‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Jumaat, 23 April 2010

Helmat Che Mat Hilang


(Gambar: Kawasaki EL250)

“Ah! Siapa pulak yang rembat* helmet aku ni? Celaka betullah orang yang rembat tu!” Che Mat kebingungan.

“Aduh, bagaimana aku hendak balik ni?” dia mulai bermonolog sendirian sambil mencari jalan untuk pulang.

Di hujung padang itu dia terpinga-pinga mencari akal. Tiba-tiba dia teringat di dalam peti di belakang motornya ada sehelai kain. Ya, kain serebannya yang semalam! Dia terlupa untuk membawa masuk ke rumah. Tertinggal di dalam peti itu.

Che Mat mula berkira yang dia masih bernasib baik walaupun hatinya berterusan menggerutu; marah dengan tindakan budak-budak ganja yang jahat. Salah Che Mat juga, dia yang terlupa lalu meletakkan helmet itu di bakul motor. Hendak cepat benar dan terburu-buru hingga lupa hendak simpan ke dalam peti di belakang motornya itu.

Hari semakin gelap, senja mahu berlabuh sebentar lagi. Dia juga tidak mahu ketinggalan untuk berjamaah di masjid baru di kampungnya itu. Lagipun Che Mat sudah berjanji dengan Pak Amirullah untuk pergi kenduri di rumah Halim selepas solat Isyak. Siapa yang tidak mahu pergi ke rumah Halim!? Sebut sahaja kenduri rumah Halim serta merta terbayangkan masakan yang enak-enak. Memang Halim champion di kampung itu kalau disebut bab-bab masak dan makan-makan ini. Tahu sahaja tempat mana yang elok, mana yang sedap!

Tanpa berlengah Che Mat melilitkan serban buruknya di kepala. Dia cukup yakin kalau bertembung dengan polis dan polis tidak akan menahannya. Lagipun Che Mat tahu benar tentang undang-undang lalulintas. Kalau ditahan juga, salah hemat polis itu akan menyesal. Akan dihamburkan segala hujah yang penuh akademik. Usah diajak bermain undang-undang dengannya. Dia memang mahir benar soal yang satu itu. Dia percaya yang dia sudah mematuhi segala peraturan jalan raya dan tidak ada sebab polis untuk menyamannya.

(Gambar: Terkial-kial mengayuh)

Telahan Che Mat menjadi. Baru sebatu dia bermotor, kemudian terserempak dengan sekatan jalan raya. Dia tersenyum dalam menggelabah.

Che Mat mulai menghampiri. Dia membuat muka tidak bersalah! Muka orang-orang yang soleh. Macam muka tok bilal di masjid sana. Sekejap serius, sekejap tersenyum, cuba menggayakan agar lebih tampak beragama, langsung menimbulkan rasa hormat dan belas kasihan. Dia cuba menyakinkan polis bahawa dia adalah kalangan lebai-lebai yang teguh imannya.

Dari kejauhan Sarjan Misai sudah menggeleng-gelengkan kepala. “Budak ini memang nak kena!” Sarjan Misai berbisik sendirian.

Sebaik Che Mat cuba melepasi sekatan itu, Sarjan Misai menahannya.

“Ke tepi, ke tepi encik” Sarjan Misai mengangkat jari telunjuknya dan mengarahkan Che Mat supaya berhenti di sisi jalan raya itu.

Dengan penuh keberanian Che Mat pun berhenti sambil memperlihatkan muka yang semanis-manisnya.

“Ya datuk*, apa yang boleh saya tolong?” Che Mat mula bersuara.

“Boleh saya dapatkan IC dan lesen.” Sarjan Misai meminta kerjasama.

Che Mat mematuhi dan berikan apa yang dipinta itu. Dia tidak merasa sebarang syak bahkan kembang-kempis hidungnya. Dia kalau boleh memang mahu menunjukkan gambar terbarunya itu kepada sesiapa jua. Ah sungguh kebetulan Sarjan Misai memintanya, dan Che Mat tidak perlu lagi untuk mempromosikan gambar lesen yang terbarunya itu. Gambar bersama rambut panjang berteknik rebounding.

“Ini dia datuk” Che Mat menghulurkan dengan rasa bertuah.

Kemudian Sarjan Misai membelek IC dan lesen memandu itu. Setelah itu Sarjan Misai mula menulis butiran kad pengenalan dan lesen ke dalam sebuah buku. Buku itu dikenali oleh Che Mat. Ya buku saman!

“Eh, kenapa saya di saman datuk?! Apa salah saya!” terbeliak mata Che Mat dan mula gabra. Rasa tidak puas hati mula berselaput. Tidak senang duduk di atas pelangkin motor itu. Dia mahukan penjelasan. Ini tidak boleh jadi fikirnya.

“Encik sudah melakukan kesalahan. Encik tidak memakai helmet ketika menunggang motorsikal. Ia menyalahi undang-undang, encik.” jelas Sarjan Misai.

Merah padam muka Che Mat. Che Mat marah. Baginya Sarjan Misai sudah melampau. Apa Sarjan Misai tidak tahu undang-undangkah?! Atau mempermainkan soal pakaian orang beragama yang satu ini?


***********************************************

"Lima Lebai Bebas

Oleh Mohd Sabran Md Sani
sab@hmetro.com.my
2010/04/23 (Jumaat)

TUMPAT: “Kami bagaikan tidak percaya dan bersyukur kerana dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” kata seorang pelajar sekolah pondok, Adli Abdul Halim, 23, di luar Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Adli berkata demikian sejurus dia bersama empat rakannya dari Sekolah Pondok Gelang Mas, Pasir Mas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan saman berikutan tidak memakai topi keledar dan berserban ketika ditahan polis, pada 28 April lalu...."

*******************************************



Che Mat menongkat motornya sambil mengetap bibir.

“Apa ini datuk? Takkan datuk tak tahu undang-undang pulak? Bukankah saya memakai serban sekarang ini? Dalam undang-undang melalui Kaedah-Kaedah Motosikal (Topi Keledar) 1973 yang dibaca bersama Pengecualian 1975, menyatakan pengecualian hanya untuk seseorang bergelar haji, Sikh dan lebai. Maka orang yang memakai serban atau memakai lebai seperti yang saya pakai ini adalah tidak salah!” kembang kempis hidung Che Mat menerangkannya; berselang geram dan puas.

Artikel 151 Perlembangan Malaysia, menyebut agama Islam adalah agama rasmi. Oleh itu perkara-perkara yang berkaitan dengan amalan agama Islam kenalah hormat. Kalau tidak datuk telah melanggari Perlembagaan Negara. Dan datuk juga yang akan susah nanti” sambung Che Mat. Rasa bangga masih terlekat di hatinya kerana dia sempat menghafal segala undang-undang dan perlembagaan negara. Habis semua dimuntahkan.

Apa tidaknya, Che Mat memang pernah mengaji di fakulti undang-undang di salah sebuah universiti tempatan sewaktu dahulu. Masa inilah dia perlu menggunakannya, terutama keadaan sekarang.

Sarjan Misai masih terus menulis buku samannya. Antara dengar dan tidak dia melayani kerenah Che Mat. Sesekali dia menoleh ke arah Che Mat yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan dirinya.

“Dah sudah ker encik berhujah? Kalau sudah berhujah tolong ambil saman ini dan tandatangan di sini.”

“Eh! Kan saya dah cakap, saya tidak bersalah, buat apa saya sign di sini?” Che Mat tunjukkan penentangannya.

“Hmm macam nie lah encik. Saya akui apa yang encik katakan itu. Masalahnya sekarang, takkanlah seorang lebai memakai serban tetapi berseluar pendek dan berkasut bola tergantung di leher? Dan saya tidak tahulah pula kalau zaman sekarang ini lebai sudah bertukar fesyen. Seperti apa yang encik pakai sekarang. Erk! Boleh encik turunkan tandatangan sekarang?” terang Sarjan Misai serba ringkas.

(Gambar: Nasrun)

“Erk!?” itu sahaja yang sempat terkeluar dari mulut Che Mat. Baru dia sedar yang tadi dia baru selesai bermain bola. Di padang itulah tempat dia bermain dengan teman-teman sekampungnya. Che Mat mulai terperangkap. Segala teknik hujahan dan pelajaran yang terhembur tadi sudah mulai ‘makan tuan’.



Khamis, 22 April 2010

Berharbinasi seketika...

Semalam suhu badan kurang memberangsangkan. Nampak gayanya virus sudah dipindahkan dari anak maza no. 2 kepada maza. Sebelum ini virus yang sama juga telah ditransfer kepada ibu dan anak-anak maza yang lainnya.

Ku sangka panas sampai ke petang, rupanya hujan di tengahari. Maza telah diserang demam.

Rasa geram pun ada. Mahu sahaja maza tendangkan virus itu macam tendang bola. Aduhaii..

Dari itu kengkawan, maza berharbinasi dululah ya...

Sambil-sambil itu, kengkawan boleh ler bersuka-ria macam budak-budak riang di bawah ini. ... uhuk!...

Selasa, 20 April 2010

Lancang Kuning mampu dijadikan pilihan alasan.



"Syahdan tersebutlah kisah pengembaraan yang hebat. Lancang Kuning belayar malam. Nakhoda Sri Kandi sedang memerhati ke hadapan. Sesekali menggunakan teropong mencari dataran.

Sri Kandi dan para hulubalangnya sudah berkelana hampir dua tahun. Selama itu jugalah mereka telah menetap di atas kapal.

Petang itu juak-juaknya sedang sibuk memancing ikan. Sabit kata mahu dibuat ikan BBQ malam nanti. Itu jugalah makanan ruji mereka hari-hari setelah setahun setengah mereka belayar.

Di atas Lancang Kuning itu terdapat beberapa tiang. Tiang besar di tengah-tengah dipasangkan orang layar. Layar itulah pemacu mereka. Mereka berlayar laju. Ikan lumba-lumba pun tewas oleh kerananya.

Shayugia juragan pun berpekik, "Nakhoda Sri Kandi. Nakhoda Sri Kandi! Kita sudah jumpa daratan. Di sana, di sana!"

Lurus telunjuk juragan mengarahkan ke dataran hijau itu.

Sri Kandi dari atas pelantar tinggi di Lancang Kuning tersenyum riang. Hatinya girang. Gudah gulananya segera berlabuh hilang.

Juak-juak, awak-awak dan anak kapal yang sedia ada bersorak. Bertempik sana sini. Hiruk-pikuk jadinya.

Dalam pada mereka bergembira itu, arakian datanglah segumpulan awan hitam. Di dalamnya ada ribut, puting beliung dan petir guntur berdentum.

Keriangan tadi terus mati. Angin yang lembut bertukar ganas. Membadai Lancang Kuning bertali arus.

Sri Kandi di atas Lancang Kuning itu pun terhuyu-hayang. Kakinya tidak pernah diam tetap. Badannya dilambung-lambung ombak.

Ombak tidak henti-henti menghempas-pulas ke dinding Lancang Kuning. Hingga airnya memancut tinggi membasahi badan Sri Kandi."

Demikianlah cerita Seri kepada suaminya setelah terjaga dari mimpi. Banyak kencingnya itu hingga membasahkan suami dan anak-anak yang tidur di sebelah.

"Itu pasallah saya lambat tuan. Tilamnya besar dan berat. Kalau saya tak tolong isteri saya mengangkat dan mencucinya, jawabnya malam nanti kami tak dapat tidur di atas tilam pula. Boleh sakit-sakit badan. Dan kerja pun tak produktif. Lagi pun ia najis jenis muntanajis. Maaf tuan." kata Yusri suami Seri. Cerita yang sama itu juga dipanjangkan kepada boss yang sedang merenung tajam ke anak mata Yusri. Hari ini untuk kesekian kalinya Yusri lewat dua jam ke tempat kerja.

Mesej.

1. Alasan yang baik untuk datang lambat ke ofis.
2. Kaedah mencuci tilam yang kena kencing.
3. Siapa cakap dah bernikah, tua bangka tak kencing malam? Atas tilam lagi.
4. Jangan lupa malam ini di TV2, "Jangan Pandang Belakang Lagi".
5. Akhir sekali, selamat hari Selasa kengkawan yang best-best itew!




Ahad, 18 April 2010

Jalan terhuyu-hayang. Hidup melayang-layang.


Petang minggu beberapa minggu lalu, maza dan keluarga sempat merayau-rayau sekitar Kuala Lumpur.

Kali ini kami singgah di sebuah bukit. Bukit Layang-layang di Selayang menjadi tumpuan maza. Sungguhpun sudah berdekad tinggal di Kuala Lumpur, tapi kali inilah yang benar-benar maza sempat melawat di situ.

Walaupun cuaca tidaklah berapa kondusif.. tapi maza tabahkan hati juga. Beriadah sambil bersiar-siar mencuci mata hati.. hehehhehe


Di bukit indah bersebelahan tasik itu, bukanlah maza mahu bermain layang-layang. Atau anak-anak maza mahu bermain layang-layang.

Sebenarnya maza hendak skodeng orang ramai main layang-layang. Sambil-sambil itu, maza 'menembak' mereka dengan lens kontot maza. Berikut detik-detik indah yang sempat maza rakamkan.


Kanak-kanak yang baru pandai berjalan pun tak lepaskan peluang untuk bermain layang-layang.


Akhir sekali, 'Peace no War!".. hehehhehe


Jumaat, 16 April 2010

Dari celahan tangan itu ada sinar

Sambil memegang cawan maza melangkah ke arah emak. Emak lena dibuai mimpi. Dengkurnya juga memenuhi ruang tamu. Di atas sofa yang mengadap TV emak lentuk layu.

Melihatkan itu segera maza mengejutkannya. Maza tak sampai hati tengok emak tidur merengkok di atas sofa itu.

"Emak bangun mak!"

Emak masih asyik dengan mimpinya. Maza goyangkan bahu emak dengan alunan sedikit deras.

"Emak bangun mak. Masuk tidur kat dalam biliklah. Hari dah larut malam ni."

Dalam mamai itu emak menghulurkan tangan. Maza menyambut tangan itu. Cuba bantunya untuk bangkit.

(Gambar: tangan-tangan membentuk 'kasih')

Rupanya emak mengigau lalu bersuara, "kenapa kau tak salam dan cuim tangan aku?". Kemudian emak lentuk kembali dan berdengkur.

Masa inilah maza baru perasan. Lama dahulu, tangan itu jugalah yang selalu maza salam dan cium tatkala hendak masuk tidur dan pergi ke sekolah.

Masa zaman kecil, tangan itulah yang kerap mendukung tubuh kerdil maza ke bilik setelah terlena di ruang tamu. Memasakan untuk maza tatkala pulang dari sekolah.

Itulah juga sendi yang pernah mengusap kepala, membelai dan memujuk tatkala maza sedih dan menangis.

Dan jejari dari tangan itu jugalah yang pernah mencubit dan menjentik telinga ini agar maza menjadi manusia yang berguna!

Hari ini sudah jauh benar. Jarang sekali maza menghulurkan tangan, bersalaman dengan emak dan meminta ampun darinya sebelum masuk tidur atau mahu pergi ke tempat kerja.

Bila terlihatkan tangan yang dulunya licin, lembut dan halus kini sudah bertukar menjadi berkedut, lemah dan menggerutu, sebak mula timbul. Tertanya-tanya pada diri sendiri, banyak sungguh aku sudah berubah di atas nama kedewasaan ini!

Maafkan abang mak, abang masih tidak mampu membela emak sebagaimana emak membela abang masa kecil dulu...

Salam Jumaat kengkawan.


Rabu, 14 April 2010

Rini, aku juga punya dunia tersendiri.


***

Teman ku Rini Asom...



...Walamak eiii... kau bukan tak tahu.
Dari dulu pun aku punyai perasaan santimental! Tetapi dalam dose yg terkawal.

Aku juga 'gila-gila remaja' sesama budak lelaki yang lain. Tetapi kau juga sudah tahu. Kebanyakkan masa akulah yang dibuli..


(Gambar: Romantika di Tampoi. Siapa peduli, kan?)

Dulu-dulu rock punya pasal, aku tipu diri sendiri. Konon-kononnya 'tak main ler cinta-cinta ini' - segalanya kerna ikut cakap kawan...

Aku silap!
Sekarang aku mulai sedari Perasaan santimental itu penting rupanya..
Kalau tak, luahan rasa sayang pada anak, bini, emak di kampung dan kengkawan pula macam mana?

Macam nak menulis buku cerita kalau tak ada perasaan dan jiwa?
Ahaks, ini semua penangan Cikgu Sastera kita itu dulu..

hehehe,,
Dunia kecilku dulu penuh dgn hipokrit dan kasar!
Demi rock
Demi kengkawan tak mau akui yg aku juga punyai perasaan!

Tapi perasaan sayang aku terarah cinta hanya kasih kepada seorang kawan.

Aku pernah menangis malam hari kerana kerinduan kengkawan...
Yang bernama kawan-kawan itulah yang pernah bermain bersama-sama, bekerjaran sana sini...merekalah jugalah teman yg membuli, mengherdik, menghina. Lantas membina jiwaku!

hehehe.. kelakar, kan?

Hari ini dunia ku sudah berubah.

Berubah bila aku melangkah keluar dari kepompong kampung dan sekolah!
Bila mana aku beranjak ke Sekolah Menengah Sultan Abdul Jalil (SSAJ)
Bila mana aku terus mara ke Varsiti
Yang mana setelah menjejakkan kaki di UM baru ku tahu,
akulah manusia pertama dari Kahang menjejakkan kaki ke situ!
Ke universiti terulung di negara ini!

Dari situ, ku galas amanah cita-cita ibu dan org kampung!
Ku susun satu persatu agar tak tersungkur!

Pernah hampir jua aku kecundang.
Mujur ada helang penyalamat menghalang aku dari terjunam ke neraka jahanam!

(Gambar: Hidup bagaikan bermain layang-layang)

Seputar di SSAJ itulah bermulanya titik perubahan aku sebagai pemimpin.
Berubah sebagai pemangkin.
Berubah sebagai insan punyai cita-cita yg nyata!
Bukan lagi di momok-momokan oleh padangan sempit.
dengan harapan yang tak pernah teguh!

Sekarang, pada mata yg pernah memandangku rendah, memandang ku tak setara.. tak mengapa. Lihatlah di sekeliling mu sekalian!... Kau sendiri tahu bagaimana aku sekarang!

Bukanlah ini permulaan yang terlalu agung untuk disanjung,
Tetapi bagiku pengakhiran itulah jalan penentu untung!
Siapa yang untung, siapa yang rugi?
Hanya mizan Tuhan yang adil mengukur di akhirat nanti...

Tapi entahlah, engkau lihat sahajalah!
Biarlah kita menulis kitab di sebelah kanan dengan acuan Nabi SAW. Dengan gaya para solehin. Dihormati dan disegani!


****
wkakakka.. psst: aku sebenarnya mabuk malam ni.. terlebih makan ubat lorrr..

Ahad, 11 April 2010

Di bawah pokok ada lori...


(Gambar: Penglipur lara. Dibaca; bukan Din Beramboi)

Selepas pergi ke Hospital Mata Tun Hussein Onn, kami pun beredar pulang ke rumah. maza membuat keputusan untuk melalui jalan 'dalam' di pinggiran Seksyen 19, Petaling Jaya.

(Gambar: Lori yang penuh lazat)

Penat berjalan, kami berhenti di bawah pokok. Dua buah lori sedia menanti. Mereka bersedia memberikan perkhidmatan.

(Gambr: Cendul)

Apa lagi pekena cendul dan rojak mamaklah pulak... hehehehhee

Tengahari itu memang ramai orang. Berebut-rebut menanti giliran tempat duduk. Ada tu tak sempat nak tunggu tempat duduk, sambil berdiri mereka menjamah cendul.

(Gambar: Menanti bersama lelehan liur, slruupppp!)

Satu lagi yang menarik ialah tiada garis pemisah antara bangsa-bangsa. Melayu, Cina, Iban, Kadazan, India, Mat Saleh turut menjamu selera.

Bahkan mereka yang kaya memandu kereta besar seperti BMW, Camry, Mercedez juga rela menanti. Malah mereka juga mengajak isteri dan anak-anak menikmati cendul di bawah pokok tersebut.

Mana yang tak tahan dengan godaan cendul, kereta telah menjadi tempat mereka menikmati minuman enak tersebut.

(gambar: Tak sabar menahan)

maza masih ingat, ketika 1990-an lagi sudah ada pakcik tua berniaga di bawah pokok yang sama. Bermula dengan basikal berubah menjadi motorsikal. Kerap jugalah maza menikmati cendul di situ.

(Gambar: Tak menoleh lagi. Bedal!)

Hari ini cendul di bawah pokok tersebut telah diwarisi pula oleh anak saudara mamak tadi. Meneruskan tradisi katanya. Bersama-sama anak saudara mamak itu, terdapat dua orang pekerja Melayu.

Pendek kata, siapa kata jual cendul tak boleh berjaya?!

(Gambar: Nikmatnya)

Pekena cendul di tengahari memang mengasyikan. Menghirup setiap sudu bersyrruupp--syrruuuppp bunyinya. Perkhhh!! dahsyat weiii...

Tak cukup itu, pekena pulak rojak mamak. Terus melekat nikmat di kerongkong! Aduhaiiii...

Tapi setahu maza, cendul bukanlah makanan asli orang-orang Melayu. Namun hari ini sudah ramai orang-orang Melayu menjual cendul.

Yang pasti makanan mamak ini enak dimakan lorr... Mungkinkah cendul akan diiktiraf sebagai makanan kebangsaan Malaysia. Menjadi ikon makanan di negara ini sebagaimana teh tarik dan nasi lemak? hmmm



Rabu, 7 April 2010

Maafkan ayah. Ayah tak tahu nak!


(Gambar: Nasrun merenung masa depan)

Beg galas diletakkan di atas kerusi. Badan terasa begitu letih sekali. Di luar sana udara panas ganas menampar tubuh. Petang itu maza terasa tidak bermaya. Penat tidak berhenti kunjung tiba. Keringat berjujuran.

Lepas solat maghrib mengadap anak-anak pula. Melihat kerja rumah mereka. Beberapa hari lalu cikgu beritahu yang Nasrun tidak menumpukan sepenuh perhatian di dalam kelas. Nasrun mudah teralih perhatian. Dia juga masih tidak dapat membaca seperti rakannya yang lain.

Kelmarin maza bertemu dengan seorang sahabat. Anaknya sebaya Nasrun tetapi perempuan. Kanak-kanak berusia lima tahun itu sudah pandai membaca. Gadis itu menjadi kebanggaan ayahnya.

"Baca Nasrun. Apa ini?"

Nasrun membisu.

"Tengok tangan ayah di papan putih. Huruf apa ini?"

Nasrun terus mendiamkan diri.

PAPPP!

Kuat maza menampar papan putih itu. Pinta perhatian penuh diberikan. Nasrun, Daniel dan darling terkejut.

"APA BENDA INI? CAKAP!"

"Tak nampak ayah. Nasrun tak tahu"

PANGGG!

Ringan tangan maza memukul kakinya.

(Gambar: Titisan air mata)

"Kau ni nak jadi apa Nasrun?! Belajar tak mahu. Kerja sekolah payah nak buat. Sikit-sikit penat. Sikit-sikit mengantuk. Baru buat kerja sekolah dah cakap penat.

Main seharian boleh. Dan itu aje yang kau tahu! Main! Main! Main!

Tengok kawan-kawan Nasrun kat sekolah. Semuanya dah dapat baca. Nasrun tak malu ke? Nasrun tak mahu pandai ke, ha?!!"

PANGGG!

Sebelah kaki sana menjadi mangsa pula.

"Nasrun tak tahu ayah. Nasrun tak nampak." air matanya meleleh. Tangis yang ditahan semakin nyata.

"Hai! Tulisan sikit punya besar macam ni kau kata tak nampak! Ni nak kena lagi ni... ini huruf M. Apa ni?!"

"Huruf M, ayah", jawab Nasrun dalam terketar-ketar.

"Ini huruf A. Apa ini?"

"A"

"M. A. Ma..."

"M.A. Ma..." ikut Nasrun. Sekali sekala sendunya terikut sama.

Keesokan malam jam 10.00, Nasrun mengadu sakit kepala. Baru sebentar tadi dia melakukan kerja sekolahnya. Barangkali bahang panas hari ini menyebabkan dia begitu.

Kasihan melihatkan Nasrun mengerang kesakitan, maza cuba membantu. Memicit-micit kepalanya. Akhirnya Nasrun tertidur di pangkuan.

Maza sangkakan peristiwa itu hanya berakhir di situ. Tetapi sakit kepala Nasrun berulang lagi. Kali ini dia mengadu pening kepala pula. Sampai muntah-muntah.

Sekali lagi malam ini dia tertidur di pangkuan maza. Maza memicit-micit kepalanya. Di hati maza mula tertanya-tanya, kenapa pula dengan anak seorang ini.

Diraba sana-sini. Dahi disentuh. Pipi diusap. Namun tiada simptom menunjukkan dia demam. Tetapi kenapa dia berkedaan begitu? Lagaknya seperti orang tidak berdaya!

Esoknya cikgu mengadu lagi. Nasrun telah mula menunjukkan peningkatan. Semakin positif. Di dalam kelas Nasrun mulai memberikan tumpuan kepada pelajaran. (Alhamdulilah)

Sungguh pun begitu, Nasrun juga kerap mengadu sakit kepala. Pening dan muntah.

Ini membuatkan hati maza menjadi gundah. Berombak ribut membadai jiwa. Berdebar-debar tak berhenti.

"Takkanlah perlakuan aku mengajar anak tempoh hari menyebabkan Nasrun begini. Ah, tidak. Tidak mungkin. Nasrun kuat budaknya. Setahu aku dia lagi kuat dari adiknya, Daniel. Kalau sakit atau demam, jarang benar dia hendak merenget atau melalak seperti kanak-kanak lain. Ah apa pula kali ini?"

Rungsing perihal itu, maza menyuruh darling membawa Nasrun berjumpa doktor di klinik.

(Gambar: Resah merusuh menanti jawapan. Apakah hukuman selepas ini?)

"Anak puan sihat. Tidak ada apa-apa yang perlu dirisaukan."

"Tapi doktor, akhir-akhir ini kerap betul dia mengadu sakit kepala dan pening?"

"Hmm ... macam ginilah. Saya rasa elok Puan pergi berjumpa optometrist. Rasanya mereka boleh bantu"

"Err.. optometrist tu apa doktor?"

"Oh ya. Optometrist tu ialah pakar mata. Lebih baik puan bawa anak ini ke pakar mata di Hospital Tun Hussain Onn, Petaling Jaya. Di sana puan boleh minta kepastian lebih lanjut". Doktor itu pun memberikan alamatnya.

Sabtu lepas maza, Nasrun dan Darling memanjat tangga Hospital Mata Tun Hussain Onn. Sangka maza Hospital Mata Tun Hussain Onn ialah hospital kerajaan. Rupanya ia hospital swasta. Tak mengapalah, demi kesihatan anak dan itulah juga duit dicari selama ini.

Setelah membuat pemeriksaan rapi, doktor mata tersebut mengesahkan mata Nasrun mempunyai masalah.

Nasrun didapati mengidap astigmatism dengan kadar bacaan silaunya tinggi. Disamping itu juga, Nasrun menghadapi rabun dekat. (Ayahnya pula rabun jauh...huhuhu)

(Gambar: Nasrun mencuba cermin mata baru.)

Tiada kaedah terapi lain, kecuali Nasrun perlu memakai cermin mata. Kalau mahu buat pembedahan lasik macam en.me, kami kena tunggu sehingga umur Nasrun lapan belas (18) tahun.

Dokor juga mengesahkan bahawa disebabkan penyakitnya itu jugalah Nasrun mudah hilang tumpuan. Terutama di dalam kelas dan pelajaran yang perlukan perhatian penuh.

Ini disebabkan mata Nasrun yang cepat letih dan cepat pula berasa mengantuk, terutama ketika membaca buku di waktu yang panjang. Penglihatan jarak jauhnya juga terganggu disebabkan silauan tinggi yang dialaminya.

Kata doktor lagi, keadaan Nasrun tidak boleh dibiarkan. Ia boleh menyebabkan keadaan semakin sukar diubati. Tambahan pula pelajarannya akan terganggu. Bahkan boleh membawa kepada daya penglihatan semakin lemah!

Mendengarkan perihal itu maza tersentak. Di dalam hati ribut membadai. Dada menjadi sempit. Jantung membengkak. Sebal. Sesak. Sebak.

Rasa bersalah mula menerpa. Pantas seperti tersuluh-suluh, mahu memacul keluar. Tersembul!

Di dalam kereta maza termenung sendirian mengenangkan nasib anak maza seorang ini. Nasrun baru lima tahun sudah terpaksa memakai cermin mata. Maza sendiri setelah umur sembilan belas (19) tahun, barulah memakai cermin mata.

Tetapi apa yang paling menyedihkan hati maza ialah sikap tak usul periksa maza sendiri. Juga tidak mempercayai kata-kata anak itu: "Nasrun tak nampak, ayah!"

Masing-masing membisu. Membawa haluan sendiri. Memandang ke luar tingkap kereta.

Air mata maza hampir mengalir ke pipi. Segera maza menyeka agar si anak dan ibu tidak melihatnya. Dalam keheningan di perut kereta itu, tibalah giliran maza, dengan suara lemah, maza berkata "Maafkan ayah nak. Ayah tak tahu!"



Isnin, 5 April 2010

The Begining


A beginning of life.
model: aqlan sholehin. age: 2 month.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails