar mendiamkan diri. Membiarkan sahaja perlakuan si isteri.
Damia Foto: ronawarna.blogspot.com |
Matahari sudah meninggi. Seingat nenek tua, dia belum lagi menjamah sebarang makanan daripada semalam. Gula-gula tadi sudah diberikan kesemuanya kepada Abdullah. Untuk tidak melayan rasa lapar yang memulas-mulas, dia memandang ke kanan dan kiri mencari helah untuk menipu akal dan usus perutnya. Namun asid urik di dalam tali perut tidak mudah ditipu. Ia tetap meronta. Merengsa dan menggelegak memujuk-rayu hendak melumat makanan.
Nenek tua terpandangkan seorang anak muda yang sedang menghampiri sebuah tembok. Di genggamannya ada sebekas beg plastik. Setelah pemuda itu duduk di atas tembok, dia pun mengeluarkan bekas di dalam plastik tadi. Bekas itu dibuka lalu terpamerlah nasi berlauk ikan sambal. Pemuda itu menyuakan makanan ke dalam mulutnya. Satu suap, ke satu suap, ke satu suap. Halkumnya bergerak-gerak. Kerongkongnya terus menelan makanan. Pemuda itu terus mengunyah tanpa menghiraukan keadaan sekeliling. Tidak menghiraukan nenek tua yang sedang kelaparan.
Nenek tua hanya mampu menelan liur sendiri. Dalam diam dia memujuk diri agar terus bertahan. Perlahan-lahan nenek tua mengalihkan pandangan sambil menekan-nekan perut.
Sabarlah wahai perut, sebentar lagi Hamad akan mengambil kita. Ketika itu kau akan ku penuhi dengan makanan enak. Sekarang ini kau perlu bertahan. Aku tidak boleh tinggalkan bangku ini, takut nanti Hamad tidak menemui kita dan akan menyusahkan dia pula. Aku tak mahu menyusahkan anak-anak, kata nenek tua sendirian.
Disebabkan tidak tertahan menanggung kelaparan nenek tua tertidur di atas bangku itu.
Pengunjung semakin ramai datang ke taman. Petang yang redup dengan matahari bersinar cerah amat sesuai untuk beriadah. Ramai warga kerja sudah pulang dari tempat kerja masing-masing. Ada yang mengambil kesempatan untuk berpeleseran dan memadu asmara saat cinta sedang bugar.
Keriuhan itu menjagakan nenek tua. Dia memerhati sekeliling. Orang yang ditungguinya masih tidak kelihatan. Hamad, anaknya, belum menampakkan bayang.
Usai mesyuarat yang memenatkan dan menekan jiwa, seorang pemuda pun pulang dari pejabat lalu singgah di taman itu. Dia terlihat seorang nenek tua bersendirian di atas bangku lusuh. Bangku itu jugalah tempat dia selalu melepaskan perasaan bukam. Di situ jugalah tempat dia menenangkan fikiran. Di situ juga dia beriadah. Di situ juga dia bermenung sendirian; mengenang nasib atau melepaskan angan-angan.
Pemuda itu menghampiri bangku kesayangannya. Kalau tidak dapat duduk di bangku itu untuk hari ini, duduk bersebelahan dengannya di atas rumput pun tidak mengapa. Nanti, selepas nenek tua itu mengangkat kaki, gilirannya pula akan melabuhkan punggung di situ. Dia akan memunyai segala waktu dan persekitaan yang ada di situ. Ah! Seperti orang jatuh cinta; gian dengan bangku usang, yang reput dan menanti rebah.
Belum pun sempat hendak melabuhkan punggung, nenek tua itu perasan kehadiran pemuda tersebut lalu melemparkan senyuman manis kepadanya.
“Boleh saya duduk di bangku di sebelah sini,” pinta pemuda itu.
Nenek itu mengangguk seraya mengukir senyuman yang melekat di bibirnya tanda memberi keizinan.
“Silakanlah nak.”
“Biasanya tiap-tiap petang saya akan duduk di bangku ini. Dan tiada siapa yang sudi duduk di sini sejak ia hendak roboh.”
“Maafkan makcik. Makcik tak tahu. Makcik baru sampai pagi tadi di bandaraya ini.”
“Makcik buat apa di bandar ini?”
“Oh . . . makcik nak pergi rumah anak makcik. Hamad namanya. Jam 7.00 pagi tadi makcik sampai ke stesen keretapi. Jadi, Hamad ambil makcik dan hantar makcik ke sini. Lepas tu dia terpaksa tinggalkan makcik sebab katanya kena pergi ke pejabat. Dia sudah terlewat. Err . . . siapa nama anak?”
“Abdullah, makcik.”
“Oh sedap nama tu. Maksudnya . . . Hamba Allah.”
Abdullah tersenyum sambil mengangguk-anggukan kepala, “Terima kasih makcik.”
“Abdullah, boleh makcik minta sedikit air? Tekak makcik ni terasa hauslah,” nenek tua itu terlihatkan di tangan Abdullah ada sebotol kecil air mineral. Ada separuh lagi air di dalamnya.
Sambil melemparkan senyuman, Abdullah pun menyerahkan botol minuman itu.
“Bismillahirahmanirahim . . .” nenek tua meneguk air dengan pantas. Diteguknya bersungguh-sungguh, sudah seperti seekor singa yang sangat kehausan di padang sahara. Abdullah tercengang. Mulutnya bundar melihatkan kelakuan nenek itu.
Selesai minum makcik itu pun berkata, “Sebenarnya makcik pertama kali ke sini. Kali pertama pergi ke rumah anak makcik. Makcik bersyukur sangat kerana Hamad sudah berkahwin. Dia berkahwin dengan wanita yang sangat cantik. Dari keluarga 'orang berada' dari bandar inilah (sambil melemparkan senyuman). Oh ya, sebentar!”
Nenek tua itu sungguh bangga dengan anaknya, Hamad. Di bibirnya tidak lekang daripada senyuman. Dia terus memuji-muji anak tersebut. Dalam diam-diam Abdullah mula mengagumi Hamad. Semuanya kerana cerita nenek tua itu yang tidak putus-putus memuji anaknya.
Nenek tua menyeluk saku. Dia mengeluarkan sebuah dompet kecil lusuh berwarna merah. Kemudian dibuka dompet kecil itu. Lalu mengeluarkan sekeping gambar.
“Ini gambar cucu makcik. Comel tak?” nenek tua menghulurkan sekeping gambar berukuran passport.
“Comelnya . . . berapa umur dia?”
“Baru setahun enam bulan. Harun namanya. Inilah kali pertama makcik datang ke rumah Hamad hendak melawat menantu dan cucu makcik itu. Dekat tiga tahun semenjak Hamad bernikah, mereka tak pernah pulang ke kampung menjenguk makcik. Katanya perjalanan dari kota ini ke kampung memakan masa lama. Berjam-jam. Berhari-hari!” bersungguh nenek tua itu bercerita sambil matanya terjengkil.
“Isterinya tidak selesa. Isteri dia tak biasa dengan kehidupan kampung. Lagi pun rumah peninggalan arwah suami makcik bersaiz kecil. Macam gubuk buruk. Reput sana sini. Gelegar pun menanti patah. Tentulah dia tidak selesa, kan? Ah, nantilah kalau ada rezeki lebih, makcik besarkan rumah itu. Tambah bilik untuk cucu makcik sama (senyum girang). Tapi . . . tu hari Hamad cakap isterinya tak tahan nyamuk. Di kampung memang banyak nyamuk. Dia takut isterinya terkena demam malaria. Lagi pun susah isteri dan Harun hendak bergerak, perjalanan ke kampung sangat jauh dan meletihkan. Jadi, Hamad pun tak bawalah anak bininya pulang ke kampung. Sekarang ini, biar ajelah makcik datang melawat mereka,” nenek tua itu terus bersemangat bercerita tanpa putus-putus melemparkan wajah yang manis.
“Rupanya memang jauh pun perjalanan dari kampung makcik ke sini. Lebih kurang 12 jam perjalanan jugalah. Hahaha . . .” sambung nenek tua.
Nenek tua kembali menyeluk dompet kecil lusuh berwarna merah. Dompet itu sudah terkoyak di sebelah tepinya. Kali ini dia mengeluarkan seutas rantai emas berloket delima. Loket dan rantai emas itu bereka bentuk lama, reka bentuk klasik, citarasa zaman orang dahulu.
“Apa pendapat Abdullah tentang rantai ini? Seikhlasnya!”
“Cantik. Kemas buatannya.”
“Hahaha (tertawa). . . rantai ini makcik nak hadiahkan untuk menantu makcik. Rantai pusaka turun temurun. Ah! Makcik sudah tua. Dah tak berguna. Makcik tak perlukannya lagi. Makcik hendak perturunkan rantai kesayangan ini kepada menantu makcik.”
Abdullah dan nenek tua itu terus leka berbual-bual. Mereka adakalanya bersenda seperti orang yang sudah biasa mengenali antara satu sama lain. Abdullah pula tidak janggal menyantuni si nenek tua.
“Sudah lewat petang ni. Mana anak makcik tak sampai lagi?” Abdullah melontarkan pertanyaan. Matahari semakin rendah di ufuk barat. Kaki langit di horizon barat sudah tampak ke kuning-kuningan. Pengunjung semakin berkurangan. Boleh dibilang dengan jari.
“Dia sibuk agaknya. Mungkin kejap lagi dia sampailah tu.”
foto: ronawarna.blogspot.com |
“Tak mengapalah nak. Makcik tak mahu mengganggunya. Dia sedang mencari rezeki untuk menantu dan cucu makcik. Nanti menyusahkan dia pula. Makcik tak mahu dia mendapat susah hanya kerana makcik,” nenek tua masih tetap melemparkan senyuman. Dia tetap teguh berfikiran positif terhadap satu-satu anaknya itu.
Tiba-tiba nenek tua teringatkan sesuatu, tentang secebis kertas kuning yang Hamad berikan pagi tadi. Kertas itu berlipat kemas. Nenek tua menyimpannya sebaik mungkin. Dijagai seumpama barangan berharga. Seperti emas atau harta pusaka yang tinggi nilainya. Nenek tua menyeluk saku dan mengeluarkan kertas itu.
“Hamad ada tinggalkan kertas ini kepada makcik. Maaflah makcik tak tahu membaca (sambil melemparkan senyuman sesal). Kata Hamad, ini alamat ke rumahnya (kembali ceria). Dia suruh makcik berikan kepada sesiapa yang bertanyakan hal makcik. Dia cakap nanti orang itu akan tahu hendak berbuat apa,” bulat matanya bersungguh.
Kertas kuning lusuh yang berlipat itu Abdullah buka. Kemudian Abdullah membaca:
“Tolong hantarkan emak saya ini ke rumah kebajikan orang-orang tua yang berdekatan.”
Berkerut kening Abdullah. Kemudian dia mendongak melihat muka ibu tua itu.
“Kenapa nak?” tanya ibu tua sambil melemparkan senyuman; palitan senyuman yang polos paling manis dan bersahaja.
*** Tamat ***
nukilan