‘Age’ is always growing, and left behind a lot of memories. Thus here we are, am try to record every single golden moment in my short life journey with you all.

nuffnang

Ahad, 19 Julai 2009

Kelab Jiwa Luka

(Gambar: Mengenangkan Kembali Kisah Lalu Di Kopitiam, Dataran Sunyway, Kota Damansara)

“maza, jom la ke bilik Naza. Aku bawa gitar ko yea?”, ajak Leman. Leman dan kumpulannya mahu menghiburkan hati yang sedang lara.


F200 terletak separas tanah, manakala F100 pula di bawah tanah. Di hujung tingkat ini letaknya surau.


Ketika itu maza baru dua tahun tinggal di asrama Kolej Kediaman Kinabalu. Dan itu jugalah bermakna tahun kedua maza mengaji di Universiti Malaya.


Petang minggu itu terasa begitu sunyi sekali. Apakan tidak, mereka yang mempunyai mak we atau kekasih sudah lama lesap meninggalkan kami yang masih tidak mempunyai ‘penyeri’!


Bilik maza pula terletak di F206 manakala bilik Naza F204. Letaknya bersebelahan bilik maza sahaja.


Naza Rauf ialah pelajar senior. Dia baru tahun tiga jurusan Sains. Orangnya kacak, tinggi dan ramai juga peminat dalam kalangan mahasiswi. Tetapi itu tidak menjanjikan hatinya sentiasa terisi dengan ‘penyeri’. Adakalanya hatinya turut terluka disebabkan hal yang tidak boleh dibagi tahu di sini.


Sudah setahun lebih dia kesepian ditinggalkan atau meninggalkan kekasihnya. Hatinya rawan!


Kebetulan pula Leman, junior maza, menghadapi masalah yang hampir sama. Kekasihnya yang menyambung pengajian di Shah Alam telah bersikap acuh tidak acuh dengannya.


Ketika di kampung dahulu di Kota Bahru, Kelantan, Leman dan Sue begitu akrab sekali. Perkenalan yang tidak disengajakan di suatu petang telah menambat hati keduanya. Sedang ketika itu Leman di tingkatan lima dan Sue pula tingkatan empat.


Sue diterima dahulu masuk ke ITM Shah Alam setelah memperolehi keputusan SPM memberangsangkan lalu meninggalkan Leman di kampung halaman.


Berpatah Arang, Berkerat Rotan


Pemergian Sue itu telah meningkatkan hormon adrenaline Leman untuk terus berjuang. Leman memutuskan melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam. Akhirnya dia berjaya ke Universiti Malaya setahun setengah selepas ketidakhadiran Sue di sisinya.


Pernah Leman begitu resah sekali. Dia datang ke bilik maza mengadu perihal hubungannya. Lalu mendesak maza untuk pergi ke ITM pada malam itu juga. Pada hal baik maza mahupun Leman tidak biasa langsung dengan selok belok di Kuala Lumpur dan Shah Alam itu.


Demi melihatkan kasihan dan semangat setia kawan, maza ikut juga. Motor RXZ BCJ 4982 kepunyaan maza ditunggang. Kami menghala ke Shah Alam. Kami sesat entah ke mana menghilang…


Nasib baik dengan berbekalkan sedikit imformasi yang dikutip oleh Leman, kami berjaya juga menemui ITM itu. Tetapi persoalannya sekarang bagaimana mahu masuk? Di mana pula asrama Sue? Pada hal ketika itu sudah dinihari!


Akhirnya kami pulang setelah sesat hingga ke Puchong dan Dengkil. Leman rasa agak puas hati setelah melihatkan bumbung dan bangunan Menara ITM itu.


Beberapa hari kemudian setelah motor Leman yang didatangkan khas dari kampung tiba ke kampus. Sekali lagi Leman membuat misi gilanya. Dia pergi sendirian dengan motor Yamaha C80 (Yamaha Cub) berwarna biru bernombor pendaftaran Johor (JBV 327).


Setelah beberapa kali melakukan misi tersebut, akhirnya Leman bertemu Sue. Di saat itulah segala-galanya terjawab. Lalu membawa cinta Leman terkubur akibat dipermainkan. Leman meraung sendirian lalu menukarnya dari manusia penuh lembut kepada agresif dan kada kala begitu rapuh! Hatinya tidak tenteram. Penuh dengan lara, dendam dan patah hati.


Di sebalik jiwa-jiwa yang lara itulah mereka berkumpul di bilik Naza. Selain Naza, Leman antara teman lain ialah Wadi, Korda, Klang anak Jongga, Rizalman, Makhzani, Zainal dan Lan beberapa orang lain.


Maza pula sekali sekala dijemput khas ke bilik mereka. Ataupun maza berkunjung ke sana setelah bosan asyik ditinggalkan sendirian oleh roommate.


Roommate maza tengah mabuk bercinta. Siang-malam asyik ber-tenet (berendut). Hanya tengah malam barulah nampak batang hidungnya. Kata orang ibarat ayam pulang ke reban setelah matahari terbenam masuk malam. Syam baru sahaja dapat ‘tackle’ Gee dan mereka baru sahaja ‘declare’ sehidup semati. (sehingga hari ini mereka benar-benar bersatu dan memperoleh tiga orang cahaya mata).




(Gambar: Bersantai Bersama Bekas Teman Sepengajian. Terimbau Kenangan Lalu. Mat Lan)



Lantaran itu terkontang-kantinglah maza. Terkebil-kebil memandang kipas angin tergantung di dalam bilik yang menempatkan dua buah katil. Di tengah-tengah ruang itu pula letaknya gerobok baju. Di hujung katil diamnya meja tulis berbentuk ‘L” dan di situ juga terdapat tingkap bernakoh. Bilik itu bersaiz 15 x 10 kaki.


“Cepat la. Dia orang dah tunggu ko tu!”, gerak Leman lagi. Maza turun dari katil malas-malas. Maza tahu apa niat mereka itu. Apa lagi, kalau bukan menghiburkan hati mereka. Maza akan disuruh bermain gitar sambil mereka bernyanyi-nyanyi.


Ada kalanya terpekik terlolong, dan adakalanya lagu sentimental bergalang ganti muzik rock kapak di zaman itu.


Naza memang pandai menyanyi. Bahkan dialah penyanyi utama kelab boria kami. Ada kalanya dia turut menyertai pertandingan karaoke.


Oleh kerana perkumpulan mereka ini mempunyai nasib dan sejarah yang hampir sama, lalu mereka gelarkan bilik dan kumpulan mereka itu, “KELAB JIWA LUKA”.


Kelab Jiwa Luka pernah mencipta sebuah lagu. Lagu tersebut menceritakan kisah cinta mereka. Antara bait-bait rangkap lagu tersebut ialah:-

"Aku Sendiri Mencari Di Dalam Sepi
Kau Yang Ku Harap, Kini Hilang Menyepi...." huhuhu

Di situ jugalah mereka melepaskan sesalan, kerinduan dan airmata. Siapa cakap hati lelaki keras kematu? Mereka juga lembut, kalau kena gayanya. (hehehehe.. jangan marah aaa Leman).


Namun ada kebenarannya juga. Bercinta di varsiti adalah lebih serius berbanding cinta monyet di sekolah. Barangkali usia sudah meningkat, dan rasa tanggungjawab sudah mulai hadir!


Tetapi percintaan tersebut telah mendewasakan banyak pihak. Mematangkan fikiran.


Hari ini, mereka dari Kelab Jiwa Luka itu telah memperolehi kebahagiaan tersendiri bersama-sama jodoh mereka. Gadis yang pernah mengecewakan mereka mulai terasa sesal. Apakan daya segala-galanya sudah terlambat untuk diperbetulkan.


Biarkanlah ahli Kelab Jiwa Luka berbahagia dan senang dengan dunianya hari ini. Biarlah peristiwa yang merobek dan meruntukan air mata lelaki ini ditinggalkan menjadikan sejarah yang berguna!


Sekian...


(pinggan ayan: maza tidak pasti sama ada kelab itu wujud ataupun sudah terkubur sebaik semua anggotanya graduan)

blog comments powered by Disqus

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails