‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Rabu, 8 Ogos 2012

Amar Kenapa Kau Membisu

Aku seorang guru kelas yang mengajar di sesi petang. Sekolah ini di kelilingi rumah orang-orang yang berada. Paling tidak pun mereka bekerja sebagai kerani.

Namun, ada seorang murid di kelas aku yang tiap-tiap hari datang lewat. Bajunya selalu tidak kemas. Renyok sana-sini. Kadang kala terkeluar dari disisip masuk ke dalam seluar biru itu. Selalunya apabila masuk kelas, bajunya hamis. Bau peluh!

Entah apa yang terjadi pada hari itu, aku telah naik angin. Tidak mampu membendung kemarahanku lagi. Mungkin disebabkan teguran guru besar terhadap prestasi mengajarku pada setengah jam lalu. Ditambah pula berang dengan sikap Amar yang sering datang lewat.

"Amar! Kenapa kau datang lewat? Hari-hari kau datang lewat?" aku mengherdik dengan garang. 

Amar membisu dan sedikit terketar-ketar. Sepatah pun dia tidak bersuara.

"Mari sini. Dengar sini kelas! Cikgu tidak suka ada orang datang lewat ke kelas. Mereka yang lewat, akan menerima hukuman!"

Aku mengangkat rotan setinggi-tingginya, lalu melibas punggung anak kecil yang kurus itu tanpa belas kasihan.

"Zapp!!! Zapp!!! Zapp!!!" hati aku menjadi puas seketika.

Amar membiarkan sahaja rotan itu meratah punggungnya. Dia masih mendiamkan diri. Hanya airmata yang mengalir perlahan. Sedikit pun dia tidak membantah atau mengelak. Amar menadah dengan redha!

Setelah menerima hukuman, dia mengambil tempat duduk di belakang sana. Amar duduk menyenget, rasa kurang selesa. Barangkali disebabkan pukulan tadi. 

Entah bagaimana, aku kembali menjadi tidak puas hati dengan anak kecil itu. Hati aku terus memberontak untuk mencari jawapan sendiri kenapa Amar selalu datang lewat. Petang itu aku dapatkan alamat rumah Amar di pejabat. 

Keesokan tengahari, aku mula mengendap. Mengintip segala gerak-geri Amar di rumahnya. 

Baru aku tahu, rupa-rupanya Amar tinggal di kawasan setinggan. Jarak rumah Amar dari sekolah tidak kurang daripada 2 batu.

Dari muka pintu yang hampir menyembah bumi, aku lihat seorang perempuan di sisi Amar. Barangkali itu ibunya. Mereka kelihatan gelisah. Mundar mandir di hadapan pintu. Seperti ada yang tidak kena.

Amar masih tidak berbaju, hanya berseluar pendek dan berselipar. Seolah-olah dia belum bersedia mahu ke sekolah. Pada hal lagi setengah jam waktu persekolahan akan bermula. Ini menyebabkan aku marah dan tertanya-tanya!

Tidak lama kemudian, ada seorang budak yang lebih tua daripada Amar. Dia belari dengan sekuat hati sambil tergesa-gesa membuka baju sekolah! Sebaik tiba di muka pintu, segera segala pakaian sekolah itu diserahkan kepada Amar. 

Tanpa banyak bicara, Amar mengenakan semula pakaian itu. Sambil berlari-lari anak dia cuba mengenakan stoking dan kasut putih lusuh. Kemudian berlari sekuat hati. Memecut laju meninggalkan rumah usang ke  sekolah.

Si ibu muda menghembuskan nafas lega sambil meramas-ramas tangan budak seorang lagi. Tanpa mempedulikan Amar yang tidak menoleh ke belakang, ibu muda itu tetap setia melambai-lambaikan tangannya. Seolah-olah mengucapkan selamat jalan kepada anak kecil itu pergi menuntut ilmu.

Aku tersentap! Benar-benar tidak menyangkakan apa yang aku saksikan tadi. Perlahan-lahan aku meninggalkan keluarga tersebut dan berlalu dengan bermotorsikal ke sekolah. 

Di sekolah aku memanggil Amar. 

"Amar! Sebenarnya tadi cikgu mengintip kamu di rumah kamu ketika kamu hendak ke sekolah. Siapa budak yang berlari-lari sambil buka baju itu?" soal aku inginkan kepastian. 

Amar terkejut besar! Tergamam seketika. Dia menjadi serba salah. Dalam teragak-agak dia menjawab, "Itu abang saya cikgu. Dia bersekolah sebelah pagi."

"Kenapa kamu bertukaran baju?"

"Kami ada sepasang uniform sekolah dan sepasang kasut sahaja cikgu. Kami terpaksa gunakannya bergilir-gilir." jawab Amar dengan suara perlahan sambil kepalanya tertunduk ke bawah.

"Masa cikgu tanya semalam, kenapa kamu tidak jawab?"

Dengan nada lemah, Amar terketar-ketar menjawab, "Emak saya pesan, walaupun kami orang msikin dan susah, jangan jadi orang yang suka meminta-minta. Kita kena tabah menghadapi ujian hidup. Selagi kita boleh berusaha, kita kena bertahan. Emak cakap lagi, biarkan sahaja cikgu hukum saya berulang-ulang kali sehingga cikgu puas. Mengadu kesusahan, jangan sesekali. Apatah lagi memberi alasan. Kerana berkat ilmu dari cikgu itu penting untuk berjaya dalam hidup."

Aku tidak dapat menahan perasan. Pantas aku menarik tubuh kerdil anak itu. Lalu ku peluk erat-erat. Aku mendongak sedikit mahu menyeka airmata dari mengalir. Namun pecah juga keegoanku. Rasa bersalah terus-terusan menghentam dinding jantung. Gelodak itu bukan kepalang. Dadaku menjadi sebak, sempit dan sesak. Lalu berderai laju airmataku jatuh ke bumi.

"Maafkan cikgu, cikgu tak tahu nak! Maafkan cikgu! Cikgu terlupa ada insan seperti kamu," aku usap tubuh itu bersungguh-sungguh sambil suaraku tersedu-sendan. Seolah-olah orang yang bertaubat nasuha daripada melakukan dosa-dosa besar di malam dinihari.

Semenjak hari itu, aku cuba membantu Amar dan keluarganya. Pernah aku menjalankan kutipan derma untuk membantu keluarga yang miskin. Aku bertekad untuk mendidik jiwa anak-anak muridku agar menjadi insan yang perihatin, berjaya dan berguna di dunia dan akhirat. 

Bersempena Ramadan ini, marilah kita perbanyakan sedekah. Bantulah mereka yang susah. Jangan lupa kepada mereka yang memerlukan. Pandang-pandanglah di sekeliling kita.

***nukilan lantun-lantun maza.

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails