(Sempena peperiksaan utama negara yang tidak lama lagi muncul. Entry ini khusus untuk berkongsi tentang petua mentelaah pelajaran yang dirasakan mujarab gitew)
Ustaz Syafiee ialah guru di sekolah agama rakyat di kampungku. Kebetulan Wahid menjadi ketua geng kumpulan kami. Kami ketika itu mengikuti pengajian darjah enam di sekolah agama. Ketika ini aku baru berumur empat belas tahun. Atau kalau di sekolah pagi, baru sekolah menengah tingkatan dua.
Manakala Wahid pula tua setahun daripadaku.
Di zaman itu, sekolah agama Johor masih mengamalkan sistem siapa lulus ujian akhir tahun maka dia akan dinaikkan darjah. Jika gagal, maka murid tersebut akan terus tinggal di darjah tersebut hinggalah dia lulus ujian tadi.
Jadi di dalam sesebuah kelas itu tidak hairanlah jika terdapat para pelajarnya tidak sebaya. Ada yang terlanjut usia dan ada pula yang jauh lebih muda.
Ketika ini Ustaz Syafiee sering menyeru kami untuk belajar secara berkumpulan. Membuat ulangkaji bersama dan sentiasa tinggal dalam 'study group'.
Dalam masa yang sama, di sekolah pagi juga guru-guru kami sentiasa menggalakkan belajar sedemikian rupa. Tetapi initatif yang intensif didasari oleh Ustaz Syafiee.
Darjah enam di sekolah agama Johor merupakan peringkat tertinggi sebelum melangkah masuk ke darjah khas. Dahulu dengan adanya Sijil Darjah Enam dan disokong pula sijil SRP atau SPM, seseorang itu sudah boleh menjadi guru sandaran di sekolah agama kerajaan Negeri Johor (dibaca di lewat tahun 60-an - lewat 80-an).
Manakala Sijil Sekolah Khas pula sudah boleh mengajar sebagai guru penuh atau tetap. Bahkan dengan kelulusan SPM atau STPM seseorang itu pula sudah boleh menjawat jawatan Naib Qadi.
Dahulu juga dengan berbekalkan Sijil Sekolah khas ini seseorang itu boleh melanjutkan pelajaran ke Sekolah Maahad Johor.
Sekolah Maahad Johor merupakan salah sebuah sekolah agama tersohor di seluruh negara. Dari situ juga kita boleh menyambung pelajaran ke Timur Tengah. Biasanya Universiti Al Azhar menjadi pilihan utama.
Oleh kerana pandangan mulia masyarakat ke atas pemegang Sijil Darjah Enam Sekolah Agama ini, maka usaha keras dan penuh dedikasi mula mengambil tempat. Jadi, adakalanya Ustaz Syafiee akan membuat kelas tambahan tanpa sebarang bayaran.
Tidak cukup di sekolah, kelas tambahan akan dilanjutkan sehingga ke rumahnya. Adakalanya kelas itu tamat pada jam 10.00 hingga 11.00 malam. Terutama apabila peperiksaan benar-benar hampir. Itu tidak termasuk kelas tambahan hujung minggu turut diadakan.
Ibubapa kami amat menggalakkan kami untuk terus berjuang menuntut ilmu. Akhirnya galakkan inilah yang mencipta study group terbesar di kampung itu.
Ketika itu jumlah antara sepuluh orang sudah menjadi kumpulan terbesar kelas study group. Kali ini group kami terdiri daripada pelajar perempuan juga.
Antara nama-nama yang sempat aku ingati ialah Wahid bin Yusof, Norazhar Aziz, Hishamuddin Md Isa, Yazid bin Yahya.
Pelajar perempuan pula ialah Siti Aishah Abu Bakar, Rohaizah Minhad, Baznizah, Nadzariah Ismail.
Peperiksaan semakin dekat. Jadi kami perlukan satu tempat berpusat seumpama asrama.
Entah bagaimana Wahid telah mencadangkan rumahku sebagai tempat perkumpulan study group. Katanya lebih sesuai dan selesa.
Jadinya, hampir setiap malam setelah habis sekolah kami akan study bersama-sama di rumahku (semestinya setelah mendapat permit dari emak ler hehehe). Kami study hingga lewat malam.
Akhirnya dek kerana terlalu lewat malam, jadi mereka pun tidur sahaja di rumahku. Hampir setiap malam berlanjut sedemikian rupa, hinggalah tamatnya peperiksaan.
Selepas tamat peperiksaan pun adakalanya mereka bermalam di rumahku. Dan ketika itu adalah beberapa aktiviti sampingan lain pula muncul. Hehehehehe...
Antaranya belajar silat separuh jalan. Tidak sempat menerima ijazah pun. Tidak sempat habis jurus lalu kami terpaksa berhenti di atas faktor-faktor tertentu.
Kemudian bermain carrom hingga lewat malam. Berkelah di hadapan rumah. Bermain gitar dan macam-macam lagi.
Jadinya fungsi rumahku sudah berubah sedikit. Dari perkumpulan study group telah menjadi perkumpulan sosial kanak-kanak riang. hehehhee
Dan kumpulan kami berlanjutan hinggalah beberapa peperiksaan yang lain. Tetapi ketika SPM kumpulan study group kembali menyusut (disebabkan ada port yang lagi ok di "Gubuk Kecil Lan Pak Mat Drebar". Sedangkan ada geng kami berpindah sekolah dan tamat persekolahan. Paling utama ketua kami si Wahid juga sudah habis SPM. Jadi tukang 'lead' sudah tak ada).
Pinggan Ayan: Memang study group amat berguna. Tapi kalau salah pembawakan, lebih main dari study.. huhuhuhu