‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 6 Mei 2011

Ummu Fatt: Hari Ibu

Tanpa ibu maka amat mustahil untuk kita hidup di dalam dunia nan fana ini. Dengan pengorbanan ibu melahirkan kita maka kita hadir sebagaimana kita hari ini. Melalui pengorbanan ibu jugalah hari ini kita mampu bernafas, bermain, bergurau, berkerja, berkenderaan, melancong dan berjaya. 

Kembang mengelembu harum kemboja
Bunga kenanga taman larangan
Sayangkan ibu membawa ke syurga
Kasihkan bonda durhaka jangan


Sempena Hari Ibu yang disambut oleh negara ini pada 8 Mei 2011 marilah kita kenangkan jasa ibu. Sama-sama kita ingatkan tentang kasih dan pengorbanan beliau yang lalu waema ibu kita itu sudah uzur, masih segar atau sudah tiada di dunia ini.

Dahulu, tatkala hendak ke sekolah, emak maza sering meminyakkan rambut maza dengan minyak kelapa atau minyak masak. Ketika itu hendak membeli minyak rambut, seperti minyak rambut jenama code 10, masih kurang berkemampuan. Duit yang ada perlu disalurkan kepada keperluan yang lebih penting.


Selepas rambut diminyaki, emak menyikatkan pula rambut maza yang tidak berapa helai itu. Sambil-sambil itu emak menyampaikan amanat, "Maza, belajarlah rajin-rajin agar menjadi manusia berguna. Kelak engkau juga yang berbahagia. Bila senang jangan lupa pada mereka yang susah. Emak tak minta harta kekayaan engkau nak. Emak tak mahu uang ringgit kau. Asalkan kau senang tidak susah seperti kami cukuplah. Cuma emak pinta kenangkanlah emak. Engkau ingatlah emak dengan mendoakan emak. Kirimkanlah fatihah (surah) di atas kuburan mak nanti. Itu sudah cukup untuk emak. Sudah, ... pergi sekolah tu! Jalannya berhati-hati ya. Dengarlah kata cikgu...."

Maza yang polos tentang dunia hanya mengangguk-anggukkan kepala. Pagi yang hening itu maza mengorak langkah dengan berkasut lusuh berkoyak sana-sini hendak menuntut ilmu. Selepas bersalaman dan mencium tangan kanan emak, maza pun bepergian.

Selang beberapa tapak kami adik-beradik menoleh ke belakang. Dan emak masih lagi terpacak di muka pintu. Tangan emak terus-terusan melambai-lambai. Emak tidak berganjak. Kekal berdiri di sana sehinggalah kelibat kami hilang ditelan kabus dingin pagi.


Tatkala umur baru mencecah 8 tahun, demam kuat menyerang maza. Emak berjaga siang dan malam. Tidak jemu orang tua itu biarpun sudah seminggu kehangatan demam berlarutan. Bukan setakat menjaramkan kepala di kelam malam yang sunyi sepi, emak turut memeluk dan mengusap kepala ini. Emak menolak ke tepi jauh-jauh tentang gerun kalau-kalau dia pula diserang bakteria, kuman perosak!

Emak memeluk pejap tubuh kerdil ini. Emak berusaha untuk memusnahkan erangan berat yang terpacul dari bibir mungil tanpa maza sedari. Di dalam dakapan hangat itulah maza berasa selesa. Tenang tiba-tiba menerjah jiwa yang sedang gering tak ketahuan bila sembuhnya.

Wajah maza dibelai-belainya. Serentak itu juga terasa air matanya mengalir di pipi mengenai muka maza. Air mata sayu itu luruh pabila melihatkan anak ini terlantar di dalam pangkuannya. Sudah lebih seminggu demam panas masih tidak kebah-kebah.

Dan tidak semena-mena air mata ibu itu telah membuatkan maza terjaga. Air mata suci ibu inilah yang telah menghambat pergi kepanasan tubuh yang mencengkam tadi. Nyah pergi sengsara itu! Sedikit demi sedikit air mata suci ibu mengembalikan kedinginan dan kepulihan pada tubuh longlai ini.

.....

Maza yakin kengkawan juga punyai kisah tersendiri yang dikongsi bersama bonda masing-masing. Mungkin sempena Hari Ibu ini kengkawan bolehlah menulis tentangnya sebagai tanda penghargaan. 

Juga maza ingin mengingatkan diri sendiri agar ambillah masa untuk menjenguk orang tua di kampung tatkala mereka masih ada.


blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails